Showing posts with label Teruna. Show all posts
Showing posts with label Teruna. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

CINTA MONYET TAK KESAMPAIAN


Aku terima mesej ini dari 2222_ pagi tadi:
RM0.00
Walaupun Kay & Siti bercinta sejak di bangku sekolah, cinta mereka x kesampaian. Dapatkan kisah2 cinta monyet yang mengecewakan. Hantar ON CK ke 2222_. RM1/ minggu.


Dalam hati, terbit perasaan lucu.


“Macam-macam.” Kataku perlahan sambil menggelengkan kepada dan tersengih.
Lepas mesej itu dibaca, terus aku tekan butang ‘padam’. Tak terlintas difikiranku untuk ambil tahu kisah-kisah cinta monyet yang mengecewakan.

Tapi, aku yakin ada dikalangan remaja sekolah diluar sana yang akan melanggan untuk mengetahui pelbagai kisah cinta monyet tak kesampaian itu.

Cinta monyet???

Mesti kita pernah mendengarnya ketika di bangku sekolah.

Apa sebenarnya maksud cinta monyet ye? Kenapa monyet?

Hmmmm…menarik untuk difikirkan.

Monyet merupakan seekor haiwan yang sangat hiperaktif. Jika kita perhatikan tabiat monyet, ia sangat lincah dan tidak tekun dalam satu-satu perkara. Contohnya, jika ia sedang makan, ia sekadar cuit2 kemudian buang. Lepas tu makan lagi kemudian buang dan begitulah seterusnya.
Mungkin disebabkan tabiatnya itu, orang-orang tua menggambarkan cinta sekejap2 ini sebagai cinta monyet. Nampak gadis lain berdahi licin, terus ‘try’ untuk test ‘saham’. Katanya ‘dikaulah cinta sejati bla…blaa….blaa… Kemudian, jumpa lagi gadis berdahi licin, ‘try’ lagi. Makin banyak gadis berdahi licin yang didekati, semakin tinggi saham. Tabiatnya sama..cuit sikit-sikit, pegang-pegang kemudian buang cari yang lain. Kalau yang liar sikit, habis diragutnya kesucian si gadis. Lepas tu habis madu sepah dibuang…

Itulah cinta monyet. Cinta yang tiada arah tujuan, hujung pangkal. Hanya sekadar untuk saja-saja dan berhibur. Sebab itu cinta monyet tak kesampaian.


Nota Mimosa:

Ok, nasihat untuk si gadis dan si teruna. Hati-hati dengan panahan cinta. Jangan terjerat dengan cinta yang membinasakan sudah. Jaga diri, iman dan akhlak ok. Semoga kita semua dilindungi dari penahan cinta nafsu dan syaitan, Amin Ya Rabb.

Wassalam.

