Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Sunday, October 24, 2010

KISAH SEBUAH JAM DAN KEHIDUPAN




Kuperhatikan jam didinding. Lama mataku terpaku ke arah jam itu. Berbentuk bulat sederhana, berwarna hitam, putih dan kelabu. Warna yang melambangkan professionalisme. Terdapat 12 nombor berwarna putih tersusun mengikut turutan membulat 1,2, 3, 4 dan seterusnya hingga 12 berlatarbelakangkan warna hitam.
Terdapat 3 jarum yang berbeza saiz yang berpusat ditengah-tengah bulatan jam. Jarum-jarum itulah yang menentukan masa. Jarum yang sedikit panjang, halus dan bergerak dengan kadar yang pantas ditugaskan untuk menentukan saat. Manakala, jarum panjang yang bergerak dengan kadar yang perlahan ditugaskan untuk menentukan minit. Jarum ketiga diciptakan pendek, sedikit besar dan bergerak dengan sangat-sangat perlahan. Ia ditugaskan untuk menentukan masa dalam ‘jam’.
Bateri digunakan untuk membolehkan jam serta komponen-komponennya berfungsi dengan baik. Jika ketiadaan bateri sebagai sumber kuasa, sebuah jam tidak memberikan apa-apa makna kepada si pemiliknya. Kerana pemilik jam tidak dapat mengetahui masa.
Jam atau masa yang paling penting?
Sudah tentu masa yang terpenting. Jam hanya berfungsi sebagai teknologi untuk menunjukkan masa. Ramai yang bersetuju mengatakan masa adalah yang paling signifikan. Namun berapa ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingan masa.
Kepentingan masa diperakui dalam Islam sepertimana firman-Nya dalam surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Tatkala kurenung jam itu, masa seolah-olah berlalu begitu perlahan. Setiap saat dirasakan lama sekali. Namun hakikatnya masa berlari meninggalkan kita dengan begitu pantas. Buktinya, jika semalam kita adalah bayi kecil yang lemah, namun sekarang kita sudah dewasa, berumahtangga dan mengendong anak kecil pula. Ya, bila dikenang-kenang, setiap saat berlalu dengan sangat pantas. Amat singkat masa kehidupan kita didunia.
Justeru itu, Allah bersumpah dan mengingatkan kita tentang masa. Sudahlah masa itu singkat, namun masih lagi mengisinya dengan perbuatan-perbuatan ‘lagho’ (sia-sia) dan inilah sebabnya manusia itu sentiasa didalam kerugian. Kerugian kerana tidak banyak amalan baik yang dapat dilakukan semasa hayat dunia yang menjadi bekalan di alam akhirat yang abadi. Namun, Allah juga bertegas menyatakan orang yang menghargai masa dengan beramal soleh dan menyampaikan kebenaran dan kesabaran adalah golongan yang dikurnai Allah keberuntungan di dunia dan akhirat.
Berbicara mengenai masa, kuteringat sebuah kisah di antara Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dengan murid-muridnya. Dikisahkan suatu hari Imam Al-Ghazali bertanya kepada murid-muridnya mengenai perkara/benda yang paling jauh dari diri kita didunia ini. Ada di antara murid-muridnya menjawab Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan-jawapan tersebut, NAMUN beliau menegaskan jawapan yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimana hebat dan sofistikated sekalipun kenderaan kita, mana mungkin kita mampu kembali ke masa lalu.
Ibrahnya, kita haruslah memanfaatkan masa kehidupan kita dengan perkara-perkara yang selaras dengan syariat agama. Ini kerana, kelalaian kita terhadap masa kini mengakibatkan kerugian hatta kita tiada peluang untuk kembali ke masa lalu untuk kita memperbetulkan kesilapan. Justeru, kehidupan yang berbaki ini perlu diteruskan bagi memperoleh redho-Nya. Sekarang fikir-fikirkanlah bagaimana kita mahu menghargai waktu yang singkat ini untuk kebahagiaan kita di akhirat kelak. Wallahu’alam.

Tuesday, March 30, 2010



MUZIK/LAGU
disebalik tersurat ada yang tersirat!!!


