Thursday, October 21, 2010

JODOH ITU RAHSIA ALLAH


Persoalan jodoh memang sukar untuk dimengerti. Namun Allah telah berjanji, setiap diri kita sudah tertulis jodohnya semenjak kita di alam rahim ibu kita lagi. Ada beberapa teman wanitaku yang mengadu nasib tentang kerisauan mereka mengenai umur yang semakin meningkat, tapi bayangan jodoh belum lagi kelihatan. Aku diam, tidak berkata. Fikiranku ligat berfikir mengenai perihal jodoh ini.
Ramai temanku, merasa rendah diri kerana masih lagi belum berteman. Mereka merasa kerdil kerna keinginan mahu bernikah sudah ada, tetapi, tiada lelaki yang datang menyahut seruan dan harapan sanubari.
Aku berasa sangat simpati. Aku seringkali menasihatkan teman-temanku, “ InsyaAllah, jodoh akan ada, cuma cepat atau lambat bukan urusan kita tetapi Dia. Kita cuma perlu berusaha, berdoa dan bertawakal agar ditemukan dengan jodoh yang soleh dan beriman. Tidak di dunia, di akhirat pasti ada, jodoh itu rahsia Allah. Wallahu’alam.”
Lantaran luahan hati beberapa teman, aku terdorong bertanya sahabat-sahabat lelaki yang rapat denganku tentang apa yang dicari dan di ingini oleh mereka terhadap diri wanita untuk dijadikan suri hidup. Adakah rupa yang cantik menjadi prioriti, akhlak, kekayaan dan sebagainya yang menjadi ukuran?
Dalam banyak pendapat yang kuperolehi, aku tertarik kepada pendapat seorang teman yang istimewa bagiku. Pendapatnya kedengaran matang, dan aku seringkali gunakan untuk berkongsi bersama sahabat wanita yang lain.
Pendapat temanku yang masih segar dalam kotak ingatan,
“an ordinary man will be looking for looks (Beauty)..
For example, seorang lelaki yang suka kepada wanita yang berwajah bulat, akan memandang semua wanita yang berwajah bulat sebagai cantik, sport man pula akan memandang wanita yang berdada bidang, berotot sebagai cantik.
But, after several years, they feel unfulfilled. Satisfaction yang dirasakan hanya at surface. Then a man starts looking into himself, doing analysis about his real needs. Sebagai contoh, kalau dia pemalas, dia akan mencari pasangan yang rajin, boros akan cari yang penjimat, dan begitulah seterusnya.
Ringkasnya, temanku menyimpulkan...
“A man will look for a girl/ woman who can complete his form.”
Dan lagi dia menasihatiku...
“Don’t get confused between love and need. Love will sure perished by years but need not. Need is responsibility and honesty. You can have faith in it.”
Dan aku menambah pandanganku...
I believe in both love and need. Need comes first, then love will follow...
Dan kami percaya...
“As long as we need each other, anything else doesn’t matter..someday, we’re gonna make it.” InsyaAllah.
***
Nota Mimosa:
Persoalan jodoh adalah rahsia-Nya yang Maha ‘Alim.
Sehingga kini, aku teguh percaya setiap orang telah ditentukan pasangan jodoh masing-masing. Allah itu Maha Mengetahui keinginan setiap para hambaNya. Tiada satu manusia pun yang mahu hidup kesepian tanpa kehadiran teman hidup yang akan mewarnai episod kehidupan kita depan-depan. No man is an island. Kita manusia, bukan pulau yang tinggal keseorangan di tengah-tengah lautan yang terbentang luas. Walau bagaimanapun keadaannya, kita perlu berusaha mencari jodoh kita. Selebihnya, kita bertawakal..kerana “ Faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah”.

