Showing posts with label Dilema. Show all posts
Showing posts with label Dilema. Show all posts

Monday, February 28, 2011

KETIDAK PASTIAN
Semalaman aku tidak dapat tidur. Dalam keadaan resah gelisah, bertahajudlah sumber ketenanganku. Aku tidak tahu kenapa malam itu jiwaku terusik. Aku mohon kekuatan untuk suatu ketidakpastian. Aku mohon cebisan ketabahan untuk menelurusi kehidupan yang penuh misteri. Air mata mengiringi sujud dan doaku.
Lama aku berfikir. Berfikir. Berfikir dan terus berfikir. Kekadang aku buntu. Aku buntu dalam ketidakpastian itu. Namun, dalam ketidakpastian itu, aku punya Dia. Dia tidak pernah meninggalkanku. Allahu Akbar.
***
Kau tempat kumengadu hati
Pemberi segala hidup
Dunia dan seiisinya milikMu
MencintaiMu sejati
Ku manusia yang penuh dosa
Berharap denganMu
Lihat di langit kesempurnaan hadirMu
Kau cinta pertama dalam hidup
Allahu Akbar Maha Besar
MemujaMu begitu indah
Selalu Kau berikan semua
KebesaranMu Tuhan

Sunday, November 28, 2010

MISTERI SIAPA Q..A...

Suatu hari ketika sedang ber'fb' untuk meng'update' perkembangan kawan-kawan lama, tiba-tiba aku disapa oleh seorang teman satu sekolah lama di ruang chatting.

"fidahhhhhhhhhhh...." dia memanggilku.

(itulah name gelaranku semasa di zaman sekolah Menengah Arab dulu)

Aku mengamati orang itu melalui profile picturenya. Serius aku tak kenal. Masa tu aku buat2 kenal lah, tanya perkembangan ape semua. Bukan ape takut dikata lupe kawan. Tapi dalam masa yang sama otak aku ni ligat memikirkan siapa orang yang mengatakan kawan lama satu sekolah. Setahu aku, aku tidak ada name kawan bernama " Q.....A....".

Aku tidak berpuas hati, lalu aku tengok gambar-gambar di albumnya. Perghh!!! serius seksi. Bila masa pulak aku ada kawan sekolah seksi giler ni??? Masa tu pening giler nak tahu identiti sebenar orang yang kata kawan lama sekolah aku tu.

Lama juga kami ber'chatting', berhari-hari tanpa aku kenal siapa dia sebenarnya.

***

Suatu hari, aku pergi melawat kawan satu sekolah aku yang baru melahirkan anak keduanya. Lame kot tak jumpa. So, banyaklah yang diborakkan. Dari perkembangan diri masing-masing sampai ke isu kawan2 yang lain.

Tetiba termuncullah name seorang kawan "M....F...".

Kawan aku: Ko tahu fidah, M...F..dah berubah..berubah habis sampai tak boleh cam.

Aku: Maksudnye?

Kawan aku: Die dah jadi perempuan, dalam fb die gune nama Q...A..

Aku: La..ye ker??? Barulah aku tahu siapa. Penat giler cari identiti sebenar die. Rupenyer die...M...F. Serius tak kenal.

So, segala misteri siapa Q...A tu terjawab. Rupe2nyer, die kawan lelaki sekelas denganku yang sudah berubah menjadi "perempuan"= bapok.

***

Suatu hari, kawan aku tu menyapa lagi di ruangan chatting.

Lama aku berchatting dengannya, sampai bila tiba detik yang sesuai aku pun menceritakannya tentang kehidupan akhirat yang kekal abadi. Sengaja aku berbicara perihal akhirat tu supaya die berfikir dunia ini hanya sementara untuk disia-siakan dengan perkara-perkara lagho, apatah lagi maksiat.

Aku tidak sentuh tentang dosa pahala, halal dan haram kerana kawan itu sangat tahu tentang perkara itu lantaran kami bersama-sama membesar di sekolah Agama.

Bila ditanya kenapa die mengambil tindakan merubah diri menjadi perempuan (dia ambil hormon sahaja, tidak pembedahan tukar jantina)...jawapannya sangat ringkas,

"aku tahu pasal tu, tapi inilah apa yang aku hendak dalam hidup".


Nota Mimosa:

Kekadang kehendak kita dalam hidup memang melampaui batas sehingga membelakangkan syariat Allah Ta'ala. Tapi, berbaloikah???

Berbaloikah memenuhi kehendak songsang itu untuk mengecapi nikmat kehidupan dunia yang sementara sedangkan kehidupan akhirat itu lebih kekal abadi?

Semoga kawan aku tu kembali ke pangkal jalan, memanfaatkan ilmu agama yang dipelajarinya semasa di zaman persekolahan. Apa guna tahu hukum dosa, pahala, halal dan haram tapi tidak pernah memanfaatkan untuk pembaikan diri.

p/s: aku rasa salah satu faktor die berubah menjadi pondan adalah sebab PUTUS CINTA!!. Sebab sebelum ni, die pernah menyintai seseorang dan seseorang itu berkahwin dengan orang lain. La ni, die memang tidak ada hati, keinginan terhadap perempuan. Katenyer, nafsunye hanya untuk kaum sejenisnye sahaja.

Mengucap panjang aku dengan statement/ tindakan kawan aku tu.

Semoga Allah tunjukkan die jalan untuk kembali kepada fitrah asalnya. Amin, InsyaAllah.




Saturday, November 27, 2010

BOSAN...Perlukah???


Ini bukan akulah yang pasti!! hehe.
Kucing ni boring baring gaya meniarap, so, ia pun baring gaya terlentang macam ni.
Tengok keletah kucing ni, buat aku tersenyum sendiri...(teringat arwah tompok, Bob yang berhijrah ke rumah lain, Tuah yang hilang, dan sekarang tinggal si Comot-pendatang asing yang dah bertahun kat rumah aku tu)

***

Kebelakangan ni tak tahu kenapa aku sering habiskan masa bersendirian di bilik.

Online??? Tak jugak...

Berfikir??? Mungkin...dan itulah aku...

Bosan??? hmmm...sangat!!!

***

BOSAN!!!

Perkataan yang aku paling tak suka ada dalam kamus hidup aku.

Tapi aku manusia yang sangat lemah (terutama bila emosi tak stabil).

Aku bosan bila tidak ada masa untuk diri sendiri.

Aku bosan bila diri terkurung padahal aku mahukan sedikit ruang untuk menghirup udara segar dari ruang batu-bata ini.

Aku rindu untuk bersama teman-teman, berborak, bergembira, berprogram bersama masyarakat seperti dulu-dulu..

Aku rindu untuk menikmati keindahan alam, kicauan burung, bunyi unggas,, aku rindu sangat pada semuanya...

TAPI...

Apakan daya..

AMANAH yang tergalas di bahu...

Menyebabkan aku berfikir ribuan kali...

Biarlah kebebasan itu diragut pergi

TAPI, jangan sesekali keIKHLASan ini dicemari...

Aku yang pilih jalan ini...dan

Aku kena REDHO dan SABAR..kerna

Aku PERCAYA Allah Ta'ala telah tentukan yang TERBAIK untukku...

Aku gagahi diri untuk senyum, menikmati hari dengan sebaiknya...

BOSAN...nyahlah kau jauh dariku.

