Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Thursday, August 17, 2017

BAGAIMANA BIJAKSANA DALAM BERCINTA?



Thursday, February 9, 2012

CINTA ITU SANGAT MENGASYIKKAN


Cinta terlalu asyik untuk dinikmati. Akibat keasyikan itu, ramai anak-anak muda Islam tenggelam dan lemas dalam lautan cinta yang tidak bertepi. Sehingga muamalah antara kaum Adam dan Hawa melampaui batas syarak.


Kesucian cinta Nabi Adam A.S dan Hawa yang dinikahkan sendiri oleh Allah Ta’ala tercalar akibat cucu-cicitnya yang terlalu menurut gelora nafsu. Hari ini, boleh dilihat bagaimana anak-anak muda begitu bebas lepas dalam pergaulan atas tiket cinta.


Lebih parah, ada segelintir ibu bapa era milenium yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak mereka hanyut di buai ombak cinta. Perasaan cinta dijadikan alasan untuk menghalalkan yang sedia haram dalam agama.


Akibatnya, sering terpapar di media-media massa dan elektronik bahana dan malapetaka apabila cinta yang di jalin membelakangkan syariat. Maka, jika dulu jarang-jarang kedengaran penyakit sosial, kini budaya khalwat dan zina, mengandung dan melahirkan anak ‘tidak sah taraf’, buang anak, lari ikut kekasih dan pelbagai lagi atas nama cinta tidak lagi lagi menjadi kehairanan yang ajaib.


Semasa penulis bertugas sebagai pengurus kerohanian di sebuah rumah perlindungan wanita Islam di Shah Alam, didapati percintaan adalah sebab utama para penghuni terjebak dalam zina dan mengandungkan anak luar nikah hatta seawal umur 15 tahun. Malah ia juga dijustifikasi oleh sebuah laporan oleh Malaysian Healthcare Sdn. Bhd yang dibuat oleh Durex 2002 ke atas 2,500 lelaki dan wanita berbilang bangsa di Malaysia dalam lingkungan umur 18-30 tahun yang mengatakan percintaan sebagai faktor utama responden dalam kajian terlibat dalam seks bebas. (Farawahida Mohd Yusof & Norazila Sugiman, 2011 yang dipetik daripada Mohammad Shatar Sabran, 2003: 128.)


Buka sahaja akhbar, ada sahaja berita pilu keruntuhan akhlak dan moral yang pelakunya adalah segolongan besar generasi muda sebaya yang beragama Islam. Sungguh parah sehingga ada yang menyalahkan cinta! Adakah salah cinta?


Keasyikan cinta sebenar


Silap. Cinta itu tidak salah. Yang salah ialah pelakunya yang tidak tahu menikmati anugerah Allah yang terindah itu. Terdapat pelbagai peringkat cinta, namun cinta yang berada di tingkatan yang tertinggi adalah cinta yang apabila segala-galanya didasari Lillahi Ta’ala.


Tiada yang boleh dijadikan galang-ganti untuk membeli cinta agung tersebut kecuali keimanan yang tinggi pada Tuhan-Nya seperti cintanya ahli sufi mukminah Rabi’atul Adawiyah yang tenggelam dalam keasyikan cinta bersama Rabb-Nya, Rabb kita semua Allah ‘Azza Wajalla. Subhanallah.


Namun sungguh sukar untuk mencapai cinta teragung tersebut bagi kita manusia biasa yang hidup di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan dugaan. Justeru, pintalah bersungguh-sungguh kepada Allah agar diri ini bertemu cinta dengan seseorang yang membawa kita kepada keTawhidan-Nya.


Bukalah pintu hati untuk menikmati cinta dengan ikatan perkahwinan sebagai wasilah pembuktian kepada keagungan Tuhan yang menciptakan segala sesuatu di alam ini beserta pasangannya. Allah Ta’ala berfirman dalam surah Yaasin, ayat 36 mafhumnya, “ Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”


Cinta adalah anugerah Allah kepada kita. Justeru sunnatullah menyebabkan lelaki dan wanita saling tertarik dan jatuh cinta. Untuk itu, Islam telah menunjukkan kita jalannya untuk menyemai cinta yang bersemi melalui pernikahan. Melalui pernikahan, akan dapat kita rasai keasyikan sebenar perasaan cinta itu.


Permudahkan urusan perkahwinan


Pernikahan adalah sebahagian dari tuntutan agama. Maka, bagi seseorang lelaki Muslim dan wanita Muslimah yang berkahwin telah lengkaplah sebahagian daripada imannya kepada Allah Ta’ala. Subhanallah. Indah sungguh ajaran Islam!