‘Life is music’ adalah manifestasi kepada mereka yang menggilai muzik. Gejala hedonism yang semakin membarah dasawarsa ini sudah cukup menjelaskan kepada kita tentang kegilaan yang gila ini. (AWAS!!!, salah satu bentuk penjajahan baru-neo-colonialization- adalah melalui lagu (Song). Pemilihan lagu juga harus hati2, jangan sampai kena mengucap syahadat semula bagi umat Islam khususnya (Na’uzubillahi min zalik). Hmm,,,sebenarnya bukan itu isi yang aku cuba bawakan pada entri kali ini.

Aku ingin berbicara tentang kaitan lagu dengan personaliti seseorang. Muzik membentuk personaliti seseorang. Sebagai contoh, mereka yang sukakan muzik rock (tak kisahlah slow rock, hard rock, metal, rock kapak dsbgnya) mempunyai imej dan personaliti berbeza dengan penggemar lagu berentak hip-hop, jazz, klasik apatah lagi nasyid.

Penggemar muzik Rock biasanya berpakaian serba hitam dan sendat, berambut panjang, berbahasa dengan ganti nama ‘Gua vs Lu’, dan suka membuat mimik muka ala2 pengganas. Penggemar hip-hop pula lebih suka memakai pakaian yang besar2, memakai topi senget sebelah, berantai besar tergantung dileher, dan suka membuat gerak tangan yang ‘pelik’ ketika bercakap. Penggemar muzik jazz dan kasik pula lebih kemas dan kelihatan tradisional selain seorang yang berjiwa lembut dan agak romantik. Erm, bagi penggemar nasyid pula, anda tentukan sendiri ye…

Bagi sesetengah orang, dunia mereka dianggap 'bosan dan lesu' akibat ketiadaan muzik/lagu. Tidak dinafikan naluri manusia sukakan kepada muzik dan hiburan. Islam sendiri tidak pernah melarang penganutnya dari berhibur, tetapi mesti di dalam kerangka yang dibenarkan seperti tidak melalaikan seseorang dari mengingati Tuhan dan tujuan kehidupannya, tidak mempunyai unsur2 syirik didalam lirik lagu, tidak melampau-lampau sehingga mengundang kepada gejala lain seperti pergaulan bebas dan keruntuhan moral serta pelbagai lagi yang melampaui batas prinsip syarak (ada khilaf ulama tentang hiburan dan terlalu luas untuk dikupaskan disini selain tidak ‘expert’)

Baiklah, kembali kepada isi utama entri aku kali ini, apakah lagu kegemaran anda??? Aku bertanyakan soalan ini sebab melalui lagu yang digemari, memungkinkan kita memahami seseorang. Aku percaya setiap orang punya lagu kegemaran sendiri dan punya alasan tersendiri kenapa memilih lagu tersebut sebagai lagu fevret. Di sebalik yang tersurat ada yang tersirat.

Erm, mengikut pemerhatian aku, seseorang suka kepada lagu tertentu kerana beberapa sebab. Ada yang menggemari liriknya. Ada yang menggemari alunan instrumennya, ada yang menggemari kerana lagu rasmi (seperti lagu sekolah, lagu tema university dll), ada juga sukakan sesuatu lagu kerana selalu dimainkan diruang pendengaran (lagu yang selalu dimainkan di stesen2 radio tertentu itu sebenarnya dibayar- kaedah promosi…) dan ada juga disebabkan dedikasi lagu dari seseorang (tetiba teringat seorang kawan di Matrik yang menyanyikan lagu ‘Bila Rindu’ oleh Ruffedge untuk buah hati dia melalui handphone…ape2 entah).

Erm, ada seorang sahabatku begitu menggemari lagu kumpulan Ungu bertajuk ‘Cinta Dalam Hati’ kerana ia terkandung sejarah dan mencerminkan perasaannya. Aku mendengar lagu tersebut sambil menghayati setiap bait liriknya..erm, dan aku faham perasaan kamu tahu!!! (I am here for you, sharing is caring) (kekadang sesetengah orang tidak tahu menggambarkan perasaanya dengan kata-kata…maka dipilih lagu yang dapat menyatakan perasaannya pada seseorang). Tapikan, seribu kata2 belum mampu meluahkan sebuah perasaan yang berbuku di lubuk sanubari..itulah yang dinamakan Rahsia Hati.