Senyum ('',)


Nota Mimosa:

Kadang-kadang, kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri untuk keharmonian dan kesejahteraan orang lain.

Tetapi, berbaloikah???

Hmm..

Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui yang tersirat dalam hati ini..

Kubersyukur dengan segala nikmat dan rahmatNya,

Suatu hari aku yakin, Allah akan tunjukkan jalanNya.

Aku akan SABAR menanti dalam usaha yang tiada henti.

Friday, November 26, 2010

KENAPA PERLU BERASA 'DOWN'???

Entah kenapa aku rasa 'down' melaksanakan tugas dan amanah yang ditaklifkan kepadaku. Bencinya aku pada perasaan ini!!!

Mendidik manusia memang ternyata bukan satu tugas mudah. Berhadapan dengan mualaf dan remaja bermasalah menemukan aku pada satu fakta penting...

HIDAYAH BUKAN MILIK AKU!!!

Aku berusaha sedaya mungkin memberikan yang terbaik dalam mendidik penghuni Darwa. Kekadang aku memaksa diri untuk terus semangat walaupun semangat itu kian luntur. Mana perginya semangat itu???? siapa yang mencurinya??? Aku duduk mengkoreksi diri....

Lantas kubuka Tafsir dihadapanku kerana aku pernah terbaca, jika dilanda kebuntuan...bukalah Al-Qur'an. Helaian yang pertama sekali dibuka akan menemukan penawarnya.

Alhamdulillah, ternyata benar...

Helaian yang terpilih oleh tangan ini (dengan kuasa Allah) menjawab segala gundah dihati...

Dalam Surah An-Nur, ayat 35, Allah berfirman mafhumnya,

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Perumpamaan nur Allah adalah seperti sebuah lubang (yang tidak tembus) yang didalamnya ada sebuah pelita, pelita itu dalam kaca, kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar seperti mutiara, pelita itu dinyalakan dengan minyak daripada pohon yang diberkati, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak disebelah timur dan tidak pula disebelah barat yang minyaknya hampir-hampir memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh hati, cahaya berlapis cahaya. Allah membimbing sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada nur hidayah-Nya itu dan Allah mengemukakan pelbagai perumpamaan untuk umat manusia. Allah maha mengetahui akan setiap sesuatu."

Nota Mimosa:

Kenapa perlu berasa 'down'??? kita harus menikmati hari ini dengan sebaiknya.
kerana HARI INI ADALAH MILIK SAYA!!! Saya yang perlu mencorakkan hari saya supaya sentiasa semangat...i believe i achieve!!!

Monday, November 22, 2010

PELAN HIDUP


Suatu pagi di Darul Wardah.

Sewaktu sesi kelas bersama Kak Haniza-sukarelawan.

Penghuni diberi tugas untuk merancang pelan hidup selama 2 tahun.

Penghuni selama 2 minggu memikirkan perancangan hidup masing-masing.

Aku kerap kali mengingatkan tugasan mereka.

Mereka pula sudah lali dengar reminder dariku.

Saja aku berbuat demikian kerana mereka tidak terfikir akan perancangan hidup mereka.
Apabila ditanya...

Jawapan yang kerap di diterima..."Entah, tak tahu nak buat apa lepas keluar dari sini (Darul Wardah)".

Aku...hmmm, geleng kepala sambil menasihati tentang cabaran dunia luar yang mereka bakal hadapi.

Sebaris ayat yang selalu aku gunakan...

"Gagal merancang bermakna merancang gagal dalam hidup.

Kamu semua mahu gagal ke dalam hidup ni????"

Nota Mimosa:

Kasihan melihat remaja2 perempuan yang tiada arah tujuan.
Mengurus diri sendiri masih lagi terkontang-kanting...
Bagaimana mahu menghadapi cabaran dunia luar yang ganas?
Aku akan bantu mereka semampunya.
Menunjukkan jalan, membimbing ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Cukuplah segala noda hitam yang mewarnai kehidupan lepas.
Disini...
Mereka harus diberi peluang untuk memperbaiki kehidupan.
Agar saat ini dan detik2 selepas ini,
berlalu dengan kebahagiaan, keredhoan, kerana...
REDHO ITU HARUS DICARI BUKAN DINANTI!!!!!

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.
Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.
Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.
KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.


Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009).
Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)
Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.
KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA
Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.
Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.
Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.

Thursday, November 11, 2010

PILIHAN HIDUP...

Hidup penuh dengan pilihan. Tetapi apakah pilihan terbaik? Kekadang aku bingung. Aku Diam. Memandang kosong dinding putih di hadapanku. Kosong tanpa sebarang calitan warna menghiasinya. Lama kulihat, akal mula berfikir...

Kehidupan ini memang tidak akan berseri tanpa warna-warni dugaan dan pilihan. Warna-warni inilah yang menghiasi kehidupan kita daripada kosong kepada kehidupan yang punya makna.

Jadi, apakah makna hidup??? Apakah yang dikatakan hidup bermakna???

Sungguh, jawapannya relatif bagi setiap orang.

Makna hidup bagiku..' HIDUP BIAR BERJASA' dan hidup yang bermakna padaku adalah ...'HIDUP DALAM KEINDAHAN ISLAM'

Jadi, pilihan yang terbaik padaku...harus mengambil kira maslahah dalam urusan agamaku juga. Kerna, jika agamaku terjaga, diriku tenang, setenang air di pantai. Jika agama terjaga, diriku terasa bebas, sebebas burung beterbangan kemana sahaja semahunya. Hatta, jiwaku lapang, selapang alam yang terbentang luas. Malah terasa selamat, sedalam intipati kata asal Islam itu sendiri...selamat lagi sejahtera. Wallahu'alam.


Wednesday, September 1, 2010

REDHOLAH DENGAN KEHIDUPAN INI




Salam Ramadhan kareem 1431H. Lama rasanya tidak menulis. Sejak selepas tamat belajar dan mula menempuh perjalanan panjang kearah pembangunan diri yang lebih matang dan dewasa, aku mula bertanya kepada diri. Kemana harus aku arahkan dayungan sampan kehidupanku? Kuatkah aku menempuh badai lautan dunia ini? Arghh,,aku mula merungsing tidak tentu hala.


Namun itu cuma seketika. Kenapa aku harus merisau tentang masa depan yang kita tidak pernah akan tahu gaya mana jadinya. Yang aku tahu, kita harus berusaha menjadikan hari ini yang terbaik dan berusaha menjadikan hari-hari depan juga terbaik lagi terindah. Kemudiannya, bertawakal kepada Allah agar apa yang diusahakan itu diberkati-Nya kerana Dialah pemilik segala kehidupan ciptaanNya.


Kekadang yang berlaku tidak sama seperti yang dirancang. Tetapi itu lebih baik daripada kita tidak merancang langsung tetapi mengharap yang terbaik. Betul tak??? Kecewa dengan perancangan tidak menjadi itu sekejap sahaja. Selepas difikir-fikir, sungguh tidak patut kita berkeadaan demikian. Seolah-olah mempersoalkan taqdir Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Astaghfirullahal’azim lancar bibir ini mengucapnya lantaran keterlanjuran fikiran yang tidak baik.


