Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts
Showing posts with label tarbiyyah. Show all posts

Thursday, January 19, 2012

PENDEKATAN USRAH SEBAGAI WASILAH PEMBANGUNAN DIRI REMAJA DAN PELAJAR LEMAH



Bila berbicara tentang masalah kebejatan sosial, tergambar di kepala kita golongan remaja. Siapakah remaja? Remaja merupakan golongan yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 20 tahun. Zaman remaja adalah suatu proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. (Jas Laille Suzana Jaafar, 2006, Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, DBP).

Persoalan tentang ‘siapakah aku?’ sering bermain-main di kalangan golongan ini dalam usaha mencari identiti diri. Justeru, tempoh ini sangat kritikal kerana remaja mula membentuk identiti diri samada positif atau negatif.

Peranan persekitaran dan sosial amat berkait dalam pembentukan identiti seseorang remaja. Golongan pertama; remaja yang sejak dari mulanya terdedah kepada persekitaran positif seperti membesar dalam keluarga yang harmoni, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bermanfaat dan kepimpinan akan melahirkan remaja yang mempunyai nilai kendiri yang positif.

Begitulah sebaliknya bagi golongan remaja kedua; iaitu bagi remaja yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan, dan mencari ketenangan dengan aktiviti negatif seperti merokok, menghisap dadah, menghidu gam, melepak, berhibur melampau (hedonism) akan membentuk golongan remaja yang mempunyai konsep kendiri yang rendah.

Justeru, golongan remaja kedua ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak terjerat dalam dunia sendiri tanpa panduan dan akhirnya mensia-siakan zaman penting untuk meneroka dan mencipta kejayaan manis dalam episod hidup berikutnya.

Oleh kerana mereka menghabiskan masa di institusi pendidikan samada sekolah menengah mahupun IPT, maka golongan pendidik memainkan peranan penting bagi mengenal pasti remaja bermasalah supaya bimbingan dapat diberikan. Bimbingan dalam bentuk usrah dirasakan penulis sebagai paling berkesan berbanding menerusi proses ceramah.


Usrah dari segi bahasa beerti keluarga. Ia juga mempunyai maksud yang lebih mencapah dan meluas iaitu sekumpulan individu yang tiada pertalian darah tetapi mempunyai keakraban hubungan seperti keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan. (Siri Usrah, 2007, Kolej Universiti Islam Selangor).

Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi supaya keterikatan hati dapat diwujudkan oleh pendidik yang bertindak juga sebagai pentarbiyah atau naqib/ naqibah. Rukun usrah itu terdiri daripada proses ta’aruf, tafahhum dan takaful. Pendidik menjadi Naqib/ naqibah bagi memastikan remaja-remaja ini mempunyai tempat rujukan dan berkongsi rasa hati serta masalah. Usrah bukan sahaja menjadi tempat berdiskusi ilmu tetapi juga sebagai halaqah tarbiyyah iaitu mengetahui sesuatu dan menterjemahkannya dalam amalan kehidupan sehari-hari.

Dalam pendidikan contohnya, golongan pelajar yang lemah ini perlu dibantu bukan disisihkan. Guru dan pendidik berperanan dalam membantu pelajar ini membina konsep diri positif supaya nasib mereka tidak berakhir sebagai golongan pelajar tercicir dan tiada masa hadapan.

Pendidik perlu mengetahui perkara-perkara asas mengenai pelajarnya (ta’aruf), memahami pelajarnya (tafahhum) seperti pendekatan sesuai untuk mengajar dan mendidik mereka mengikut laras pemikiran mereka. Seterusnya saling menolong mereka (takaful) supaya mereka dapat merangka perjalanan hidup dengan jayanya dengan keyakinan diri yang tinggi. Ini penting supaya pelajar-pelajar ini mendapat tunjuk ajar yang baik sebelum mengemudi kehidupan secara sendiri selepas tamat pendidikan formal.

Malah dengan pendekatan usrah, ikatan (rabitah) hati yang terbina di kalangan ahli usrah (pendidik dan pelajar) akan berterusan sampai ke alam abadi. Pelajar bermasalah ini dapat merasakan nikmat kekeluargaan yang tidak pernah dikecapi dan sekurang-kurangnya mereka terselamat dari melakukan perkara-perkara yang menjerumuskan diri mereka ke dalam kancah negatif seperti kehancuran moral dan kebejatan sosial.

