Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

Monday, June 14, 2010

HATI…
HATI-HATI…
PERSOALAN HATI…




Hari ini hari Ahad bersamaan 13 Jun 2010. 7 hari berlalu dengan pelbagai kisah yang punya maksud tersendiri. Cuma pada entri kali ini, aku tertarik untuk menulis tentang kisah masyarakat disekelilingku. Hubungan sesama manusia berlainan jenis. Hubungan lelaki dan wanita. Secara spesifiknya, hubungan kasih antara dua gender yang berlainan.

Yang menariknya beberapa kenalan rapat di UIA dan PKPIM-Abim melangsungkan walimah mereka hampir serentak bersempena cuti sekolah ini. Tahniah kepada K. Nisa dan Abang Bukhori, Aqilah Izzati dan Abang Syah, Hasnul Hanif dan pasangannya, K.Aemy dan pasangannya, Abang Zaidi dan pasangannya serta Wan Khalid dan pasangannya. Tidak ketinggalan teman Abim, Cikgu Khadijah dan pasangannya. Semoga selamat menempuh alam baru di bawah rahmatNya.  Maaf sesangat tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja dan kedudukan geografi yang jauh-jauh belaka. Tapi, jangan risau doa aku sentiasa bersama kalian.

Ya, Allah Ta’ala telah menciptakan Hawa dari rusuk kiri Nabi Adam a.s sebagai simbolik kepada fitrah manusiawi yang mahu berpasang-pasangan. Cukup seminggu, bukan sahaja berita gembira penyatuan golongan Adam dan Hawa, tetapi tidak ketinggalan aku berhadapan dengan pelbagai kisah persoalan hati terkecewa ibarat kisah cinta Romeo dan Juliet, Laila Majnun lantaran cinta terhalang, cinta kecundang ditengah jalan, cinta dalam hati, cinta bertepuk sebelah tangan dan sebagainya dikalangan teman-temanku lelaki dan wanita. (inilah part yang aku paling tak suka, isk3)



Aku menjadi rujukan teman-teman yang mahu meluahkan masalah dan rasa yang terpendam dilubuk sanubari. Aku mendengar dengan setia dan cuba untuk menyelami perasaan mereka yang mengadu masalah hati yang ditamu kekecewaan. Walaupun aku tidaklah pakar mengenai persoalan hati terutama melibatkan cinta, tetapi aku tetap setia mendengar supaya dengan cara itu aku dapat mengurangkan bebanan hati teman-teman. Tidak dinafikan, memang sukar untuk memahami persoalan hati ini. Bak kata pepatah, “rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain”. Serius.

Hati memang diciptakan berbolak-balik. Nafsu pula diciptakan sebagai yang degil. Memang sukar untuk menguasai hati dan menundukkan nafsu. Namun, kita jangan lupa, kita ada Tuhan. Justeru, mohonlah kepada Allah Ta’ala agar hati itu terpelihara dan nafsu itu terdidik kepada kebaikan. Natijahnya, kebahagiaan itu pasti menjadi milik kita semua dan kekecewaan itu pasti pergi. Percayalah pada Allah. Jika ini difahami secara tuntas, hubungan hati ini pasti berjalan lancar dan terpelihara.

Bagi membina hubungan yang bahagia, persefahaman, sikap matang dan keterbukaan, prihatin, jujur, ikhlas, saling percaya dan memerlukan, saling menghargai dan penerimaan secara total sesama sendiri adalah kunci utama kepada sinar kebahagiaan. Sekali lagi dan yang terutama jangan dilupa Tuhan yang Maha Agung. Mintalah kepadaNya agar impian kebahagiaan dan keabadian cinta itu tertunai selamanya. InsyaAllah.

Menyentuh persoalan persefahaman, mungkin ada orang akan membidas dengan mengatakan, “sedangkan lidah lagi tergigit”, inikan pula hubungan sesama manusia. Ya, ketidak sehaluan faham, minat dan seangkatannya itu lumrah dalam kehidupan manusia. Tidak ada manusia pun tercipta sama kehendaknya. Pasti ada perbezaan. Tetapi perbezaan itu boleh bertukar rahmat jika kita meraikannya dengan berlapang dada. Kalaupun berbeza, kenapa kita tidak berusaha mencari titik persamaan dan menggilapnya agar terang jernih. Bukankah kita semua mengejar kebahagiaan? Lagipun, perbezaan itu kekadang indah. Sangat indah. Serius.