Mungkin kita belum layak untuk mendapat segala yang dihajati kerna mungkin membawa keburukan kepada kita seperti meninggi diri, kikir dan sebagainya yang tidak baik. Mungkin juga kehidupan ini yang terbaik untuk bekalan kita di masa-masa depan. Bukankah indah jika difikirkan sedemikian rupa? Hati tenang lantaran kepercayaan yang utuh kepada aturanNya yang senantiasa terbaik untuk para hambaNya. “Redholah atas pilihan Allah”, judul subtopik dalam buku Jangan Bersedih: Jadilah Wanita Paling Bahagia sudah cukup memberikan suntikan semangat untuk mendepani hari-hari depan yang penuh misteri.


“Jangan sekali-kali engkau berburuk sangka terhadap Tuhanmu, kerana sesungguhnya Allah lebih utama untuk disyukuri (kurniaNya)”. Aku insaf. Lapang sungguh hati ini. Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepadaNya kepada semua perasaan ini.


Nota Mimosa:


Walaupun apa yang kita hajati tidak dapat seperti yang diinginkan, jangan dilupa pula nikmat-nikmatNya yang lain. Bila diri rasa berTuhan, insyaAllah segala rasa gundah-gulana, resah gelisah tidak tentu hala itu akan hilang lenyap. Yang ada keyakinan bahawa semua kehidupan kita telah diatur oleh-Nya. Apa yang penting, D.U.I.T. (doa, usaha, ikhtiar dan tawakal ‘ala Allah). Wallahu’alam.


“Jangan tujukan pandangan anda ke sudut-sudut yang buruk dari kehidupan ini, tetapi tujukanlah kepada sudut-sudut yang indah.”


Tuesday, August 17, 2010

DILEMA ANTARA KOMITMEN KERJAYA DAN KEPERLUAN ANAK-ANAK


-->
Adik 1: “Kakak...mana ayah saya? Bila ayah nak ambil kiteorang?” Tanya si abang kepada pengasuhnya.
Kakak: “Sabar dik, ayah kamu kerja. Malam nanti ayah kamu ambil kamu ya,” pujuk si pengasuh.
Adik 2: “Asyik-asyik kerja...kerja...kerja..kerja..” rungut adik perempuannya pula.
Aku melihat kedua beradik yang masing-masing berumur 3 dan 4 tahun itu. Mereka menarik muncung membuat mimik muka masam kerana ayah yang ditunggu tidak juga sampai walaupun sudah lewat petang. Kasihan sebenarnya melihat mereka berdua di saat itu. Mana tidaknya hujung minggu sepatutnya mereka bersama-sama ibubapa, tetapi sebaliknya dihantar ke nurseri dari pagi sampai ke malam lantaran komitmen kerjaya yang menghambat kedua ibubapa adik-adik tersebut.
Tapi, apakan daya. Kekadang ibubapa tiada pilihan kerana sudah fitrah kerjaya yang mereka ceburi terpaksa mengorbankan waktu bersama anak-anaknya. Disinilah dilema berlaku. Antara komitmen kerja untuk menampung kehidupan diri dan anak-anak di bandar besar dan keperluan kasih-sayang dan perhatian dambaan anak-anak.
Pusat Asuhan Kanak-kanak.
Situasi diatas sudah cukup menggambarkan kepada kita dilemma ibubapa bekerjaya dan keperluan anak-anak kepada perhatian dan kasih-sayang. Disebabkan dewasa ini, ramai ibu memilih untuk keluar bekerja bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan membantu meringankan beban suami bagi keperluan dan keselesaan bersama, maka sebagai alternatif bagi mengisi kelompongan penjagaan dan asuhan anak-anak mereka ,pusat asuhan dibangunkan dengan banyaknya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Pihak pusat asuhan mengambil alih peranan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak yang dihantar oleh ibu bapa seawal jam 7 pagi hingga lewat malam. Di sesetengah tempat, ada taska mengamalkan system syif terutama di kawasan perindustrian. Ada anak-anak dihantar ke nurseri dari malam hingga ke pagi kerana ibubapa yang bekerja pada syif malam.
Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menawarkan khidmat menjaga dan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun-iaitu sebelum mereka melangkah ke alam pra-sekolah (tadika) bagi ibubapa yang bekerjaya. TASKA menjadi alternatif kepada ibubapa yang tidak mahu menggaji pengasuh di rumah kerana mahukan anak-anak mereka diasuh secara professional yang disediakan oleh pusat asuhan. Menyedari betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak di bawah 5 tahun, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri giat mengerakkan program PERMATA agar kanak-kanak ini membangun sepenuhnya dan mencapai potensi yang maksimum.
Menurut sebuah laporan, sebanyak 13 peratus ibubapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan/ nurseri. Dalam sebuah laporan yang lain, berdasarkan tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2006, hanya 10.6 peratus sahaja yang menggunakan khidmat pusat asuhan dimana hanya 5.9 peratus sahaja dikalangan mereka yang tinggal di luar Bandar.
Walaupun begitu, tugas mengasuh dan mendidik anak-anak tetap hingga akhirnya menjadi tugas utama ibubapa. Pengasuh hanya merupakan pihak kedua yang mengambil alih peranan tersebut untuk seketika. Tidak dinafikan ada setengah ibubapa menyerahkan semua tanggungjwab menjaga dan mendidik anak-anak mereka keatas bahu pengasuh semata-mata. Ada anak-anak dihantar ke pusat jagaan dalam keadaan kusut masai, comot dan berbau mengharapkan pengasuh melakukan semua kerja menguruskan anak-anak mereka. Anak-anak dihantar dari awal pagi dan dijemput semula sehingga lewat malam tatkala anak-anaknya sudah terlena. Waktu ibubapa tersebut bersama anak-anak mereka amat terhad dan ini boleh merenggang hubungan kasih ibubapa dan anak-anak seterusnya memberi impak negatif kepada pembangunan sebuah keluarga yang harmoni dikemudian hari.
Anak-anak memerlukan perhatian dan belaian secukupnya untuk membesar dengan sihat dalam segala aspek termasuklah jasmani, rohani dan psikologi. 5 tahun pertama usia anak-anak merupakan waktu-waktu kritikal yang membentuk pertumbuhan dan pembesaran yang optimum. Menurut para pakar pembangunan kanak-kanak, kesan ketiadaan dan kekurangan belaian dan kasih sayang secukupnya akan hanya dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mencecah umur dewasa. Kanak-kanak ini membesar dan berkelakuan kasar dan liar, suka memberontak, dan kurang keyakinan diri serta ada juga yang sering sakit-sakit.
Justeru, bagi memelihara generasi kita yang mendatang agar terjamin kualitinya sebagai pewaris bangsa merdeka dan bersahsiah tinggi, disarankan agar ilmu keibubapaan dan pusat asuhan diperkasakan di Negara ini. Kita tidak mahu anak-anak ini disia-siakan hanya kerana tuntutan kerjaya dan kecelaruan ekonomi yang tidak pernah akan berakhir. Kita juga tidak mahu kilauan permata-permata Negara ini malap lalu menghilangkan ketinggian nilainya. Apalah gunanya harta melimpah-ruah jika harta yang paling berharga ini (anak-anak) disia-siakan dan dibiarkan terabai. Jangan pernah dilupa hak anak-anak untuk dikasihi sepenuhnya. Asuhan dan didikan yang sempurna bakal melahirkan anak-anak yang soleh dimana ibubapa akan tetap mendapat manfaat dari doa anak-anak mereka yang soleh walaupun jasad mereka sudah ditelan bumi. Wallahu’alam.