BEBAS


Diluar jendela
Kulihat langit kebiruan terbentang luas
Tenang...lapang...puas...BEBAS
Segala belenggu jiwa yang menghempas...
Pergi meninggalkan diri yang dirundung malas...
Kini diri terasa bebas...
Alhamdulillah untuk nikmat-Nya yang tidak terbalas...
18 Ogos 2010/ Isnin

Thursday, September 2, 2010

Sebuah Perkongsian
"Jangan Tunggu Sempurna"


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas nikmat Iman dan Islam ke atas diri yang kerdil ini.

Semalam, entah kenapa aku berasa 'down' untuk memegang jawatan pengurus kerohanian di sebuah pusat perlindungan wanita Islam di Selangor tidak lama lagi.

Mengenangkan kerdilnya diri, belajar ilmu agama pun tak tinggi mana, aku diberikan jawatan tersebut. Belumpun mula bertugas, sudah terasa beratnya amanah tergalas di bahuku. "Mampukah aku?" getusku didalam hati. "Aku belum cukup sempurna untuk mentarbiyyah orang kearah kebaikan, "keluhku lagi mengakui kelemahan diri.

Dalam pada aku merungsing tidak tentu pasal, memujuk hati supaya yakin mampu melakukan yang terbaik..seorang sahabat wanita satu pengajian datang meniupkan semangat sebagai penawar hati...


Berikut adalah nota yang di'tag'kan di FB ku..aku mahu kongsikan bersama kalian. Moga kita beroleh manfaat darinya. InsyaAllah, Amin.

Jangan Tunggu Sempurna....

by Fitri Yusof on Saturday, July 31, 2010 at 8:32pm


Bila ada manusia mengajak kepada kebaikan, kadangkala dia akan berhadapan dengan sindiran dan caci maki orang ramai. Tambah memburukkan, sindiran dan caci maki itu melemahkan kekuatan hati untuk terus menyebarkan kebaikan.

Antara kata-kata yang biasa kita dengar adalah:

“Ala, belajar pun tak habis lagi nak dakwah-dakwah”

“Diri pun tak berapa betul, nak ajak orang pada kebaikan”

“Ni dah hafal Al-Quran sepenuhnya ke, nak ajak-ajak orang buat baik ni?”

“Kau dah sempurna sangat ke?”

Dan begitulah antara ayat yang keluar, melemahkan semangat mereka yang ingin mengajak kepada Allah SWT. Kadangkala, alasan-alasan seperti itu, yakni alasan tak sempurna, belum cukup bersedia, ilmu masih tak banyak, dosa masih ada yang tak boleh tinggal, digunakan oleh kita sendiri sebagai jalan keluar untuk tidak bergerak menyebarkan kebaikan.

Adakah benar, hendak mengajak kepada kebaikan, diri kita perlu sempurna dahulu?


Kisah Abu Bakr RA

Dari kalangan lelaki dewasa, Abu Bakr RA adalah yang pertama beriman dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika kita memerhatikan Sirah Nabawiyah, selepas keimanannya, Abu Bakr mengajak ramai manusia untuk mengikuti jalan kepada Allah SWT ini. Antara yang diajaknya adalah:

1. Uthman bin Affan RA – satu dari 10 yang dijamin syurga.

2. Sa’ad ibn Abi Waqqas RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

3. Talhah ibn Ubaidillah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

4. Abdurrahman ibn Auf RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga.

5. Zubair Al-Awwam RA

6. Abu Ubaidah Al-Jarrah RA – Satu dari 10 yang dijamin syurga

Ini adalah antara yang diseru oleh Abu Bakr RA, sebaik sahaja Abu Bakr beriman kepada Allah SWT. Kalau diperhatikan, mereka yang didakwah oleh Abu Bakr RA pada awal keimanannya ini, kebanyakannya adalah sahabat yang dijamin syurga.

Kita teliti, Abu Bakr RA ketika itu baru sahaja beriman kepada Allah SWT. Adakah Al-Quran ketika itu sudah sempurna sehingga ada ayat-ayat yang boleh menguatkan seruan Abu Bakr? Adakah Rasulullah SAW ketika itu sudah menyempurnakan dakwahnya sampai pada Abu Bakr ada pelbagai teknik yang boleh dia gunakan? Adakah ketika itu orang Islam sudah ramai sampai Abu Bakr boleh menunjukkan si fulan itu, si fulan ini gembira mengikuti Islam?