Tetapi malangnya, keindahan itu terbantut apabila perkahwinan telah diberat-beratkan dengan hantaran yang melambung-lambung mahalnya. Jalan yang sepatutnya mudah untuk menyatukan dua hati yang sedang asyik bercinta disusah-susahkan.


Natijahnya, hilang kenikmatan cinta apabila selepas perkahwinan, hutang keliling pinggang, hidup pula resah gelisah mengenangnya. Kenapa perlu dibebankan perkara-perkara yang baik dalam agama? Tidak perlu majlis gah untuk pembuktian cinta, cukup sekadarnya bagi menghebahkan sebuah ‘masjid’ telahpun terbina.


Pernahkah pula kita mendengar mafhum sebuah hadith sahih sanadnya iaitu perempuan yang berkat itu adalah yang ringan maharnya, mudah dinikahi dan baik akhlaknya? Jika anda kasihkan pasangan cinta anda, ringankanlah kaum Adam untuk melengkapkan sebahagian iman. Namun begitu, bagi kaum Adam pula, janganlah di ambil mudah dalam keterbatasan itu. InsyaAllah, jika konsep perkahwinan Islami difahami dengan tuntas oleh setiap pasangan bercinta, keberkatan akan mengiringi hidup berumah tangga hingga ke akhir hayat dengan izin-Nya. Wallahu’alam.


Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.

Beliau juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-Abim)
Beliau boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com atau Facebook (Faridah binti Mohd Tap)

Tuesday, October 11, 2011

CINTA MONYET TAK KESAMPAIAN


Aku terima mesej ini dari 2222_ pagi tadi:
RM0.00
Walaupun Kay & Siti bercinta sejak di bangku sekolah, cinta mereka x kesampaian. Dapatkan kisah2 cinta monyet yang mengecewakan. Hantar ON CK ke 2222_. RM1/ minggu.


Dalam hati, terbit perasaan lucu.


“Macam-macam.” Kataku perlahan sambil menggelengkan kepada dan tersengih.
Lepas mesej itu dibaca, terus aku tekan butang ‘padam’. Tak terlintas difikiranku untuk ambil tahu kisah-kisah cinta monyet yang mengecewakan.

Tapi, aku yakin ada dikalangan remaja sekolah diluar sana yang akan melanggan untuk mengetahui pelbagai kisah cinta monyet tak kesampaian itu.

Cinta monyet???

Mesti kita pernah mendengarnya ketika di bangku sekolah.

Apa sebenarnya maksud cinta monyet ye? Kenapa monyet?

Hmmmm…menarik untuk difikirkan.

Monyet merupakan seekor haiwan yang sangat hiperaktif. Jika kita perhatikan tabiat monyet, ia sangat lincah dan tidak tekun dalam satu-satu perkara. Contohnya, jika ia sedang makan, ia sekadar cuit2 kemudian buang. Lepas tu makan lagi kemudian buang dan begitulah seterusnya.
Mungkin disebabkan tabiatnya itu, orang-orang tua menggambarkan cinta sekejap2 ini sebagai cinta monyet. Nampak gadis lain berdahi licin, terus ‘try’ untuk test ‘saham’. Katanya ‘dikaulah cinta sejati bla…blaa….blaa… Kemudian, jumpa lagi gadis berdahi licin, ‘try’ lagi. Makin banyak gadis berdahi licin yang didekati, semakin tinggi saham. Tabiatnya sama..cuit sikit-sikit, pegang-pegang kemudian buang cari yang lain. Kalau yang liar sikit, habis diragutnya kesucian si gadis. Lepas tu habis madu sepah dibuang…

Itulah cinta monyet. Cinta yang tiada arah tujuan, hujung pangkal. Hanya sekadar untuk saja-saja dan berhibur. Sebab itu cinta monyet tak kesampaian.


Nota Mimosa:

Ok, nasihat untuk si gadis dan si teruna. Hati-hati dengan panahan cinta. Jangan terjerat dengan cinta yang membinasakan sudah. Jaga diri, iman dan akhlak ok. Semoga kita semua dilindungi dari penahan cinta nafsu dan syaitan, Amin Ya Rabb.

Wassalam.