Akhirnya, kehidupan ini penuh warna-warninya. Bukan semata-mata hitam dan putih yang menjadikan hidup kita teramat bosan. Serius. Bermainlah dengan warna agar kehidupan berlangsung dengan menarik. Walaupun begitu, semua warna ada kelebihan dan kekurangan. Justeru,raikan semua warna agar lukisan kehidupan tetap kekal indah dengan warna-warninya yang hanya kita sahaja yang faham corak maknanya. Wallahu’alam dan Wassalam.


***



Nota Mimosa:

Kepada teman-teman, HATI-HATI PERSOALAN HATI INI

Mahukan kebahagiaan?

I believe I achieve, You believe You achieve!!! 

Saturday, March 27, 2010


-->
PENCARI CINTA
Sedang aku memerhati koleksi buku-bukuku yang tersusun kemas di atas rak meja studiku, tiba-tiba mataku terpandangkan sebuah novel remaja Islamik yang belum kuhabisi pembacaannya. “Pencari Cinta” itulah judul novel tersebut yang ditulis oleh Faizal Rahmad. Mungkin aku bukan jenis yang suka baca novel, tambah-tambah novel cinta..jadinya sangat slow nak habiskan, kekadang tak terhabis. Mengikut perkiraanku, hanya ada dua je novel Islamik yang aku habis baca dari helaian pertama hingga ke helaian terakhir iaitu “Tahajud Cinta” dan ‘Tautan Hati”. Yang lain, baca synopsis, cerita depan, tengah dan penutupnya…dah faham jalan cerita. Begitu juga movie yang menjadi kegilaan ramai orang KCB, ayat2 Cinta dsbgnya. Bila orang dah tak tengok, baru aku akan tengok…(baru je beberapa hari lepas tonton KCB 2 kat laptop kawan..haha). Fahamlah aku kenapa ada beberapa kawan lelaki aku ulang tengok citer tu sampai 10 kali..ape2 ntah!!!!
Pencari Cinta itu sebenarnya telah dihadiahkan oleh seorang lelaki muda (umur dia 19 tahun tak silap dan adik kepada penulis novel tersebut) ketika aku menjaga gerai HBB di hari terakhir bersempena konvokesyen UIAM pada sem lepas. Nama dia… rahsia. Aku pun pelik kenapa dia sungguh mahu aku memilikinya. Sahabat2 yang ada kat gerai masa tu pun tertanya2…aku jawab entahlah…
Secara tiba-tiba sahaja dia datang menjengah gerai HBB dan bertanyakan tentang buku PKPIM 5 Dasawarsa (katanya dia dah lama memerhati buku tersebut). Oleh kerana aku yang duduk di situ, maka aku meraikannya dan melayani setiap pertanyaannya dengan hati terbuka. (Sambil2 tu, ada niat jugalah untuk mengkader dia sebagai jundy PKPIM, tambah2 kekurangan jundy2 lelaki dalam bidang dakwah ni. Tetapi…..-baca berikutnya-)
Lama juga aku dan dia berborak. Diakhir perbualan aku memberikan dia kad aku dan aku mengambil nombor telefonnya (supaya senang nak panggil pergi program jika ada kelapangan). Dia juga berpesan agar aku membaca novel tersebut.
***
Beberapa hari kemudian (selepas tamat konvokesyen), lelaki muda itu menelefonku. Katanya dia sedaerah denganku..Kluang. Suaranya kedengaran begitu riang ketika menelefonku. Kami berbual ringkas.
Semenjak dari itu, dia kerap mesej di tengah-tengah pagi. Mula2 aku anggap biasa dan kubalas setiap mesejnya yang memerlukan jawapan. Sampailah satu tahap, aku perasan dia menggunakan laras bahasa yang buat aku kurang selesa. “Isyhh…takkanlah dia ada hati kot,“ bisikku dalam hati. Aku tetap buat macam biasa dan tetap menggunakan kata ganti nama “akak” setiap kali membalas mesejnya (mungkin perasaan aku sahaja).
Hari demi hari, mesejnya juga berlainan daripada biasa dan semakin luar biasa. Kali ini mesejnya berbunga-bunga dan ada unsur2 perasaannya.(Aku plak elergik sikit kalau dapat mesej macam ni khususnya dari lelaki.) Kali ini aku tidak lagi membalas mesejnya. Takut lain pulak jadinya. Tetapi dia tetap menghantar mesej padaku.
