Tuesday, February 21, 2012

Syukur Seorang Muslimah


Kedatangan Islam membawa 1001 rahmat kepada wanita. Islam telah mengangkat martabat seorang wanita dari sehina-hina ke semulia-mulia kedudukan dalam masyarakat manusia. Kedatangan Islam telah menyelamatkan kaum Hawa ini daripada belenggu kezaliman masyarakat jahiliyyah yang menganggap wanita tiada beza dengan barang dagangan, malah lebih teruk lagi dari itu-tiada harga. Itu sudah menjadi sebab utama kenapa kita sebagai wanita Muslimah perlu bersyukur.

Islam juga menjanjikan wanita untuk senang masuk ke syurga selagimana segala syariat dijaga dan dijunjung dengan tidak berbelah bahagi. Subhanallah. Alhamdulillah. Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya, “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (hadith).

Begitu juga, wanita dalam Islam di jaga dengan begitu rapi kerana keindahan ciptaannya. Disebabkan keindahan itu juga kita perlulah bersyukur. Tetapi, bagaimana? Adakah dengan mempertontonkan segala kecantikan itu untuk tatapan umum?

Sehingga saat ini, penulis dilanda kehairanan bilamana ada segelintir wanita di luar sana tidak segan silu membiarkan aurat mereka terdedah sehingga banyak mata tertancap pada setiap inci tubuhnya sambil memuji-muji segala kemolekan yang dimiliki. Ironisnya, mereka adalah muslimah yang telah Allah perintahkan untuk menyembunyikan keindahan perhiasannya hanya kepada yang berhak.

Allah S.W.T. telah berfirman maksudnya, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab: ayat 59). Syukurnya muslimah jelas terpancar bilamana dia menjaga auratnya sama seperti ketika di dalam solat.

Wanita muslimah itu bersyukur jikalau mengusahakan dirinya menjadi hiasan dunia yang tiada tolok bandingnya sehingga cemburu para bidadari di syurga. Akalnya yang tipis seperti lapisan kulit bawang di ‘tebal’kan dengan ilmu yang bermanfaat untuk kemajuan diri, keluarga dan masyarakat seperti mafhum hadith yang dipetik di laman web eramuslim. com, mafhumnya, “dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni).

Syukur wanita Muslimah itu juga dengan menjaga malunya iaitu satu perasaan yang mendesak seorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Malu itu pula amat sinonim dengan wanita. Jika ketiadaan perasaan malu ini, seseorang wanita akan melakukan semahu perasaan dan hawa nafsunya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, tidak malu itu juga maksudnya tidak beradab, tidak sopan dan tidak berakhlak. Justeru itu, Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya, “bahawa setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Hadith 40: terjemahan dan syarahnya terjemahan Mustafa ‘Abdul Rahman).

Muslimah itu juga bersyukur bilamana bicaranya berhemah, budinya terserlah, pandangannya jernih, hatinya berzikir dan sering berdoa untuk kesejahteraan diri, keluarga dan umat. Disebabkan itu, muslimah bersyukur memanfaatkan keistmewaan yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepadanya melalui kekuatan doanya. Umum mengetahui, doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".(mafhum Hadith).

Namun begitu, keistimewaan muslimah itu dipersia-siakan kerana ketaksuban mengikut budaya barat. Kini ramai wanita berlumba-lumba memperjuangkan hak kesamarataan sepertimana lelaki. Perjuangan Feminism telah meletakkan acuan pencapaian diri wanita untuk setanding pencapaian dan segagah kudrat kaum Adam. Kesan negatifnya, wanita sering rasa ketinggalan kerana kunci pencapaian adalah berdasarkan kepada pencapaian kaum lelaki. Malah, sehingga ke tahap kewajipan untuk menutup aurat dalam ajaran Islam dikatakan sebagai penindasan kepada kaum wanita.

Fitrah yang asalnya berbeza tetapi saling melengkapi antara kedua-dua jantina dicabar sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Perbezaan ini telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Allah juga berfirman bahawasanya lelaki (suami) adalah pakaian bagi wanita (isteri) dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 maksudnya, “mereka itu adalah pakaian bagi kamu (lelaki), dan kamu adalah pakaian bagi mereka (wanita).” Ayat ini turut memberi pengertian bahawa kedua-dua lelaki dan wanita diciptakan untuk menjaga keaiban diri antara satu sama lain, saling ingat-mengingati tentang peranan dan tanggungjawab selaras dengan fitrah kejadian supaya segalanya teratur mengikut kehendak Ilahi Rabbul ‘Izzati.

Walaupun bengkok kejadian Hawa dari tulang rusuk Adam, tetapi ia bukanlah bermakna Islam menciptakannya dengan kelemahan. Malah ia adalah kekuatan kerana berbanding Adam yang dicipta daripada unsur mati-tanah, Hawa pula dicipta daripada unsur hidup iaitu tulang rusuk. Justeru, dari tangan lembut wanita yang menghayun buaian itulah telah tercipta dan menghidupkan pelbagai sejarah menggegarkan dunia dengan lahirnya manusia bersosok mujahidin yang hebat.

Akhirnya, nikmat Allah yang paling agung dan dambaan setiap para solihin adalah syurga sehingga syurga tersebut letaknya di telapak kaki ibu (wanita). Begitulah kasih dan sayangnya Allah ke atas insan bernama wanita mukminah. Justeru, bersyukurlah dengan segala nikmat dan keistimewaan yang diberikan kepada muslimat. Alhamdulillah. Wallahu’alam.