Wednesday, August 24, 2011

TERTIPU DEK CINTA


“Kenapa kamu tidak hadir ke kelas untuk beberapa minggu?” tanyaku kepada seorang pelajar perempuanku.
“Kamu tahu, kamu tidak hadir selama 9 jam iaitu waktu maksimum dan ini bermakna kamu tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan akhir semester.” Tambahku lagi.
Pelajar itu tetap tenang mendengar satu demi satu kalimat yang keluar dari mulutku.
“Dan, kenapa kamu tidak berjumpa dengan cikgu walau sudah beberapa kali di minta berbuat demikian?” tanyaku sedikit tegas.
“Saya takut nak berjumpa cikgu.” Jawabnya ringkas.
“Cikgu bukan makan orang sampai kamu nak takut.” Balasku berseloroh.
“Okay, terus kepada sebab kamu gagal hadir ke kelas selama 4 minggu. Kamu ada masalah yang mahu dikongsi?”
“Hmmm…saya tak dating sebab saya ada masalah peribadi dan kesihatan cikgu.”
“Masalah peribadi dan kesihatan? Jelaskan dengan lebih lagi supaya cikgu faham.” Tanyaku lagi sebagai provokasi.
“ Biasalah cikgu, masalah remaja.” Jawabnya ringkas.
“ Masalah remaja? Kawan-kawan sekelas kamu yang lain juga remaja, tapi tetap hadir ke kelas. Apa sebenarnya masalah remaja kamu itu? Cinta?” tanyaku lagi tidak puas hati dengan jawapan ringkasnya itu.
“Ya cikgu. Sebenarnya saya ada couple dengan seorang senior sem 5, tapi baru-baru ini saya dapat tahu dia dah ada makwe. Saya rasa tertipu dan kecewa. Semua orang dan ada pensyarah yang tahu saya couple dengan dia. Bila dapat tahu ditipu, saya rasa rendah diri. Orang mula pandang saya sinis. Saya malu dan berkurung dalam bilik melayan perasaan. Sebab itu saya tak dating kelas. Saya tidak mahu terserempak dengan dia di sini.” Katanya panjang lebar.
“hmm, kamu rasa betul ke tindakan kamu itu? Kamu tak rasa rugi merosakkan prestasi akademik kamu hanya kerana cinta palsu seorang lelaki tersebut? Kamu tak rasa sia-sia sedang kami bersedih, mengurung diri, lelaki itu tetap menjalani kehidupannya dengan gembira?”
“Saya tahu tindakan saya itu tidak betul, tetapi saya dah okay sekarang cikgu.” Jawabnya.
“Saya akan lebih fokus dalam akademik saya selepas ini.” Tambahnya lagi.
“Bagus! Cikgu tidak dapat nafikan zaman remaja merupakan zaman yang kamu mencari cinta untuk melengkapkan self-esteem dan cinta itu sendiri sifatnya universal. Ia hadir tanpa dipinta. Ia merupakan kurniaan dan nikmat Tuhan yang terindah untuk hambaNya. Tetapi, tidak semua orang tahu mengendalikan cinta. Maka cinta yang sepatutnya indah tercemar dan menyebabkan kelalaian dan kesengsaraan. Justeru, dalam konteks begini, cinta itu tidak dibenarkan. Jadi nasihat cikgu, buat masa sekarang, usahlah difikirkan tentang cinta. Kamu masih belasan tahun dan banyak lagi impian yang harus kejar. Cikgu tidak mahu kamu hanyut dalam dunia sendiri tanpa panduan orang dewasa yang makan garam lebih kamu. Cikgu tidak mahu kamu terus-terusan hidup dalam bayangan silam dan membuang masa melayani perasaan kecewa sedangkan setiap detik harus dilalui dengan tenang dan gembira untuk mencapai impian dan kejayaan.” Nasihatku padanya panjang lebar.
“Baik cikgu, saya akan cuba.” Jawabnya.
“Cikgu akan pantau kamu dari semasa ke semasa. Cikgu tak nak kamu duduk sini bertahun hanya untuk ulang semula semester. Cukuplah sekali. Mulai sekarang, tolong fokus dan komited dengan pelajaran kamu. Ingat kamu menggalas cita-cita dan impian emak ayah kamu. Sampai bila kamu mahu terus menipu ibu bapa kamu?”
“Baik cikgu. Saya usahakan.” Jawabnya perlahan tanda penyesalan.
Pertemuanku dengan pelajar terbabit berakhir. Kami bersalaman dan berpeluk sebelum masing-masing menuju ke destinasi masing-masing.
Nota Mimosa:
C.I.N.T.A OH C.I.N.T.A??????