Selain itu, bagi yang terlibat dalam gerakan, dakwah contohnya. Mereka sukakan lagu2 yang membangkitkan semangat perjuangan, ukhuwwah dan kecintaan pada Tuhan dan Rasul. Ada juga sesetengah gerakan dakwah mempunyai lagu rasmi sendiri. Lagu ‘Hidup Biar Berjasa’ contohnya menjadi lagu dendangan ahli2 PKPIM ketika ‘event’ tertentu. Cuba hayati lirik lagu tersebut, ia mencerminkan motto, misi dan visi perjuangan yang didokong. Ia bukan sekadar lagu, tapi punya maksud tersirat yang harus dihadami oleh semua pendokong gerakan supaya tidak lari dari kerangka perjuangan. Kekadang lagu tertentu boleh menjadi salah satu bentuk tarbiyyah pada mereka yang terlibat dalam gerakan ini. Disebalik tersurat ada makna tersirat bagi yang memahaminya.

Kesimpulannya, dari lagu kegemaran seseorang, kita boleh mengenali seseorang walaupun tidak secara keseluruhan (sebab personaliti manusia dinamik). Seseorang yang sedang dilamun cinta, lebih gemar mendengar lagu yang berunsurkan kecintaan sama ada pada Tuhan, Rasul mahupun manusia. Seseorang yang berkarakter girang @ happy go lucky lebih cenderung kepada lagu-lagu yang rancak dan harmonis. Mereka yang berjiwa seni yang sangat halus dan pemikir lebih suka kepada lagu yang terkandung maksud yang tak tercapai akal orang biasa. Mereka yang berjiwa kosong mungkin cenderung memilih lagu yang entah apa-apa liriknya..untuk menjelaskan betapa kosongnya jiwa mereka itu ( terutamanya lagu2 dari Barat). Apa-apapun, setiap orang mempunyai pelbagai sebab kenapa menggemari sesuatu lagu. Dan melalui lagu, kita boleh ta’aruf dan menilai masyarakat mad’u kita.

Sebenarnya dengan mengetahui jenis lagu yang menjadi pilihan sahabat2, aku cuba faham personaliti kalian. Lagipun, bukankah ia salah satu strategi yang baik untuk memulakan sebuah persahabatan, apatah lagi sebagai pendakwah muda untuk menarik mad’u2 yang hidup dizaman hiburan melampau ini??? Prinsipnya mudah…Play the right music, getting in the swing. Dekati mereka, pengaruhi mereka kearah kebaikan tapi bukan kita yang terpengaruh dengan budaya hedonism mereka!!!

***

Nota Diri Mimosa:

Aku memang gemar mendengar lagu ketika melakukan sesuatu kerja seperti membaca, menulis, mengemas dan sebagainya…namun hanya lagu2 kegemaran sahaja. Tak kisah beratus kali ulang pun, aku tetap tak bosan (menggambarkan aku sebagai seorang yang bila dah suka, sangat setia). Genre lagu yang aku suka pelbagai, sekejap aku suka irama rancak, kejap lagi slow, bergantung pada mood + lirik yang betul2 dekat dengan diri (menggambarkan aku sebagai seorang yang fleksible dan seseorang yang kekadang emosinya tak berapa nak stabil pada waktu2 tertentu..haha)…Tapi, dulu kini dan belum tentu selamanya aku tetap suka lagu jenis…biarlah jadi Rahsia Mimosa. Sebab lagu itu punya maksud tersirat yang tak terucap oleh kata-kata. Rahsia tetap rahsia…heee (menggambarkan diri yang punya rahsia sendiri dan sukar nak pamerkan perasaan) Nampak je luaran brutal, dalaman…huhu. Noktah.