Kita perhatikan, dalam keadaan serba kekurangan, Abu Bakr RA bergerak juga menyebarkan kefahaman Islam, mengajak kepada kebaikan. Sedangkan ketika itu baru awal waktu seruan Rasulullah SAW. Ayat Al-Quran pun hanya ada beberapa sahaja. Orang Islam hanya ada dia, dan keluarga Rasulullah SAW sahaja.

Jadi kenapa Abu Bakr RA ini mampu bergerak, berani menyeru manusia kepada Islam dalam keadaan kekurangan demikian?

Kerana dia beriman, yakin dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kerana dia melihat Islam itulah penyelesai kepada masalah insan, dan dia hendakkan Islam itu berada dalam jiwa-jiwa masyarakatnya.

Maka dia bergerak tanpa menanti sempurna. Tidak berlengahan. Tidak memberi alasan itu, alasan ini. Tidak juga jatuh dengan seksaan dan hinaan.


Perbaiki diri, dan ajak orang lain

Allahyarham Sheikh Mustapaha Masyur ada berkata:

“Islah nafsak, wad’u ghairak”

Ramai orang salah faham kata-kata ini dengan menafsirkan seperti berikut:

“Perbaiki diri dulu, baru ajak orang lain”

Kalau benar itu maknanya, maka Sheikh Mustaphaa Masyur akan berkata begini:

“Islah nafsak, summa, ud’u ghairak” Perkataan summa di sini membawa maksud kemudian.

Kenapa dia menggunakan ‘dan’, bukannya ‘kemudian’? Hal ini kerana, ‘dan’ menunjukkan kebersamaan, pada waktu yang sama. Manakala ‘kemudian’ menunjukkan kelewatan, bukan pada waktu yang sama. Maka, makna pada kata-kata “Islah nafsak, wad’u ghairak” hakikatnya adalah:

“Perbaiki diri kamu, dan(pada masa yang sama) ajak orang lain(memperbaiki diri macam kamu juga)”

Kenapa dia menyeru demikian? Kenapa Sheikh Mustapha Masyur tidak suruh kita ajak orang lain lepas diri kita dah sempurna? Kenapa masa tengah perbaiki diri kita sudah perlu ajak orang lain? Kenapa?

Hal ini kerana, manusia memang tidak akan mencapai kesempurnaan. Jadi, jika hendak tunggu sempurna, sampai kiamat pun tidak akan bermulanya seruan kepada kebaikan. Justeru, manusia perlu menyeru dengan apa yang sudah ada di tangannya. Dia ada sikit, dia bagi sikit. Dia ada banyak, dia bagi banyak. Pokoknya, dia memberi, berkongsi, menyeru ke arah kebaikan, mengajak manusia kembali kepada Allah SWT. Sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Sampaikan daripada aku, walaupun sepotong ayat”

Dan dengan kita bergerak mengajak manusia lain ke arah kebaikan, insyaAllah diri kita akan mempunyai satu rasa sensitif untuk menjalankan peningkatan. Hal ini kerana, kita akan merasakan satu tolakan untuk lebih memperkemaskan diri apabila kita mula menyeru manusia ke arah kebaikan. Ini juga satu booster untuk peningkatan diri.

Guru saya ada berkata:

“Perempuan yang malas mencuci kukunya, apabila dia mencuci pakaian, maka kukunya akan tercuci sama”


Kebaikan, jangan dilewat-lewatkan

Allah SWT berfirman:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;” Ali-Imran ayat 133.

Allah SWT juga mengingatkan kita berkenaan tindakan seorang lelaki yang apabila mendengar ummatnya menolak penyampaian rasul-rasul Allah SWT. Allah menceritakan bahawa lelaki itu berlari dengan pantas di dalam ayat berikut:

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dalam keadaan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu” Surah Yaasin ayat 20.