Mungkin ada wanita gembira dapat mesej berbunga2 dari seorang lelaki, tapi aku rasa sangat tak selesa sebab aku takut ia mendatangkan fitnah hati. “Wala taqrabu zina”…, tambah2 Allah berfirman..”Azzaniatu wazzani…(punca zina ini dari perempuan, sebab tu disebut dahulu azzaniah dan dituruti azzani). Lagipun umum mengetahui iman lelaki ni akan goyah bila berhadapan dengan wanita. Mahu aku tak takut!!! (Ya Allah selamatkanlah aku dari menjadi fitnah dunia).
***
Beberapa hari kemudian, dia menelefon lagi. Kali ini dengan no baru (no celcom) sebab sebelum ini dia memakai no maxis. Aku memberi alasan sedang busy berprogram..(tapi tak busy mana pun). Suaranya kelihatan kecewa. Dia betul2 buat aku takut dan kurang selesa dengannya, sebab tulah aku terpaksa berbohong.
Sejak hari itu, dia tidak menelefon dan bermesej denganku lagi. (Alhamdulillah, aman sikit dunia ini dirasakan..kalau tak…hmm). Setelah aku baca novel itu, barulah kufaham. Pencari Cinta mengisahkan seorang remaja lelaki yang mencintai seorang senior perempuan didalam diam….arghh..sebab tu aku malas nak habiskan baca…(aku nak simpan ke, nak bagi orang ye novel tu???). Tidak dinafikan, novel itu best juga sebab ada intipati lain yang memberi pengajaran dalam hidup.
Sehingga sekarang, aku tetap mesej dia jika ada program KPIJ atau PKPIM. Sebab itulah tujuan utama aku semasa mula-mula dia mengenaliku di gerai HBB. Aku tidak kisah dia balas atau tidak, sebab selama-lamanya aku anggap dia adik (memang sebaya adik aku pun) yang memerlukan bimbingan (sebab dia tidak sambung belajar). Mungkin dia merajuk, malu atau marah atau apa-apalah yang membuatkan dia senyap terus….(punah juga rasa harapan nak kader jundy PKPIM lelaki).
***
Tadi aku pergi ke bilik seorang sahabat atas satu urusan. Aku membaca nota di desktop laptopnya yang berbunyi…”perbuatan yang sangat kejam adalah bila kita membuat seseorang jatuh hati tetapi kita tidak berniat menyambutnya.” Tetiba aku terfikir, aku ni kejamkah??? Jawapannya..aku tetap akan kata aku tak kejam sebabnya aku tidak pernah memberi ruang untuk sesiapa mendekati diri ini lebih daripada seorang kawan biasa. Malah yang hadir melafazkan kata-kata cinta pun semuanya tidak disangka-sangka. Orang-orang yang tidak pernah aku berbual mesra, hatta bertentang mata, tetapi pemuja rahsia/ pencari cinta. Jadinya, bukan salah aku kalau ada yang rasa dikecewakan sebab aku ada pendirian sendiri…(biarlah jadi RAHSIA HATI MIMOSA)
Kekadang kita niat lain, tapi lain pulak jadinya…sebab itu, kalau orang bertanya kenapa aku susah nak bermesej-mesej dengan lelaki..aku akan jawab serik dan tak ada keperluan (selain jimat kredit, huhu)!!! Aku hanya bermesej bila ada keperluan dan urusan dan dengan orang2 tertentu seperti sahabat2 lelaki yang baik denganku dan yang dah lama kukenal. Tapi tetap bersyarat juga iaitu tidak menelefonku pada pukul 1 pagi keatas (mesej boleh dipertimbangkan kalau penting sangat).
Apa ibrah yang aku cuba sampaikan sebenarnya ni???
  • “tutup semua jalan menuju cinta jika rasa belum bersedia memberi cinta pada seseorang…”
  • Jangan mudah beri cinta jika si dia tidak bersungguh-sungguh dan tidak ada matlamat.
  • Jaga iman, hati dan diri sebaik mungkin…selalulah berdoa pada Allah agar diri dilindungi dari fitnah akhir zaman ni…tak kira lelaki mahupun wanita.
  • Kisah di atas adalah pengalaman peribadi yang boleh dijadikan pengajaran bagi yang memahaminya… Wallahu’alam.