Penulis misalnya menggunakan teknik usrah ini dalam mengendalikan kelas. Para pelajar yang lemah dikenal pasti dan dibantu supaya mereka boleh mencapai satu tahap yang memberangsangkan yang akan mempengaruhi konsep dan kepercayaan terhadap kebolehan diri. Para pelajar tidak ditekan untuk menggapai kejayaan dalam konteks akademik semata-mata tetapi turut sama menekankan pembangunan kemahiran, sahsiah diri dan budi. Alhamdulillah, pelajar-pelajar lemah ini sedikit demi sedikit telah melakukan anjakan supaya dapat menempuh episod hidup dengan keyakinan untuk berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Tuesday, November 1, 2011

BILA SOLAT DAN AL-QUR’AN SEMAKIN DITINGGALKAN…




Oleh: Sdri Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Penulis juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-ABIM) bagi sesi 2007-2010)
***
Baru-baru ini penulis terlibat sebagai salah seorang panel untuk sesi saringan pengetahuan dan praktikal solat dan bacaan Al-Qur’an untuk pelajar semester pertama di sebuah Kolej dimana penulis sedang berkhidmat sekarang ini. Hampir 250 orang jumlah pelajar yang hadir untuk sesi saringan tersebut yang dijalankan selama empat malam dengan sembilan orang panel yang terlibat untuk menguji. Lingkungan umur pelajar adalah sekitar 19 hingga 21 tahun bagi jurusan diploma.
Sepanjang sesi saringan berlangsung, hanya segelintir pelajar telah mencapai tahap yang dikehendaki penulis dan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP)- Unit Kerohanian iaitu Muhsin (sempurna bacaan solat dan Al-Qur’annya) seramai 30 orang. Malah penulis terkedu dan terkejut dengan fenomena ‘buta’ solat dan ‘buta’ Al-Qur’an di kalangan generasi muda bergelar pelajar IPT dewasa ini.
Walaupun tiada ujian empirikal dibuat untuk mengkaji fenomena ini di negara kita, tetapi boleh disimpulkan rata-rata pelajar gagal menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim/ah dengan sepenuhnya cukup memberikan gambaran bagi lainnya di luar sana. Majoriti pelajar dikategorikan sebagai Muslim (sederhana) dalam pengamalan solat dan Al-Qur’an. Sederhana disini bermaksud para pelajar hanya mengetahui asas-asas solat dan bacaan Al-Qur’an tetapi dilakukan secara berkala dan ‘kadang-kadang’.
Malah ada sebahagian pelajar tanpa segan silu menyatakan mereka sudah lama tidak menunaikan solat fardhu dan membaca Al-Qur’an sehingga bertahun-tahun lamanya. Alasan yang diberikan ketika ditanya penulis mengenai sebab mereka meninggalkan solat adalah seperti penat, leka, membuat tugasan pensyarah dan tiada ‘mood’.
Semasa sesi saringan berlangsung, bacaan solat yang dibaca pelajar tunggang-langgang. Kalau dibaca sekalipun dalam solat, bacaan tersebut tidak dihabiskan bacaannya kerana tidak hafal seperti bacaan doa iftitah, bacaan tasyahud awal dan akhir serta doa qunut. Subuh, asar dan Isya’ adalah tiga waktu solat yang selalu ditinggalkan oleh kebanyakkan pelajar yang hadir pada sesi saringan tersebut dengan pelbagai alasan yang bukan dalam kategori uzur syar’ie yang dibolehkan agama. Begitu juga untuk bacaan Al-Qur’an yang tidak lagi dibaca sehinggakan ada dikalangan para pelajar tidak mengenal huruf walaupun sudah khatam Al-Qur’an semasa kecil.
Fenomena buta solat dan buta Al-Qur’an semakin meruncing di kalangan generasi muda dasawarsa ini. Walaupun membaca Al-Qur’an itu sunat, tetapi ia sangat penting untuk membolehkan seseorang membaca bacaan dengan baik dalam solat yang merupakan tiang seri agama Islam dan amal pertama hisaban di akhirat kelak. Sebab itu celik solat dan Al-Qur’an sentiasa selamanya berjalan seiringan, sehala, seia dan sekata.
Jika negara kita mensasarkan sifar buta huruf menjelang tahun 2015 sebagai menyokong Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) , bagaimana pula dengan sifar buta solat dan buta Al-Qur’an di negara yang menjunjung Artikel 3 (1) dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia?
Ketika artikel ini ditulis, Himpunan Sejuta Umat: Menyelamat ‘Aqidah (HIMPUN) baru sahaja berlangsung di Stadium Shah Alam beberapa hari lepas. Dalam Islam, aqidah perlu disempurnakan dahulu sebelum melaksanakan rukun dan aspek Islam yang lain. Malah, jika kita lihat kepada turutan Rukun Islam, yang pertama adalah mengucap syahadah (aqidah) dan kedua hingga kelima iaitu mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan) lebih menjurus kepada aspek ibadah.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mafhumnya, “Dari Abu ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar radiyallahu ‘anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah S.A.W bersabda: Didirikan Islam atas lima (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan.” (Mustafa ‘Abdul Rahman (2008), Hadith 40:Terjemahan dan Syarahnya, halaman 119).
Justeru, fenomena buta solat dan Al-Qur’an dewasa ini boleh dijadikan hujah kepada permasalahan ‘aqidah dikalangan masyarakat Islam sendiri. Kita meyakini, kelalaian dalam menunaikan kewajipan agama terutama solat adalah bertitik-tolak daripada aqidah dan keimanan yang melemah akibat tuntutan hawa nafsu yang tiada kenal erti puas.
Dapatan sesi saringan yang lalu memberitahu penulis bahawa amalan yang paling berat dilaksanakan generasi masa kini ialah solat dan membaca serta mentadabbur Al-Qur’an. Maka, bila ditanya apakah amalan dunia yang paling mulia?, jawab Al-Fadhil Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan sebagaimana memetik pendapat daripada Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang bersandarkan kepada sebuah hadith yang tidak diketahui sanadnya, bermaksud:“Amalan yang paling baik ialah yang paling susah dan berat.” Ya, menjaga solatdan tadabbur Al-Qur’an itulah yang amalan yang terutama masing-masing pada amal perbuatan dan amal lisan di sisi Tuhan, Allah ‘Azza Wa Jalla.
Apatah lagi, amanat terakhir kepada umat tinggalannya sebelum menjelang kewafatan Baginda Saidina Rasulullah adalah tentang memelihara solat. Rasulullah S.A.W berasa sungguh khuatir umatnya tidak lagi memiliki rasa dan jiwa pada ibadah solat. Juga, firman Allah S.W.T dalam surah Al-Furqan, ayat 30 mafhumnya, “Berkatalah Rasul: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah meninggalkan Al-Qur’an ini.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merenung, mengkaji dimana silapnya sehingga lahirnya generasi Islam yang buta hati pada keagungan solat dan meninggalkan Al-Qur’an dewasa ini. Tidak hairanlah kenapa aqidah senang sekali dicarik sehingga gejala murtad berleluasa, maksiat senang sekali dikerjakan sehingga fenomena zina, buang anak, dadah dan pelbagai penyakit sosial dijuarai oleh golongan manusia beragama Islam. Ini secara batiniyyahnya terjadi lantaran solat tidak menjadi perisai yang menjadi benteng ampuh mengekang hawa nafsu dan meninggalkan pegangan paling utuh iaitu Al-Quran dengan berbangga dengan rasional intelek semata.
Dicadangkan agar kempen-kempen tahsin solat dan semangat Iqra’ dihidup suburkan, diakar umbikan dalam semua institusi sosial terutama institusi keluarga, institusi pendidikan, institusi keagamaan, institusi pemerintahan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa. Apalah makna Artikel 3-Islam sebagai agama Persekutuan jika masyarakat Islamnya jahil mengenai tunjang utama agamanya. Walau wujud pelbagai akta untuk mengekang penularan murtad dan menjaga kesucian agama Islam, ia sebenarnya belum cukup menjamin seseorang itu benar keIslamnya. Yang ditakuti Islam hanya pada nama, tetapi tidak pada hati, percakapan dan perlakuan. Semoga Allah memberikan kita semua taufiq dan hidayat serta ditetapkan hati hanya kepadaNya dan Islam sebagaimana yang dikatakan ‘Inna Ad- dinu ‘Indallahi al- Islam (Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” Wallahu’alam.