Apa persamaan dua ayat ini?

Menyegerakan kebaikan.

Hal ini kerana, kalau kita tidak menyegerakan kebaikan, maka hakikatnya kita telah terjerumus dalam kerugian. Mari kita lihat ayat Al-‘Asr yang popular:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Ya, perhatikan ayat-ayat itu. Siapakah yang tidak rugi? Yang tidak rugi dalam hidup ini hanyalah mereka yang melakukan amal kebaikan, dan menyebarkannya pula.

Anda, nak untung atau hendak rugi?


Penutup: Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran

Jadi jangan lengah lagi. Jangan takut untuk buat baik. Jangan takut untuk sebarkan kebaikan. Bila bersembang dengan kawan, selitkan peringatan-peringatan. Bila menghadiri satu majlis, jangan lupa ambil peluang menyebarkan kebenaran. Bila mengetuai satu program, jangan lupa adunkan program itu dengan hubungan kepada Allah SWT.

Sebarkanlah kebaikan, sebarkanlah kebenaran. Gunakan segala ruang, peluang dan cara yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran.

Jangan lengah, jangan lewat-lewat.

Bergeraklah.

Bersegeralah.

Tidak perlu menanti sempurna.

Inilah salah satu jalan untuk berusaha menyempurnakan diri kita

***

Nota Mimosa:


Dan kini, I BELIEVE I ACHIEVE!!! InsyaAllah.




Wednesday, September 1, 2010

REDHOLAH DENGAN KEHIDUPAN INI




Salam Ramadhan kareem 1431H. Lama rasanya tidak menulis. Sejak selepas tamat belajar dan mula menempuh perjalanan panjang kearah pembangunan diri yang lebih matang dan dewasa, aku mula bertanya kepada diri. Kemana harus aku arahkan dayungan sampan kehidupanku? Kuatkah aku menempuh badai lautan dunia ini? Arghh,,aku mula merungsing tidak tentu hala.


Namun itu cuma seketika. Kenapa aku harus merisau tentang masa depan yang kita tidak pernah akan tahu gaya mana jadinya. Yang aku tahu, kita harus berusaha menjadikan hari ini yang terbaik dan berusaha menjadikan hari-hari depan juga terbaik lagi terindah. Kemudiannya, bertawakal kepada Allah agar apa yang diusahakan itu diberkati-Nya kerana Dialah pemilik segala kehidupan ciptaanNya.


Kekadang yang berlaku tidak sama seperti yang dirancang. Tetapi itu lebih baik daripada kita tidak merancang langsung tetapi mengharap yang terbaik. Betul tak??? Kecewa dengan perancangan tidak menjadi itu sekejap sahaja. Selepas difikir-fikir, sungguh tidak patut kita berkeadaan demikian. Seolah-olah mempersoalkan taqdir Tuhan yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Astaghfirullahal’azim lancar bibir ini mengucapnya lantaran keterlanjuran fikiran yang tidak baik.


Mungkin kita belum layak untuk mendapat segala yang dihajati kerna mungkin membawa keburukan kepada kita seperti meninggi diri, kikir dan sebagainya yang tidak baik. Mungkin juga kehidupan ini yang terbaik untuk bekalan kita di masa-masa depan. Bukankah indah jika difikirkan sedemikian rupa? Hati tenang lantaran kepercayaan yang utuh kepada aturanNya yang senantiasa terbaik untuk para hambaNya. “Redholah atas pilihan Allah”, judul subtopik dalam buku Jangan Bersedih: Jadilah Wanita Paling Bahagia sudah cukup memberikan suntikan semangat untuk mendepani hari-hari depan yang penuh misteri.


“Jangan sekali-kali engkau berburuk sangka terhadap Tuhanmu, kerana sesungguhnya Allah lebih utama untuk disyukuri (kurniaNya)”. Aku insaf. Lapang sungguh hati ini. Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kepadaNya kepada semua perasaan ini.