***

p/s: Dikesempatan ini, aku nak tujukan lagu…We Are the Champions oleh kumpulan Queen pada sesiapa yang dah hampir2 nak give up untuk menghadapi final exam yang berderet2!!!

I've paid my dues -
Time after time -
I've done my sentence
But committed no crime -
And bad mistakes
I've made a few
I've had my share of sand kicked in my face -
But I've come through

We are the champions - my friends
And we'll keep on fighting - till the end -
We are the champions -
We are the champions
No time for losers
'Cause we are the champions - of the world -

I've taken my bows
And my curtain calls -
You brought me fame and fortune and everything that goes with it
-
I thank you all -

But it's been no bed of roses
No pleasure cruise -
I consider it a challenge before the whole human race -
And I ain't gonna lose -

We are the champions - my friends
And we'll keep on fighting - till the end -
We are the champions -
We are the champions
No time for losers
'Cause we are the champions - of the world –

(lagu ini adalah salah satu lagu fevret untuk memberikan aku motivasi supaya berjuang hingga ke akhirnya tanpa putus asa)
***
30hb Mac 2010/ Isnin

Tuesday, March 23, 2010

‘GOD SPOT’ & KEHIDUPAN MANUSIA



-->
Aku sedang merenung komputer aku. Apa aku nak buat ye???(almaklumlah exam lama lagi dan banyak gap antara satu subjek dengan subjek yang lain).
“Menulislah”, bisikku didalam hati.
Tapi nak tulis apa ya?”bisikku lagi.
Lama aku fikir..dan akhirnya aku bercadang nak tulis pasal titik ketuhanan (God spot).
Aku pernah terbaca pasal God spot ini didalam sebuah artikel lama dulu. Kemudian ia berhenti disitu. Aku tidak memikirkannya lagi. Kemudian, satu hari aku pergi ke sebuah kuliah ilmu.
Aku bertanya pasal God spot pada seorang ustaz (lupa namanya) di sebuah majlis ilmu anjuran Women Affair Association (WAFA= HEWI PKPIM UIAM) beberapa minggu lepas. Ustaz itu menjelaskan God spot sebenarnya adalah fitrah manusia. Menurut Ustaz itu lagi, kejadian manusia itu secara automatik telah di ‘install’ oleh Allah Ta’ala Maha Pencipta yang Maha Bijaksana dengan dua perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu rasa ingin bertuhan dan kebolehan membezakan yang baik dan buruk.
Untuk entri kali ini,aku hanya akan menghuraikan tentang fitrah manusia yang pertama iaitu rasa ingin bertuhan dengan sedikit ilmu yang dikurniakan oleh Ilahi kepada diri yang hina ini.
Titik ketuhanan (God spot) telah mendorong manusia itu untuk ingin bertuhan/ hidup beragama. Jika diperhatikan, manusia zaman purbakala (merujuk kepada zaman Paleolitik, Mesolotik, Neolitik), dan orang2 asli, mereka mempercayai setiap ciptaan disekeliling mereka mempunyai spirit (ruh) yang harus diraikan. Sebagai contoh, jika berlaku sebarang bencana yang mengancam kehidupan mereka seperti banjir, wabak penyakit, kematian dan sebagainya, mereka mempercayai kejadian itu berkait rapat dengan ruh alam (dianggap sebagai Tuhan) disekeliling mereka yang sedang marah. Disebabkan itu, mereka melakukan pemujaan dengan pelbagai cara seperti penyembelihan binatang, atau mengorbankan nyawa manusia untuk dipersembahkan kepada ruh/Tuhan agar hidup mereka kembali aman dan dilindungi daripada sebarang malapetaka yang tidak diingini.
Selain itu, pernahkah kita terfikir apa tujuan dan kenapa kita hidup dimuka bumi ini? Aku percaya semua orang pernah terfikirkan perkara ini dibenak masing-masing. Ada yang berusaha mencari jawapannya kerana selagi tidak ketemui jawapannya, hati tidak pernah selesa. Disebabkan persoalan itu, maka muncullah pelbagai agama yang cuba mengajak manusia kepada tujuan penghidupan manusiawi.
Didalam Islam, Allah telah mengutuskan para Rasul untuk membawa manusia kepada penyembahan secara total dan pentauhidan Allah S.W.T sebagai Tuhan Yang Maha Agung. Para Rasul diutus untuk memimpin manusia kepada tujuan penghidupan manusia seiring dengan kalamullah yang bermaksud,
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Surah Al-Zariyat: 56)
Malah, Allah telah berfirman didalam surah Al-An’am, ayat 162 yang bermaksud,
“Katakanlah; sesungguhnya sembahyangku, ‘ibadahku, kehidupanku, dan kematianku semata-mata untuk Allah Tuhan semesta ‘alam.”
Allah S.W.T. juga telah berfirman didalam Al-Qur’an al-Karim dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 mafhumnya, “…Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah dimuka bumi...”
Ayat-ayat diatas adalah manifestasi tentang tujuan kehidupan manusia di dunia iaitu sebagai hamba dan khalifah yang sentiasa mentaqdis Rabbnya di segenap aspek kehidupan sebagai insan. Pemahaman yang tuntas kepada dua tujuan utama ini merupakan refleksi kepada God spot (titik Ketuhanan) yang tercipta secara fitrah di dalam setiap diri insan. God spot ini harus dihidupkan dengan mengenal diri sendiri dahulu, kerana dengan mengenal diri sendiri, maka secara langsung kita akan mengenal Tuhan, Pencipta kita yang Maha Agung dan Maha Mulia. InsyaAllah.
p/s: Sesiapa yang mengenali akan dirinya, dia akan kenal Tuhannya.