(26 Mac 2010/ Jumaat)


Tuesday, March 9, 2010






Di Atas Sejadah Cinta





Ya Allah,
Aku diduga lagi...
Apakah hikmah disebaliknya???
Aku akan setia menanti
Aku akan setia menunggu
Di Atas Sejadah CintaMu ini
Ya Allah,
Aku sehabis daya mengelak
Tapi tetap juga terjebak
Bukan salahku penyebab kehendak
Bicara pun tidak pernah
Memberi harapan lagilah tidak
Ya Allah
Aku tidak pernah jemu merintih
Agar terlindung dari fitnah duniawi
Aku mengejar cinta-Mu
Aku juga mengejar hati dia yang mencintai-Mu
Tersadung???…belum lagi..
Kau tetapkanlah hatiku
Supaya tidak tewas dengan godaan itu…

Ya Allah
Aku sujud menyembah-Mu
Merayu sebuah jawapan dalam kekalutan
Kaulah yang memahamiku
Bertambah keyakinan jantung kehidupan
Mendamba sebuah keredhoan dari-Mu
Agar langkah tidak kekacauan
Penyebab ketewasan

Ya Allah,
Berikanlah aku petunjuk-Mu
Aku merayu…
Aku merayu…
Aku merayu…padaMu
Peliharalah aku dari cinta ternoda

Ya Allah,
Ku tadahkan tangan ini
Bermunajat dalam kesamaran
Agar keputusan dibuat tidak melukakan
Kerana aku sudah tidak sanggup lagi…
Jatuh air mataku membasahi sejadah cinta ini
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mengetahui segala rahsia hati ini…
“Ya Allah sesungguhnya aku mohon kepada-Mu, pilihkanlah bagiku mana yang baik bagiku menurut ilmu-Mu dan aku mohon kepada-Mu, dan aku mohon dengan kurnia-Mu yang besar, kerana Engkaulah yang besar, kerana Engkaulah yang sanggup. Engkaulah yang mengetahui sedangkan aku tiada mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui perkara ini baik bagiku dalam urusan agamaku dan penghidupanku serta urusanku, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, serta berkatilah bagiku didalamnya. Tetapi jika Engkau ketahui bahawa perkara itu buruk bagiku dalam agamaku dan penghidupanku serta akibat urusanku, maka hindarkanlah ia bagiku dan jauhkan pula aku daripadanya. Dan taqdirkanlah kebaikan bagiku di mana saja adanya lalu jadikanlah hatiku meredhoinya.”



Thursday, August 14, 2008

Cinta Kerana Allah


Ya Allah…

Jika aku jatuh cinta,cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu, agar bertambah kekuatan untuk menyintaiMu...

Ya Muhaimin...
Jika aku jatuh hati izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu, agar tidak jatuh aku dalam lembah cinta nafsu…

Ya Rabbanna..
Jika aku jatuh hati jagalah hati ku padaNya agar tidak berpaling dari hatiMu..

Ya Rabbulizzati..


Jika aku rindu, rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid dijalanMu..
Ya Allah…

Jika aku menikmati cinta kekasih Mu, janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…

Ya Allah...
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu, jangan biar aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…
Ya Allah…

Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu, jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu…

Rabbana Hablana min azwajina wazurriyatina qurrata'yun waja'lna lil muttqina imama..Aminnnn.