Nota Mimosa:


Walaupun apa yang kita hajati tidak dapat seperti yang diinginkan, jangan dilupa pula nikmat-nikmatNya yang lain. Bila diri rasa berTuhan, insyaAllah segala rasa gundah-gulana, resah gelisah tidak tentu hala itu akan hilang lenyap. Yang ada keyakinan bahawa semua kehidupan kita telah diatur oleh-Nya. Apa yang penting, D.U.I.T. (doa, usaha, ikhtiar dan tawakal ‘ala Allah). Wallahu’alam.


“Jangan tujukan pandangan anda ke sudut-sudut yang buruk dari kehidupan ini, tetapi tujukanlah kepada sudut-sudut yang indah.”


Tuesday, August 17, 2010

DILEMA ANTARA KOMITMEN KERJAYA DAN KEPERLUAN ANAK-ANAK


-->
Adik 1: “Kakak...mana ayah saya? Bila ayah nak ambil kiteorang?” Tanya si abang kepada pengasuhnya.
Kakak: “Sabar dik, ayah kamu kerja. Malam nanti ayah kamu ambil kamu ya,” pujuk si pengasuh.
Adik 2: “Asyik-asyik kerja...kerja...kerja..kerja..” rungut adik perempuannya pula.
Aku melihat kedua beradik yang masing-masing berumur 3 dan 4 tahun itu. Mereka menarik muncung membuat mimik muka masam kerana ayah yang ditunggu tidak juga sampai walaupun sudah lewat petang. Kasihan sebenarnya melihat mereka berdua di saat itu. Mana tidaknya hujung minggu sepatutnya mereka bersama-sama ibubapa, tetapi sebaliknya dihantar ke nurseri dari pagi sampai ke malam lantaran komitmen kerjaya yang menghambat kedua ibubapa adik-adik tersebut.
Tapi, apakan daya. Kekadang ibubapa tiada pilihan kerana sudah fitrah kerjaya yang mereka ceburi terpaksa mengorbankan waktu bersama anak-anaknya. Disinilah dilema berlaku. Antara komitmen kerja untuk menampung kehidupan diri dan anak-anak di bandar besar dan keperluan kasih-sayang dan perhatian dambaan anak-anak.
Pusat Asuhan Kanak-kanak.
Situasi diatas sudah cukup menggambarkan kepada kita dilemma ibubapa bekerjaya dan keperluan anak-anak kepada perhatian dan kasih-sayang. Disebabkan dewasa ini, ramai ibu memilih untuk keluar bekerja bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan membantu meringankan beban suami bagi keperluan dan keselesaan bersama, maka sebagai alternatif bagi mengisi kelompongan penjagaan dan asuhan anak-anak mereka ,pusat asuhan dibangunkan dengan banyaknya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Pihak pusat asuhan mengambil alih peranan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak yang dihantar oleh ibu bapa seawal jam 7 pagi hingga lewat malam. Di sesetengah tempat, ada taska mengamalkan system syif terutama di kawasan perindustrian. Ada anak-anak dihantar ke nurseri dari malam hingga ke pagi kerana ibubapa yang bekerja pada syif malam.
Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menawarkan khidmat menjaga dan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun-iaitu sebelum mereka melangkah ke alam pra-sekolah (tadika) bagi ibubapa yang bekerjaya. TASKA menjadi alternatif kepada ibubapa yang tidak mahu menggaji pengasuh di rumah kerana mahukan anak-anak mereka diasuh secara professional yang disediakan oleh pusat asuhan. Menyedari betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak di bawah 5 tahun, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri giat mengerakkan program PERMATA agar kanak-kanak ini membangun sepenuhnya dan mencapai potensi yang maksimum.
