Showing posts with label Gerakan Pelajar Islam. Show all posts
Showing posts with label Gerakan Pelajar Islam. Show all posts

Tuesday, March 2, 2010

CORETAN SANUBARISusahnya cari pemimpin


Sudah beberapa kali aku terlibat dengan proses pemilihan pimpinan PKPIM UIAM, walaupun hanya sebagai pemerhati. Namun pemerhatianku bukan sekadar pemerhatian kosong. Aku melihat, mendengar dan menganalisis. Kesimpulannya, memang susah mencari pimpinan, lebih-lebih lagi pimpinan sebuah gerakan pelajar Islam.

Susahnya mencari pimpinan bukan sebab tiada calon, tetapi semuanya memberi pelbagai alasan, sehingga seolah-olah tidak ada calon pelapis pimpinan. Aku mendengar alasan-alasan tersebut, ada yang relevan, ada yang aku…tak tahu ar nak cakap macam mana…cakap lebih-lebih, nanti ada yang tersinggung. Erm…serba-salah nak cakap.

Daripada pemerhatianku, pelbagai alasan yang acap kali dibangkitkan antaranya ialah komitmen, kefahaman, prestasi akademik dan keluarga. Erm, aku nak berkongsi sesuatu dengan kalian mengenai perkara-perkara di atas. Pengalaman dan pandangan peribadi. Namun sebelum itu, semoga coretan hati ini tidak membenihkan perasaan riya’ pada diri. Cuma mahu berkongsi apa yang kurasa dan semoga kalian beroleh manfaat darinya.

Pertamanya, aspek komitmen. Alhamdulillah, bersyukur pada Ilahi kerana diri ini diberi kekuatan untuk melaksanakan segala amanah yang memerlukan komitmen yang tinggi dalam IYC, anak Negeri (KPIJ) dan PKPIM. Walaupun sekarang aku tidak lagi memegang jawatan dalam IYC dan KPIJ, tapi itu bukan alasan untuk aku tidak menyumbang dan memberi tunjuk ajar pada sahabat2 lain dalam kedua-dua lapangan tersebut. Aku tidak memerlukan jawatan untuk menyumbang, cukuplah kesedaran diri dan kefahaman tuntas dengan motto perjuangan HIDUP BIAR BERJASA. Lagi pula, aku berpegang pada prinsip,” kita memerlukan jemaah, dan jemaah memerlukan kita”. Maka, ku cuba istiqomah walau terpaksa melalui pelbagai dugaan yang mengguris rasa hati penyebab tawar hati….Astaghfirullahal ‘azim..

Keduanya, kefahaman. Terus terang aku kenal PKPIM semenjak di matrik, itupun aturan dariNya dan aku sangat bersyukur dengan segala ketentuan itu. Erm, untuk pengetahuan, aku tidaklah faham dengan perjuangan PKPIM semasa di matrik, sebab itu, aku sekejap ada, sekejap tak ada. Huhu. Tetapi, akhirnya aku terfikir sampai bila aku nak macam ini. Nak dijadikan cerita, pada suatu hari aku terjumpa buku tentang PKPIM di rumah, kepunyaan Pak Andakku. Aku membaca dan cuba memahami falsafah perjuangan PKPIM.

Aku mula tertarik. Beransur-ansur aku membeli buku tentang gerakan Islam hanya semata-mata untuk memahami dan mendalami kefahaman aku dalam gerakan Islam. Aku sungguh seronok dan bahagia. Aku tak punya cita-cita jadi pimpinan, tetapi sekurang-kurangnya aku boleh menjadi jundiy yang punya peranan. Yang paling penting, kefahaman menyumbang kepada Islam. Hendak sorang2, aku tak mampu. Jadinya, aku memilih untuk terlibat secara serius dengan PKPIM di UIAM Gombak. Aku tak kisah orang cakap apapun pasal PKPIM, yang penting, aku berasa selesa dengan perjuangannya selagi mana ia masih lagi dalam kerangka syarak. Lagi pula PKPIM ini sangat unik dengan pelbagai jenis dan ragam manusia. Daripada kepelbagaian itu, aku yakin rahmat Allah sentiasa mengiringi.

Ketiganya, alasan prestasi akademik yang merundum. Alhamdulillah, aku bermula dengan prestasi yang baik. Walaupun begitu, akademik aku juga pernah pernah merundum, terutama semasa aku menjadi calon perempuan tunggal PKPIM bertanding untuk SRC, dan semasa kematian ahli keluarga pada sem yang sama. Aku pernah mendapat markah yang sangat teruk untuk beberapa subjek dalam sejarah akademikku di UIAM, tapi aku boleh tersenyum lagi sebab semuanya atas kelalaian aku sendiri. Aku tidak salahkan PKPIM ataupun komitmen aku pada yang lain. Aku bangkit, dan terus bangkit memperbaiki prestasi pelajaran supaya lebih baik.