Monday, June 14, 2010

HATI…
HATI-HATI…
PERSOALAN HATI…




Hari ini hari Ahad bersamaan 13 Jun 2010. 7 hari berlalu dengan pelbagai kisah yang punya maksud tersendiri. Cuma pada entri kali ini, aku tertarik untuk menulis tentang kisah masyarakat disekelilingku. Hubungan sesama manusia berlainan jenis. Hubungan lelaki dan wanita. Secara spesifiknya, hubungan kasih antara dua gender yang berlainan.

Yang menariknya beberapa kenalan rapat di UIA dan PKPIM-Abim melangsungkan walimah mereka hampir serentak bersempena cuti sekolah ini. Tahniah kepada K. Nisa dan Abang Bukhori, Aqilah Izzati dan Abang Syah, Hasnul Hanif dan pasangannya, K.Aemy dan pasangannya, Abang Zaidi dan pasangannya serta Wan Khalid dan pasangannya. Tidak ketinggalan teman Abim, Cikgu Khadijah dan pasangannya. Semoga selamat menempuh alam baru di bawah rahmatNya.  Maaf sesangat tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja dan kedudukan geografi yang jauh-jauh belaka. Tapi, jangan risau doa aku sentiasa bersama kalian.

Ya, Allah Ta’ala telah menciptakan Hawa dari rusuk kiri Nabi Adam a.s sebagai simbolik kepada fitrah manusiawi yang mahu berpasang-pasangan. Cukup seminggu, bukan sahaja berita gembira penyatuan golongan Adam dan Hawa, tetapi tidak ketinggalan aku berhadapan dengan pelbagai kisah persoalan hati terkecewa ibarat kisah cinta Romeo dan Juliet, Laila Majnun lantaran cinta terhalang, cinta kecundang ditengah jalan, cinta dalam hati, cinta bertepuk sebelah tangan dan sebagainya dikalangan teman-temanku lelaki dan wanita. (inilah part yang aku paling tak suka, isk3)



Aku menjadi rujukan teman-teman yang mahu meluahkan masalah dan rasa yang terpendam dilubuk sanubari. Aku mendengar dengan setia dan cuba untuk menyelami perasaan mereka yang mengadu masalah hati yang ditamu kekecewaan. Walaupun aku tidaklah pakar mengenai persoalan hati terutama melibatkan cinta, tetapi aku tetap setia mendengar supaya dengan cara itu aku dapat mengurangkan bebanan hati teman-teman. Tidak dinafikan, memang sukar untuk memahami persoalan hati ini. Bak kata pepatah, “rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain”. Serius.

Hati memang diciptakan berbolak-balik. Nafsu pula diciptakan sebagai yang degil. Memang sukar untuk menguasai hati dan menundukkan nafsu. Namun, kita jangan lupa, kita ada Tuhan. Justeru, mohonlah kepada Allah Ta’ala agar hati itu terpelihara dan nafsu itu terdidik kepada kebaikan. Natijahnya, kebahagiaan itu pasti menjadi milik kita semua dan kekecewaan itu pasti pergi. Percayalah pada Allah. Jika ini difahami secara tuntas, hubungan hati ini pasti berjalan lancar dan terpelihara.

Bagi membina hubungan yang bahagia, persefahaman, sikap matang dan keterbukaan, prihatin, jujur, ikhlas, saling percaya dan memerlukan, saling menghargai dan penerimaan secara total sesama sendiri adalah kunci utama kepada sinar kebahagiaan. Sekali lagi dan yang terutama jangan dilupa Tuhan yang Maha Agung. Mintalah kepadaNya agar impian kebahagiaan dan keabadian cinta itu tertunai selamanya. InsyaAllah.

Menyentuh persoalan persefahaman, mungkin ada orang akan membidas dengan mengatakan, “sedangkan lidah lagi tergigit”, inikan pula hubungan sesama manusia. Ya, ketidak sehaluan faham, minat dan seangkatannya itu lumrah dalam kehidupan manusia. Tidak ada manusia pun tercipta sama kehendaknya. Pasti ada perbezaan. Tetapi perbezaan itu boleh bertukar rahmat jika kita meraikannya dengan berlapang dada. Kalaupun berbeza, kenapa kita tidak berusaha mencari titik persamaan dan menggilapnya agar terang jernih. Bukankah kita semua mengejar kebahagiaan? Lagipun, perbezaan itu kekadang indah. Sangat indah. Serius.

Akhirnya, kehidupan ini penuh warna-warninya. Bukan semata-mata hitam dan putih yang menjadikan hidup kita teramat bosan. Serius. Bermainlah dengan warna agar kehidupan berlangsung dengan menarik. Walaupun begitu, semua warna ada kelebihan dan kekurangan. Justeru,raikan semua warna agar lukisan kehidupan tetap kekal indah dengan warna-warninya yang hanya kita sahaja yang faham corak maknanya. Wallahu’alam dan Wassalam.


***



Nota Mimosa:

Kepada teman-teman, HATI-HATI PERSOALAN HATI INI

Mahukan kebahagiaan?

I believe I achieve, You believe You achieve!!! 

Monday, April 26, 2010

INTERVIEW UNTUK....


Alhamdulillah, hari ini semua agenda berjalan dengan lancarnya. Erm, coretan kali ini aku ingin kongsikan pengalaman interview aku untuk jawatan editor di PTS Publication petang tadi. Pengalaman yang kelakar untuk diriku sendiri.

Mulanya, aku ingin pergi interview sendiri menaiki motor bersama seorang junior. Tetapi, seorang sahabat yang bertanggungjawab menghantar resumeku kepada editor kanan PTS bercadang ingin menghantarku dengan keretanya bersama dengan 2 orang lain yang menjadi penemanku. Kami berpusing-pusing mencari ofis PTS tersebut, namun setelah hampir setengah jam, barulah dijumpai. Memang tersorok gak lah. Sebab tu susah nak cari.

Oleh kerana akulah orang yang terakhir datang, maka sudah tentu giliranku yang paling akhir. Hampir 2 jam aku tunggu, akhirnya tibalah waktu yang dinanti-nantikan...

Gabra?? aku taklah gabra. Yang paling penting dalam interview...be yourself, be honest and also confident. Alhamdulillah!!! I've done well.

***


Yang sebenarnya...editor tu memang tak sesuai dengan aku. Minat aku jauh sekali dengannya. Rupa-rupanya, mereka sedang mencari editor buku wanita dan resipi/ masakan. Haha...kelakar betul.
Dari mula lagi aku tertanya-tanya...editor bahagian apa aku di interview ni? Memang tak ada 'hint' langsung. Mereka memang sengaja merahsiakan mungkin. Aku pula, main belasah je.
Lagipun, aku memang sengaja mencari pengalaman diinterview kerana ingin melihat sejauh mana potensi diriku dimata bakal-bakal majikan. Dengan cara itu, aku akan bertambah yakin dan memperbaiki mana yang kurang dan memperkasakan mana yang sudah baik.


***

Editor kanan: Awak memang ada kualiti dan potensi. Resume awak memang "impressed". Dulu, saya ada buka interview untuk bidang yang sesuai dengan awak..tapi dah diisi kekosongan itu. Kalau saya bagi awak jawatan editor ni...saya takut awak buat buku..."Falsafah memasak" pulak.