Monday, April 25, 2011

SEUTAS TASBIH ITU...

Mataku memandang tasbih dihadapanku. Biji tasbih berwarna koko gelap itu mensayukan hati. Hatiku sayu. Tetiba kurasa sudah begitu jauh. Jauh denganNya.
Berapa kali aku mengingatiNya dalam sehari selain dalam solat. Adakah aku mengingatiNya dalam segala tindak-tandukku? Adakah aku mengutamakanNya dalam semua urusanku? Adakah aku ikhlas keranaNya dalam seluruh ibadahku? Persoalan itu bertalu-talu menerjah mindaku. Aku tertunduk sayu. Sayu mengenang kelemahan diri. Ampunkan aku Ya Allah.
Mataku mula bergenang. Aku sayu. Aku ingin kembali kepadaMu. Ampunkanlah aku.
Aku selak helaian demi helaian bukuku yang belum habis dibaca, Personaliti Wanita yang Disayangi Allah dan Rasul’. Mataku tertarik pada helaian muka surat 29 yang bertajuk Mengenal Tahap Keimanan. Aku baca satu persatu. Huruf demi huruf. Baris ke baris.
Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tabrani mentakrifkan iman sebagai mafhumnya ‘yakin dengan hati, diikrarkan dengan lidah dan dilaksanakan dengan perbuatan.’ Ini memberi maksud seseorang individu itu dikira benar-benar beriman jika hati, percakapannya serta amalannya selari dengan keimanan kepadaNya. Sebagai ilustrasi, seseorang yang percaya Allah itu Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, mana mungkin percaya kepada karut-marut seperti tangkal yang boleh melindunginya. Jika sebaliknya, percaya kepada kuasa tangkal menjamin keselamatan kepada dirinya, seolah-olah telah menafikan kekuasaan dan keEsaan Allah Ta’ala. Maka imannya itu boleh jadi tertolak dan jatuh kepada syirik. Na’zubillahi min zalik.
Setelah habis dibaca tentang tingkatan keimanan seseorang, aku terdiam, berfikir sejenak. Oh Tuhan, jauh lagi perjalanan diri hamba yang daif ini ingin menuju iman hakikat- tingkatan iman yang tertinggi. Aku tertunduk. Sayu. Sebak. Adakah ruang untukku menggapai tingkatan iman itu? Ya Allah, kuatkan hatiku. Tetapkan hatiku supaya benar-benar beriman kepadaMu.
Nota Mimosa:
Bersyukur kepada segala rasa sayu kerana dengan perasaan itu, kutahu Allah masih sayangkanku dan mahu aku dekatkan diri denganNya. Terima kasih Ya Rabbul Izzati dengan kesayuan pada hati hambaMu yang tersangat lemah ini. Aku mengambil dan menggengam tasbih dihadapanku. Allahu Akbar!