Aku berusaha agar keterlibatan aktif aku dengan PKPIM dan lainnya tidak menjadi punca kejatuhan aku dalam akademik. Aku tidak mahu ia menjadi fitnah pada gerakan pelajar Islam yang aku ceburi ini. Malah, aku cuba menjadi contoh pada sahabat lainnya yang bukan dari kalangan ahli jemaah yang selalu ‘bising’ dengan kesibukanku di dalam PKPIM. Prestasiku di dalam akademik bertambah baik dari hari ke hari. Kelebihan prestasi akademik kurnian Allah padaku itu digunakan untuk membantu sahabat2ku yang punya masalah dalam pelajaran. Sambil-sambil tu aku menceritakan pengalaman dan kepentingan menyumbang kepada masyarakat walau apa pun wadah yang dipilih. Mereka terima dengan baik, malah mereka juga membantu aku secara tidak langsung seperti memberi motivasi dan sebagainya.

Selain itu, aku membawa harapan kedua ibu bapaku yang hanya melalui prestasi yang baik dalam akademik dapat membuat mereka bahagia. Aku terhutang budi pada ibu bapaku kerana bergolok gadai membiayai persekolahan dan pembelajaranku di universiti. Sungguh, aku tak sanggup mengecewakan mereka, tapi pada masa yang sama aku sayangkan jemaah yang banyak mendewasakan aku. Sekarang tinggal kurang 2 bulan aku di UIAM dan menamatkan pelajaran. Alhamdulillah, prestasi akademikku di tahap yang baik, malah aku tetap di dalam gerakan ini menyumbang apa-apa yang mendatangkan manfaat hingga tamat kehidupanku di UIAM ini. Terima kasih ya Tuhan dengan segala rahmatMu padaku.

Keempatnya, keluarga. Erm, bohong aku katakan kalau aku tidak berasa ‘down’ dalam berjemaah terutama semasa kehilangan abang 2 tahun lepas. Komitmen aku pada jemaah dan pelajaran membuatkan aku mengorbankan cuti bersama keluarga di kampung. Hingga akhirnya, aku diduga dengan pemergian abang yang sudah lama aku tidak jumpa melainkan pada waktu cuti itu. Tapi, aku redho dengan takdir Tuhan. Aku tidak menyalahkan gerakan ini. Aku bangkit kembali kerana cintaku pada gerakan yang kupilih ini.

Sekarang, aku sentiasa nak balik kampung kalau ada kesempatan. Tambah-tambah lagi, untuk berjumpa kedua ibu bapa yang sudah mencecah 60 tahun keatas. Sungguh, waktu2 begini, adalah waktu-waktu akhir kehidupan manusia. Aku sedaya upaya mencari waktu agar masa terluang dengan ibu bapaku. Lagi pula aku risau dengan kesihatan ayahku, terutama setelah di tahan wad akibat ada masalah pada hatinya. Alhamdulillah, sekarang bertambah baik. Walaupun begitu, aku masih lagi risau. Aku mahu menghabiskan masa bersama ibu bapaku, supaya aku tidak menyesal satu hari nanti. Aku mahu berjasa pada mereka dan membuat mereka bahagia. Aku rindu untuk salam dan mencium wajah kedua ibu bapaku, kekadang tak dinafikan, aku suka nak manja2 dengan mereka berdua, (malunyer..haha) Walaupun begitu, aku tetap memberikan komitmen tidak berbelah bahagi pada jemaah. Aku bercerita tentang keterlibatanku dalam gerakan ini, mereka tidak kisah asalkan ia membawa manfaat pada diri dan tidak mengganggu pelajaranku. Aku bersyukur kerana ibu bapaku sangat memahami komitmenku, sampai kekadang aku terpaksa meminta duit daripada mereka untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Semoga ibu bapaku dirahmatiNya.

Dikesempatan ini, aku juga ingin menekankan tentang cinta. Aku sedar, ada yang terlibat dengan jemaah kerana cinta pada seseorang. Namun, ramai juga yang kecewa akibat cintanya tidak kesampaian. Malah, ada juga yang hilang terus dari jemaah. Sungguh sedih!!! Aku faham, di peringkat umur begini, kita tak mampu menolak perasaan cinta daripada hadir, kerana cinta itu milik Allah yang dilontarkan pada hati manusia. Namun, andai aku diberi pilihan, antara jemaah dan cinta, akan kupilih jemaah. Nak tahu sebabnya??? Kerana di dalam jemaah aku temui cinta. Bukan pada manusia, tetapi yang terutama pada Rabbul ‘Izzati, Rasulullah s.a.w dan warisan Nabawiyyah ini (InsyaAllah). Cinta pada insan lelaki hanya kepada dia (??? tak tahu siapa) yang memahami aku dan komitmen yang kupilih ini. Jadinya, mohon maaf pada sesiapa yang mendekati diri ini, tetapi aku terpaksa mengecewakan kalian atas pertimbangan ini jua. Semoga kalian berbahagia dunia akhirat.

