Showing posts with label Muslimah. Show all posts
Showing posts with label Muslimah. Show all posts

Tuesday, February 21, 2012

Syukur Seorang Muslimah


Kedatangan Islam membawa 1001 rahmat kepada wanita. Islam telah mengangkat martabat seorang wanita dari sehina-hina ke semulia-mulia kedudukan dalam masyarakat manusia. Kedatangan Islam telah menyelamatkan kaum Hawa ini daripada belenggu kezaliman masyarakat jahiliyyah yang menganggap wanita tiada beza dengan barang dagangan, malah lebih teruk lagi dari itu-tiada harga. Itu sudah menjadi sebab utama kenapa kita sebagai wanita Muslimah perlu bersyukur.

Islam juga menjanjikan wanita untuk senang masuk ke syurga selagimana segala syariat dijaga dan dijunjung dengan tidak berbelah bahagi. Subhanallah. Alhamdulillah. Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya, “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (hadith).

Begitu juga, wanita dalam Islam di jaga dengan begitu rapi kerana keindahan ciptaannya. Disebabkan keindahan itu juga kita perlulah bersyukur. Tetapi, bagaimana? Adakah dengan mempertontonkan segala kecantikan itu untuk tatapan umum?

Sehingga saat ini, penulis dilanda kehairanan bilamana ada segelintir wanita di luar sana tidak segan silu membiarkan aurat mereka terdedah sehingga banyak mata tertancap pada setiap inci tubuhnya sambil memuji-muji segala kemolekan yang dimiliki. Ironisnya, mereka adalah muslimah yang telah Allah perintahkan untuk menyembunyikan keindahan perhiasannya hanya kepada yang berhak.

Allah S.W.T. telah berfirman maksudnya, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab: ayat 59). Syukurnya muslimah jelas terpancar bilamana dia menjaga auratnya sama seperti ketika di dalam solat.

Wanita muslimah itu bersyukur jikalau mengusahakan dirinya menjadi hiasan dunia yang tiada tolok bandingnya sehingga cemburu para bidadari di syurga. Akalnya yang tipis seperti lapisan kulit bawang di ‘tebal’kan dengan ilmu yang bermanfaat untuk kemajuan diri, keluarga dan masyarakat seperti mafhum hadith yang dipetik di laman web eramuslim. com, mafhumnya, “dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni).

Syukur wanita Muslimah itu juga dengan menjaga malunya iaitu satu perasaan yang mendesak seorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Malu itu pula amat sinonim dengan wanita. Jika ketiadaan perasaan malu ini, seseorang wanita akan melakukan semahu perasaan dan hawa nafsunya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, tidak malu itu juga maksudnya tidak beradab, tidak sopan dan tidak berakhlak. Justeru itu, Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya, “bahawa setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Hadith 40: terjemahan dan syarahnya terjemahan Mustafa ‘Abdul Rahman).

Muslimah itu juga bersyukur bilamana bicaranya berhemah, budinya terserlah, pandangannya jernih, hatinya berzikir dan sering berdoa untuk kesejahteraan diri, keluarga dan umat. Disebabkan itu, muslimah bersyukur memanfaatkan keistmewaan yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepadanya melalui kekuatan doanya. Umum mengetahui, doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".(mafhum Hadith).

Namun begitu, keistimewaan muslimah itu dipersia-siakan kerana ketaksuban mengikut budaya barat. Kini ramai wanita berlumba-lumba memperjuangkan hak kesamarataan sepertimana lelaki. Perjuangan Feminism telah meletakkan acuan pencapaian diri wanita untuk setanding pencapaian dan segagah kudrat kaum Adam. Kesan negatifnya, wanita sering rasa ketinggalan kerana kunci pencapaian adalah berdasarkan kepada pencapaian kaum lelaki. Malah, sehingga ke tahap kewajipan untuk menutup aurat dalam ajaran Islam dikatakan sebagai penindasan kepada kaum wanita.