Tuesday, May 24, 2011

SINDROM KAHWIN LAMBAT


Alhamdulillah di atas segala ruang dan peluang dari-Nya yang membolehkan aku menikmati alam ciptaanNya.

Aku tertarik dengan sebuah rencana dalam Utusan Malaysia (23 Mei 2011) yang melaporkan kebimbangan LPPKN mengenai kelewatan wanita berumur 25-29 serta 34-35 bagi golongan lelaki yang masih bujang.

Kebimbangan ini ada asasnya kerana negara Malaysia sedang mengalami kemerosotan perkembangan populasi penduduk atau istilah lain produktiviti keluarga.

Salah satu dasar negara yang ramai tidak mengetahui adalah Dasar Kependudukan Malaysia ke Arah 70 Juta. Dasar ini pertama kali diutarakan oleh bekas Perdana Menteri ke-empat, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1982. Menurut beliau, negara akan lebih berjaya jika mempunyai penduduk dan rakyat yang ramai.

Secara kasarnya, dasar ini menggalakkan rakyat Malaysia berkahwin dan mempunyai anak-anak yang ramai (5 orang bagi setiap pasangan) untuk memastikan perkembangan dan kemajuan negara di masa hadapan. Namun, rasional yang diketengahkan adalah seperti dipetik dalam http://www.ipislam.edu.my yang menyatakan,

"Rasional untuk mencapai matlamat kependudukan 70 jjuta adalah untuk menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri-industri tempatan. Ini akan mengujudkan keadaan persaingan dalam pasaran dan selanjutnya akan meninggikan daya dan mutu pengeluaran untuk eksport. Pertumbuhan adalah dianggap
sebagai modal yang utama untuk kemajuan ekonomi dan sosial sesebuah negara, disamping itu ianya juga dapat meningkatkan daya pengeluaran ekonomi. Dengan yang demikian, adalah wajar angkubah-angkubah demografik ini diambil kira di dalam perancangan pembangunan untuk mempastikan kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kebajikan yang berterusan."

Justeru, kemerosotan produktiviti keluarga dianggap isu penting negara kerana impaknya jika tidak ditangani hanya akan merugikan negara di masa hadapan. Jiran terdekat negara, Singapura sendiri mengalami masalah ini. Singapura dijangka diduduki oleh penduduk warga emas jika setiap pasangan yang berkahwin menghadkan anak kepada 1-2 orang sahaja. Ini bertambah teruk apabila, ramai generasi mudanya berhijrah ke negara lain.

Adakah kita mahu Malaysia jadi sedemikian rupa?

Sebenarnya banyak faktor yang menghalang generasi muda, lelaki dan wanita Malaysia menangguhkan perkahwinan, dan menghadkan kelahiran anak. Alasan yang selalu diberi, EKONOMI belum stabil.

Hmmm, no comment.

Nota Mimosa:

Aku boleh bersuara dan menulis berkongsi kebimbangan, tetapi aku bukanlah orang yang tepat sebab aku sendiri belum berumahtangga dan berkeluarga. hehe :)

Tapi, jika diberi peluang, rezeki itu akan tiba jua. Dan aku yakin, itu juga diharapkan oleh semua sebagai tuntutan kepada fitrah semulajadi manusia.

Sementara itu, jom kita belajar, mendalami dan menghayati konsep perkahwinan selari dengan ajaran agama. Semoga semua urusan kita semua dipermudahkan. Amin Ya Rabb.


Thursday, March 24, 2011

Ikan di Lautan




Suatu petang, aku memanggil seorang pelajar wanitaku untuk sesi nasihat sosial. 1001 masalah terpancar melalui riak wajahnya telah memotivasi aku untuk bertemu dengannya di pejabat.

"Apa khabar?" tanyaku sejurus dia duduk di kerusi yang disediakan.

Wajah sayunya hanya tersenyum hambar.

"Macam mana belajar, exam EAP yang lepas?" Tanyaku lagi.

"Tak cukup masa untuk jawab." Jawabnya ringkas.

"Hmmm, kamu mesti tahu kenapa cikgu panggil kamu untuk berjumpa? " Tanyaku kepadanya tanpa berselindung.

"Cikgu tahu kamu ada masalah. Kamu mahu berkongsi?" pelawaku.

Dia hanya tersenyum.

"Baiklah, di sini ada sehelai kertas, kalau kamu berat untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, kamu boleh tulis di atas kertas ini. " Aku menghulurkan kepada pelajarku itu sehelai kertas A4.