Tuesday, January 26, 2010



TREND SEKS DI LUAR PERKAHWINAN DI TAHAP GENTING


Beberapa tahun yang lepas, penulis pernah bertemu dengan seorang ibu melayu yang masih berumur 17 tahun bersama bayi kecilnya yang berusia seminggu di Pudu Raya. Penulis sempat berbual panjang dengannya. Ibu muda itu dengan naifnya memberitahu bahawa bayi yang bersamanya itu adalah hasil dari perhubungan haram dengan kekasih hatinya.

Yang paling menyedihkan, ibu muda itu ditinggalkan lelaki yang berjanji akan bertanggungjawab atas hubungan haram tersebut. 9 bulan dia terpaksa menghadapi kesukaran sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut di sebuah pusat kebajikan Kristian.

Kisah benar di atas merupakan salah satu contoh kejadian malang yang berlaku ke atas gadis-gadis yang naif sepertinya. Penulis banyak kali berjumpa dengan kes-kes sebegini, di kawasan perumahan mahupun kawan di zaman persekolahan. Trend seks di luar nikah dan melahirkan 'anak tak sama taraf' amat meruncing dan perlukan perhatian khusus dari semua pihak.

Mengikut statistik sepertimana dipetik dalam Berita Harian Online, bertarikh 27 November 2009, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75 6


Setelah dikenal pasti, punca utama kepada gejala yang tidak bermoral ini adalah kurangnya didikan agama dan moral yang bersungguh-sungguh dalam keluarga dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap aspek pembangunan jasadi tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani. Akibatnya, mereka mudah terjebak dengan gejala tidak sihat hatta melanggar syariat.

Didikan asas agama dan moral bermula daripada rumah lagi dan seterusnya bersambung di alam persekolahan. Disinilah anak-anak menghabiskan masa, bersama rakan-rakan sebaya. Kesibukan para ibu bapa dalam urusan pekerjaan kekadang menghadkan masa mereka untuk bersama dan memantau anak-anak. Tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah. Namun malangnya, sistem persekolahan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, tidak dapat membantu kepada pemahaman agama yang tuntas. Maka, membesarlah generasi muda ini dengan kekosongan jiwa dan rohani.

Agama menjadi panduan hidup setiap orang. Tanpa agama dan penghayatan yang jelas terhadap ajaran agama, hidup akan menjadi tidak punya matlamat. Sebab itulah semua perkara yang tidak berlandaskan ajaran agama akan meneyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam konteks zina ini, tidak ada satu agama pun yang membenarkan hubungan seks di luar nikah ini. Untuk ini, Dr. Mohd Ridhuan Tee telah membicarakan isu ini dalam artikel beliau yang bertajuk, 'Isu Timbul Kerana Kejahilan Agama' diterbitkan dalam ruangan rencana, akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009.