Menurut sebuah laporan, sebanyak 13 peratus ibubapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan/ nurseri. Dalam sebuah laporan yang lain, berdasarkan tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2006, hanya 10.6 peratus sahaja yang menggunakan khidmat pusat asuhan dimana hanya 5.9 peratus sahaja dikalangan mereka yang tinggal di luar Bandar.
Walaupun begitu, tugas mengasuh dan mendidik anak-anak tetap hingga akhirnya menjadi tugas utama ibubapa. Pengasuh hanya merupakan pihak kedua yang mengambil alih peranan tersebut untuk seketika. Tidak dinafikan ada setengah ibubapa menyerahkan semua tanggungjwab menjaga dan mendidik anak-anak mereka keatas bahu pengasuh semata-mata. Ada anak-anak dihantar ke pusat jagaan dalam keadaan kusut masai, comot dan berbau mengharapkan pengasuh melakukan semua kerja menguruskan anak-anak mereka. Anak-anak dihantar dari awal pagi dan dijemput semula sehingga lewat malam tatkala anak-anaknya sudah terlena. Waktu ibubapa tersebut bersama anak-anak mereka amat terhad dan ini boleh merenggang hubungan kasih ibubapa dan anak-anak seterusnya memberi impak negatif kepada pembangunan sebuah keluarga yang harmoni dikemudian hari.
Anak-anak memerlukan perhatian dan belaian secukupnya untuk membesar dengan sihat dalam segala aspek termasuklah jasmani, rohani dan psikologi. 5 tahun pertama usia anak-anak merupakan waktu-waktu kritikal yang membentuk pertumbuhan dan pembesaran yang optimum. Menurut para pakar pembangunan kanak-kanak, kesan ketiadaan dan kekurangan belaian dan kasih sayang secukupnya akan hanya dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mencecah umur dewasa. Kanak-kanak ini membesar dan berkelakuan kasar dan liar, suka memberontak, dan kurang keyakinan diri serta ada juga yang sering sakit-sakit.
Justeru, bagi memelihara generasi kita yang mendatang agar terjamin kualitinya sebagai pewaris bangsa merdeka dan bersahsiah tinggi, disarankan agar ilmu keibubapaan dan pusat asuhan diperkasakan di Negara ini. Kita tidak mahu anak-anak ini disia-siakan hanya kerana tuntutan kerjaya dan kecelaruan ekonomi yang tidak pernah akan berakhir. Kita juga tidak mahu kilauan permata-permata Negara ini malap lalu menghilangkan ketinggian nilainya. Apalah gunanya harta melimpah-ruah jika harta yang paling berharga ini (anak-anak) disia-siakan dan dibiarkan terabai. Jangan pernah dilupa hak anak-anak untuk dikasihi sepenuhnya. Asuhan dan didikan yang sempurna bakal melahirkan anak-anak yang soleh dimana ibubapa akan tetap mendapat manfaat dari doa anak-anak mereka yang soleh walaupun jasad mereka sudah ditelan bumi. Wallahu’alam.