Wednesday, August 24, 2011

TERTIPU DEK CINTA


“Kenapa kamu tidak hadir ke kelas untuk beberapa minggu?” tanyaku kepada seorang pelajar perempuanku.
“Kamu tahu, kamu tidak hadir selama 9 jam iaitu waktu maksimum dan ini bermakna kamu tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan akhir semester.” Tambahku lagi.
Pelajar itu tetap tenang mendengar satu demi satu kalimat yang keluar dari mulutku.
“Dan, kenapa kamu tidak berjumpa dengan cikgu walau sudah beberapa kali di minta berbuat demikian?” tanyaku sedikit tegas.
“Saya takut nak berjumpa cikgu.” Jawabnya ringkas.
“Cikgu bukan makan orang sampai kamu nak takut.” Balasku berseloroh.
“Okay, terus kepada sebab kamu gagal hadir ke kelas selama 4 minggu. Kamu ada masalah yang mahu dikongsi?”
“Hmmm…saya tak dating sebab saya ada masalah peribadi dan kesihatan cikgu.”
“Masalah peribadi dan kesihatan? Jelaskan dengan lebih lagi supaya cikgu faham.” Tanyaku lagi sebagai provokasi.
“ Biasalah cikgu, masalah remaja.” Jawabnya ringkas.
“ Masalah remaja? Kawan-kawan sekelas kamu yang lain juga remaja, tapi tetap hadir ke kelas. Apa sebenarnya masalah remaja kamu itu? Cinta?” tanyaku lagi tidak puas hati dengan jawapan ringkasnya itu.
“Ya cikgu. Sebenarnya saya ada couple dengan seorang senior sem 5, tapi baru-baru ini saya dapat tahu dia dah ada makwe. Saya rasa tertipu dan kecewa. Semua orang dan ada pensyarah yang tahu saya couple dengan dia. Bila dapat tahu ditipu, saya rasa rendah diri. Orang mula pandang saya sinis. Saya malu dan berkurung dalam bilik melayan perasaan. Sebab itu saya tak dating kelas. Saya tidak mahu terserempak dengan dia di sini.” Katanya panjang lebar.
“hmm, kamu rasa betul ke tindakan kamu itu? Kamu tak rasa rugi merosakkan prestasi akademik kamu hanya kerana cinta palsu seorang lelaki tersebut? Kamu tak rasa sia-sia sedang kami bersedih, mengurung diri, lelaki itu tetap menjalani kehidupannya dengan gembira?”
“Saya tahu tindakan saya itu tidak betul, tetapi saya dah okay sekarang cikgu.” Jawabnya.
“Saya akan lebih fokus dalam akademik saya selepas ini.” Tambahnya lagi.
“Bagus! Cikgu tidak dapat nafikan zaman remaja merupakan zaman yang kamu mencari cinta untuk melengkapkan self-esteem dan cinta itu sendiri sifatnya universal. Ia hadir tanpa dipinta. Ia merupakan kurniaan dan nikmat Tuhan yang terindah untuk hambaNya. Tetapi, tidak semua orang tahu mengendalikan cinta. Maka cinta yang sepatutnya indah tercemar dan menyebabkan kelalaian dan kesengsaraan. Justeru, dalam konteks begini, cinta itu tidak dibenarkan. Jadi nasihat cikgu, buat masa sekarang, usahlah difikirkan tentang cinta. Kamu masih belasan tahun dan banyak lagi impian yang harus kejar. Cikgu tidak mahu kamu hanyut dalam dunia sendiri tanpa panduan orang dewasa yang makan garam lebih kamu. Cikgu tidak mahu kamu terus-terusan hidup dalam bayangan silam dan membuang masa melayani perasaan kecewa sedangkan setiap detik harus dilalui dengan tenang dan gembira untuk mencapai impian dan kejayaan.” Nasihatku padanya panjang lebar.
“Baik cikgu, saya akan cuba.” Jawabnya.
“Cikgu akan pantau kamu dari semasa ke semasa. Cikgu tak nak kamu duduk sini bertahun hanya untuk ulang semula semester. Cukuplah sekali. Mulai sekarang, tolong fokus dan komited dengan pelajaran kamu. Ingat kamu menggalas cita-cita dan impian emak ayah kamu. Sampai bila kamu mahu terus menipu ibu bapa kamu?”
“Baik cikgu. Saya usahakan.” Jawabnya perlahan tanda penyesalan.
Pertemuanku dengan pelajar terbabit berakhir. Kami bersalaman dan berpeluk sebelum masing-masing menuju ke destinasi masing-masing.
Nota Mimosa:
C.I.N.T.A OH C.I.N.T.A??????