Kesimpulannya, semua alasan yang sahabat2 ku lontarkan pada……sudah kulalui dengan jayanya. Aku teringat semasa aku dicalonkan untuk memegang amanah Tugas-Tugas Khas (TTK) pkpim uiam, kata-kataku yang akan kuingat sampai bila2 dan aku wariskan pada adik-adik junior yang rapat denganku, “SAYA TAK AKAN MEMBERI ALASAN, KERNA SAYA TAKUT AKAN JAUH DARI RAHMATNYA, JADI SAYA TERIMA TAKLIFAN INI.” Benar sekali! Aku tidak memberi alasan dan malas untuk memeningkan pimpinan untuk mencari pelapis pimpinan. Aku redho dengan pilihan yang kubuat kerana ‘faiza ‘azamta fatawakkal ‘ala Allah’. Dan keindahan rahmatNya itu sudah kurasai. Sangat indah. Jadi aku mahu kalian juga rasakan apa yang kurasa. Maka, untuk calon-calon pimpinan dan generasi adik2 PKPIM UIAM yang akan datang, “JANGAN ASYIK MEMBERI ALASAN, KERNA KITA AKAN JAUH DARI RAHMATNYA SEDIKIT DEMI SEDIKIT.”
P/S:- Percayalah, hanya manusia yang terpilih bisa menanggung beratnya amanah. Bila anda diputuskan untuk menjadi pimpinan, redholah dan usahakan yang terbaik. Jika kita mengelak, kita berlaku tidak adil dan zalim pada diri dan yang lain kerna anda dipilih kerna anda layak, bukan main tangkap muat!!!…JANGANLAH CIPTA ALASAN PELBAGAI MACAM UNTUK KERJA DAKWAH INI, KERANA IA BUKAN KERJA MAIN-MAIN, TETAPI WARISAN NABAWIYYAH. KALAU BUKAN KALIAN SIAPA LAGI??? KALAU BUKAN HARI INI, BILA LAGI???Semoga aku dan kalian akan terus istiqomah. Wallahu’alam.

***

“Kuatnya da’wah kita kerana ianya da’wah Allah yang merupakan da’wah yang paling tinggi. Seluruh dunia memerlukannya, maka setiap perkara yang terkandung di dalam dunia dipermudahkan untuknya dan disediakan untuk jalan da’wah. Kita bersyukur kepada Allah kerana membersihkan diri kita dari ketamakan peribadi dan manfaat perseorangan dan tidak kita tidak ingin kecuali keredhoan Allah Ta’ala dan kebaikan orang ramai. Kemudian sesungguhnya kita menanti bantuan Allah dan pertolongan-Nya kerana sesiapa yang diberikan pertolongan oleh Allah maka ia tidak dapat dikalahkan.”
(As-Syahid Imam Hasan Al-Banna)

Thursday, February 18, 2010

PEMIMPIN DINAMIK, PENGIKUT TERDIDIK





Mustafa Masyhur (2001) dalam bukunya berjudul ‘Jalan Da’wah: antara Qiyadah dan Jundiyyah’ terbitan Dewan Pustaka Fajar telah membicarakan tentang usaha-usaha keIslaman (‘amal Islami) sangat bergantung kepada tiga faktor utama iaitu:

1. barisan pimpinan yang berwibawa dan dihormati,
2. sistem penyusunan, pengurusan dan kawalan yang tersusun dan berkesan, dan
3. para pengikut yang terdidik lagi setia.

Penulis pada kali ini suka untuk mengupas secara ringkas barisan kepimpinan yang berwibawa, dinamik dan beradab serta pembinaan pengikut yang setia dan terdidik didalam konteks gerakan pelajar Islam yang kita ceburi terlahir dalam kancah kebangkitan kefahaman Islam lewat tahun 70-an.

Kita sedar dengan sejelas-jelasnya, pimpinan menjadi kepala kepada sesuatu gerakan Islam, manakala pengikut menjadi tulang belakangnya. Kekuatan dan kewibawaan kepimpinan dan kesetiaan pengikut menjadi teras kekuatan sesebuah gerakan Islam itu.

Pimpinan dinamik yang berwibawa adalah pemimpin yang bertenaga dan cergas dalam mengemudi bahtera perjuangan berprinsipkan amar makruf dan nahi munkar bersulamkan benang keemasan budaya ilmu. Pemimpin dinamik ini juga berperanan sebagai pendakwah yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama yang luas, tetapi mempunyai bidang pengkhususan tersendiri dalam pelbagai bidang terdiri daripada aliran sains sosial dan sains tulen yang dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat sekeliling.