Aku mampu senyum jelah. Haha. Aku pun tak nak jadi editor buku memasak ni. Memang diluar kepakaran aku kot... :)

Editor kanan: Tunggu panggilan minggu depan ya. Kalau tak ada, maknanya rezeki awak bukan disini. Tetapi, PTS ni banyak kekosongan. Kalau ada jawatan lain, awak datang semula ya untuk interview. Saya memang nak awak masuk bawah unit saya, tapi masih belum dapat budget lagi. Tapi, saya rasa peluang awak sangat cerah untuk mana-mana tempat kerja pun. Kami suka dengan kejujuran awak.

Aku mampu jawab insyaAllah je. Sebabnya, aku akan memulakan proses latihan kerja di Abim Johor Jumaat ini atas permintaanku sendiri. Ya, mungkin rezekiku adalah untuk membantu Abim Johor dahulu sebelum berhijrah ke tempat lain.
***


Nota Mimosa:


Mencari pengalaman dengan jalan sebegini memang menyeronokkan. Proses interview tadi berjalan dengan senang sekali. Banyak juga yang dibualkan dan dikongsikan bersama editor kanan dan editor perolehan tadi. Memang seronok.

Dalam proses interview ni, yang paling penting...keyakinan diri, cara kita bersoal jawab dengan penemuduga, pembawaan diri yang menyenangkan semua yang terlibat (penemuduga, staf dan calon2 lain). Tapi yang paling penting...bersikap jujur. Aku sendiri mengaku tidak banyak mengetahui bidang tugas sebagai editor. Tetapi, sebelum interview tu, sempat jugalah aku mencari tugas dan jenis2 editor. Jadinya, bila ditanya..adalah jawapan yang masuk akal, bukan main hentam kromo je. Sekurang-kurangnya, nampaklah kita betul bersungguh2 untk kerjaya tersebut. Betul tak??


Apa-apapun..editor bidang masakan?? Aku memang tak layak..huhu.


p/s:
Interview yang kedua esok untuk jawatan Admin Support Officer di sebuah Multinational Corporation berpusat di Menara Standard Chartered, K.L aku sudah tolak kerana aku sudah membuat pilihan untuk aktif dengan kerja yang membolehkan aku aktif juga dengan gerakan..Keputusan sudah muktamad!
Aku sedang bersiap sedia menyumbang yang terbaik untuk Abim Johor dan Kpij beberapa hari lagi...serius! I believe I achieve!!!

Thursday, April 22, 2010

PENAT KE BELAJAR???

Semalam, aku menemani seorang sahabat menghantar kad jemputan perkahwinannya di rumah sahabat-sahabat sekampung. Di salah sebuah rumah sahabatku...

"fidah, tak penat ke kamu ni asyik belajar je???"kata ibunya.

"saya suka", balasku ringkas sambil tersenyum.

***

"Ni mesti rajin study ni..tu yang tebal 'spec' tu"..gurau sahabatku yang lain.

***

Nota Mimosa:


Belajar ni tak akan penat kalau seseorang itu cintakan ilmu. Ibu bapa perlu memainkan peranan dalam memberi motivasi kepada anak-anak untuk menimba ilmu kerana hanya pelajaran mampu mengubah diri, keluarga, masyarakat, bangsa, agama seterusnya melahirkan sebuah tamadun yang berilmu dan maju. Wallahu'alam.

p/s:

Nama panggilanku pelbagai..huhu

dirumah...IDA
sahabat-sahabat lama dan satu sekolah...FIDAH
masuk UIAM..jadi FA
ada juga panggil aku FARID...
apa-apapun..AKU TETAP AKU: FARIDAH (YANG TUNGGAL)..

Monday, April 5, 2010

Entri yang banyak pintu....

Dan pemenang Anugerah Bintang Popular 2009 dengan undian 225, 300 jatuh kepada......

Nabil kot....
Datuk Siti Nurhaliza rasanya...
yang penting bukan Mawi...
Aizad...
(itulah suara-suara yang sedang meneka-neka juara ABP 2009)...

Jatuh kepada....

"Datuk Siti Nurhaliza!!!!" umum kedua-dua pengacara yang memang kelakar dalam industri seni tanah air...Raja Azura dan Shahrifah Shahirah...

Sebenarnya...bukan itu yang aku nak tulis pada entri kali ini.

***
Sambil-sambil aku menonton rancangan ABP itu bersama rakan-rakan junior di Student Lounge, aku sempat bertanyakan kepada salah seorang adik junior yang mengambil jurusan undang-undang sivil mengenai keputusan kes Kartika yang diumumkan baru-baru ini.


Aku: Dik, apa pandangan adik tentang kes Kartika. Hukuman dia minum arak dulu hanya buat kerja-kerja kebajikan (community services) selama sebulan. Akak tak puas hati betul lah...


Junior: Tak bagus. Pensyarah undang-undang pun tak setuju dengan hukuman tu...lagipun, tuan punya badan yang nak kena sebat tak kata apa-apa, tapi orang lain pulak yang lebih2 (dia maksudkan SIS dan JAG, rasanya)


Aku: Itulah masalahnya. Bukan tidak dijelaskan tentang hukuman sebatan syariah dan sivil berbeza. Kalau dijalankan pun bukan untuk mencederakan tetapi memberi pengajaran pada diri pesalah dan orang ramai. Itulah intipati hukuman syariah. Kita kena tengok hikmah disebalik hukuman tersebut,begitu juga hukum-hakam Islam yang lain.


Junior: Erm..tu lah. sepatutnya kena tengok manfaatnya. Kalau kita sebat depan orang ramai, manfaatnya masyarakat akan takut untuk minum arak..kalau buat kerja-kerja kebajikan, masyarakat akan buat tak endah je.


Aku: Erm..tak puas hati betul ni. Faizal Tahir yang buka baju dan tunjukkan badan dia yang ada lambang "S" (kontroversi dunia seni beberapa tahun lepas) pun kena hukum buat kerja-kerja kebajikan selama 3 bulan, ni kan pula yang disabitkan kesalahan minum arak, sebulan je!!!. Minum arak tu jenayah syariah dan hak Allah. Mana lagi besar kesalahannya????


Junior: Entah, padahal buka baju dan tunjuk lambang S tu tak ada pun dalam hukuman syariah...ermmm....


Aku: ..............


***


Nota Mimosa
:


Aku pergi menonton ABP tu sebabnya nak bersosial dengan adik-adik yang wataknya ibarat wartawan dunia hiburan (tahu semua updates tentang dunia hiburan..gosip tu, gosip ini dll). Tapi, sambil menyelam minum air. Tengok-tengok juga, tapi kena bijak harmonikan dengan diskusi yang bermanfaat dan membuat diaorang berfikir.
***


Aku memandang buku merah nipis (12 helai mukasurat je) yang tertulis, "ARE WOMEN & MEN EQUAL BEFORE ALLAH?" diterbitkan oleh Sister in Islam. Aku sudah membacanya lama dulu, mereka menggunakan ayat-ayat Al-Qur'an dan mentafsir mengikut kehendak rasional mereka sendiri. Kalau tidak kuat aqidah, boleh terpedaya dengan tulisan mereka yang memang hebat.


Aku bercadang untuk membaca semula buku itu dan membuat sedikit analisis hujah mereka yang kononya memperjuangkan hak-hak wanita dalam Islam dan mahukan kesamarataan gender dalam semua aspek. Tak naklah main hentam kromo je. Diaorang ni memang grup intelektual dan 'public opinion' dalam media massa arus perdana, nak kena lawan pun dengan intelektual juga...Macam syaitan, ia dijadikan daripada api, azabnya yang dijanjikan Allah juga melalui membakarnya dalam neraka dengan api yang tersangat panas.