Dia menyambut dan mula menulis lambat.

"Saya tak tahu nak tulis apa lagi. " Katanya kepadaku sambil menghulurkan kertas yang ditulis masalahnya kepadaku.

Dari kertas itu, pokok permasalahan yang menyebabkan pelajar terbabit muram sentiasa adalah faktor kawan-kawan sekelas dan sebilik, keluarga dan 'pakwe'.

Aku minta dia jelaskan satu persatu.

Panjang lebar dia bercerita, Dari A hingga ke Z. Semua dicerita tanpa selindung walaupun membuka pekung di dada sendiri.

Aku mendengarnya dengan teliti dan tidak meletak sebarang penghakiman atau konklusi awal. Aku membiarkannya meluahkan segala-galanya sehingga ke satu tahap dia mengeluarkan air mata.

"Saya bukan tidak mahu berubah, tetapi kawan-kawan tidak menyokong. Mereka selalu pandang sinis pada saya."

Aku mendengar luahannya. Aku tahu sejarah silam hitam masih lagi menghantui dirinya. Apatah lagi apabila diketahui umum.

"Jadinya, bagaimana kamu hadapi masalah kamu itu? "tanyaku lagi.

Saya jarang berada di bilik, selalu menyendiri. Kekadang petang saya akan ke pekan buang masa dan duduk melepak di tangki air menangis.

Selainnya?' tanyaku lagi.

"Saya mula merokok." Jawabnya jujur.

That' s it. Akhirnya dia mengaku dia mula terjebak dalam aktiviti merokok.

Sehingga kini, dia tidak tahu rokoknya yang hilang ada di rumahku. (Kawan sebiliknya memberi kepada teman sejawatku)

Tujuan sebenar aku panggil pelajar terbabit adalah untuk membuat khidmat sosial kepada pelajar-pelajarku yang di dalam dilema.

Aku tidak mahu menjadi pengajar semata-mata, tetapi pendidik dimana pelajar-pelajarku boleh beroleh manfaat lain dariku.

***

Kepada wanita, kenapa habiskan masa berendam air mata menangisi kisah lalu? Kenapa biarkan diri dirundung malang yang dicari sendiri? Kenapa biarkan diri menyalahkan orang lain dan suasana kepada kejahilan diri yang dicipta sendiri? Kenapa biarkan diri dibelenggu emosi sehingga membuat tindakan melulu yang merosak diri? Kenapa biarkan???? kenapa biarkan????

Pesanku di akhir kaunseling panjang lebar bersama dengan pelajarku itu,

"Tidak salah untuk kita berubah. Berubah dan berhijrah itu satu keperluan untuk pembaikan diri. Lupakan kenangan dosa lalu. Tutup buku untuk riwayat hidup dulu. Mulakan sekali lagi. Buka buku baru dan coretkan dengan kejayaan demi kejayaan dan kebahagian demi kebahagiaan. Bukan ditulis dengan air mata kesedihan.

Cuba belajar daripada ikan di lautan. Walaupun air laut itu masin, tetapi ikan tidak sedikitpun terjejas dengan kemasinan air laut tersebut. Begitu juga kita, untuk berubah perlukan jati diri yang kuat. Bila jati diri dan azam kuat untuk berubah, tidak mungkin kita akan goyah walaupun persekitaran seperti kawan-kawan, keluarga hatta pakwe sekalipun tidak membantu kepada pembaikan diri. Ambil semangat ikan di lautan. Pelajari darinya. InsyaAllah, semoga semua urusan kamu dipermudahkan."

Perbualan terhenti selepas satu jam bersamanya. Pelajarku itu akhirnya meminta diri untuk pulang.

"Kalau perlukan teman bicara, cikgu cuba untuk ada, " Kata-kata itu terkeluar di akhir perbualan sebelum dia menyalami tanganku dan beredar pergi.

"Terima kasih cikgu, " Katanya.

" Sama-sama, " jawabku perlahan.