Antara ciri lain pemimpin dan pendakwah dinamik adalah mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, intelektual, sosial dan budaya bagi mempelbagaikan dinamika kepimpinan supaya lebih meluas dan holistik. Contoh agung kepimpinan Islam ialah junjungan kita Rasulullah s.a.w. Baginda bukan sahaja seorang Rasul, malah menjadi seorang ketua Negara yang disegani kawan dan lawan, ahli perniagaan yang penuh integriti dan amanah, penyelesai masalah yang adil dan pelbagai lagi yang membuktikan keRasulan Baginda sebagai utusan Allah sebagai qudwah hasanah kepada seluruh manusia.

Selain itu, pemimpin dinamik juga mempunyai komitmen serta daya juang yang luar biasa, kental dan cekal jiwanya, mampu berterus-terang menyatakan kebenaran, kasih dan sayang kepada semua orang dengan pandangan iman, berdisiplin, bijaksana dan pelbagai sifat mahmudah yang lainnya. Kesemuanya terangkum kemas dalam kefahaman tuntas tentang adab sebagai hamba dan khalifah kepada Maha Pencipta.

Dengan adanya kepimpinan dinamik ini, makanya kita akan dapat melahirkan pengikut yang setia dan terdidik dengan tarbiyyah yang terbaik. Banyak contoh bagaimana pemimpin dinamik melahirkan pengikut yang terdidik sahsiahnya seperti generasi Khulafa’ ar-Rasyidun, generasi Salahuddin al-Ayyubi, generasi Sultan Muhammad Al-Fateh dan pelbagai lagi. Kisah-kisah pemimpin agung Islam tersebut tercatat dalam sejarah silam dunia Islam. Namun malangnya, generasi masa kini kian buta sejarah akibat terpukau dengan budaya Barat yang berkiblatkan materialistik semata-mata dan menolak secara total kepada keperluan beragama. Maka boleh dilihat implikasinya dimana masyarakat Barat hidup hura-hara lantaran ketiadaan matlamat hidup yang jelas.

Penulisan ini pasti hilang serinya jika tidak mengambil secebis nasihat daripada senior dalam gerakan kita ini. Sebagai memetik kata-kata Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam inti ucapannya bertajuk ‘Menoleh Masa Lalu, Menyorot Masa Depan’ disampaikan dalam muzakarah qiyaddah kali ke-2, pada 30 Januari 2010 baru-baru ini,

“Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.


Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.”


Sebagai akhirnya, tidak dapat dinafikan, kelesuan kepimpinan dan kepengikutan gerakan kita dewasa ini memerlukan muhasabah secara tuntas dan telus. Momentum perjuangan harus disusun semula dengan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua barisan qiyadah dan jundiyyahnya yang masih setia dan percaya dengan kerelevanan gerakan Islam kita ini. Semoga segala usaha kita kearah itu diberkati Allah demi kemaslahatan semua. Wallahu’alam.

Thursday, February 11, 2010

VALENTINE....VALENTINE...VALENTINE...

KEPADA SEMUA SAHABAT-SAHABATKU....
MENGAPA KALIAN SIBUK2 SAMBUT HARI VALENTINE????
SEDANGKAN IA BERTENTANGAN DENGAN AQIDAH KITA SEBAGAI MUSLIM....
JAUHI SAMBUTAN HARI VALENTINE!!!!
KERANA IA MEROSAK AQIDAH....
untuk kupasan lanjut, sila layari http://www.kpijohor.blogspot.com/


Saturday, January 30, 2010

CUTI DAN BERAKTIVITI BERSAMA SAHABAT KPIJ

Alhamdulillah, cuti kali ini meriah sekali. Bersama sahabat-sahabat KPIJ yang kukasihi.
1- KPIJ mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Johor
pada 28 Jan 2010/13 Safar 1431 H (Khamis)
jam 10 pagi
KPIJ bersama As-Sohibul Samihah, Mufti Johor, Dato' Haji Tahrir bin Hj Syamsuddin




2- KPIJ mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Belia dan Sukan

pada 28 Jan 2010/13 Safar 1431 H (Khamis)

jam 230 petang






3- KPIJ menziarahi sahabat KPIJ, sdri Adibah Ali




Adibah kelihatan ceria menyambut kedatangan KPIJ...
Semoga Adibah dan kelurga sentiasa di bawah Rahmat-Nya



