Dalam
sebuah Konvensyen Keluarga Sakinah Peringkat Negeri Selangor pada 2010, Dr.
Azhar Yaakob, Pensyarah Kanan UTM, Kuala Lumpur berkongsi kertas kerjanya
berjudul, ‘Zina: Tragedi Sedih Umat Kini’. Dalam pembentangan kertas kerja
tersebut, beliau menyatakan ‘handphone’
menjadi punca utama menularnya budaya zina di kalangan generasi muda Islam yang
menggugat kemakmuran sebuah institusi kekeluargaan Islam.
Memasuki
era digital dipacu dengan kepesatan penciptaan alat-alat teknologi yang
sofistikated menjadi gaya hidup moden kini. Sekurang-kurangnya, setiap remaja
memiliki sebuah telefon pintar dengan pelbagai aplikasi agar tidak ketinggalan
dalam arus perdana. Namun, yang menggusarkan banyak pihak ialah penyalahgunaan
telefon pintar bagi tujuan jenayah dan aktiviti tidak bermoral.
Dalam
sebuah laporan berita BERNAMA bertarikh 28 Oktober 2015, sebanyak 16.8 juta
daripada 20.1 juta pengguna internet aktif dalam media sosial. Antara rangkaian
laman sosial yang banyak dimiliki remaja ialah WeChat, Facebook, Friendster dan
MySpace. Dengan hanya sebuah telefon pintar, kesemua rangkaian sosial boleh
dilayari dengan mudah dan tanpa pengawalan oleh sesiapapun khususnya ibubapa.
Pengerusi
Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPSA), Sabri Rahman menyatakan
pemberian gajet sebagai hadiah kepada anak-anak untuk menggantikan kesibukan
ibu bapa menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial di
kalangan remaja bawah umur termasuk kes rogol. Bahkan, jika diteliti kebanyakan
salah laku seksual termasuk seks bebas dan seks di luar nikah bermula dengan
penggunaan gajet ini secara tidak beretika.
Rasa
ingin tahu yang tinggi dalam kalangan anak remaja termasuk para gadis hari ini
mendorong mereka menggunakan gajet untuk melayari internet tanpa batas apatah
lagi tiada sesiapa yang memantau. Mereka cenderung menghabiskan masa untuk
aktiviti tidak berfaedah dan bermoral seperti berkenalan dengan teman baru
dikenali dari laman sosial dan melayari web lucah.
Ketagihan
terhadap laman web pornografi dan berbaur seks mencetuskan kerosakan maruah dan
nilai keperibadian tidak kira remaja lelaki mahupun remaja perempuan. Kewujudan
laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja memberi kesan negatif
terhadap perubahan nilai dan gaya hidup mereka. Larangan agama terhadap
perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat golongan remaja ini
termasuklah adik-adik gadis daripada menghindari perbuatan tercela.
Bermula
dengan menonton foto atau video lucah melalui telefon mencetuskan rasa untuk
melakukannya. Kebiasaannya, si lelaki memulakan langkah memujuk si gadis agar
menyerahkan mahkota diri. Maka bermulalah aktiviti perbualan, bertukar mesej
dengan nada berbaur seks, berkongsi foto dan video ghairah. Malangnya, si gadis
menuruti sahaja akibat takut ditinggalkan oleh teman lelaki atau takut
mengecewakan kekasih hati. Aktiviti ‘phone
sex’ ini akhirnya menyebabkan jiwa gelisah kerana desakan nafsu syahwat
yang mendesak. Akhirnya, terjadilah hubungan seks di luar pernikahan bermula
dengan perbualan, mesej-mesej, foto-foto lucah yang dikongsi bersama sebelum
itu.
Dalam
kajian UKM di Asrama Bahagia Kampung Pandan mendapati seorang remaja perempuan
mengakui mereka melakukan hubungan seksual sambil menonton video lucah bersama
teman lelakinya. Pengkaji juga mendapati kebanyakan mereka yang aktif dalam
hubungan seksual mempelajari cara melakukan seks daripada video lucah. Kajian
Siti Salwani (2009) mendapati bahawa salah laku seksual yang dilakukan oleh 105
responden daripada 124 responden adalah disebabkan terpengaruh dengan
pornografi (Khadijah Alavi dll. 2012). Dalam kajian LPPKN: Kesihatan
Reproduktif dan Seksual Remaja (2012), perempuan yang menonton dan membaca
bahan lucah adalah sebanyak 14.9%, manakala lelaki sebanyak 60.6 % dan 41.6%
ialah berbangsa Melayu Islam. Kajian telah melibatkan seramai 22, 810 pelatih
PLKN daripada 83 kem seluruh Malaysia.
Baru-baru
ini Halaman Facebook Warga Prihatin mendedahkan trend memiliki akaun ‘IG
Pornstar’ dalam kalangan remaja perempuan yang merupakan bahana baru yang
muncul daripada kegagalan menggunakan aplikasi telefon pintar secara bijaksana.
Dengan adanya perkhidmatan jalur lebar, maka makin mudahlah remaja untuk
mengakses internet dan melayari laman web negatif dengan hanya menggunakan
telefon pintar! Akhirnya, telefon pintar yang sepatutnya memberikan manfaat
disalah guna, membangkit syahwat hingga mengundang petaka zina.
Penulis
berkesempatan mendekati seorang gadis remaja yang aktif seks rambang.
Kehidupannya yang penuh ranjau di pekan besar dengan keluarga yang berantakan
menyebabkan beliau ketandusan kasih-sayang dan terjebak dalam pergaulan bebas.
‘Saya melakukan seks rambang dengan
kenalan di WeChat. Tidak terkira berapa ramai lelaki dan berapa kali saya buat
seks. WeChat ini bahaya sangat puan. Setiap kali saya ‘update’ status saya di
WeChat atau Instagram ramai kenalan lelaki saya ajak bertemu dan buat seks.
Selalunya mereka akan tanya saya sudah pernah buat ke sebab saya memang agak
‘sosial’?Jujur saya cakap pernah terlanjur. Apa lagi, lelaki-lelaki ini mulalah
pujuk saya, supaya mereka dapat jamah juga tubuh saya. Kekadang, saya yang cari
sebab macam sudah ketagihan.’
Jelas Diana (bukan nama sebenar) sambil menunduk.