Fitrah yang asalnya berbeza tetapi saling melengkapi antara kedua-dua jantina dicabar sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Perbezaan ini telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Allah juga berfirman bahawasanya lelaki (suami) adalah pakaian bagi wanita (isteri) dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 maksudnya, “mereka itu adalah pakaian bagi kamu (lelaki), dan kamu adalah pakaian bagi mereka (wanita).” Ayat ini turut memberi pengertian bahawa kedua-dua lelaki dan wanita diciptakan untuk menjaga keaiban diri antara satu sama lain, saling ingat-mengingati tentang peranan dan tanggungjawab selaras dengan fitrah kejadian supaya segalanya teratur mengikut kehendak Ilahi Rabbul ‘Izzati.

Walaupun bengkok kejadian Hawa dari tulang rusuk Adam, tetapi ia bukanlah bermakna Islam menciptakannya dengan kelemahan. Malah ia adalah kekuatan kerana berbanding Adam yang dicipta daripada unsur mati-tanah, Hawa pula dicipta daripada unsur hidup iaitu tulang rusuk. Justeru, dari tangan lembut wanita yang menghayun buaian itulah telah tercipta dan menghidupkan pelbagai sejarah menggegarkan dunia dengan lahirnya manusia bersosok mujahidin yang hebat.

Akhirnya, nikmat Allah yang paling agung dan dambaan setiap para solihin adalah syurga sehingga syurga tersebut letaknya di telapak kaki ibu (wanita). Begitulah kasih dan sayangnya Allah ke atas insan bernama wanita mukminah. Justeru, bersyukurlah dengan segala nikmat dan keistimewaan yang diberikan kepada muslimat. Alhamdulillah. Wallahu’alam.

Oleh,
Faridah Binti Mohd Tap,
Pensyarah Pengajian Umum
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson, Negeri Sembilan.


Monday, July 7, 2008

Wanita dan Kecantikan



Jelita, comel, manis, anggun, dan molek masing-masing membawa konotasi yang sama iaitu cantik. Kesemua perkataan tersebut amat sinonim dengan insan yang bergelar wanita. Justeru, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan.

Kecantikan wanita terlalu subjektif untuk diungkap. Pada setiap diri wanita ada kecantikan tersendiri. Hanya mereka yang pandai menilai tahu di mana cantiknya wanita. Namun, ramai wanita beranggapan kecantikan sebenar terletak pada kesempurnaan dan keindahan fizikal luaran semata-mata. Perumpamaan Melayu seperti rambut bak ikal mayang mengurai, sinar mata bak bintang kejora bekerdipan, pipi bagai pauh dilayang, bibir ulas limau, pinggang bak semut kerengga, kulit seumpama telur rebus dikupas dan pelbagai lagi menggambarkan kecantikan lahiriah wanita yang sempurna. Kononnya.

Dasawarsa ini, media memainkan peranan dalam menentukan definisi cantik. Acap kali, media terutama televisyen memaparkan model-model yang tinggi lampai, putih melepak, kurus melidi, terdedah sana, terbuka sini untuk menggambarkan itulah kecantikan sebenar seseorang wanita. Disebabkan itu, ramai wanita terpengaruh dengan makna kecantikan sejati acuan media. Maka, berlumba-lumbalah wanita menghabiskan sejumlah wang yang banyak untuk tampil anggun dan cantik. Dewasa ini, pelbagai produk kecantikan membanjiri pasaran serata dunia. Dari produk penjagaan diri luar dan dalam ke produk pelangsingan badan semuanya boleh didapati dengan mudah dan pelbagai di mana-mana pasaraya dan salon kecantikan. Harganya pula kekadang mencecah ribuan ringgit. Di Malaysia, mengikut statistik Kementerian Kesihatan, pada tahun 2001 terdapat lebih 60,000 produk kosmetik dan dandanan diri dalam pasaran tempatan yang bernilai RM 3 bilion dan jumlah itu kian meningkat dari semasa ke semasa. Namun, bagi wanita yang taksub dengan kecantikan, duit itu tidak menjadi masalah pada mereka. Pada pendapat mereka, ‘biar papa kedana, asal cantik rupawan’.