Wednesday, April 6, 2011

AKU INSAN BIASA

Aku insan biasa
Tidak punya apa-apa
Harta mahupun rupa
Tapi aku punya DIA
DIA Tuhanku pemberi segala rasa bahagia
DIA Tuhanku pengubat segala duka
Aku hanya hamba pada DIA
Bila diuji aku harus redha
Bila diberi nikmat aku bersyukur dan gembira
Semuanya indah belaka bila zikir mengingatiNya
Alhamdulilahi Ta’ala
Hatiku berbunga ria
Semoga dipermudahkan walau apa jua cara
Jalan menuju cita-cita
Menjadi hambaNya yang bertaqwa

Thursday, March 24, 2011

Ikan di Lautan




Suatu petang, aku memanggil seorang pelajar wanitaku untuk sesi nasihat sosial. 1001 masalah terpancar melalui riak wajahnya telah memotivasi aku untuk bertemu dengannya di pejabat.

"Apa khabar?" tanyaku sejurus dia duduk di kerusi yang disediakan.

Wajah sayunya hanya tersenyum hambar.

"Macam mana belajar, exam EAP yang lepas?" Tanyaku lagi.

"Tak cukup masa untuk jawab." Jawabnya ringkas.

"Hmmm, kamu mesti tahu kenapa cikgu panggil kamu untuk berjumpa? " Tanyaku kepadanya tanpa berselindung.

"Cikgu tahu kamu ada masalah. Kamu mahu berkongsi?" pelawaku.

Dia hanya tersenyum.

"Baiklah, di sini ada sehelai kertas, kalau kamu berat untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, kamu boleh tulis di atas kertas ini. " Aku menghulurkan kepada pelajarku itu sehelai kertas A4.

Dia menyambut dan mula menulis lambat.

"Saya tak tahu nak tulis apa lagi. " Katanya kepadaku sambil menghulurkan kertas yang ditulis masalahnya kepadaku.

Dari kertas itu, pokok permasalahan yang menyebabkan pelajar terbabit muram sentiasa adalah faktor kawan-kawan sekelas dan sebilik, keluarga dan 'pakwe'.

Aku minta dia jelaskan satu persatu.

Panjang lebar dia bercerita, Dari A hingga ke Z. Semua dicerita tanpa selindung walaupun membuka pekung di dada sendiri.

Aku mendengarnya dengan teliti dan tidak meletak sebarang penghakiman atau konklusi awal. Aku membiarkannya meluahkan segala-galanya sehingga ke satu tahap dia mengeluarkan air mata.

"Saya bukan tidak mahu berubah, tetapi kawan-kawan tidak menyokong. Mereka selalu pandang sinis pada saya."

Aku mendengar luahannya. Aku tahu sejarah silam hitam masih lagi menghantui dirinya. Apatah lagi apabila diketahui umum.

"Jadinya, bagaimana kamu hadapi masalah kamu itu? "tanyaku lagi.

Saya jarang berada di bilik, selalu menyendiri. Kekadang petang saya akan ke pekan buang masa dan duduk melepak di tangki air menangis.

Selainnya?' tanyaku lagi.

"Saya mula merokok." Jawabnya jujur.

That' s it. Akhirnya dia mengaku dia mula terjebak dalam aktiviti merokok.

Sehingga kini, dia tidak tahu rokoknya yang hilang ada di rumahku. (Kawan sebiliknya memberi kepada teman sejawatku)

Tujuan sebenar aku panggil pelajar terbabit adalah untuk membuat khidmat sosial kepada pelajar-pelajarku yang di dalam dilema.

Aku tidak mahu menjadi pengajar semata-mata, tetapi pendidik dimana pelajar-pelajarku boleh beroleh manfaat lain dariku.