Monday, November 22, 2010

KERANA CINTA, KELUARGA DISISIHKAN


“Biarlah dia pilih jalan hidup sendiri. Kami dah penat!”, itulah luahan seorang ahli keluarga kepada seorang remaja wanita yang lari mengikut teman lelakinya.
Tiada ibu bapa didunia ini yang mahukan anak-anaknya menjalani kehidupan yang susah. Semua ibubapa mengharapkan anak-anaknya menikmati kehidupan yang bermakna, bahagia dan seiring redhoNya. Lantaran itu, ibubapa akan kerap menasihati, memberi bimbingan supaya anak-anak tidak tersilap pilih jalan.
Namun, semua impian hancur bila anak gadis mula mengenali dunia cinta. Kekadang semua pesanan dan nasihat ibubapa dilupakan begitu sahaja. Kerana mengejar cinta seorang lelaki yang terbukti tidak jujur, keluarga disisihkan, ibubapa diabaikan, perasaan keduanya dilukai. Habis puas dinasihati oleh ibubapa dan ahli keluarga, namun semuanya ibarat mencurah air di daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Sudahnya, remaja wanita tersebut mengambil keputusan melarikan diri walau diri telah didera, dilukai oleh lelaki yang kononya cinta sejatinya.
KERANA CINTA ITU, MATA HATI BUTA.


Lantaran kuasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada si lelaki, maruah diri diserahkan tanpa segan silu walau tiada sebarang ikatan yang menghalalkan persetubuhan. Daripada penzinaan tersebut, terhasil seorang janin yang sedang membesar di rahim si remaja wanita tadi. Diri dipukul, dikurung, duit ditipu, tidak sekalipun memberi keinsafan kepada remaja wanita tersebut. Cinta terhadap sang lelaki tetap utuh disanubari. Kerana cinta itu, mata hatinya buta untuk menilai antara kaca dan permata.


Ini merupakan satu kejadian benar yang menceritakan kepada kita gejala gadis melarikan diri kerana cinta. Menariknya, 99.9 peratus kes hilang kerana cinta adalah melibatkan golongan perempuan,namun ada juga sebilangan lelaki lari mengikut kekasih. Kesemuanya melibatkan golongan bumiputera bukan Islam. (Kosmo Online, 22 Jun 2009).
Mengikut sebuah laporan, setiap hari dua orang gadis lari ikut kekasih. Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam PDRM, daripada 25,243 orang dilaporkan hilang lima tahun lalu, seramai 3,957 atau hampir 16 peratus membabitkan kes mengikut kekasih. (ibid.)
Tambahan lagi, remaja wanita Melayu lingkungan 14 hingga 17 tahun merupakan penyumbang terbesar kepada satistik gadis hilang di Malaysia pada tahun 2000 hingga 2006. Gadis hilang demi cinta merupakan faktor utama kehilangan di Negara ini sejak kebelakangan ini. Ini sudah tentu merupakan perangkaan yang merisaukan kerana gadis hilang kerana cinta tersebut mungkin terpedaya dengan tipu muslihat kekasih hati yang ingin menjerat mereka ke lembah pelacuran, jenayah rogol, bersekedudukan dan lain-lain.
KELEMAHAN JATI DIRI SEBAGAI PUNCA UTAMA
Bukan sedikit jumlah remaja wanita yang tertipu dengan pujukan manis sang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dimana silapnya? Walau dibentang puluhan sebab-musabab sekalipun, pokok pangkal kepada gejala ini adalah kelemahan jati diri sebagai Muslimah khususnya.
Jati diri sebagai Muslimah berdiri diatas asas yang rapuh. Iman senipis kulit bawang terus-terusan dibiar sehingga mudah sekali dirobek dengan satu kali sentuhan. Kewajipan dan tuntutan agama diabaikan. Putus asa, kecewa dan tidak yakin menghiasi pembinaan karekter diri. Akibatnya, hidup dipandu dengan emosi dan nafsu yang menghancurkan diri. Maka apabila dihujani dengan pujuk rayu cinta duniawi, diri tersungkur menyembah bumi dan kerana diturutkan kata hati, badan binasa habis dilukai.
Berbahagialah menjadi muslimah sejati. Menutup aurat, tuntutan rukun iman dan Islam dilaksana dengan penuh keikhlasan. Diri dihiasi adab sopan yang tinggi, yakin diri, rajin menuntut ilmu barulah akan terlahir jati diri yang kuat. Walau ditiup angin kencang dugaan dan pujuk rayu, semuanya mampu ditepis dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Rabbul ‘izzati. Hati tetap teguh, “AKU MAHUKAN REDHO ALLAH DALAM KEHIDUPAN SINGKAT INI.” wallahu’alam.

Sunday, October 24, 2010

BILA SUDAH TERLANJUR...