Bukan sekadar produk kecantikan sahaja, malah seiring dengan kepesatan teknologi yang canggih, maka produk penjagaan diri juga semakin maju dan moden. Pembedahan plastik, suntikan botok, sedut lemak dan teknologi laser semakin diminati ramai wanita berduit. Hidung yang pesek boleh jadi mancung bak seludang, dagu yang berlapis dan bulat, boleh jadi runcing bak lebah tergantung malah kekadang umur yang lanjut 60-an pun boleh kelihatan muda remaja seperti 20-an. Sungguh ajaib! ;) walau sehebat mana teknologi terkini, namun masih ada yang berjumpa bomoh untuk memasang susuk. Tujuannya hanya mahu kelihatan cantik berseri.

Sesungguhnya, wanita dibebani dengan kecantikan. Ramai juga wanita beranggapan dengan dengan kecantikan lahiriah mereka boleh bahagia dan boleh menggapai cita-cita dengan mudah. Betul ke? Disebabkan itu, mereka mengabaikan kecantikan pada sudut lain iaitu kecantikan dalaman, akhlak, dan intelek. Oleh itu, boleh dilihat sekarang ramai wanita yang mempunyai rupa paras dan bentuk badan menawan bak model terkenal, tetapi akhlak dan komitmen terhadap agama amat menyedihkan.:(

Sikap taksub yang melampau terhadap kecantikan telah menyebabkan ramai wanita sanggup mengenepikan agama. Halal dan haram diperkotak-katikkan. Pendedahan aurat, mengubah ciptaan Allah melalui pembedahan plastik, pemakaian susuk dan sebagainya dianggap perkara biasa bukan satu dosa dan dilaknat oleh Allah S.W.T.

Kecantikan intelek

Suatu ketika dahulu, dunia barat menggambarkan wanita cantik sebagai seorang yang dungu. Lihat sahaja filem Bonds yang terdahulu, gadis-gadis disamping Bond semuanya bodoh belaka walaupun seksi dan menggoda. Barat tidak menghargai wanita sangat. Disebabkan itu, mereka mengeksploitasi kaum Hawa ini demi kepentingan mereka. Buktinya, mereka bebas mengadakan seks dengan mana-mana wanita yang mereka suka tanpa sebarang ikatan sah perkahwinan. Filem-filem terbitan barat juga menayangkan adengan-adengan yang memanipulasi kaum wanita. Wanita ditindas dan dijadikan bahan seks dan diperlakukan seperti patung. Tetapi, lebih menyedihkan kaum wanita ini sendiri rela diperlakukan sedemikian rupa. Salah siapa?

Dalam dunia yang kian mencabar, rupa paras menarik tidak begitu penting. Realitinya, kecantikan intelek lebih diperlukan dalam mengharungi kehidupan. Islam begitu menitik beratkan budaya ilmu dikalangan penganutnya sama ada lelaki mahupun wanita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.”Hadith ini jelas menunjukkan ilmu sangat penting dalam Islam. Islam tidak pula memisahkan ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kedua-duanya bersatu dan membentuk satu integrasi ilmu acuan Islam dan natijahnya pembentukan personaliti seseorang lebih holistik dan lahirlah manusia Islam yang berilmu, beriman dan beramal soleh.