Tuesday, July 19, 2011

NILAI DARA DAN TERUNA
Usai menonton filem ‘Aku Masih Dara’ arahan Ahmad Idham membuatkan penulis berfikir sejenak tentang kemerosotan nilai dan moral dalam diri anak muda dewasa ini.
Aku Masih Dara mengisahkan perjalanan hidup 3 sekawan yang mempunyai latar belakang, serta pemahaman tentang agama Islam yang berbeza iaitu Sofia, Hani dan Alyssa. Sofia merupakan seorang gadis kaya yang dibesarkan dalam keluarga Islam tetapi mengamalkan budaya dan agama Kristian. Hani pula merupakan gadis yang dilahirkan dalam kemiskinan. Kemiskinan itu menyebabkannya menjadi liar dengan berkawan dengan seorang lelaki bernama Zack dan terlibat dengan seks bebas, arak, penggunaan dadah dan ectasy. Alyssa pula merupakan gadis yang berpelajaran, lahir dalam keluarga yang berpelajaran tetapi suka berhibur. Alyssa mempunyai seorang sepupu lelaki yang alim dan diberi amanah oleh ayah Alyssa untuk menasihatinya tentang agama.
Aku Masih Dara turut juga mempertemukan 3 orang kawan baik yang berbeza pendapat mengenai ‘dara’. Pada Sofia,walau sebebas manapun hidupnya, ‘dara’nya hanya untuk lelaki yang halal menjadi suaminya. Hani pula memandang enteng tentang ‘dara’ dan mengatakan dara tidak lagi relevan. Alyssa pada awalnya seorang gadis suci tetapi telah dinodai apabila mengikut Hani ke ‘exclusive party’ yang menganjurkan pergaulan bebas, minum arak dan seks bebas.
Persoalan ‘dara dan teruna’ memang merupakan isu hangat untuk dibincangkan. Dara merupakan bukti kegadisan seseorang sama ada masih suci atau pernah melakukan persetubuhan. Teruna juga merujuk kepada kesucian si jejaka yang masih belum pernah menjalin hubungan intim. Namun penulis sangat sedih apabila masyarakat remaja kita hari ini beranggapan seseorang yang masih dara dan teruna sebelum berkahwin adalah seorang yang kolot dan ketinggalan dalam kepantasan waktu dan pembangunan. Adakah mereka lupa menjaga ‘dara/ teruna’ itu sama ertinya dengan menjaga maruah diri? Apa makna maruah diri pada diri mereka? Adakah dengan berzina sebebas-bebasnya menjadikan mereka semakin bermaruah?
Budaya zina dan hilang dara dan teruna semakin meruncing dewasa ini. Saban hari membaca akhbar, ada sahaja laporan mengenai kes buang anak kesan buruk dari parahnya budaya zina ini. Sebuah laporan akhbar tempatan melaporkan sebanyak 60 peratus gadis hilang perawan akibat hubungan seks luar nikah menjelang umur 18 tahun. Bukan setakat itu, pencabulan maruah diri, rogol juga amat menakutkan. Laporan lain menyatakan bahawa setiap 17 minit, satu kes rogol berlaku di Malaysia! Betapa parah moral anak muda kita pada hari ini.
MENJAGA MARUAH DIRI ADALAH SALAH SATU MAQASID SYARIAH
Islam begitu menitik beratkan tentang persoalan menjaga maruah diri ini. Salah satu maqasid syariah adalah menjaga kehormatan dan maruah diri. Allah berfirman dalam KitabNya, Surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud.
“ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang salah.”
Islam mengambil pendekatan, mencegah lebih baik daripada merawat. Ia selari dengan intipati yang cuba disampaikan dalam ayat di atas. Ayat tersebut jelas melarang kita dari mendekati semua bentuk perbuatan yang menjurus kearah penzinaan. Daripada muamalah antara lelaki dan wanita yang tidak terjaga, membaca bahan-bahan lucah di komik-komik, blog, dan sebagainya, ber’sms’ dengan berlainan jantina yang berbau ghairah, mendengar lagu-lagu membangkitkan syahwat, menonton cerita porno, dan apa sahaja yang berbaur zina. Semuanya dilarang dan harus dijauhi.