4- KPIJ bersiar-siar di Bukit Timbalan






5- Meting KPIJ di rumah A.Zainuddin
jam 10 malam
6- Buat kerja2 KPIJ di pejabat di Mustika Embun
29 Jan 2010/ 14 Safar 1431 H (Jumaat)
jam 11pagi
7- KPIJ bertandang ke rumah Fiza, sahabat KPIJ juga di Ulu Tiram
jam 1 petang
8- KPIJ bertandang ke rumah Balqis
jam 330 petang
Lepas itu, aku balik ke Kluang bersama Zul Ikram pada jam 7 petang...
Sampai rumah jam 930 malam
Penat, tapi seronok...:)
Semoga ukhuwwah ini berpanjangan demi dakwah di bumi Johor
InsyaAllah
-TAMAT-













Wednesday, November 11, 2009

SEMINAR: PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA


10 November 2009, Selasa- Lima orang wakil HEWI PKPIM termasuk HEWI PKPIM UIAM telah menghadiri seminar wanita “ Talk on the Role of Women in Nation Building” yang disampaikan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad anjuran Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NIEW) di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Lebih 100 orang wakil daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan wanita hadir dalam seminar yang berlangsung pada jam 12:00 tengahari itu. Antara individu-individu penting yang hadir ialah Tun Siti Hasmah, Dato Seri Sharizat, Dato’ Rafeah Salim dan Puan Sheqal (UAE). Tidak ketinggalan wakil Abim, YADIM, Nisa’ Kebangsaan dan Persatuan Ibu Tunggal Selangor,juga turut kelihatan, personaliti TV, Wardina Safiyyah dan penulis jemputan Majalah I, Kapten Hafiz.

Intipati seminar itu banyak membicarakan peranan wanita dalam pembangunan Negara. Pemerkasaan wanita merupakan antara agenda penting Negara. Sehubungan dengan itu, mereka telah sama-sama diberi peluang dan ruang untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan misi ini. Kehadiran wanita dalam pelbagai lapangan seperti penulisan, advokasi, kejuruteraan, pertanian, pengurusan sosial, politik, ekonomi dan lain-lain telah menaik taraf kehidupan wanita di Negara ini setapak kehadapan.

Tun Mahathir dalam ucaptamanya juga menyatakan, bahawa wanita diberi peluang untuk meningkatkan taraf hidupnya, tetapi pada masa yang sama, beliau menasihati supaya para wanita tidak pergi melebihi had dengan mendesak hak kesemarataan jantina sepertimana yang berlaku di dunia Barat. Wanita dan lelaki harus berjalan seiringan dalam membangunkan Negara yang maju.

Melihat kepada penyakit sosial dikalangan anak-anak muda yang meningkat dari semasa ke semasa akibat daripada kurangnya perhatian daripada ibu bapa, Tun Mahathir juga menasihati supaya ibu bapa terutamanya kaum ibu yang bekerjaya menyediakan sedikit masa yang berkualiti (quality times) untuk anak-anak mereka. Ini penting kerana anak-anak bakal membentuk masyarakat pada masa hadapan.

Sebelum seminar berakhir, tetamu jemputan dihidangkan dengan tayangan video ringkas mengenai kronolgi pembangunan wanita di Malaysia yang akhirnya dari buah fikir Tun, maka lahirlah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyaksikan Dato’ Seri Sharizat sebagai menteri pertama yang memegang portfolio kementerian tersebut.

Seminar berakhir pada jam 2:30pm dengan penyerahan cenderahati kepada YAB Tun Dr. Mahathir oleh Presiden NIEW, Dato’ Rafeah Salim diiringi oleh Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.


Laporan oleh,

Faridah Mohd Tap
11 November 2009.





Monday, October 26, 2009

ERA BELIA BUKAN UNTUK BERSERONOK


Belia merupakan golongan yang sangat istimewa dalam sesebuah struktur masyarakat yang besar. Statistik menunjukkan golongan belia yang berumur di antara julat umur 15 hingga 40 tahun menyumbang lebih 40% kepada masyarakat Malaysia hari ini. Belia dikatakan istimewa kerana golongan ini lahir di antara dua kelemahan iaitu kelemahan zaman kanak-kanak dan zaman tua. Kedua-duanya membutuhkan bimbingan dan pertolongan.

Dalam Surah Ar-Rum: 54, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
Ayat di atas menunjukkan kepada kita bahawa di antara kedua-dua fasa lemah dalam kehidupan manusia itu terdapat satu fasa di mana manusia mencapai kekuatan. Fasa inilah yang menempatkan golongan muda belia. Umum mengetahui, golongan belia ini adalah golongan yang mempunyai kekuatan dari segi fizikal, mental, idealisme, keinginan untuk mencapai sesuatu, aktif, dinamik dan mahukan perubahan. Pendek kata, zaman belia adalah zaman yang penuh dengan kegemilangan jika ciri-ciri itu dimanfaatkan dan disalurkan melalui wadah yang betul..