Menurut beliau, semua agama iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Sikh apatah lagi Islam telah melarang penganutnya terjebak dengan zina ini. Beliau juga menggalakkan pembaca untuk lihat pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html dimana larangan berzina amat keras sekali.

Kesimpulannya, trend seks di luar perkahwinan atau lazim diketahui sebagai zina merupakan satu dosa besar dalam ajaran Islam. Bukan sekadar, perbuatan zina tersebut, tetapi semua perkara-perkara yang menjurus kepada gejala ini termasuklah hubungan sosial yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan serta penayangan pornografi yang berleluasa di era 'langit terbuka' ini juga dilarang. Tambahan lagi, zina ini juga dilarang dalam agama-agama lainnya.

Trend ini jika tidak dibendung dengan bersungguh-sungguh, dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara dan krisis moral dalam masyarakat. 83.3 kes kelahiran anak luar nikah setiap hari seperti yang dinukilkan di atas statistik cukup menggambarkan kepada kita keruntuhan dan krisis moral di tahap yang genting. Justeru, semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi sekolah, institusi agama, badan-badan bukan kerajaan (NGO), media cetak mahupun kerajaan harus bekerjasama dalam memikirkan cara terbaik dalam menangani krisis ini. Wallahu'alam.

Saturday, December 19, 2009



MISTERI SEBUAH KEHIDUPAN…
Banyak pengalaman manis dan pahit telah mendewasa dan mematangkan aku dalam meniti kehidupan ini. Yang manisnya dijadikan teman dan hiburan tatkala kesunyian dan bersendirian. Yang pahit disimpan kemas dalam lipatan rahsia diri.

Langkah maju setapak meninggalkan semalam yang menjadi kenangan. Diri cuba mencari ‘sesuatu’ yang tersembunyi pada hari ini. Hari ini tidak mungkin sama dengan semalam. Dan esok tidak mungkin sama dengan hari ini. Inilah keindahan sebuah kehidupan. Penuh dengan misteri disamping watak-watak manusia yang juga misteri.

Bukan mudah untuk merungkai sebuah ‘misteri’ kehidupan. Kita perlu melaluinya dan merasainya sendiri dengan bantuan ‘aqal, hati nurani dan pancaindera kurniaan yang Maha Esa.

Pelbagai perasaan bercampur baur; teruja, gembira, takut, sedih dan takjub dalam usaha memahami makna sebuah kehidupan yang penuh misteri dan rahsia. Kekadang diri kita sendiri menjadi misteri pada pandangan insan lainnya, dan insan lain itu menjadi misteri kepada yang lainnya dan begitulah rantaian seterusnya. Ringkasnya, misteri itu wujud di mana-mana, dalam diri manusia, alam, flora dan fauna.

Kejadian-kejadian Allah yang Maha Agung seperti alam, tumbuh-tumbuhan, mergastua juga punya misteri tersendiri. Namun, berbanding manusia, sebahagian besar misteri kejadian-kejadian tersebut boleh dirungkai dan difahami dengan ilmu dan kaedah sains tabi’i yang juga rahmat-Nya pada manusia.

Diciptakan manusia penuh dengan keunikan dan itu menyumbang kepada misteri dalam kehidupan. Golongan manusia ini sukar untuk dimengerti kerana diciptakan manusia itu bersama-sama ‘aqal dan hati nurani yang berbeza-beza. Sungguh sukar untuk menilai apa yang difikirnya atau yang dirasainya dengan menggunakan sekadar mata kasar.

Kekadang mata tesilap perhati lalu menghantar makumat yang kurang tepat ke otak. Kekadang kita melihat perbuatan dan karenah manusia lain yang pelbagai lalu mentafsir dengan pengalaman sendiri dan seterusnya terwujudlah persepsi positif mahupun negatif.