Remaja kita hari ini seakan-akan tidak punya rasa malu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya, ‘ bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki. (Riwayat Bukhari). Muda belia kita bergaul sebebas-bebasnya sehingga terjerumus ke lembah zina tanpa hadir perasaan malu dalam sanubari. Malah, kita pernah digemparkan oleh seorang gadis berusia 16 tahun begitu berbangga kehilangan ‘dara’ lalu diuar-uarkan di laman sosial sehingga mengundang kecaman dari masyarakat dan ada juga yang memihak kepadanya. Lelaki si hidung belang pula berbangga dan terasa hebat kerana meniduri ramai gadis. Inilah yang disampaikan melalui hadith di atas iaitu mengerjakan sesuatu yang terlarang sesuka hati dan berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Larangan dan kecaman tidak langsung membenihkan perasaan takut, tetapi sebaliknya.
Malah zina ini sudah mula menjadi budaya jika tidak ditangani segera oleh semua pihak. Sikap ibu bapa yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak bebas lepas menjalani kehidupan mengikut suka hatinya memburukkan lagi keadaan. Di tambah pula dengan keadaan masyarakat yang ‘malas menjaga tepi kain orang’ semakin meruncingkan budaya zina hari ini. Penggunaan kata ‘buat projek’ apabila berdua-duaan di tempat sunyi menjadi senda gurau. Istilah ‘projek’ adalah tidak tepat, kerana paling tepat adalah istilah zina. Penggunaan ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat sedar bahawa perbuatan itu dilarang sama sekali yang perlu diambil tindakan, bukan menjadi bahan gurauan semata-mata.
PEMERKASAAN SAHSIAH DIRI
Generasi muda kita harus dibangunkan. Program-program membina generasi muda perlu diperkasakan. Namun malangnya, kebanyakan program hanya berbentuk fizikal semata-mata tanpa ada suntikan kerohanian dan pembinaan akhlak. Hari ini, keperluan utama adalah pengisian kerohanian dan spiritual. Bertahun- tahun di sekolah belajar tentang ilmu agama dan moral secara formal tidak menjamin seseorang itu terbangun adab dan sahsiahnya.
Usaha memupuk adab dikalangan generasi muda kita perlulah diambil penting dan istiqomah oleh semua pihak daripada institusi keluarga, institusi pendidikan hinggalah kepada institusi pemerintahan Negara. Malah pendidikan agama dan moral perlulah melangkaui batas akademik semata-mata. Aspek pentarbiyahan jiwa nurani pula perlulah berterusan dan bukan setakat habis sejurus tamat zaman persekolahan.
Sebuah hadis menyatakan yang bermaksud,
“Kemuliaan seseorang mu’min itu adalah kerana agamanya, maruahnya adalah terletak pada akalnya dan kedudukannya adalah bergantung kepada akhlaknya.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi).
Sudah terang lagi bersuluh, agama, ibadah, dan akhlak adalah elemen penting dalam Islam. Belumlah sempurna keislaman dan keimanan seseorang Muslim itu jika elemen ini masih pincang. Maruah dan jati diri adalah cerminan tahap keimanan dan akhlak seseorang itu. Generasi muda yang bermaruah dan berakhlak mulia merupakan cita-cita. Cita-cita ini tidak akan tercapai tanpa adanya usaha. Justeru itu, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan kelahiran sebuah generasi muda baru yang terbangun jiwa dan raganya dengan cahaya Islam yang gemilang. Ayuh, generasi muda sekalian, bangkitlah demi kesucian agamamu!