DAPAT ANAK DAHULU SEBELUM BERNIKAH
“Selepas melahirkan bayi ini, saya akan menikah dengan lelaki, bapa kepada bayi ini”, kata seorang penghuni di salah sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam yang menjawab pertanyaanku tentang perancangan perkahwinannya selepas terlanjur berzina.
Berkahwin sesudah melahirkan anak diluar pernikahan mungkin bukan lagi satu kejutan ditengah-tengah kancah penzinaan yang berleluasa dewasa ini. Malah ia seperti trend yang direstui oleh masyarakat lantaran kejahilan diri tentang dosa dan pahala. Penerimaan budaya ini seolah-olah membenarkan zina dan mengganggapnya sebagai perkara kecil, bukan lagi suatu dosa besar.
Setelah diri disahkan hamil luar nikah lantaran maksiat tersebut, diri tidak keruan. Resah menemani kehidupan sehari-harian. Akal tidak berfungsi secara waras. Pasangan lelaki tidak ambil peduli, meninggalkan mereka terkontang-kanting mencari jalan keluar.
Ada yang berhasrat menggugurkan janin yang sedang membesar di dalam rahim mereka, ada yang gembira kerana ia bukti cinta kepada pasangan walaupun jelas haramnya, ada juga yang tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan, tetapi mahu diserahkan kepada orang lain, malah yang paling keterlaluan, bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja seperti sampah.
Walaupun begitu, tidak banyak yang mengambil pendekatan bernikah setelah disahkan hamil. Ada yang ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan zinanya kerana memikirkan kehidupan diri dikemudian hari. Mereka tidak yakin pasangan lelaki itu mampu menjaga mereka dengan baik. Inilah yang begitu mengecewakan. Di saat inilah timbul keinsafan di kalangan remaja wanita yang terlanjur. Andai masa boleh diputar kembali, ramai yang ingin memperbetulkan segala kesilapan. Namun semuanya tinggal harapan yang mustahil untuk dicapai. Satu-satunya jalan, BERTAUBAT NASUHA dan memulakn episod kehidupan yang baharu.
SOLAT SEBAGAI PERISAI DIRI
Perbualan hati ke hati bersama remaja-remaja wanita yang terlanjur di rumah perlindungan wanita tersebut membawa kita kepada satu kesimpulan penting. SOLAT MENCEGAH DIRI DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR! Kesemua mereka mengakui pengabaian kepada rukun Islam yang kedua itu menjadi faktor utama kepada terjerumusnya diri ke lembah keji penzinaan.
Solat acap kali ditinggalkan sewenang-wenangnya. Solat fardhu tidak pernah cukup lima waktu sehari semalam apatah lagi solat-solat sunat yang lainnya. Diminta untuk membaca bacaan dalam solat, ramai yang gagal membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan solat tunggang-langgang. Solat dianggap perkara yang membebankan. Sembahyang tidak terasa sebagai kewajipan syariat yang wajib dipenuhi. Natijahnya, tiada perisai yang melindungi diri daripada maksiat. Perisai itulah yang dinamakan solat.
Kepentingan kewajipan solat ini tidak dapat diragukan lagi kerana amalan pertama yang akan ditanya di alam kubur kelak adalah tentang solat. Nah, solat amat penting sekali dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim selain akidah yang sahih.
Walaupun begitu, ramai juga yang mengerjakan ibadat solat ini, namun masih lagi terikat dengan dosa dan maksiat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Bagi menjawab persoalan ini, kita boleh mengatakan sembahyang yang dikerjakan itu tiada rohnya. Sepertimana jasad kita, kalau tiada roh, mana mungkin kita boleh bergerak kesana-kemari. Roh inilah yang menghidupkan jasad kita. Roh yang sihat melahirkan jasad dan perawakan peribadi yang sihat dan begitulah sebaliknya.
Begitulah sama halnya dengan solat. Solat yang tiada roh, kaku dan membebankan serta tidak menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang menjahanamkan diri sendiri. Tanda solat yang diterima oleh Allah Ta’ala adalah yang mencegah seseorang daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar syariatNya, yang dapat membentuk akhlak mulia seseorang itu selain mempunyai nur keimanan diwajah si pelakunya.
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa ubat kepada penyakit sosial seperti penzinaan, buang bayi, rasuah dan lain-lainnya adalah SOLAT. Penekanan kepada aspek solat dan hikmah kepentingannya harus dipupuk sedari anak-anak masih kecil. Ibarat kata-kata orang lama, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendalam sekali pepatah tersebut, kerana apabila umur semakin menginjak dewasa, diri semakin liat untuk melakukan sesuatu kerana sudah terbiasa. Untuk keluar dari kebiasaan, ia memerlukan kemahuan yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh selain rahmat dan hidayah dari Allah Ta’ala.
Selain itu, pendidikan kerohanian dan fardhu ‘ain amat penting dalam pembentukan jati diri Muslim soleh sebelum ilmu-ilmu lainnya. Kerohanian yang terdidik dapat membantu seseorang untuk mengawal nafsu yang secara fitrahnya tidak pernah puas. Aktiviti-aktiviti seperti menunaikan solat berjemaah, berzikir, mentadabbur Al-Qur’an, menghafaz kalamullah, qiyammulail, membaca bahan bacaan berunsurkan keagamaan dan tasawuf amat penting dalam melahirkan nafsu yang terdidik mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.
Wallahu’alam.