Monday, June 14, 2010

HATI…
HATI-HATI…
PERSOALAN HATI…




Hari ini hari Ahad bersamaan 13 Jun 2010. 7 hari berlalu dengan pelbagai kisah yang punya maksud tersendiri. Cuma pada entri kali ini, aku tertarik untuk menulis tentang kisah masyarakat disekelilingku. Hubungan sesama manusia berlainan jenis. Hubungan lelaki dan wanita. Secara spesifiknya, hubungan kasih antara dua gender yang berlainan.

Yang menariknya beberapa kenalan rapat di UIA dan PKPIM-Abim melangsungkan walimah mereka hampir serentak bersempena cuti sekolah ini. Tahniah kepada K. Nisa dan Abang Bukhori, Aqilah Izzati dan Abang Syah, Hasnul Hanif dan pasangannya, K.Aemy dan pasangannya, Abang Zaidi dan pasangannya serta Wan Khalid dan pasangannya. Tidak ketinggalan teman Abim, Cikgu Khadijah dan pasangannya. Semoga selamat menempuh alam baru di bawah rahmatNya.  Maaf sesangat tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja dan kedudukan geografi yang jauh-jauh belaka. Tapi, jangan risau doa aku sentiasa bersama kalian.

Ya, Allah Ta’ala telah menciptakan Hawa dari rusuk kiri Nabi Adam a.s sebagai simbolik kepada fitrah manusiawi yang mahu berpasang-pasangan. Cukup seminggu, bukan sahaja berita gembira penyatuan golongan Adam dan Hawa, tetapi tidak ketinggalan aku berhadapan dengan pelbagai kisah persoalan hati terkecewa ibarat kisah cinta Romeo dan Juliet, Laila Majnun lantaran cinta terhalang, cinta kecundang ditengah jalan, cinta dalam hati, cinta bertepuk sebelah tangan dan sebagainya dikalangan teman-temanku lelaki dan wanita. (inilah part yang aku paling tak suka, isk3)



Aku menjadi rujukan teman-teman yang mahu meluahkan masalah dan rasa yang terpendam dilubuk sanubari. Aku mendengar dengan setia dan cuba untuk menyelami perasaan mereka yang mengadu masalah hati yang ditamu kekecewaan. Walaupun aku tidaklah pakar mengenai persoalan hati terutama melibatkan cinta, tetapi aku tetap setia mendengar supaya dengan cara itu aku dapat mengurangkan bebanan hati teman-teman. Tidak dinafikan, memang sukar untuk memahami persoalan hati ini. Bak kata pepatah, “rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain”. Serius.

Hati memang diciptakan berbolak-balik. Nafsu pula diciptakan sebagai yang degil. Memang sukar untuk menguasai hati dan menundukkan nafsu. Namun, kita jangan lupa, kita ada Tuhan. Justeru, mohonlah kepada Allah Ta’ala agar hati itu terpelihara dan nafsu itu terdidik kepada kebaikan. Natijahnya, kebahagiaan itu pasti menjadi milik kita semua dan kekecewaan itu pasti pergi. Percayalah pada Allah. Jika ini difahami secara tuntas, hubungan hati ini pasti berjalan lancar dan terpelihara.

Bagi membina hubungan yang bahagia, persefahaman, sikap matang dan keterbukaan, prihatin, jujur, ikhlas, saling percaya dan memerlukan, saling menghargai dan penerimaan secara total sesama sendiri adalah kunci utama kepada sinar kebahagiaan. Sekali lagi dan yang terutama jangan dilupa Tuhan yang Maha Agung. Mintalah kepadaNya agar impian kebahagiaan dan keabadian cinta itu tertunai selamanya. InsyaAllah.

Menyentuh persoalan persefahaman, mungkin ada orang akan membidas dengan mengatakan, “sedangkan lidah lagi tergigit”, inikan pula hubungan sesama manusia. Ya, ketidak sehaluan faham, minat dan seangkatannya itu lumrah dalam kehidupan manusia. Tidak ada manusia pun tercipta sama kehendaknya. Pasti ada perbezaan. Tetapi perbezaan itu boleh bertukar rahmat jika kita meraikannya dengan berlapang dada. Kalaupun berbeza, kenapa kita tidak berusaha mencari titik persamaan dan menggilapnya agar terang jernih. Bukankah kita semua mengejar kebahagiaan? Lagipun, perbezaan itu kekadang indah. Sangat indah. Serius.

Akhirnya, kehidupan ini penuh warna-warninya. Bukan semata-mata hitam dan putih yang menjadikan hidup kita teramat bosan. Serius. Bermainlah dengan warna agar kehidupan berlangsung dengan menarik. Walaupun begitu, semua warna ada kelebihan dan kekurangan. Justeru,raikan semua warna agar lukisan kehidupan tetap kekal indah dengan warna-warninya yang hanya kita sahaja yang faham corak maknanya. Wallahu’alam dan Wassalam.


***



Nota Mimosa:

Kepada teman-teman, HATI-HATI PERSOALAN HATI INI

Mahukan kebahagiaan?

I believe I achieve, You believe You achieve!!! 

Thursday, June 3, 2010


LUAHAN RASA...