Kita selalu mendengar ungkapan, “tangan yang menghayun buaian mampu menggoncangkan dunia.” Wanita yang bergelar ibu bertanggungjawab besar dalam mendidik anak-anaknya seiring dengan landasan Islam. Integrasi ilmu dan kecantikan intelek kaum wanita mampu melahirkan satu generasi manusia yang bertamadun tinggi. Untuk menggilap minda seorang wanita Muslimah yang berjaya, aktiviti pembacaan bahan bacaan yang ilmiah dan berkualiti adalah kuncinya. Pembacaan ini harus disertai dengan akal fikiran yang kritis dan kreatif. Oleh itu, ia menggalakkan aktiviti berfikir yang akan menjadikan minda kita lebih tajam malah boleh menguatkan ingatan seseorang. Selain itu, kecantikan intelek wanita lebih terserlah bilamana dia berbicara, kata-katanya selalu bernas dan penuh hikmah. Pandangan hidup menjadi lebih luas dan luar dari kebiasaan dengan visi dan misi yang terarah. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawasanya kecantikan intelek para wanita yang menentukan dan mencorak satu generasi yang berjiwa dan berminda besar yang akhirnya menggoncangkan dunia dengan kelahiran dan kebangkitan Islam bagi menunaikan misi membawa keamanan dan kesejahteraan manusia sejagat.




Kecantikan akhlak dan budi.

Agama Islam menuntut penganutnnya supaya memberi komitmen yang tinggi terhadap ajaran Islam. Komitmen ini terpancar melalui nilai akhlak dan tingginya budi pekerti seseorang individu Muslim. Wanita muslimah yang solehah adalah perhiasan yang paling indah di alam ini. Sejuk mata memandang wanita yang berpakaian sopan menutup aurat, luhur hatinya, cantik budi bahasanya dan sopan gerak gerinya. Itulah kecantikan sebenar seseorang wanita Islam. Kecantikan abadi yang tiada luntur dimamah usia, malah kecantikan akhlak Islamiyyah ini akan disegani dan dihormati oleh ramai orang. Apalah makna cantik pada rupa dan fizikal tetapi buruk akhlaknya. Sifat-sifat mahmudah yang tertanam dalam diri wanita menjadikan wanita lebih cantik walau punya rupa paras sederhana.

Penjagaan rupa paras dan fizikal tidak pula dihalang dalam Islam. Diri kita adalah amanah dari Allah ysng harus dijaga sebaik mungkin. Secara peribadi, tidaklah salah kita menggunakan produk perawatan dan kesihatan diri selagi mana terjamin halalnya, bebas dari bahan-bahan yang mendatangkan mudarat, tidak pula mengubah ciptaan Allah dan tidak pula menyebabkan pembaziran yang melampau-lampau. Dengan persekitaran yang teruk tercemar dan pemanasan global, keadaan ini menuntut kita lebih melindungi dan menjaga diri dari kesannya yang bahaya. Kecantikan individu Muslimah akan lebih terserlah dengan mempunyai kesihatan tubuh badan yang baik dan cergas.

Kesimpulannya, wanita adalah makhluk yang tercantik dan sangat subjektif bagi setiap individu. Janganlah terlalu taksub dengan kecantikan zahir semata-mata. Hargailah diri anda seadanya kerana anda adalah anda dan kerana dirimu begitu berharga. Namun yang sangat pasti, kecantikan acuan Islam adalah yang terindah. Islam sangat menjaga kecantikan wanita. Disebabkan itu, kita disuruh menutup aurat selain ingin membezakan wanita muslimah dengan wanita bukan Islam. Kecantikan wanita Islam tidak perlu mengeluarkan wang beribu-ribu untuk kecantikan lahiriah. Cukup dengan mambasahi diri dengan berwuduk yang memberi sinar gemilang pada wajah. Kecantikan dalaman dengan hati yang ikhlas dan tenang tersirna dengan akhlak yang luhur. Minda yang positif dan cerdik pula menjadi perhiasan wanita. Natijahnya, kecantikan zahir dan batin wanita muslimah mampu membentuk satu generasi yang bertamadun tinggi dan berjiwa rabbaniy. Wallahu’alam
.