***

Kepada wanita, kenapa habiskan masa berendam air mata menangisi kisah lalu? Kenapa biarkan diri dirundung malang yang dicari sendiri? Kenapa biarkan diri menyalahkan orang lain dan suasana kepada kejahilan diri yang dicipta sendiri? Kenapa biarkan diri dibelenggu emosi sehingga membuat tindakan melulu yang merosak diri? Kenapa biarkan???? kenapa biarkan????

Pesanku di akhir kaunseling panjang lebar bersama dengan pelajarku itu,

"Tidak salah untuk kita berubah. Berubah dan berhijrah itu satu keperluan untuk pembaikan diri. Lupakan kenangan dosa lalu. Tutup buku untuk riwayat hidup dulu. Mulakan sekali lagi. Buka buku baru dan coretkan dengan kejayaan demi kejayaan dan kebahagian demi kebahagiaan. Bukan ditulis dengan air mata kesedihan.

Cuba belajar daripada ikan di lautan. Walaupun air laut itu masin, tetapi ikan tidak sedikitpun terjejas dengan kemasinan air laut tersebut. Begitu juga kita, untuk berubah perlukan jati diri yang kuat. Bila jati diri dan azam kuat untuk berubah, tidak mungkin kita akan goyah walaupun persekitaran seperti kawan-kawan, keluarga hatta pakwe sekalipun tidak membantu kepada pembaikan diri. Ambil semangat ikan di lautan. Pelajari darinya. InsyaAllah, semoga semua urusan kamu dipermudahkan."

Perbualan terhenti selepas satu jam bersamanya. Pelajarku itu akhirnya meminta diri untuk pulang.

"Kalau perlukan teman bicara, cikgu cuba untuk ada, " Kata-kata itu terkeluar di akhir perbualan sebelum dia menyalami tanganku dan beredar pergi.

"Terima kasih cikgu, " Katanya.

" Sama-sama, " jawabku perlahan.


Monday, February 7, 2011

KEINDAHAN YANG DISENTAP...
Ketika jari-jari tangan ini menaip, cuaca diluar kelihatan mendung. Langit dilitupi awan tebal berwarna kelabu. Awan-awan itu menunggu masa untuk memuntahkan kandungannya terdiri daripada wap-wap air yang tersejat naik lalu membentuk kepulan-kepulan sederhana besar dinamakan sebagai awan.
Kupandang awan-awan yang kelihatan seperti kapas. Dalam hati, aku berbisik, “alangkah bahagianya andai dapat aku duduk diatasnya, beradu dengan penuh keasyikan diatas awan yang gebu.
“Alangkah seronoknya jikalau aku duduk berjuntaian kaki, menyaksikan ragam manusia dari atas, disapa dengan angin sepoi-sepoi bahasa, suhu yang dingin lagi menyamankan.” Bisikku lagi.
Tetiba diri tersentak. Kilat memancarkan cahaya diikuti guruh menggegar bumi. Nah, jantung ibarat terhenti seketika lantaran terkejut. Keindahan itu hanya seketika. Keindahan itu disentap pergi. Segera kubaca “ a’uzubillahi minas syaithonir rajim” ertinya: aku berlindung daripada syaitan yang direjam.
Nota Mimosa:
Hidup ini tidak selalu indah, kekadang ada dugaan yang sengaja didatangkan untuk menguji kesabaran manusia yang sanggup memikul amanah sebagai khalifah.
Kumuhasabah diri, menilai sejauh mana komitmen sebagai khalifah, aktivis gerakan Islam dalam menyeru manusia kepadaNya.
Kekadang aku terfikir kita berasa selesa berada di zon selesa, sehingga tidak menjalankan tanggungjawab sebagai da’ie. Sebab itu, masyarakat hari ini semakin jauh dari Tuhan.
Bila sudah disentak dengan musibah, bencana, barulah tersedar akan tanggungjawab yang diabaikan. Dan saat itu, diri terkulai, sujud menyembah bumi. Menyesali apa yang terjadi. Dan saat ini....
Hati mula memasang azam bersempena Maal Hijrah 1432H. Berdoa agar dosa dan kesilapan sebelum ini diampunkan, dan memohon agar detik kehidupan berikutnya lebih baik dari sebelumnya.
Kuhayati semangat hijrah untuk pembaikan, pemuslihan diri dan masyarakat sekeliling. Semoga semua urusan duniaku dipermudahkan dan sentiasa dalam lindungan rahmat, kasih sayang Nya. InsyaAllah. Amin Ya Rabb.

Saturday, December 4, 2010

JOIN JEMAAH: SIAPA KATA SIA-SIA?

Alhamdulillah, hidup ini indah untuk dinikmati dengan pelbagai kisah yang sarat dengan pengajaran bagi yang sentiasa berfikir.