(tetiba je, tak tahu nak letak tajuk ape, kui3)


Erm..lama rasanya tidak ku’update’ blog aku ni. Blog nilah tempat aku mencurah rasa yang berbuku di dalam sanubari. Tetapi, setelah meninggalkan zaman belajar dan sedang merangkak ke alam pekerjaan dan dalam usaha mengejar impian mengajar aku erti memanfaatkan masa sebaik mungkin.

Baru seminggu duduk di rumah selepas tamat belajar bulan April yang lepas, aku sudah tidak keruan. Bukan bermakna aku tidak suka duduk di rumah, aku sangat suka. Semua kerja suri rumah sudah aku lakukan, tetapi masih tidak cukup untuk memberi kepuasan kepada diri. Aku mahu mandiri, melihat masyarakat, memperhebat kemahiran hidup supaya aku tetap tegar menjalani kehidupan yang penuh onak duri ini.

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur dengan apa yang dikurnia Ilahi kerna sesungguhnya siapalah aku untuk mempersoal setiap ketentuanNya. Siapalah aku untuk mempersoalkan takdirNya. Kerana aku hanyalah Hamba yang hina-dina. Setiap detik kehidupan cuba kuusahakan kearah mencapai kebahagian dan barakahNya. Syukur ada Dia sebagai penunjuk arah. Terima kasih Tuhanku.

Apa yang aku kecapi sepanjang sebulan lebih ini? Aku tertanya-tanya. Mindaku ligat mengimbas kembali detik kehidupan yang sudah berlalu. Macam-macam yang ditempuhi. Dari menjadi pengasuh kepada kanak-kanak comel, menjadi guru ganti mengajar komputer untuk pelajar darjah 5, hinggalah menjadi Research Assistant (RA) kepada seorang pensyarah UTM yang juga orang kuat ABIM Johor. Semuanya bermakna. Aku amat menghargainya. Mungkin pengalaman yang dikutip ini dapat membantu aku di masa hadapan. InsyaAllah.

Langkahku tidak terhenti disitu. Aku punya komitmen lainnya bersama Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) dan Abim. Selepas disyurakan, akhirnya, namaku tetap terpilih untuk memegang tugas sebagai Exco Tugas-Tugas Khas (TTK). Aku terima dengan rela hati kerana aku sayangkan KPIJ dan disinilah tempat aku dapat menyumbang sebaik mungkin untuk Islam dan masyarakat setempat. Hadith Rasulullah s.a.w mafhumnya, “ orang yang baik dikalangan kalian adalah orang yang memberi manfaat pada orang lain”.

Hujung minggu, ada sahaja program. Cuma sesekali bila tiada, aku lebih suka pulang kekampung, menghabiskan masa bersama keluarga tercinta. Perjalanannya cuma memakan masa lebih kurang 2 ke 3 jam jika menaiki bas. Sambil-sambil itu, aku akan memerhati alam, kehidupan masyarakat sekeliling, mengoreksi diri dan sebagainya. Aku memang suka begitu.

Bagaimana pula dengan pengalaman dengan orang baru dikenali? Takkan asyik dengan grup sendiri je kan. Alhamdulillah, aku bertemu dengan seorang teman maya yang kupanggil sebagai Yeop. Walau baru dikenali, tetapi aku selesa dengannya. Banyak yang dikongsi bersama. Bak katanya, “ NEW PEOPLE NEW EXPERIENCE”. Betul-betul pengalaman baru yang menarik. Terima kasih Yeop sebab kita dah jadi kawan..kui3.

Akhirnya, ibrah dari perkongsian rasa di atas, kehidupan kita ini sangat misteri. Tidak pernah terlintas sedikipun dibenakku untuk melalui semua pengalaman-pengalaman tersebut. Tetapi itulah ketentuanNya. Apa-apapun,

“ I BELIEVE I ACHIEVE!!!!”


***

Nota Mimosa

Semangat sentiasa untuk menyelongkar misteri kehidupan yang berikutnya.