Doa Pengikat Hati


Bismillahirrahmanirrahim,


Ya ALLAH Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMU, bertemu dan patuh perintahMU, bersatu memikul beban dakwahMU.
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMU, maka eratkanlah Ya ALLAH akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjuklah kepada hati-hati ini jalanNYA ( yang sebenar). Penuhkan (piala) hati ini dengan cahaya RabbaniMU yang tidak malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman/keyakinan. Dan keindahan tawakkal kepada-MU. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU.Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada’ dalam perjuangan agamaMU. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya ALLAH perkenankanlah permintaan ini. Ya ALLAH restuilah dan sejahterahkanlah junjungan kami Muhammad, keluarga dan para sahabat Baginda semuanya.
Amin.

Ditujukan istimewa buat sahabat2 seperjuangan dalam PKPIM dan umat Islam amnya.

5 TARIKAN WANITA MENURUT LELAKI BERIMAN



Di Petik dari Majalah Mingguan Wanita,

1. Budi Bahasa Dari Jiwa

Kekuatan wanita ada pada bahasa tubuhnya iaitu tingkah laku, perbuatan zahir atau akhlak yang mulia. Setiap perkataan yang dilafazkan menjadi penilaian. Adakah dia seorang yang sabar, jujur, berpendidikan atau sekurang-kurangnya tahu hal dunia hari ini? Atau adakah dia seorang yang suka berleter, kasar, kurang ilmu dan sebagainya? Semua yang terpacul dari lidah bermuara di hati nurani masing-masing. Wajah ayu yang sedap mata memandang janganlah bertukar pahit apabila terdengar bahasa yang menyakitkan telinga.

2. Mekap yang Memikat

Jangan salah tafsir tentang mekap! Yang dimaksudkan disini adalah air wuduk untuk pembersih dan penyegar wajah. Untuk pembayang mata dan melentikannya, gunakanlah jenama ‘malu’ agar mata mampu menangkis setiap panahan syahwat. Manakala pemerah bibir yang sesuai adalah kata-kata penuh hikmah yang memikat setiap orang yang mendengar dengan penuh keinsafan. Dijamin lelaki ynag beriman akan meminati wanita sebegini.

3. Busana Taqwa

Para wanita di syurga dihiasi dengan pakaian daripada sutera hijau yang bertahkta permata-permata berkilau. Kerana itulah keindahan wanita diabadikan di dalam Al-Qur’an dengan pakaian dan perhiasannya. Tetapi kegilaan pada fesyen yang mendedahkan aurat wanita pada saat ini amat membimbangkan. Wanita semakin berani mempamerkan segalanya yang boleh menjadi daya tarikan lelaki. Adakah mereka terfikir bahawa lelaki sebenarnya amat kuat cemburu? Mereka yang benar-benar bersungguh ingin menjadikan anda isteri tidak akan berminat dengan jenis wanita yang berpakaian sebegini. Kerana ia menunjukkan kerendahan akhlak dan kemurahan peribadi. Bayangkan barang yang tertutup kemas dan terlindung pasti lebih tinggi nilainya daripada barang yang telah dibuka, dipegang dan dilihat sesuka hati oleh sesiapa jua. Sebenarnya pakaian adalah gambar keperibadiaan yang sesungguhnya dan tersirat tabiat si pemakainya.