Monday, November 22, 2010

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.
Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.
Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.
KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.


Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009).
Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)
Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.
KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA
Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.
Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.
Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.

Sunday, October 24, 2010

BILA SUDAH TERLANJUR...



DAPAT ANAK DAHULU SEBELUM BERNIKAH
“Selepas melahirkan bayi ini, saya akan menikah dengan lelaki, bapa kepada bayi ini”, kata seorang penghuni di salah sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam yang menjawab pertanyaanku tentang perancangan perkahwinannya selepas terlanjur berzina.
Berkahwin sesudah melahirkan anak diluar pernikahan mungkin bukan lagi satu kejutan ditengah-tengah kancah penzinaan yang berleluasa dewasa ini. Malah ia seperti trend yang direstui oleh masyarakat lantaran kejahilan diri tentang dosa dan pahala. Penerimaan budaya ini seolah-olah membenarkan zina dan mengganggapnya sebagai perkara kecil, bukan lagi suatu dosa besar.
Setelah diri disahkan hamil luar nikah lantaran maksiat tersebut, diri tidak keruan. Resah menemani kehidupan sehari-harian. Akal tidak berfungsi secara waras. Pasangan lelaki tidak ambil peduli, meninggalkan mereka terkontang-kanting mencari jalan keluar.
Ada yang berhasrat menggugurkan janin yang sedang membesar di dalam rahim mereka, ada yang gembira kerana ia bukti cinta kepada pasangan walaupun jelas haramnya, ada juga yang tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan, tetapi mahu diserahkan kepada orang lain, malah yang paling keterlaluan, bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja seperti sampah.
Walaupun begitu, tidak banyak yang mengambil pendekatan bernikah setelah disahkan hamil. Ada yang ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan zinanya kerana memikirkan kehidupan diri dikemudian hari. Mereka tidak yakin pasangan lelaki itu mampu menjaga mereka dengan baik. Inilah yang begitu mengecewakan. Di saat inilah timbul keinsafan di kalangan remaja wanita yang terlanjur. Andai masa boleh diputar kembali, ramai yang ingin memperbetulkan segala kesilapan. Namun semuanya tinggal harapan yang mustahil untuk dicapai. Satu-satunya jalan, BERTAUBAT NASUHA dan memulakn episod kehidupan yang baharu.
SOLAT SEBAGAI PERISAI DIRI
Perbualan hati ke hati bersama remaja-remaja wanita yang terlanjur di rumah perlindungan wanita tersebut membawa kita kepada satu kesimpulan penting. SOLAT MENCEGAH DIRI DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR! Kesemua mereka mengakui pengabaian kepada rukun Islam yang kedua itu menjadi faktor utama kepada terjerumusnya diri ke lembah keji penzinaan.
Solat acap kali ditinggalkan sewenang-wenangnya. Solat fardhu tidak pernah cukup lima waktu sehari semalam apatah lagi solat-solat sunat yang lainnya. Diminta untuk membaca bacaan dalam solat, ramai yang gagal membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan solat tunggang-langgang. Solat dianggap perkara yang membebankan. Sembahyang tidak terasa sebagai kewajipan syariat yang wajib dipenuhi. Natijahnya, tiada perisai yang melindungi diri daripada maksiat. Perisai itulah yang dinamakan solat.
Kepentingan kewajipan solat ini tidak dapat diragukan lagi kerana amalan pertama yang akan ditanya di alam kubur kelak adalah tentang solat. Nah, solat amat penting sekali dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim selain akidah yang sahih.
Walaupun begitu, ramai juga yang mengerjakan ibadat solat ini, namun masih lagi terikat dengan dosa dan maksiat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Bagi menjawab persoalan ini, kita boleh mengatakan sembahyang yang dikerjakan itu tiada rohnya. Sepertimana jasad kita, kalau tiada roh, mana mungkin kita boleh bergerak kesana-kemari. Roh inilah yang menghidupkan jasad kita. Roh yang sihat melahirkan jasad dan perawakan peribadi yang sihat dan begitulah sebaliknya.
Begitulah sama halnya dengan solat. Solat yang tiada roh, kaku dan membebankan serta tidak menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang menjahanamkan diri sendiri. Tanda solat yang diterima oleh Allah Ta’ala adalah yang mencegah seseorang daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar syariatNya, yang dapat membentuk akhlak mulia seseorang itu selain mempunyai nur keimanan diwajah si pelakunya.
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa ubat kepada penyakit sosial seperti penzinaan, buang bayi, rasuah dan lain-lainnya adalah SOLAT. Penekanan kepada aspek solat dan hikmah kepentingannya harus dipupuk sedari anak-anak masih kecil. Ibarat kata-kata orang lama, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendalam sekali pepatah tersebut, kerana apabila umur semakin menginjak dewasa, diri semakin liat untuk melakukan sesuatu kerana sudah terbiasa. Untuk keluar dari kebiasaan, ia memerlukan kemahuan yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh selain rahmat dan hidayah dari Allah Ta’ala.
Selain itu, pendidikan kerohanian dan fardhu ‘ain amat penting dalam pembentukan jati diri Muslim soleh sebelum ilmu-ilmu lainnya. Kerohanian yang terdidik dapat membantu seseorang untuk mengawal nafsu yang secara fitrahnya tidak pernah puas. Aktiviti-aktiviti seperti menunaikan solat berjemaah, berzikir, mentadabbur Al-Qur’an, menghafaz kalamullah, qiyammulail, membaca bahan bacaan berunsurkan keagamaan dan tasawuf amat penting dalam melahirkan nafsu yang terdidik mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.
Wallahu’alam.