***

Semalam, 3 Disember pada jam 12:10 tengahari aku menerima sebuah panggilan...

" Assalamu'alaikum, boleh saya bercakap dengan cik Faridah?"..halus suaranya.

" Ya, saya bercakap, boleh saya tahu siapa di talian?" balasku.. (macam skema kan, tapi tulah aku)

"Saya Mira dari Kolej Uniti. Begini, boleh tak akak melapor diri untuk jawatan pensyarah Pengajian Malaysia pada 27 Disember ni?", jawabnya lembut.

"InsyaAllah, boleh, saya akan datang. Terima kasih atas makluman ye. " dalam hati berbunga riang.

***

Alhamdulillah, Allah menjawab permintaan doaku. Aku sendiri tidak pernah menyangka akan dapat jawatan tersebut dalam masa kurang 2 minggu. Bukan tiada calon lain yang hadir interview untuk jawatan tersebut, tetapi sudah tercatat rezeki itu milikku. Alhamdulillah, terima kasih Tuhan atas perkenan doamu.

***

(Imbasan kehidupanku selepas tamat belajar)

Selepas sahaja tamat belajar pada bulan April yang lepas, sebulan aku di rumah dan berprogram bersama KPIJ. Dalam masa yang sama, aku sibuk juga mohon beberapa jawatan, kerajaan dan swasta serta NGO (Abim).

  • Namun, rezekiku di Abim Johor. Aku memulakan tugas sebagai sukarelawan di Sekretariat Abim Johor, Mustika Embun pada 1 Mei 2010. Dalam masa yang sama, aku juga menjadi pembantu penyelidik (sosial) kepada seorang pensyarah UTM yang menyambung pelajaran dalam PhD UK. Aku memulakan tugasanku seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 5 petang. Dan seterusnya, sampai ke lewat malam aku membuat kerja2 penterjemahan untuk dapatan kajian pensyarah UTM tersebut.

  • Seterusya, lantaran terlalu bosan di pejabat, aku mohon jadi pengasuh di Taska Mustika Embun (bersebelahan Sekretariat Abim Johor). Aku memulakan kerjaku seawal jam 7 pagi, hingga kekadang 11 malam. (Bergantung kepada OT, dan ibubapa kepada kanak2 jagaanku). Kerja disitu memang penat lantaran kekurangan staf TAPI, sangat seronok sebab berhadapan keletah kanak-kanak kecil yang pelbagai ragam. Kekadang akibat terlalu letih, ada juga rasa nak marah, TAPI mesti tak jadi bila anak-anak tersebut buat muka kesian, tersengih2, dan manja serta memanggilku, " mama, ibu, mak". Hahahaha, sangat kelakar bila terkenangkan anak-anak disana. Aku disana selama 2 bulan, dari bulan Julai sampai Ogos.

  • Kemudian, aku memulakan kerja sebagai Pengurus kerohanian di Rumah perlindungan Darul Wardah (Darwa) seminggu selepas raya iaitu pada 20 September. Sehingga entri ini ditulis, aku masih lagi menjawat tersebut. Aku sudah masuk bulan ke-2 di Darwa. Namun, aku juga tidak lama disini kerana mendapat jawatan lain yang kurasa cocok denganku, dan bidangku.

  • Tidak lama lagi, aku akan memulakan tugasku sebagai Pensyarah pengajian Malaysia di Kolej Uniti, Pasir Panjang Port Dickson. Dalam hati ini, kuselalu berdoa agar inilah yang terbaik untukku dan urusan agamaku, InsyaAllah.

Itulah, liku2 perjalanan hidupku selepas bergraduasi dari UIAM pada April 2010 (secara rasmi Oktober 2010). Dari Negeri Johor, aku ke Selangor dan bakal ke Negeri Sembilan dalam tempoh 8 bulan...

***

Nota Mimosa:

Apa yang kucuba sampaikan dalam entri kali ini ialah, sabar dalam meniti kehidupan selepas grad. Mungkin apa yang kubuat pada awal2 (pengasuh) tiada kena mengena dengan bidangku. Tapi, realiti sekarang, kita tidak boleh memilih kerja. Tambah2 aku memang akan jatuh sakit kalau 'duk saje' tanpa buat ape2. Tapi, Alhamdulillah, kerjaya terakhir (sekarang) adalah paling cocok dengan bidangku, kecenderunganku. :)

Poin lain, keterlibatan dengan jemaah memang membantu aku untuk tidak putus asa dalam mengejar impian. Jujur aku katakan, jemaah sangat2 membantuku dalam proses mencari kerja. Keterlibatan aktifku dalam jemaah, persatuan, dan bonus kecemerlangan akademik memudahkan aku untuk mendapat jawatan pengurus Darwa dan terbaru Pensyarah. Alhamdulillah. Siapa kata jemaah tidak membantu? (tetiba teringat kata2 En. Azam masa pi induksi lepas tentang segolongan ahli jemaah yang tidak menghargai jasa badan jemaah dalam menggapai cita dan impian).