Aku dimaklumkan, SIS sedang merangka satu agenda mempromosikan hak-hak wanita dalam perspektif Islam dengan budget yang tersangat besar... ishyyhhh..inilah cabaran yang harus didepani semua hewi dan helwa serta kaum Muslimat. Kena bersatu untuk melawannya. Berani kerana benar, takut kerana salah!!!


Walau apapun, pesanan penting untuk diri sendiri.. "Mulakan langkah pertama adalah sangat mulia" (salah satu intipati sebuah buku yang dibaca beberapa hari lepas). Ya, aku kena mulakan dengan diri sendiri dulu...


Oleh kerana majoriti anggota SIS dan feminist lainnya tidak berkahwin, maka aku harus belajar untuk buka hati untuk sebuah perkahwinan untuk membezakan aku dengan diaorang..(sebabnya aku fobia sikit tentang perkara yang satu ini, sebabnya terlalu banyak baca tentang keruntuhan rumahtangga, dera isteri, dan penindasan wanita yang lainnya. Inilah salah satu fobiaku yang merepek2).


Ermm...pandanganku tentang perkara ini berubah selepas seorang sahabat meminta aku membaca sebuah buku tentang 'Mencari pasangan" yang isi kandungannya banyak berkisar tentang alam rumahtangga. Sesudah kupulang buku tersebut, "Apa perasaaan lepas baca buku tu??", tanya sahabat itu. "Ermm, dah terbuka sedikit." kataku ringkas sambil tersenyum. (Malu sebenarnya nak mengaku...hahahaha)..


Kubuka sebuah buka berjudul 'Keluarga Sakinah" oleh Cikgu Sidek Baba. Lama dibeli, tetapi belum sempat dibaca.. Aku sudah mula untuk membacanya..helaian pertama tertulis,
"Sister Faridah, cikgu doakan sister menjadi isteri yang beriman dan diberkati. Amin"


Hahaha, rasa macam kelakar je diri ini bila sudah mula nak buka jendela hati..tapi akan sepenuhnya terbuka, bila Abang Long bertemu jodohnya. InsyaAllah. Bila??? wallahu'alam. Dalam hatiku sekarang bermonolog.."Oh my God The Almighty!!! Is this real Faridah who is saying such thing like marriage". I'm shaking my head in disbelief, honestly. huhu:)

Wednesday, March 17, 2010

SAAT FIKIRANKU MENERAWANG DI DALAM KELAS...




Aku baru sahaja habis kelas 'Government Finance' untuk hari ini. Entah kenapa, fikiranku menerawang memikirkan perkara lain. Mungkin juga topik hari ini membincangkan topik yang aku sudah maklum dan Sir yang mengajar pun tidak menghuraikan dengan panjang lebar melainkan sesuatu yang aku sudah ketahui.

Dalam kelas tadi, tiba-tiba sahaja aku teringatkan tentang satu 'statement' yang pernah aku dengari untuk beberapa kali. 'Wanita merupakan punca kejatuhan tamadun'. Untuk seketika, ayat itu memenuhi ruang legar fikiranku. Erm, prejudis je bunyi ayat tersebut.
Tapi aku tidak pernah menafikan fakta itu. Mungkin kita sedia maklum tentang kejatuhan tamadun Rom yang berpunca daripada perebutan kuasa dan wanita antara si jelitawan Cleopatra, Marc Anthony dan Julius Caesar. Selain itu, banyak juga tamadun lain jatuh akibat wanita yang dieksploitasi sebagai hamba seks untuk menghancurkan lelaki dan masyarakat. Aku juga pernah terbaca dimana segagah -gagah lelaki boleh tewas dan tunduk dengan sebodoh-bodoh wanita hanya kerana punya rupa paras menawan dan liuk tubuh yang menggiurkan. Erm, dalam aspek ini, aku kasihankan lelaki yang kecundang dengan nafsunya.

Namun, itu semua wanita yang bukan berpaksikan kepada ajaran Tawhid. Islam telah mengangkat darjat wanita ke tempat yang paling tinggi sehingga diabadikan didalam Al-Qur'an seperti surah An-Nisa, surah Maryam dan pelbagai lagi. Didalam Islam, wanita menjadi pembina tamadun manusia dan pemangkin kejayaan para lelaki Muslim. Kita mungkin pernah mendengar 'statement' yang mengatakan ' Tangan wanita yang menghayun buaian mampu menggocangkan dunia' dan , 'setiap kejayaan lelaki, pasti ada wanita dibelakangnya' juga 'pemudi tiang negara'. Inilah seharusnya ada pada diri setiap wanita, apatah lagi wanita Muslimah.

Wanita Muslimah harus adil dengan dirinya sendiri. Maksudnya? erm, sebelum itu, adil disini bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika kita dinamakan Muslimah, sudah tentu corak pemikiran, cara berpakaian, budaya hidup juga seperti Muslimah. Tapi, dewasa ini, ramai wanita yang bergelar Muslimah, tetapi segala-galanya budaya Barat. Dari cara berfikir hinggalah budaya hidup, semua mengagungkan Barat. Bukan ke itu suatu bentuk ketidakadilan pada manusia jenama Muslimah, ke itu semua kita patut panggil Muslimah 'plastik'. Erm...

Islam telah melahirkan ramai wanita agung yang menjadi salah satu faktor kegemilangan tamadun Islam suatu ketika dahulu. Nama seperti Saidatina Khadijah, Saidatina 'Aisyah, Saidatina Fatimah, Saidatina Hafsa, Saidatina Hafsa, Nusaibah, Khaulah, Naila Al-Farafisyah, Ratu Balqis, Asma, Halimatus Sa'diah, Rabi'atul Adawiyah, Maryam, Asiah dan ramai lagi (tak tertulis nama2 mereka) sepatutnya tidak asing bagi kita. Merekalah srikandi Muslimah sejati yang berjiwa rabbaniy,berjuang dimedan Islami, peniup semangat kepada Muslimin, malah merekalah bidadari disyurga abadi.

Seperti mana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda” (Riwayat Bukhari).Aku sangat kagum dengan mereka. Walaupun mustahil aku mampu jadi seperti mereka, sekurang-kurangnya, aku punya usaha mencontohi semangat juang mereka, InsyaAllah.

Tambahan lagi, wanita di dalam Islam ibarat bunga. Hadirnya bukan sekadar penyeri, tetapi punya hikmah tersendiri. Sebagai contoh, mana datangnya madu yang berkhasiat, jika bukan dari bunga yang segar dan suci. Begitu juga manusia, mana datangnya manusia hebat jika bukan kerana lahirnya dari wanita yang juga hebat lagi suci (lelaki termasuk sekali).

Rasulullah s.a.w. sendiri mengibaratkan wanita sebagai bunga semalu. Setiap elemen yang menghiasi bunga semalu (bunga, akar, duri dan sebagainya) punya falsafah yang menggambarkan itulah kejadian dan jati diri wanita Muslimah yang seharusnya. Sungguh, aku amat terharu bagaimana Rasulullah s.a.w menyanjungi dan memuliakan wanita.