Oleh kerana golongan belia ini sangat istimewa, pembinaan dan pembangunan identiti serta jati diri seseorang individu belia menjadi salah-satu agenda utama sesebuah Negara dan agama. Golongan belia merupakan golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan Negara di masa hadapan. Golongan kepimpinan belia inilah yang mencorakkan hala tuju sesebuah Negara dan kemajuan agama Islam itu sendiri di masa akan datang.

Menurut sejarah, golongan belia merupakan pendokong dan aktor utama dalam pengembangan dan kegemilangan Islam yang menguasai 1/3 penduduk dunia. Tokoh-tokoh besar seperti Nabi Ibrahim A.S., Nabi Yusuf A.S., Ashab Al-Kahfi, Saidina Ali dan para Sahabat Rasulullah yang lain ialah antara contoh-contoh golongan belia yang dikisahkan di dalam Al-Qur’an.

Islam menggesa golongan belia memainkan peranannya sebaik mungkin kerana mereka menggalas tanggungjawab yang besar. Namun apa yang membelenggu minda ramai golongan belia sekarang, mereka cenderung menggunakan masa muda mereka dengan perkara-perkara yang sia-sia dan memenuhi agenda kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan hiburan yang melampau-lampau (hedonisme).

Kalimat “muda hanya sekali” yang diwarisi secara turun-temurun telah menjadi kata kunci untuk mereka menghalalkan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah (lagho) hatta melanggar syariat agama. Mereka beranggapan masa muda adalah masa untuk bergembira dan melakukan segala-galanya. Bila umur masuk 40-an, barulah mereka akan fikir tentang akhirat, duduk di masjid dan beramal. Itupun bagi mereka yang mempunyai kesedaran, kalau tidak mereka akan terus hanyut dengan kehidupan muda mereka walau sudah lanjut usia. Bak kata pepatah, “rumah kata pergi, kubur kata mari” Sebuah hadith menyatakan, “sebaik-baik pemuda di antara kamu adalah yang mirip/ seperti orang dewasa di antara kamu, dan sejelek-jelek orang tua di antara kamu adalah yang seperti pemuda di antara kamu.” (HR. Bukhari)

Sesebuah bangsa meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan belia. Kepada merekalah gagasan-gagasan pembangunan dan kemajuan bangsa dapat diteruskan mengikut acuannya yang tersendiri. Justeru itu, golongan belia yang kuat jati dirinya, berwawasan dan punyai nilai integriti yang tinggi amat didambakan. Golongan inilah yang akan membangkitkan kejayaan kepada sesebuah bangsa.

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna begitu mengambil berat akan pembinaan golongan belia/pemuda dengan menekankan empat kriteria penting yang tersemat dalam diri setiap belia. Beliau menyebut:

“Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda. Sebabnya, asas keimanan ialah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini dalam mana-mana bangsa, para pemuda menjadi tonggak kebangkitan mereka. Setiap kebangkitan ada rahsia kekuatannya yang tersendiri. Setiap gagasan ada pendokong panjinya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (Al-Kahfi:13)”


Ciri-ciri ideal belia Islam
1-Ketahanan iman dan akidah.
Seseorang belia Muslim perlu mempunyai ketahanan iman dan akidah yang ampuh bagi menghadapi segala cabaran dalam kehidupan. Kalimah La ilaha ilallah hendaklah menjadi zikir harian yang akhirnya melahirkan jiwa-jiwa yang berani dan kental serta komited dalam mengharungi perjuangan hidup. Mereka tidak pula senang mengaku kalah bila diuji di waktu susah dan senang. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ali-‘Imran : ayat 139 mafhumnya, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” Untuk membina ketahanan iman dan akidah yang sejahtera, seseorang perlu sentiasa memahami dan mendalami agamanya melalui guru-guru yang mursyid dan pembacaan, sentiasa bertaqarrub (mendampingi) Allah, bertaubat dan melakukan segala syariat agama dan menjauhi larangan-Nya.

2. Taat kepada Allah dan ibadah yang betul

Manusia itu diciptakan oleh Allah Taala adalah semata-semata untuk kita semua menyembahNya. Allah berfirman dalam surah Al-Zariyat: ayat 56 yang bermaksud, “Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” Taat kepada Allah bermaksud menunaikan segala syariat-Nya dan menjauh larangan-larangan-Nya. Manakala ibadah yang betul adalah refleksi daripada akidah yang sejahtera lagi benar. Setiap orang Islam di tuntut menunaikan ibadah wajib seperti yang terungkap di dalam rukun Islam yang lima. Selain menunaikan ibadah wajib, kita juga perlu menunaikan ibadah sunat seperti berzikir, sentiasa bersuci, qiyamullail dan sebagainya bagi sentiasa merasa dekat kepada Allah S.W.T, Tuhan yang Maha Esa. Taat dan beribadah kepada Allah merupakan manifestasi tanda kesyukuran kita kepada-Nya atas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita.