Monday, April 12, 2010

2+1= Zina, Buang Bayi dan Lain-lain


Semalam sekali lagi kes pembuangan bayi berlaku di Sungai Choh, Rawang. Mayat bayi lelaki tersebut dijumpai di tempat pembuangan sampah yang dipercayai dibuang sejurus selepas dilahirkan. Aku sangat yakin ia perbuatan pasangan yang berzina. Astaghfirullahal'azim.

inilah rupa bayi tersebut...sangat kejam siapa yang melakukannya.

Apa nak jadi ya???Gejala tidak bertamadun ini bukan baru berlaku. Tetapi yang merungsingkan, ia semakin menjadi-jadi pula. Boleh dikatakan hari-hari ada sahaja berita pembuangan bayi didalam sungai, di tempat pembuangan sampah, di tepi longkang, di masjid-masjid,di kawasan perkuburan dan tandas.

Semua orang yang berperikemanusian pasti marah dan geram dengan perbuatan manusia yang bertopengkan syaitan ini. Haiwan pun reti sayangkan anak. Inikan pula manusia. Memang bukan manusia, tetapi pesalah ini ialah syaitan yang menyamar jadi manusia.

Pelbagai usaha sebenarnya dijalankan untuk memberi kesedaran tentang isu ini. Dari berkempen hingga kepada khutbah jumaat, tapi semuanya seakan-akan tidak berkesan. Mana silapnya ya???

Aku percaya semuanya berpunca daripada hubungan dan pergaulan manusia lelaki dan perempuan yang tidak terbatas+zina, anggota badan dan pancaindera yang tidak terjaga, keluarga yang liberal, selain tersalah konsep tentang nikmat bercinta.

Zina adalah salah satu dosa besar (antara babak dalam filem Rempit-sangat merepek2)

Bila dah terlanjur berzina, dah mula ada isi dalam rahim, mulalah gelabah. Masa tu cinta, sifat kasih sayang, prihatin hilang lesap tanpa kesan. Yang ada hanyalah malu pada masyarakat kalau perbuatan terlaknat diaorang diketahui umum. Malu dengan Tuhan tak difikirkan pula. Manusia macam ini memang keterlaluan. Sanggup membunuh bayi tak bersalah. Kalau dikebumikan sekurang-kurangnya adalah sikit sifat manusia tu, tapi kalau dah sampai tahap buang merata-rata tempat dan dibakar pula....memang manusia durjana yang keterlaluan. Apalah yang ada dalam fikiran diaorang agaknya tatkala hendak buat kerja keji tersebut. ????



antara bayi -bayi yang dibuang tanpa sedikitpun perasaan prihatin

Marah memang marah. Tapi diaorang pasti takkan dengar punyalah. Jadinya apakah cara yang paling baik untuk mengatasi masalah ini ya???. Apa-apapun, aku percaya hanya melalui sistem tarbiyyah dan pendidikan dapat menangani gejala ini dari berterusan selain usaha-usaha lain. Bila sistem pendidikan terencat maka yang lahir nanti manusia keparat. Kalau sistem bagus, akan lahirlah manusia yang juga bagus akhlak dan moralnya, InsyaAllah.