Ibrahnya, aku ingin menjadi wanita Muslimah pembangun generasi Rabbaniy, pemangkin kejayaan lelaki Muslimin dengan semangat perjuangan yang tidak pernah padam, menyumbang kepada pembinaan tamadun Islami...kerana ia belum lagi terlewat. Aku seorang, sudah tentu tidak mampu, justeru aku perlukan kalian sejantina denganku..Ayuh! kita menjadi bunga2 Islam.





p/s: 'Flower in Islam' adalah refleksi impian dan cita-cita aku sebagai wanita Muslimah dan aku berusaha menjadi bunga yang mekar dengan cahaya Islami (InsyaAllah). Manakala, Bashful Mimosa @ Mimosa adalah nama saintifik kepada pohon semalu. Kemana-mana aku akan gambarkan diri ini sebagi pohon semalu..biarpun kecil, tapi berjiwa besar, biarpun tumbuh ditanah yang sering dipijak orang, namun, falsafah perjuangan hidupnya menjulang tinggi kelangit.Itulah rahsia Mimosa....:)






Monday, March 15, 2010


KOMPUTER AKU MERAJUK!!!



Aku tengah bersedih sebab komputer peneman setia aku dibilik bertahun lamanya rosak @ merajuk malam tadi...nak kena formatlah agaknya tu..Sabar jelah.

Nasib baik masa ia rosak, assignment aku dah siap diedit dan tersimpan di dalam 'pendrive'. Kalau tak, sungguh, dukaku akan berganda-ganda...(Alhamdulillah).

Berbicara mengenai komputer aku tu, mungkin aku yang salah sebab kekadang aku membiarkan sahaja ia terbuka tanpa ditutup. Ia pun seperti manusia juga, ada masa untuk berehat. Tapi, aku kejam dengannya.. maafkan aku komputer...Aku membuatkan kamu merajuk denganku...

Seharian tanpa komputer itu 'on' membuatkan aku rasa kesunyian. Ialah tempat aku menyiapkan tugasan jemaah, mendengar lagu kegemaran, tempat aku meluahkan perasaan, tempat aku bermain games dikala lapang, dan tempat aku membaca...

Ketiadaanmu di saat ini, seperti sebuah kehilangan yang sangat besar. Kau ibarat manusia walapun kau hanya sebuah benda tidak bernyawa...aku akan baikinya sedaya boleh agar kau kembali kesisiku...oh komputerku. aku sayang kamu tahu;)


p/s: hargailah harta benda yang kita ada...

Tuesday, March 2, 2010

CORETAN SANUBARISusahnya cari pemimpin


Sudah beberapa kali aku terlibat dengan proses pemilihan pimpinan PKPIM UIAM, walaupun hanya sebagai pemerhati. Namun pemerhatianku bukan sekadar pemerhatian kosong. Aku melihat, mendengar dan menganalisis. Kesimpulannya, memang susah mencari pimpinan, lebih-lebih lagi pimpinan sebuah gerakan pelajar Islam.

Susahnya mencari pimpinan bukan sebab tiada calon, tetapi semuanya memberi pelbagai alasan, sehingga seolah-olah tidak ada calon pelapis pimpinan. Aku mendengar alasan-alasan tersebut, ada yang relevan, ada yang aku…tak tahu ar nak cakap macam mana…cakap lebih-lebih, nanti ada yang tersinggung. Erm…serba-salah nak cakap.

Daripada pemerhatianku, pelbagai alasan yang acap kali dibangkitkan antaranya ialah komitmen, kefahaman, prestasi akademik dan keluarga. Erm, aku nak berkongsi sesuatu dengan kalian mengenai perkara-perkara di atas. Pengalaman dan pandangan peribadi. Namun sebelum itu, semoga coretan hati ini tidak membenihkan perasaan riya’ pada diri. Cuma mahu berkongsi apa yang kurasa dan semoga kalian beroleh manfaat darinya.

Pertamanya, aspek komitmen. Alhamdulillah, bersyukur pada Ilahi kerana diri ini diberi kekuatan untuk melaksanakan segala amanah yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam IYC, anak Negeri (KPIJ) dan PKPIM. Walaupun sekarang aku tidak lagi memegang jawatan dalam IYC dan KPIJ, tapi itu bukan alasan untuk aku tidak menyumbang dan memberi tunjuk ajar pada sahabat2 lain dalam kedua-dua lapangan tersebut. Aku tidak memerlukan jawatan untuk menyumbang, cukuplah kesedaran diri dan kefahaman tuntas dengan motto perjuangan HIDUP BIAR BERJASA. Lagi pula, aku berpegang pada prinsip,” kita memerlukan jemaah, dan jemaah memerlukan kita”. Maka, ku cuba istiqomah walau terpaksa melalui pelbagai dugaan yang mengguris rasa hati penyebab tawar hati….Astaghfirullahal ‘azim..

Keduanya, kefahaman. Terus terang aku kenal PKPIM semenjak di matrik, itupun aturan dariNya dan aku sangat bersyukur dengan segala ketentuan itu. Erm, untuk pengetahuan, aku tidaklah faham dengan perjuangan PKPIM semasa di matrik, sebab itu, aku sekejap ada, sekejap tak ada. Huhu. Tetapi, akhirnya aku terfikir sampai bila aku nak macam ini. Nak dijadikan cerita, pada suatu hari aku terjumpa buku tentang PKPIM di rumah, kepunyaan Pak Andakku. Aku membaca dan cuba memahami falsafah perjuangan PKPIM.

Aku mula tertarik. Beransur-ansur aku membeli buku tentang gerakan Islam hanya semata-mata untuk memahami dan mendalami kefahaman aku dalam gerakan Islam. Aku sungguh seronok dan bahagia. Aku tak punya cita-cita jadi pimpinan, tetapi sekurang-kurangnya aku boleh menjadi jundiy yang punya peranan. Yang paling penting, kefahaman menyumbang kepada Islam. Hendak sorang2, aku tak mampu. Jadinya, aku memilih untuk terlibat secara serius dengan PKPIM di UIAM Gombak. Aku tak kisah orang cakap apapun pasal PKPIM, yang penting, aku berasa selesa dengan perjuangannya selagi mana ia masih lagi dalam kerangka syarak. Lagi pula PKPIM ini sangat unik dengan pelbagai jenis dan ragam manusia. Daripada kepelbagaian itu, aku yakin rahmat Allah sentiasa mengiringi.

Ketiganya, alasan prestasi akademik yang merundum. Alhamdulillah, aku bermula dengan prestasi yang baik. Walaupun begitu, akademik aku juga pernah pernah merundum, terutama semasa aku menjadi calon perempuan tunggal PKPIM bertanding untuk SRC, dan semasa kematian ahli keluarga pada sem yang sama. Aku pernah mendapat markah yang sangat teruk untuk beberapa subjek dalam sejarah akademikku di UIAM, tapi aku boleh tersenyum lagi sebab semuanya atas kelalaian aku sendiri. Aku tidak salahkan PKPIM ataupun komitmen aku pada yang lain. Aku bangkit, dan terus bangkit memperbaiki prestasi pelajaran supaya lebih baik.