Mesej dan ibrah pada entri kali ini yang cuba disampaikan adalah sesungguhnya kita tidak layak untuk menilai seseorang itu hanya melalui mata kasar. Kerana yang tersembunyi terus-terusan menjadi misteri buat kita hamba-Nya yang lemah. Sesungguhnya tiada yang misteri pada Allah Taala yang Maha Mengetahui akan segala-sesuatu. Wallahu’alam.


Mimosa @;--

Monday, June 16, 2008

"Tazkirah Kehidupan"


Bila mentari bersinar terang
Terpancar cahaya suria
Memuji keagungan Tuhan pencipta
Menginsafi kedaifan

Bila mentari menghilang diri
Terbit pula kenangan lalu
Tertunduk ku pasrah seribu menyepi
Hanyut dalam arus berliku

Oh Tuhanku Yang Esa
Ampunilah hambamu
Berikanlahku kekuatan
Mengharungi mehnahmu
Kupohon restu hidayah dariMu
Rahmatilah hidupku
Terimalah taubatku
Penghapus segala dosaku

Ya Kareem…Ya Allah
Ya Rahman…Ya Rahim

Deruan ombak menghempas pantai
Bergelora dipukul badai
Himpunan buih ditepian
Ia tidak berkekalan
Begitulah hidup manusia

Sebenarnya, bait-bait tulisan diatas merupakan sebuah lagu yang bertajuk “Epilog Seorang Hamba”. Lagu tersebut didendangakan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air , kumpulan Brothers.

Lagu ni sangat memberi kesan dalam hati aku. Pertama kali dengar, aku terus tertarik dan mendengar setiap butir bicaranya dengan penuh perhatian. Pembawaan lirik berserta alunan muzik yang mendayu dan syahdu bisa buat aku menangis sepi.

Sungguh, lagu ini sangat istimewa. Lagu ini tidak sama dengan lagu-lagu nasyid yang pernah aku dengar sebelum ini. Kebanyakkan lagu nasyid sekarang konsepnya berkisar cinta. Cinta manusia, cinta Ilahi dan bermacam-macam lagi yang seumpamanya. Namun, ini tidak bermakna aku prejudis terhadap lagu nasyid yang berkonsepkan cinta manusia. Mungkin, mereka berkarya mengikut kehendak pasaran. Jadi, tidak timbul persoalan untuk mengkritik mereka. Lagipun, kehendak manusia itu berlainan antara satu sama lain.

Kalau direnung dan difahami dengan teliti bait-bait senikata lagu tersebut, ia mengisahkan keagungan Tuhan yang jelas tergambar dengan terciptanya alam ini. Namun, sebagai manusia yang biasa yang lemah imannya, yang sering leka dengan kenikmatan dunia sementara, kita gagal untuk bertafakkur merenungi kehebatan Tuhan, Khaliq bagi segala sesuatu di dunia ini. Malah, Allah yang Maha Bijaksana menciptakan tiap-tiap sesuatu itu ada manfaatnya. Tugas manusia ialah untuk berfikir mengenainya. Maka, akibat kelemahan itu, manusia menjadi buta, lalu lupa
tujuan penciptaan. Allah berfirman:

56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(surah Adh-Dhaariyyat:56)
Ayat al-Qur’an ini sepatutnya dapat membuka mata kita, bahawasanya hidup kita juga punya tujuan iaitu untuk tunduk beribadah kepada-Nya. Konsep amal makruf, nahi munkar wajib dijadikan prinsip hidup seorang insan bergelar Mukmin. Dengan itu, hidup kita lebih terarah. Dengan memahami ayat diatas juga, seorang mukmin yang berfikir, sedar bahawa dunia ini merupakan ladang untuk kita menanam pokok yang menghasilkan buah kebaikan. Hasil keuntungan yang diperoleh, merupakan bekalan kita untuk kehidupan yang kekal abadi iaitu hari Akhirat. Disebabkan itu, maka kita perlu berlumba-lumba dalam mencari keuntungan yang banyak untuk dibawa kesana kelak.