***

Antara pesanan Nabi Muhammad s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud:-


"Tidak akan berzina seorang pelacur semasa berzina jika dia beriman, dan tidak akan minum khamar (arak) ketika meminumnya jika beriman, dan tidak akan mencuri seorang pencuri jika dia beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

"Hati-hatilah kamu daripada bicara-bicara dengan wanita, sebab tiada seorang lelaki yang berduaan dengan wanita yang tidak ada mahramnya melainkan ingin berzina padanya." (Riwayat Al-Hakim)

"Jika seorang berzina, maka keluarlah iman daripadanya bagaikan payung di atas kepalanya dan apabila ia menghentikannya maka kembalilah iman kepadanya." (Riwayat Abu Daud & Al-Baihaqi)

" Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat menganggu ahli neraka lain kerana sangat busuk." (Riwayat AlBazaar)
"Laknatlah untuk orang berzina, orang yang memakan riba dan orang yang menulis urusan riba dan orang yang menyaksikan riba. Mereka itu keadaannya sama sahaja." (Sahih Muslim).

"Awaslah kamu daripada berdua-duaan dengan wanita, demi Allah yang jiwaku di tanganNya. Tiada seorang lelaki yang berdua-duaan dengan wanita melainkan dimasuki syaitan antara keduanya." (Riwayat At-Tabarani)
"Seorang yang berzina atau minum khamar, maka terlepaslah iman daripadanya sebagaimana orang melepaskan gamis(baju) dari kepalanya." (Riwayat Al-Hakim)

"Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakan setelah aku. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak penzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan." (Riwayat Bukhari & Muslim).

" Dan seorang yang bersentuhan dengan babi yang berlumpuran dengan lumpur yang busuk lebih baik daripada bersentuhan dengan bahu wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat At-Tabarani).

***

Nota Mimosa:

Melihatkan anak2 saudaraku yang kecil didepan mata mengingatkan aku akan nasib malang bayi-bayi yang dibuang, didera, dibunuh tanpa belas kasihan. Siapa yang akan membela hak mereka??? Wahai bayi-bayi kecil yang dikejami manusia laknat! sesungguhnya syurgalah tempat kembali kalian yang terindah. Itu janji yang Maha Pengasih.

Solat adalah perisai diri kepada semua durjana di muka bumi ini. Jika kemaksiatan masih lagi bermaharajalela, maka haruslah diperiksa rukun Islam yang satu ini dalam setiap diri individu-menunaikan kewajipan solat-.

Iman adalah kepercayaan yang terlafaz dalam syahadat dan percaya dengan yakin bahwa setiap perbuatan didunia ini pasti akan ada balasannya didunia mahupun diakhirat.

Sesungguhnya, pintu taubat itu maha luas sesuai dengan sifat pengampun Allah Ta'ala. Bertaubatlah sebelum terlambat, jangan sampai kita menyesal hidup didunia.

Sabda Rasulullah s.a.w, yang bermaksud,
"ketika Allah telah selesai menjadikan semua makhluk, maka menulis tulisan yang ada diatas arsy yang berbunyi: Rahmat-Ku mendahului murka-Ku (Rahmat-Ku mengalahkan Murka-Ku). (Riwayat Bukhari, Muslim & Ibn Majah).


Manusia itu sering terlupa dan berbuat silap,
maka sebaik-baik manusia ialah yang bertaubat.

Tuesday, January 26, 2010



TREND SEKS DI LUAR PERKAHWINAN DI TAHAP GENTING


Beberapa tahun yang lepas, penulis pernah bertemu dengan seorang ibu melayu yang masih berumur 17 tahun bersama bayi kecilnya yang berusia seminggu di Pudu Raya. Penulis sempat berbual panjang dengannya. Ibu muda itu dengan naifnya memberitahu bahawa bayi yang bersamanya itu adalah hasil dari perhubungan haram dengan kekasih hatinya.

Yang paling menyedihkan, ibu muda itu ditinggalkan lelaki yang berjanji akan bertanggungjawab atas hubungan haram tersebut. 9 bulan dia terpaksa menghadapi kesukaran sehinggalah dia melahirkan bayi tersebut di sebuah pusat kebajikan Kristian.

Kisah benar di atas merupakan salah satu contoh kejadian malang yang berlaku ke atas gadis-gadis yang naif sepertinya. Penulis banyak kali berjumpa dengan kes-kes sebegini, di kawasan perumahan mahupun kawan di zaman persekolahan. Trend seks di luar nikah dan melahirkan 'anak tak sama taraf' amat meruncing dan perlukan perhatian khusus dari semua pihak.