Aku berusaha agar keterlibatan aktif aku dengan PKPIM dan lainnya tidak menjadi punca kejatuhan aku dalam akademik. Aku tidak mahu ia menjadi fitnah pada gerakan pelajar Islam yang aku ceburi ini. Malah, aku cuba menjadi contoh pada sahabat lainnya yang bukan dari kalangan ahli jemaah yang selalu ‘bising’ dengan kesibukanku di dalam PKPIM. Prestasiku di dalam akademik bertambah baik dari hari ke hari. Kelebihan prestasi akademik kurnian Allah padaku itu digunakan untuk membantu sahabat2ku yang punya masalah dalam pelajaran. Sambil-sambil tu aku menceritakan pengalaman dan kepentingan menyumbang kepada masyarakat walau apa pun wadah yang dipilih. Mereka terima dengan baik, malah mereka juga membantu aku secara tidak langsung seperti memberi motivasi dan sebagainya.

Selain itu, aku membawa harapan kedua ibu bapaku yang hanya melalui prestasi yang baik dalam akademik dapat membuat mereka bahagia. Aku terhutang budi pada ibu bapaku kerana bergolok gadai membiayai persekolahan dan pembelajaranku di universiti. Sungguh, aku tak sanggup mengecewakan mereka, tapi pada masa yang sama aku sayangkan jemaah yang banyak mendewasakan aku. Sekarang tinggal kurang 2 bulan aku di UIAM dan menamatkan pelajaran. Alhamdulillah, prestasi akademikku di tahap yang baik, malah aku tetap di dalam gerakan ini menyumbang apa-apa yang mendatangkan manfaat hingga tamat kehidupanku di UIAM ini. Terima kasih ya Tuhan dengan segala rahmatMu padaku.

Keempatnya, keluarga. Erm, bohong aku katakan kalau aku tidak berasa ‘down’ dalam berjemaah terutama semasa kehilangan abang 2 tahun lepas. Komitmen aku pada jemaah dan pelajaran membuatkan aku mengorbankan cuti bersama keluarga di kampung. Hingga akhirnya, aku diduga dengan pemergian abang yang sudah lama aku tidak jumpa melainkan pada waktu cuti itu. Tapi, aku redho dengan takdir Tuhan. Aku tidak menyalahkan gerakan ini. Aku bangkit kembali kerana cintaku pada gerakan yang kupilih ini.

Sekarang, aku sentiasa nak balik kampung kalau ada kesempatan. Tambah-tambah lagi, untuk berjumpa kedua ibu bapa yang sudah mencecah 60 tahun keatas. Sungguh, waktu2 begini, adalah waktu-waktu akhir kehidupan manusia. Aku sedaya upaya mencari waktu agar masa terluang dengan ibu bapaku. Lagi pula aku risau dengan kesihatan ayahku, terutama setelah di tahan wad akibat ada masalah pada hatinya. Alhamdulillah, sekarang bertambah baik. Walaupun begitu, aku masih lagi risau. Aku mahu menghabiskan masa bersama ibu bapaku, supaya aku tidak menyesal satu hari nanti. Aku mahu berjasa pada mereka dan membuat mereka bahagia. Aku rindu untuk salam dan mencium wajah kedua ibu bapaku, kekadang tak dinafikan, aku suka nak manja2 dengan mereka berdua, (malunyer..haha) Walaupun begitu, aku tetap memberikan komitmen tidak berbelah bahagi pada jemaah. Aku bercerita tentang keterlibatanku dalam gerakan ini, mereka tidak kisah asalkan ia membawa manfaat pada diri dan tidak mengganggu pelajaranku. Aku bersyukur kerana ibu bapaku sangat memahami komitmenku, sampai kekadang aku terpaksa meminta duit daripada mereka untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Semoga ibu bapaku dirahmatiNya.

Dikesempatan ini, aku juga ingin menekankan tentang cinta. Aku sedar, ada yang terlibat dengan jemaah kerana cinta pada seseorang. Namun, ramai juga yang kecewa akibat cintanya tidak kesampaian. Malah, ada juga yang hilang terus dari jemaah. Sungguh sedih!!! Aku faham, di peringkat umur begini, kita tak mampu menolak perasaan cinta daripada hadir, kerana cinta itu milik Allah yang dilontarkan pada hati manusia. Namun, andai aku diberi pilihan, antara jemaah dan cinta, akan kupilih jemaah. Nak tahu sebabnya??? Kerana di dalam jemaah aku temui cinta. Bukan pada manusia, tetapi yang terutama pada Rabbul ‘Izzati, Rasulullah s.a.w dan warisan Nabawiyyah ini (InsyaAllah). Cinta pada insan lelaki hanya kepada dia (??? tak tahu siapa) yang memahami aku dan komitmen yang kupilih ini. Jadinya, mohon maaf pada sesiapa yang mendekati diri ini, tetapi aku terpaksa mengecewakan kalian atas pertimbangan ini jua. Semoga kalian berbahagia dunia akhirat.

Kesimpulannya, semua alasan yang sahabat2 ku lontarkan pada……sudah kulalui dengan jayanya. Aku teringat semasa aku dicalonkan untuk memegang amanah Tugas-Tugas Khas (TTK) pkpim uiam, kata-kataku yang akan kuingat sampai bila2 dan aku wariskan pada adik-adik junior yang rapat denganku, “SAYA TAK AKAN MEMBERI ALASAN, KERNA SAYA TAKUT AKAN JAUH DARI RAHMATNYA, JADI SAYA TERIMA TAKLIFAN INI.” Benar sekali! Aku tidak memberi alasan dan malas untuk memeningkan pimpinan untuk mencari pelapis pimpinan. Aku redho dengan pilihan yang kubuat kerana ‘faiza ‘azamta fatawakkal ‘ala Allah’. Dan keindahan rahmatNya itu sudah kurasai. Sangat indah. Jadi aku mahu kalian juga rasakan apa yang kurasa. Maka, untuk calon-calon pimpinan dan generasi adik2 PKPIM UIAM yang akan datang, “JANGAN ASYIK MEMBERI ALASAN, KERNA KITA AKAN JAUH DARI RAHMATNYA SEDIKIT DEMI SEDIKIT.”
P/S:- Percayalah, hanya manusia yang terpilih bisa menanggung beratnya amanah. Bila anda diputuskan untuk menjadi pimpinan, redholah dan usahakan yang terbaik. Jika kita mengelak, kita berlaku tidak adil dan zalim pada diri dan yang lain kerna anda dipilih kerna anda layak, bukan main tangkap muat!!!…JANGANLAH CIPTA ALASAN PELBAGAI MACAM UNTUK KERJA DAKWAH INI, KERANA IA BUKAN KERJA MAIN-MAIN, TETAPI WARISAN NABAWIYYAH. KALAU BUKAN KALIAN SIAPA LAGI??? KALAU BUKAN HARI INI, BILA LAGI???Semoga aku dan kalian akan terus istiqomah. Wallahu’alam.

***

“Kuatnya da’wah kita kerana ianya da’wah Allah yang merupakan da’wah yang paling tinggi. Seluruh dunia memerlukannya, maka setiap perkara yang terkandung di dalam dunia dipermudahkan untuknya dan disediakan untuk jalan da’wah. Kita bersyukur kepada Allah kerana membersihkan diri kita dari ketamakan peribadi dan manfaat perseorangan dan tidak kita tidak ingin kecuali keredhoan Allah Ta’ala dan kebaikan orang ramai. Kemudian sesungguhnya kita menanti bantuan Allah dan pertolongan-Nya kerana sesiapa yang diberikan pertolongan oleh Allah maka ia tidak dapat dikalahkan.”
(As-Syahid Imam Hasan Al-Banna)