4. Suka Dikritik dan Bersikap Terbuka

Menjadi pasangan yang ideal bukannya mudah. Perlukan kesabaran untuk kekal disisinya. Bertanya secara terbuka kepada pasangan anda apa yang dia suka dan apa yang tidak disukainya. Bukan beerti ikut secara total segal kemahuan lelaki. Berikan pertimbangan sewajarnya, buka perbincangan untuk kebaikan bersama. Jangan ego dan cepat berkecil hati. Jadilah sahabat dan kekasih yang memberi kebebasan bagi pasangan anda untuk menyatakan pendapatnya. Di dalam hubungan kasih-sayang, saling mengekspresikan diri sungguh-sungguh menyeronokkan dan tak akan bosan melayan kerenah masing-masing. Sungguh bertuahlah sesiapa yang mendapat pasangan seperti ciri-ciri di atas. Bagi anda yang mahu berubah, tidak ada kata terlambat untuk membaiki diri. Kerana biar bagaimanapun, llelaki tetap memerlukan wanita sebagai penyempurna kebahagiaannya. Tetapi wanita mesti lebih peka terhadap kekurangan-kekurangannya agar ia tetap menjadi pilihan satu-satunya di hati seorang lelaki bernama suami.
Rasulullah SAW bersabda: “wanita itu dikahwini kerana empat perkara, kerana hartanya, kecantikannya, nasab keturunannya dan agamanya. Pilihlah wanita kerana agamanya nescaya engkau akan bahagia.”

5. Superwoman

Superwoman digambarkan dengan ciri-ciri seorang yang hebat, berjiwa pahlawan, suka menolong orang dan bukan sebaliknyasuka menyusahkan orang. Begitulah gambaran wanita yang mandiri, tidak bergantung pada belas kasihan sesiapa, mampu menghadapi kesusahan dan cabaran hidup dengan tabah. Bahkan dialah penolong bagi sesiapa yang memerlukan pertolongan. Sebagai kekasih tentunya dia dapat berdiri di sisi pasangannya dengan keberanian menghadapi segala ujian kehidupan. Tidak lemah dan manja, bukan seorang yang pemalas dan cepat putus asa. Begitulah daya tarikan yang lebih tinggi nilainya dari sekadar kecantikan rupa paras muka yang semakin lama semakin pudar di makan usia. Tetapi kekuatan peribadi tidak akan sirna ditelan zaman.

Monday, June 16, 2008

Perkahwinan Sebagai Bukti Cinta


Setiap manusia mengimpikan hidup berteman kerana sudah menjadi fitrah manusia itu tidak boleh hidup bersendiri. Allah yang Maha Bijaksana telah menjadikan tiap-tiap ciptaannya berpasangan seperti malam dan siang, kuat dan lemah, baik dan buruk serta lelaki dan wanita. Manusia memerlukan teman istimewa untuk berkongsi perasaan cinta, kasih dan sayang, suka dan duka. Maka, sebagai agama yang syumul, Islam menyediakan jalan untuk memenuhi fitrah ini secara betul iaitu melalui perkahwinan. Perkahwinan atau nikah dari sudut bahasa beerti bercampur atau berkumpul. Dari sudut istilah syara’, perkahwinan ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan lelaki dan perempuan, yang diucapkan dengan kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Konsep perkahwinan dalam Islam sangat luas, bukan sekadar hubungan intim antara suami dan isteri. Ia merupakan satu perkongsian hidup yang menggabungkan elemen fizikal, spiritual dan emosi demi mengejar keredhaan Ilahi. Maka, apabila ikatan perkahwinan didasari ila mardhotillah, kebahagiaan dan ketenangan akan menjadi perhiasan perhubungan suci ini. Perkahwinan membantu seorang manusia Muslim menjauhi dunia kotor penzinaan. Malah, ikatan perkahwinan ini membezakan manusia dengan haiwan dalam memenuhi kehendak naluri. Ringkasnya, perkahwinan menjamin kesucian martabat seorang manusia dan sebagi bukti cinta murni.

Dewasa ini, ramai manusia Muslim yang sedang asyik dengan cinta tidak sedar dengan hikmah sebuah perkahwinan. Maka, ramailah yang terjerumus kekancah zina, malah ada yang bersekedudukan lagak seperti sepasang suami isteri. Bukankah lebih indah jika hubungan cinta yang suci fitrahnya itu terjalin dengan adanya ikatan sah antara lelaki dan perempuan?