Mengikut statistik sepertimana dipetik dalam Berita Harian Online, bertarikh 27 November 2009, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.


Pecahan mengikut negeri:

Selangor = 12,836 orang
Perak = 9,788 orang
Kuala Lumpur = 9,439 orang
Johor = 8,920 orang
Sabah = 8,435 orang
Negeri Sembilan = 4,108 orang
Pahang = 3,677 orang
Kedah = 3,496 orang
Pulau Pinang = 3,412 orang
Melaka = 2,707 orang
Kelantan = 1730 orang
Perlis = 691 orang
Sarawak = 617 orang
Terengganu = 574 orang
JUMLAH = 70,430 orang.

sumber: http://www.topix.com/forum/world/malaysia/TS8NFMF11AE4UI75 6


Setelah dikenal pasti, punca utama kepada gejala yang tidak bermoral ini adalah kurangnya didikan agama dan moral yang bersungguh-sungguh dalam keluarga dan institusi pendidikan. Penekanan terhadap aspek pembangunan jasadi tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani. Akibatnya, mereka mudah terjebak dengan gejala tidak sihat hatta melanggar syariat.

Didikan asas agama dan moral bermula daripada rumah lagi dan seterusnya bersambung di alam persekolahan. Disinilah anak-anak menghabiskan masa, bersama rakan-rakan sebaya. Kesibukan para ibu bapa dalam urusan pekerjaan kekadang menghadkan masa mereka untuk bersama dan memantau anak-anak. Tanggungjawab ini diserahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah. Namun malangnya, sistem persekolahan yang terlalu berorientasikan peperiksaan, tidak dapat membantu kepada pemahaman agama yang tuntas. Maka, membesarlah generasi muda ini dengan kekosongan jiwa dan rohani.

Agama menjadi panduan hidup setiap orang. Tanpa agama dan penghayatan yang jelas terhadap ajaran agama, hidup akan menjadi tidak punya matlamat. Sebab itulah semua perkara yang tidak berlandaskan ajaran agama akan meneyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Dalam konteks zina ini, tidak ada satu agama pun yang membenarkan hubungan seks di luar nikah ini. Untuk ini, Dr. Mohd Ridhuan Tee telah membicarakan isu ini dalam artikel beliau yang bertajuk, 'Isu Timbul Kerana Kejahilan Agama' diterbitkan dalam ruangan rencana, akhbar Utusan Malaysia Online bertarikh 6 September 2009.

Menurut beliau, semua agama iaitu Buddha, Kristian, Hindu, Sikh apatah lagi Islam telah melarang penganutnya terjebak dengan zina ini. Beliau juga menggalakkan pembaca untuk lihat pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html dimana larangan berzina amat keras sekali.

Kesimpulannya, trend seks di luar perkahwinan atau lazim diketahui sebagai zina merupakan satu dosa besar dalam ajaran Islam. Bukan sekadar, perbuatan zina tersebut, tetapi semua perkara-perkara yang menjurus kepada gejala ini termasuklah hubungan sosial yang terlalu bebas antara lelaki dan perempuan serta penayangan pornografi yang berleluasa di era 'langit terbuka' ini juga dilarang. Tambahan lagi, zina ini juga dilarang dalam agama-agama lainnya.

Trend ini jika tidak dibendung dengan bersungguh-sungguh, dikhuatiri akan menyebabkan huru-hara dan krisis moral dalam masyarakat. 83.3 kes kelahiran anak luar nikah setiap hari seperti yang dinukilkan di atas statistik cukup menggambarkan kepada kita keruntuhan dan krisis moral di tahap yang genting. Justeru, semua pihak sama ada institusi keluarga, institusi sekolah, institusi agama, badan-badan bukan kerajaan (NGO), media cetak mahupun kerajaan harus bekerjasama dalam memikirkan cara terbaik dalam menangani krisis ini. Wallahu'alam.