Kesimpulannya, memang tak sia-sia join jemaah Islam...:)

Monday, November 22, 2010

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.
Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.
Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.
KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.


Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009).
Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)
Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.
KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA
Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.
Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.
Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.

Friday, October 29, 2010

DAKWAH DAN TEKNOLOGI

Aku leka memilih video-video terbaik di youtube untuk dijadikan bahan audio sisipan untuk pengisian dan tazkirah kepada penghuni-penghuni di rumah perlindungan wanita Islam tempat kucurahkan bakti. Oleh kerana kebanyakannya adalah remaja produk teknologi terkini, segala pengisian harus disampaikan secara kreatif bagi menarik perhatian mereka. Ya, penulisan kali ini kusuka untuk menekankan kepentingan teknologi kepada para pendakwah untuk menyesuaikan mesej dakwahnya kepada para mad’unya agar tampil meyakinkan dan berwibawa.


Tranformasi teknologi yang sangat pesat merupakan kesan ledakan era globalisasi yang berlaku seawal abad ke-18. Dasar ‘langit terbuka’ yang mewarnai zaman globalisasi membolehkan manusia berhubung secara terus tanpa halangan geografi dan batas masa. Pelbagai alat teknologi yang sofistikated dicipta bagi memudahkan urusan manusia.
Walaupun kemajuan teknologi seperti penciptaan telefon mudah alih,dan internet sering dikecam kerana mengikis nilai moral masyarakat dewasa ini, namun, dari satu perspektif yang lain, sebenarnya ia membantu para pendakwah untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih meluas dan berkesan.


Jika diteliti, dahulu kala, pendakwah selalu digambarkan sebagai seorang yang membaca kitab-kitab lusuh di pondok-pondok, surau-surau dan masjid-masjid. Para hadirin pula kebanyakkannya terdiri daripada golongan manusia yang sudah berada di penghujung usia.


Namun, sepantas masa berlalu, metod penyampaian dakwah harus juga dikemas kini agar sesuai dan seiring dengan masa dan waqi’ (tempat). Jika dahulu ceramah-ceramah tanpa bantuan alatan teknologi sudah cukup, namun ia tidak lagi sesuai diaplikasikan di masa sekarang.


Bukan niat untuk memperleceh para pendakwah dahulu, namun sekadar lontaran buah fikir kepada pendakwah generasi masa kini agar mengaplikasikan teknologi dalam bidang dakwah agar lebih versatile. Mahu tidak mahu, para pendakwah harus juga mempelajari dan menguasai sedikit sebanyak ilmu teknologi sebagai pelengkap menghadapi para mad’u yang semakin ‘advanced’. Jika kita masih ditakuk lama, berdakwah melalui ceramah semata-mata, takut-takut dakwah kita tidak kemana.


Untuk mengelakkan problem dakwah ‘syok sendiri’, eloklah kita kaji keperluan audiens kita yang terdiri daripada remaja-remaja yang semakin tenat dengan nilai moral dan adab. Demi menghadapi mereka ini, kita harus terlebih dahulu celik teknologi kerana mereka ini adalah produk daripada letusan teknologi dan maklumat beberapa dekad terdahulu. Dakwah secara ceramah semata-mata tidak mampu untuk menarik hati dan perhatian mereka. Kita sebagai pendakwah harus lebih kreatif, lebih berinovasi, lebih advanced dalam menyampaikan mesej amar makruf dan nahi munkar. InsyaAllah, kesannya tidak akan mengecewakan.


Tengok sajalah dakyah-dakyah yang mengelirukan umat kita yang terdapat diruang internet. Bebas, sebebas-bebasnya tersebar dan senang pula dicapai maklumatnya kerana hanya dihujung jari. Lebih malang, anak-anak muda kita lebih percaya apa yang tertulis di internet berbanding di dalam Kitab dan Sunnahnya. Jadi, bagi menangani masalah ini daripada semakin teruk, adalah lebih baik para pendakwah mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk kerja-kerja dakwah agar memenuhi kehendak semasa tuntutan zaman. Wallahu’alam.

Sunday, October 24, 2010

BILA SUDAH TERLANJUR...