Zina adalah satu dosa dan jenayah besar yang berat hukumannya dalam Islam. Lelaki dan perempuan yang belum berkahwin apabila didapati berzina, maka hukumannya 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “penzina-penzina perempuan dan laki-laki hendaklah kamu sebat mereka sebanyak seratus kali.”
Dalam hadith Riwayat Muslim, Rasulullah bersabda, “ambillah dari kami, sesungguhnya Allah telah jadikan mereka (kaum wanita) akan jalan; teruna dengan dara disebat seratus kali dan dibuang setahun.”
Manakala, hukuman bagi penzina yang sudah berkahwin pula adalah rejam sampai mati. Walaupun hukuman ini tidak dijalankan di Malaysia, anda tidak akan terlepas dari hukuman Allah di akhirat kelak. Api neraka tidak sabar untuk membakar manusia-manusia yang ingkar pada-Nya.

Kesan daripada perbuatan zina ini, maka wujudlah fenomena buang anak dan pengguguran janin yang begitu membimbangkan. Nilai-nilai kemanusiaan mula terhakis akibat termakan racun pemberian syaitan dan apabila menjadikan nafsu sebagai tuhan. Lama-kelamaan, tamadun manusia akan hilang ciri kemanusiaan, tetapi diganti dengan ciri kebinatangan. Itukah yang kita mahu?

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang prihatin dengan permasalahan ini, saya seru anda semua menjadikan perkahwinan atau nikah sebagai wasilah utama memenuhi tuntutan naluri bercinta. Kembalikan martabat perkahwinan sebagai benteng pemelihara diri dan sebagai tempat menggapai cinta Allah.. Bagi mereka yang pernah terjerumus dengan perbuatan zina yang terkutuk, belumlah terlambat untuk anda bertaubat dengan sebenar-benarnya selagi mana matahari terbit disebelah timur letaknya. Sesungguhnya, Allah S.W.T. Maha Pengampun. InsyaAllah.

Falsafah Cinta



“Cinta ibarat gunung salji dan matahari”. Salji akan mencair akibat teriknya sinar mentari. Begitu juga dengan cinta sang manusia. Cinta kepada manusia itu tidak kekal. Ia sentiasa berubah. Jika kita cintakan seseorang kerana cantiknya wajah, maka apabila umur kian lanjut, kecantikan mula pudar, seribu kedutan mula muncul, perasaan cinta mula menghilang. Jika cintakan seseorang kerana harta, apabila jatuh miskin, jatuhlah juga cahaya cinta. Maka, seseorang itu akan mencari cinta baru. Cinta yang sudah pastinya tidak kekal. Cinta yang tidak murni. Cintakan seseorang dengan sebab duniawi, pasti mengundang perasaan tidak bahagia.

Cintakan seseorang kerana Allah membibitkan perasaan kedamaian, tanggungjawab, sanggup berkongsi susah dan senang bersama serta saling lengkap-melengkapi dalam menggapai redho Ilahi. Cinta kerana Allah tidak melalaikan sang pencinta manusia dalam kenikmatan syurga cinta. Malah, cintanya itu mendorong manusia untuk sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi sebuah masjid cinta. Cinta kerana Allah juga melahirkan individu-individu yang rindu pada-Nya. Demi perasaan rindu itu, manusia termotivasi untuk sentiasa beribadah kepadanya. Maka, mereka menjadikan perkahwinan sebagai ladang yang menanam benih cinta Lillahi Ta’ala. Hasilnya, tumbuhlah pohon-pohon cinta yang kukuh, tidak tumbang dek hebatnya ribut angin kencang. Pohon cinta yang berakar umbikan ketaatan kepada Allah yang teguh mencengkam bumi. biar berpanas, berhujan sekalipun, tidak akan berganjak walau selangkah cuma. Inilah kehebatan cinta sebenar. Cintakan seseorang kerana Allah.

Cinta yang terbit dihati adalah satu rahmat yang amat besar diberikan kepada manusia. Maka, jangan sia-siakannya dengan menodai sucinya cinta dengan perkara-perkara maksiat. Nikmatilah cinta dalam bentuknya yang terindah-perkahwinan. Semoga diri kita semua terpelihara dari cinta palsu. Akhirnya, berusahalah mencintai seseorang kerana ingin mendapat mardhotillah. Wallahu’alam.