Tetapi, manusia sering lupa. Iman manusia itu pula sering naik dan turun. Maka, kita perlu pohon pada Allah agar sentiasa diberikan sikap istiqamah dalam segala urusan kebaikan bagi mencapai mardhotillah. Apalah guna hidup kita tanpa redhoNya?

Akhir nukilan, marilah kita sama-sama berusaha menjadi mukmin yang sentiasa bertaubat dan sentiasa bermujahadah pada jalan-Nya. Hanya dengan usaha, doa dan tawakkal kita dapat melalui ujian iman dengan penuh kesabaran, lantaran kesabaran itu sebahagian dari iman. insyaAllah. Wallahu’alam.

Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia, cukupcubaan untuk membuat kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadimanusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan.
Luahan Hati Bumi

Titisan air jernih ibarat berlian
Turun membasahi bumi yang kering
Turun bukan dengan sia-sia
Kerana tiap-tiap sesuatu yang dijadikan olehNya
Pasti membawa seribu manfaat
Sesekali….aku terfikir
Mungkin juga bumi sedang menangis
Tapi, kenapa?????
Mungkin sebab tubuhnya telah dinodai
Tapi, siapa yang menodai dirinya yang suci bersih?
Arghhh!!!!! Manusia yang zalim! jerit sang bumi marah.
Guruh dan kilat bersilih-ganti
kemarahan bumi sedang memuncak
Suasana reda sekejap
Tiada lagi dentuman guruh kuat
Yang bisa menggegar seluruh isi perut
Air mata bumi kembali menitis perlahan
“Aku sedih Ya Khalik.” Luah bumi
Bagaimana bisa aku menghadapMU, Ya Tuhanku?
Sedang diri penuh dosa maksiat
Diri kotor dengan pertumpahan darah
Perebutan kuasa, korupsi malah pembunuhan semakin membarah
Badanku tidak sanggup menanggung kesakitan ini
Ingin sahaja aku hapuskan manusia virus ini
Penyebab kesakitan yang kutanggung
Tapi, siapalah aku??
Hanya hambaMu yang lemah…tidak punya kuasa
Aku pasrah Ya Allah
Kumohon padaMu….
Berilah aku kekuatan dan kesabaran
Engkaulah yang Maha Mengetahui
Aku hanya tercipta untukMu
Mengabdikan diri menyembahMu
Akhirnya bumi tenang…
Tiada lagi titisan air hujan turun
Wahai manusia!!! “Bertaubatlah!” seru bumi
“Tiadalah diciptakan manusia dan jin
melainkan hanya untuk beribadat kepadaNya”
dengarlah nasihatku ini wahai manusia yang zalim dan jahil
kembalilah pada Tuhammu
dengan jiwa yang suci…
astaghfirullahal ‘azim 3x

Monolog Sang Hamba



Tuhanku,
Aku tidak layak masuk syurgaMU.
Namun,
Aku tak upaya menghadapi siksaMU.
Terimalah taubatku Ya Allah.
Aku pohon padaMU sepenuh hatiku.
Jangan Kau sia-siakan aku,
Setelah Kau buka pintu hidayahMU
Bantulah aku, hamba yang hina.
Berilah aku sikap istiqamah
Dalam segala urusan kebaikan
Ikhlaskan hatiku hanya untukMU
Jangan sekali Kau selitkan perasaan riya’ dalam qalbi ini
Yang bisa menjadikan segala amalan ibarat debu
Berterbangan, hilang sekelip mata
Mana mungkin dapat dikejar
Apa yang akan kubawa untukMU
Dengan tangan kosong?
Tidak sekali-kali!
Aku ingin menjadi hambaMU yang kaya
Kaya dengan keredhaanMU
Bekalan kehidupan sebagai mukmin sejati
Apalah makna hidupku
Jika Kau tolak aku
Tolakan yang bisa buat aku tidak mampu bangkit lagi.
Justeru itu,
Aku pohon dengan bersungguh-sungguh
Bantulah aku mencapai mardhotillah
Supaya, aku bisa meneruskan hidup ini dengan tenang
Dan akan ku abdikan jiwa ragaku hanya untukMU
Tuhan yang satu
Amin…amin….amin…Ya Allah