3. Berilmu dan berpengetahuan luas.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap orang Muslim.” Malah, pepatah Arab pernah mengatakan, “tuntutlah ilmu semenjak dari buaian hingga ke liang lahad”. Hadith dan pepatah di atas menggesa setiap orang Islam supaya menimba ilmu bagi menambah pengetahuan kedua-dua ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardu kifayah. Proses menimba ilmu pula tidak akan pernah terhenti selagi mana nyawa di kandung badan. Ilmu yang sahih yang berpaksikan kepada falsafah tawhid akan menjadi guru terbaik dalam memandu diri kearah kebaikan dan kebenaran. Ilmu itu juga digunakan untuk membangunkan bangsa, agama dan tamadun Islam.

4. Akhlak dan sahsiah diri yang mantap
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” Baginda Rasulullah merupakan qudwah hasanah bagi setiap individu Muslim kerana akhlak baginda diumpamakan seperti Al-Qur’an. Umum mengetahui Islam itu tidak akan lengkap sekiranya elemen akhlak ini di ketepikan. Sirah pernah menceritakan bahawasanya pada suatu hari khalifah Harun Ar-Rasyid telah bertanya Imam Abi Yusuf yang menjadi mufti di kala itu tentang akhlak serta peribadi gurunya Imam Abu Hanifah. Beliau yang menjawab: “sesungguhnya beliau adalah seorang yang bersungguh-sungguh mempertahankan hukum-hukum Allah, beliau menjaga dirinya dari mendekati orang-orang yang cinta dunia, banyak berdiam tetapi akalnya sentiasa berfikir, beliau tidak banyak bercakap tetapi bila saja ditanya apa juga masalah sudah pasti beliau akan dapat menjawabnya. Beliau terlalu menjaga diri dan agamanya dan tidak suka mengambil tahu keburukan orang lain, tidak akan menyebut nama seseorang melainkan beliau menceritakan kebaikan orang itu. Khalifah pun berkata: “inilah akhlak orang yang soleh!”


5. Sihat tubuh badan.

Menjaga kesihatan tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Apabila anggota tubuh badan sihat, segala urusan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna. Kita dilarang melakukan sesuatu yang boleh memberi mudarat kepada diri. Disebabkan itu, gejala ketagihan dadah, arak, zina, rempit dan seumpamanya wajib dijauhi. Sumber dan bahan makanan juga perlu diberikan perhatian kerana setiap makanan yang masuk ke dalam perut kita akan mempengaruhi kesihatan tubuh badan serta akhlak kita.

6. Bermanfaat kepada orang lain.
Sebuah hadith pernah menyatakan, “sebaik-baik manusia adalah seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain.” Berguna kepada orang lain boleh difahami sebagai menunaikan tanggungjawab kebajikan dan sosial. Tanggungjawab itu boleh disalurkan melalui pelbagai kaedah antaranya melaksanakan hak-hak saudara seakidah dan sesama manusia seperti kasih sayang, hormat-menghormati dan tolong-menolong. Kita juga boleh memberikan sumbangan kepada pembangunan ekonomi Islam melalui sistem keusahawanan Islam. Berpersatuan atau melakukan kerja-kerja sukarelawan juga salah satu kaedah untuk kita memberi khidmat dan tanggungjwab sosial kita kepada masyarakat. Motto “Hidup Biar Berjasa” boleh memberikan kita motivasi untuk sentiasa menyumbang sebanyak-banyaknya dan bukannya menerima sebanyak-banyaknya.

7. Peka kepada perubahan sosio-politik-ekonomi lokal dan global

Seseorang individu belia harus peka kepada setiap perubahan sosio-politik-ekonomi setempat dan juga pada peringkat global. Ini perlu bagi merangka teknik dan strategi bagi menghadapi segala kemungkinan. Belia yang celik terhadap isu-isu yang melanda Negara dan dunia khususnya dunia Islam sedikit sebanyak dapat menyumbang idea-idea bernas bagi kemajuan bersama. Kepekaan belia kepada setiap perubahan yang berlaku dapat mematangkan fikiran, meluaskan pengalaman dan bijak dalam mengatur strategi demi menghadapi hari muka.

Kesimpulan

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “gunakanlah lima kesempatan sebelum datangnya lima kesempitan: sihatmu sebelum datang sakit, lapangmu sebelum datang kesibukan, mudamu sebelum datang hari tua, kayamu sebelum datang kemiskinan dan kesempatan masa hidupmu sebelum datang kematian.” Hadith di atas memberikan kita peringatan supaya memanfaatkan masa muda belia kita dengan sebaik mungkin.

Sebahagian nasihat baginda Rasulullah kepada umatnya ialah:

“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah Taala daripada seseoranng hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatnnya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka.”