Thursday, October 21, 2010

JODOH ITU RAHSIA ALLAH


Persoalan jodoh memang sukar untuk dimengerti. Namun Allah telah berjanji, setiap diri kita sudah tertulis jodohnya semenjak kita di alam rahim ibu kita lagi. Ada beberapa teman wanitaku yang mengadu nasib tentang kerisauan mereka mengenai umur yang semakin meningkat, tapi bayangan jodoh belum lagi kelihatan. Aku diam, tidak berkata. Fikiranku ligat berfikir mengenai perihal jodoh ini.
Ramai temanku, merasa rendah diri kerana masih lagi belum berteman. Mereka merasa kerdil kerna keinginan mahu bernikah sudah ada, tetapi, tiada lelaki yang datang menyahut seruan dan harapan sanubari.
Aku berasa sangat simpati. Aku seringkali menasihatkan teman-temanku, “ InsyaAllah, jodoh akan ada, cuma cepat atau lambat bukan urusan kita tetapi Dia. Kita cuma perlu berusaha, berdoa dan bertawakal agar ditemukan dengan jodoh yang soleh dan beriman. Tidak di dunia, di akhirat pasti ada, jodoh itu rahsia Allah. Wallahu’alam.”
Lantaran luahan hati beberapa teman, aku terdorong bertanya sahabat-sahabat lelaki yang rapat denganku tentang apa yang dicari dan di ingini oleh mereka terhadap diri wanita untuk dijadikan suri hidup. Adakah rupa yang cantik menjadi prioriti, akhlak, kekayaan dan sebagainya yang menjadi ukuran?
Dalam banyak pendapat yang kuperolehi, aku tertarik kepada pendapat seorang teman yang istimewa bagiku. Pendapatnya kedengaran matang, dan aku seringkali gunakan untuk berkongsi bersama sahabat wanita yang lain.
Pendapat temanku yang masih segar dalam kotak ingatan,
“an ordinary man will be looking for looks (Beauty)..
For example, seorang lelaki yang suka kepada wanita yang berwajah bulat, akan memandang semua wanita yang berwajah bulat sebagai cantik, sport man pula akan memandang wanita yang berdada bidang, berotot sebagai cantik.
But, after several years, they feel unfulfilled. Satisfaction yang dirasakan hanya at surface. Then a man starts looking into himself, doing analysis about his real needs. Sebagai contoh, kalau dia pemalas, dia akan mencari pasangan yang rajin, boros akan cari yang penjimat, dan begitulah seterusnya.
Ringkasnya, temanku menyimpulkan...
“A man will look for a girl/ woman who can complete his form.”
Dan lagi dia menasihatiku...
“Don’t get confused between love and need. Love will sure perished by years but need not. Need is responsibility and honesty. You can have faith in it.”
Dan aku menambah pandanganku...
I believe in both love and need. Need comes first, then love will follow...
Dan kami percaya...
“As long as we need each other, anything else doesn’t matter..someday, we’re gonna make it.” InsyaAllah.
***
Nota Mimosa:
Persoalan jodoh adalah rahsia-Nya yang Maha ‘Alim.
Sehingga kini, aku teguh percaya setiap orang telah ditentukan pasangan jodoh masing-masing. Allah itu Maha Mengetahui keinginan setiap para hambaNya. Tiada satu manusia pun yang mahu hidup kesepian tanpa kehadiran teman hidup yang akan mewarnai episod kehidupan kita depan-depan. No man is an island. Kita manusia, bukan pulau yang tinggal keseorangan di tengah-tengah lautan yang terbentang luas. Walau bagaimanapun keadaannya, kita perlu berusaha mencari jodoh kita. Selebihnya, kita bertawakal..kerana “ Faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah”.