DAPAT ANAK DAHULU SEBELUM BERNIKAH
“Selepas melahirkan bayi ini, saya akan menikah dengan lelaki, bapa kepada bayi ini”, kata seorang penghuni di salah sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam yang menjawab pertanyaanku tentang perancangan perkahwinannya selepas terlanjur berzina.
Berkahwin sesudah melahirkan anak diluar pernikahan mungkin bukan lagi satu kejutan ditengah-tengah kancah penzinaan yang berleluasa dewasa ini. Malah ia seperti trend yang direstui oleh masyarakat lantaran kejahilan diri tentang dosa dan pahala. Penerimaan budaya ini seolah-olah membenarkan zina dan mengganggapnya sebagai perkara kecil, bukan lagi suatu dosa besar.
Setelah diri disahkan hamil luar nikah lantaran maksiat tersebut, diri tidak keruan. Resah menemani kehidupan sehari-harian. Akal tidak berfungsi secara waras. Pasangan lelaki tidak ambil peduli, meninggalkan mereka terkontang-kanting mencari jalan keluar.
Ada yang berhasrat menggugurkan janin yang sedang membesar di dalam rahim mereka, ada yang gembira kerana ia bukti cinta kepada pasangan walaupun jelas haramnya, ada juga yang tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan, tetapi mahu diserahkan kepada orang lain, malah yang paling keterlaluan, bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja seperti sampah.
Walaupun begitu, tidak banyak yang mengambil pendekatan bernikah setelah disahkan hamil. Ada yang ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan zinanya kerana memikirkan kehidupan diri dikemudian hari. Mereka tidak yakin pasangan lelaki itu mampu menjaga mereka dengan baik. Inilah yang begitu mengecewakan. Di saat inilah timbul keinsafan di kalangan remaja wanita yang terlanjur. Andai masa boleh diputar kembali, ramai yang ingin memperbetulkan segala kesilapan. Namun semuanya tinggal harapan yang mustahil untuk dicapai. Satu-satunya jalan, BERTAUBAT NASUHA dan memulakn episod kehidupan yang baharu.
SOLAT SEBAGAI PERISAI DIRI
Perbualan hati ke hati bersama remaja-remaja wanita yang terlanjur di rumah perlindungan wanita tersebut membawa kita kepada satu kesimpulan penting. SOLAT MENCEGAH DIRI DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR! Kesemua mereka mengakui pengabaian kepada rukun Islam yang kedua itu menjadi faktor utama kepada terjerumusnya diri ke lembah keji penzinaan.
Solat acap kali ditinggalkan sewenang-wenangnya. Solat fardhu tidak pernah cukup lima waktu sehari semalam apatah lagi solat-solat sunat yang lainnya. Diminta untuk membaca bacaan dalam solat, ramai yang gagal membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan solat tunggang-langgang. Solat dianggap perkara yang membebankan. Sembahyang tidak terasa sebagai kewajipan syariat yang wajib dipenuhi. Natijahnya, tiada perisai yang melindungi diri daripada maksiat. Perisai itulah yang dinamakan solat.
Kepentingan kewajipan solat ini tidak dapat diragukan lagi kerana amalan pertama yang akan ditanya di alam kubur kelak adalah tentang solat. Nah, solat amat penting sekali dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim selain akidah yang sahih.
Walaupun begitu, ramai juga yang mengerjakan ibadat solat ini, namun masih lagi terikat dengan dosa dan maksiat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Bagi menjawab persoalan ini, kita boleh mengatakan sembahyang yang dikerjakan itu tiada rohnya. Sepertimana jasad kita, kalau tiada roh, mana mungkin kita boleh bergerak kesana-kemari. Roh inilah yang menghidupkan jasad kita. Roh yang sihat melahirkan jasad dan perawakan peribadi yang sihat dan begitulah sebaliknya.
Begitulah sama halnya dengan solat. Solat yang tiada roh, kaku dan membebankan serta tidak menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang menjahanamkan diri sendiri. Tanda solat yang diterima oleh Allah Ta’ala adalah yang mencegah seseorang daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar syariatNya, yang dapat membentuk akhlak mulia seseorang itu selain mempunyai nur keimanan diwajah si pelakunya.
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa ubat kepada penyakit sosial seperti penzinaan, buang bayi, rasuah dan lain-lainnya adalah SOLAT. Penekanan kepada aspek solat dan hikmah kepentingannya harus dipupuk sedari anak-anak masih kecil. Ibarat kata-kata orang lama, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendalam sekali pepatah tersebut, kerana apabila umur semakin menginjak dewasa, diri semakin liat untuk melakukan sesuatu kerana sudah terbiasa. Untuk keluar dari kebiasaan, ia memerlukan kemahuan yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh selain rahmat dan hidayah dari Allah Ta’ala.
Selain itu, pendidikan kerohanian dan fardhu ‘ain amat penting dalam pembentukan jati diri Muslim soleh sebelum ilmu-ilmu lainnya. Kerohanian yang terdidik dapat membantu seseorang untuk mengawal nafsu yang secara fitrahnya tidak pernah puas. Aktiviti-aktiviti seperti menunaikan solat berjemaah, berzikir, mentadabbur Al-Qur’an, menghafaz kalamullah, qiyammulail, membaca bahan bacaan berunsurkan keagamaan dan tasawuf amat penting dalam melahirkan nafsu yang terdidik mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.
Wallahu’alam.