Showing posts with label Kembara Pendidik. Show all posts
Showing posts with label Kembara Pendidik. Show all posts

Wednesday, October 12, 2011

KEMBARA SEORANG PENDIDIK (Bhgn 1)



Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.

Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi keseronokan. Mengajar remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik.

Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.

Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya. Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya tertunduk jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah.

REMAJA BELIA DAN PERBUATAN DEVIAN
Remaja dan belia selalu disinonimkan dengan pelbagai gejala yang tidak sihat seperti penagihan dadah, rempit, melepak, seks bebas, minum arak, merompak hatta bunuh sekalipun. Sebut sahaja tentang golongan remaja belia, berbaris perbuatan devian untuk dituliskan. Kenyataan, “Remaja penyumbang kepada penyakit sosial,” dan sebagainya sering meniti butir bicara hari-harian.

Namun, pernahkan kita bertanyakan kenapa berlaku sedemikian parah generasi remaja belia kita hari ini?
Pelbagai pendapat dan hujah dibentang bagi mengoreksi permasalahan generasi remaja belia hari ini. Kelemahan sistem pendidikan dan sistem pemerintahan, kurang didikan agama, kealpaan ibu bapa dengan kerjaya, institusi kekeluargaan yang semakin melemah, pengaruh rakan sebaya,ketidak pedulian masyarakat, pengaruh media massa, lambakan bahan-bahan pornografi di laman web dan pasaran secara terbuka, pemasaran budaya hedonisme dan banyak lagi dikatakan punca-punca kepada keruntuhan adab dan akhlak remaja.

Semua pihak saling tuding-menuding, salah-menyalahkan. Tapi natijahnya, penambahbaikan tetap sepi untuk dilaksanakan. Generasi muda terus-terusan hanyut dengan budaya hedonism yang merosakkan. Ya, sekarang ini bukan masanya bertelingkah siapa yang salah.

Justeru, teringat penulis kepada bicara seorang aktivis dalam gerakan Pelajar Islam yang penulis terlibat secara aktif semasa belajardi universiti beberapa tahun yang lalu. Katanya, DO YOUR PART!

Ya, saya setuju dengan kata-katanya. Ringkas tapi mempunyai takrif yang mendalam. Semua dari kita perlu memainkan peranan masing-masing ke tahap yang paling optimum supaya ketakutan kepada kehancuran generasi muda berilmu dan beradab dapat dihapuskan.

Kita perlu ada keyakinan supaya sosok keperwiraan generasi muda silam seperti Salahudin Al-Ayyubi dan Muhamad Al-Fateh mampu dikembalikan pada hari ini. Amin Ya Rabb.

Monday, July 25, 2011

TERKILAN...

Entri kali ini ingin meluahkan rasa terkilan di hati terhadap sikap sesetengah pelajar.
Baru-baru ini, temanku mengkhabarkan bahawa seorang pelajar telah menulis di ‘wall post’ facebooknya sebagai demikian..
“Baru hari pertama dalam kelas, dah bagi kerja macam-macam...What a f**k!”
Aku sangat terkilan kerana pelajar terbabit adalah pelajarku juga.
Dalam hati aku terfikir, betapa rendahnya adab seorang pelajar dengan gurunya. Sampai hati seorang pelajar mengeluarkan kata-kata kesat apabila diberi tugasan oleh gurunya. Tidak pernahkah mereka terfikir tugasan yang diberikan adalah untuk kebaikan pelajar sendiri.
Selang sehari kemudian, seperti biasa aku akan beri tazkirah kepada pelajar-pelajarku dipenghujung kelas. Tambahan pula, tugasan ringkasku tidak disiapkan oleh pelajar dengan pelbagai alasan. Kali ini dengan sengaja aku bicarakan tentang ini..
“Sebagai pelajar, kita jangan mencipta alasan. Kerana, sekali kita mencipta alasan, sebenarnya kita telah mewujudkan satu halangan. Berkali-kali mencipta alasan, semakin bertambah halangan. Sehinggakan kamu tidak mungkin nampak akan cahaya kejayaan.”
Tambahku lagi,
“bila cikgu bagi kamu tugasan, bukan bermakna cikgu ingin bebankan kamu. Adat belajar, tidak lari dari pelbagai tugasan. Cikgu pun beri tugasan pada diri sendiri, buat kajian dan tugasan lain supaya kita sama-sama memperbaiki dan mempertingkatkan diri agar tidak berada di takuk lama. Cikgu nak kita sama-sama maju. Itu sahaja! Jadinya jangan budayakan sikap bertangguh, malas dan memberi alasan.” Ucapku panjang lebar dalam nada tenang tetapi bermesej tegas.
***
Sebenarnya, aku dapat rasakan kenyataan pelajar terbabit ditujukan kepadaku. Aku sedikit terkilan kerana tugasan mudah yang diberikan dihambur dengan kata-kata kesat. Apakah salah diriku memberi tugasan sedangkan sesi pengajian telah pun bermula? Aku tidak lupa, aku dibayar untuk mengajar..maka tiap waktu pembelajaran, tidak pernah kusia-siakan.
Pada penilaian anda adakah berat tugasan ini sebagai persediaan pelajar untuk BAB 1 dan 2 Pengajian Malaysia- Masyarakat dan Budaya yang akan dibicangkan pada minggu yang berikutnya..
Pelajar diberikan tugasan untuk mencari maklumat 5 kaum yang ada di Malaysia. Maklumat tersebut perlulah mencakupi:-
  • Agama,
  • Pakaian,
  • Makanan,
  • Perkahwinan,
  • Adat dan Kepercayaan,
  • Tarian dan
  • Perayaan