Akhir bicara, kepada kaum Muslimin khususnya kepada golongan belia, ayuhlah kita semua melakukan perubahan dari segala sudut terutamanya sudut peribadi dengan menyemai dan menyuburkan peribadi dengan nilai-nilai Islami dan rabbaniy demi mengorak langkah menjulang kebangkitan ummah lalu membina semula tamadun Islam yang telah terlepas daripada tangan kita. Allah berfirman dalam surah Al-Ra’ad: 11 yang bermaksud, “sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Oleh kerana zaman belia adalah zaman yang paling gemilang dalam kehidupan manusia maka kitalah yang bertanggungjawab melaksanakan misi agung itu. Harapan kepada belia-belia Islam boleh diungkapkan melalui ucapan As-Syahid Imam Hassan al-Banna dalam ‘Dakwah Kita di Era Baru’ ,“kita mahukan jiwa yang hidup, kuat dan bertenaga. Kita mahukan hati baru yang menyala. Kita mahukan perasaan yang bergelojak membara. Kita mahukan roh yang bercita-cita tinggi. Kita mahukan jiwa yang dapat membayangkan betapa tingginya impian dan matlamat ini supaya ia dapat mengejar dan mencapainya.” Hidup biar berjasa. Wallahu’alam.

(diterbitkan dalam Majalah MilineaMuslim keluaran bulan Oktober 2009)

Monday, June 16, 2008

Membugar Kesetiaan dalam Gerakan Islam

Sebagai sebuah gerakan Islam, adalah menjadi suatu kemestian untuk kita memahami dengan sebenar-benarnya perkara-perkara asas yang perlu ada dalam sesuatu jemaah Islamiyyah. Untuk yang pertamanya, sukalah saya untuk membicarakan sedikit tentang konsep bai’ah- salah satu amalan yang amat dipentingkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Semasa hayat baginda masih dikandung badan, telah berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan bai’ah yang diberikan oleh kaum Muslimin kepada baginda seperti Bai’atul ‘Aqabah pertama dan kedua serta Bai’atul Ridhwan.

Apa itu bai’ah? Bai’ah ialah perjanjian untuk taat setia kepada pemimpin dalam urusan gerakan Islam. Apabila kita telah melibatkan diri dengan gerakan Islam, secara tidak langsung, kita telah berjanji untuk setia bersama-sama dengan pemimpin kita tidak kira apa jua situasi kita, suka atau duka, susah atau senang. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “ Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami kami pun memberikan bai’ah kepada baginda…kemudian ‘Ubadah berkata: di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; kami berjanji mendengar dan mentaati Rasulullah S.A.W. dalam perkara yang kami sukai atau kami benci, dalam keadaan kami susah atau senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah tehadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” [1]
(Sahih Al-Bukhari- Bab Al-Fitan)

Daripada hadis diatas, kita akan dapat lihat betapa bai’ah (janji setia) amat perlu untuk memastikan kita patuh kepada pemimpin berjiwa Islami. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’:59;

59. Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Sudah terang lagi bersuluh, tuntutan berbai’ah adalah sunnah. Sebagai pejuang dalam harakah Islamiyyah yang berpegang dengan dua mutiara Islam, Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah, maka kita perlu membugar kembali sistem bai’ah ini. Walaupun bukan secara ritual, tetapi cukuplah sekadar berbisik didalam hati dengan ikhlas yang kita semua akan memberikan kesetiaan kita kepada pemimpin tidak kira apa jua kondisi kita. Hakikatnya, kita semua sedang berbai’ah dengan Khaliq manusia, Allah untuk beramal dan berjihad dijalanNya. Walaupun agak sukar untuk melakukannya, namun percayalah Allah tidak pernah mensia-siakan hamba yang mengharap pada-Nya. Letakkan sepenuh harapan dan bertawakkallah kepada Allah, InsyaAllah kita semua akan merasai nikmatnya. Jangan sia-siakan pintu rahmat yang telah terbuka kepada kita. Kita adalah putera-puteri Islam yang terpilih untuk memegang amanah menyebarkan Syi’ar Islam dibumi yang fana ini. Bisikkan didalam hati, “aku sentiasa dekat Allah. Jiwaku aman, fikiranku tenang walau dalam serba kekurangan. Hari-hariku ceria dan penuh harapan. Aku tidak gundah risau , malah mampu tersenyum kerana aku yakin kebaikan yang Allah janjikan untukku. Dia telah meniup ketenangan dan ketenteraman dalam hatiku. ” Dan
“Katakanlah; sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam,”
(surah Al-‘An’am:162)

Ayuh sahabat-sahabat sekalian! Marilah kita sama-sama terus istiqamah dan setia dalam harakah Islamiyyah ini kerana ia merupakan satu rahmat Allah yang kita tidak sedari secara zahirnya. Wassalam.

[1] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, m/s 187(2006), Dewan Pustaka Fajar, Selangor.