(Cara penyampaian/ pembentangan perlulah ringkas dan bebas mengikut kreativiti masing2)
Jangka waktu persiapan yang diberikan: 3 hari
Hasil Pembelajaran: Pelajar akan berasa bangga lahir di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuknya, melahirkan perasaan hormat-menghormati seterusnya mencambahkan benih perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan etnik.
***
Namun perasaanku sedikit terkilan kerana tugasan itu tidak juga disiapkan kerana pelbagai alasan. Dan sesungguhnya aku sedikit kecewa kerana pelajar2 non-Muslim begitu bersungguh menyiapkan kerja, berjumpa dan berdiskusi berbanding pelajar2 sebangsa dan seagamaku sendiri. Bagaimana survival umat pada masa mendatang jika beginilah keadaannya...M.A.L.A.S dan S.U.K.A B.E.R.A.L.A.S.A.N? Sungguh besar cabaran bagiku sebagai pendidik.

Pejabat kesayanganku...

Tetap tersenyum dan tabah dalam misi mendidik umat :)

Monday, February 7, 2011

MOMEN-MOMEN SEBAGAI PENDIDIK


Soalan-soalan pelajar kekadang remeh, tetapi perlu dijawab dalam pelbagai kaedah supaya pemahaman mereka di tahap yang optimum.

Sudah lebih sebulan aku bergelar pensyarah di sebuah Kolej Swasta di Negeri Sembilan. Dalam tempoh sebulan itu juga pelbagai pengalaman, ragam pelajar mencuit hati malah ada juga yang mengguris hati.

Tapi sebagai pendidik, sifat kecewa atau emosional perlu dielakkan sedaya upaya. Sebabnya kita mendidik manusia yang punya akal, perasaan, latar belakang keluarga, sosio-ekonomi yang berbeza.

Jika pelajar tidak hadir ke kelas berhari-hari tanpa sebab, jangan terus dihukum atau dimalukan depan khalayak. Sebagai pendidik yang prihatin dengan pelajar, panggil pelajar 'kaki ponteng' untuk berjumpa secara personal. Tanya sebab kenapa mereka gagal hadir ke kelas, fahami jiwa mereka supaya penyelesaian win-win situation di capai.

Jika ada pelajar yang suka melawan kata-kata gurunya dengan harapan kita marah, tapi sebagai pendidik jangan kecundang dengan provokasi mereka walaupun memang betul-betul menyentap perasaan sabar kita. Tetap bertutur dengan lemah lembut tetapi tegas yang membuatkan mereka terdiam sejenak kerana kehilangan kata-kata. Jangan sesekali mengenepikan pelajar2 jenis melawan ini. Tetap pandang matanya, respon pada pertanyaannya supaya mereka sedar, mereka tidak pernah diabaikan.

Jika ada pelajar yang sedikit 'lambat' dalam pelajaran, jangan sesekali diketepikan, tetapi meyakinkan mereka supaya tetap berusaha menuju kejayaan walaupun lambat. Aku selalu mengingatkan pelajar-pelajarku, "setiap orang ada hak untuk mengubah nasib diri, menentukan pencapaian tertinggi dalam hidup, tetapi jangan sesekali ada perasaan putus asa kerana belakang parang kalau diasah akan tajam jua".

Kalau ada pelajar mempunyai sejarah hitam yang melibatkan maruah diri, tetap sentiasa minta mereka memikirkan masa depan. Kalau ada perasaan menyesal, minta mereka kuat untuk hadapi detik kehidupan baru supaya tidak lagi terjerumus ke lembah maksiat.

Kalau ada pelajar ingin berjumpa berbincang masalah peribadi dan mahukan pendapat, sentiasalah berlapang dada membantu mereka walaupun sedang bercuti. Kerana mereka jauh dari keluarga, kitalah pendidik yang mengambil alih peranan itu supaya sedikit sebanyak membantu mereka menelurusi jalan hidup dengan lebih matang.

Kalau ada pelajar yang tidak percaya pada Tuhan (atheist), selalulah bercakap mengenai keTuhanan dan peranan agama sebagai pedoman hidup manusia. Lambat laun dengan izin Tuhan, mungkin hatinya tergerak...I said to my atheist student, " i'll always pray that someday you'll find the true religion that fulfill your life, not only here in worldly life but also life in the hereafter". He smiled when listening to mine.

Itulah kehidupan sebagai pendidik. Bukan sahaja mengajar tetapi mendidik mereka menjadi manusia berguna dan beradab pada bangsa, agama dan negara.

Nota Mimosa:

Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar



inilah gaya aku, menconteng board ketika mengajar..kui3. Lepas tu penat nak padam semula..sebijik note masa aku belajar dulu kot...hehe