Oleh,
Faridah Binti Mohd Tap,
Pensyarah Pengajian Umum
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson, Negeri Sembilan.


Saturday, February 18, 2012

BICARA HATI SEORANG PENDIDIK…

Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.
Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi senyum kebahagiaan. Mengajar dan mendidik remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik kepada generasi muda yang semakin terhakis adab.
Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini pula penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.
Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan pendidikan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya.
Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya lunak jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah. Sungguh besar hikmah pendidikan Qur’ani sehingga sebengis manusia yang digeruni para syaitan boleh lunak dengan Kalam Allah.
PENDIDIKAN AL-HIKMAH
Mungkin ada segelintir kita pertama kali dengar pendidikan al-hikmah ini. Secara umum, pendidikan al-hikmah merupakan lontaran idea penjenamaan pendidikan alternatif keislaman oleh Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Siddiq Fadzil iaitu mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang ke-empat. Berbicara tentang al-hikmah, teringat penulis kepada sebuah hadith, dimana Rasulullah telah bersabda mafhumnya, “hikmah adalah barang yang hilang dari orang mukmin, maka dimana sahaja ia didapati, dia adalah orang yang berhak terhadapnya.” (Riwayat At- Tirmidzi)
Dan lagi, bila disebut tentang hikmah, tidak boleh tidak kita pasti mengaitkannya dengan seorang sosok individu yang Allah telah muliakan dengan hikmah kebijaksanaan iaitu Luqmanul Hakim. Kebijaksanaan Luqman diabadikan dalam Al-Kitab (surah Luqman).
Terdapat beberapa mesej sarat dengan makna dan nilai didikan sepertimana yang dipesan Luqman kepada anaknya seperti tercatat dalam surah Luqman, ayat 12 hingga 19, mafhumnya;
12) Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: "Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
13) Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar".
14) Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu-bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.
15) Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.
16) (Luqman berkata): "Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu, atau di langit, atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.
17) Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
18) Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia ((kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.
19) Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara adalah suara keldai.
Dari mafhum Kalamullah di atas, dapat kita simpulkan pendidikan al-hikmah adalah yang berteraskan kepada faham ketawhidan yang tuntas. Seorang pendidik haruslah menyemai nilai-nilai murni insaniah sepertimana yang digarap dalam surah di atas iaitu bersyukur, tidak berbuat syirik, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, amar makruf dan nahi munkar, bersabar, rendah hati, besederhana dan berlemah-lembut dalam bicara ke dalam diri setiap pelajar.
Ironisnya, dilema pendidikan tinggi hari ini adalah terlalu mengejar nilai material sehingga nilai spiritual terus-terusan dibiar kering-kontang. Maka, tidak hairanlah jika kedengaran jenayah-jenayah kolar putih seperti rasuah yang melibatkan golongan cerdik pandai. Yang ketinggalan dalam pelajaran pula terjerat dalam kebejatan sosial. Yang bijak pandai memanipulasi kecerdikan untuk melakukan perkara mungkar dalam diam, yang lemah akal pula tidak segan silu menyatakan kejahilan dalam terang.
CEMERLANG INTELEK TAPI MISKIN ROHANI
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan insan yang cemerlang jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) masih jauh dari realiti. Kejayaan pelajar hari ini diukur dengan pencapaian cemerlang dalam akademik semata-mata.
Pelajar dimomokkan dengan kecemerlangan akademik dengan kerjaya yang bagus-bagus dengan gaji beribu-raban. Yang ketinggalan pula, dimomokkan sebagai tiada masa hadapan dan hidup melarat. Justeru, kepincangan ini telah melahirkan generasi yang taksub material serta miskin rohani yang memakan diri.
Natijah akhirnya, institusi pendidikan akan gagal kerana hanya melahirkan manusia robot yang tiada belas ihsan kepada insan lain. Sifat insaniah semakin terhakis. Semakin tinggi ilmu semakin meninggi diri, semakin hilang hormat kepada yang lebih tua, semakin hilang kasih kepada yang muda, semakin tinggi suara tatkala berhujah, semakin mendabik dada, yang kaya dipuja, yang miskin dikeji, yang salah dibenarkan dan yang benar disalahkan. Itulah signifikans pesanan Abuya Luqmanul Hakim kepada anaknya untuk menjaga aspek kerohanian kerana ia sering dipinggirkan.
Disebabkan itu, pendidikan al-hikmah dengan mengambil intipati pesanan si bijaksana-Luqmanul Hakim-perlu dihidup suburkan dalam misi mencerahkan semula kewibawaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya sistem pendidikan ini mampu melahirkan generasi baru yang cemerlang akal dan budi yang merupakan teras keberlangsungan tamadun insaniah.
Kesimpulannya, generasi baru ini yang akan membawa kembali sinar tawhid dan sifat-sifat insaniah di tengah-tengah ancaman sekularisasi yang darinya telah lahir pelbagai –isme (pemikiran) yang membelakangkan fitrah manusiawi lalu hilang pedoman. Wallahu’alam.
Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
Boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com / faridah@uniti.edu.my

Thursday, February 9, 2012

CINTA ITU SANGAT MENGASYIKKAN


Cinta terlalu asyik untuk dinikmati. Akibat keasyikan itu, ramai anak-anak muda Islam tenggelam dan lemas dalam lautan cinta yang tidak bertepi. Sehingga muamalah antara kaum Adam dan Hawa melampaui batas syarak.


Kesucian cinta Nabi Adam A.S dan Hawa yang dinikahkan sendiri oleh Allah Ta’ala tercalar akibat cucu-cicitnya yang terlalu menurut gelora nafsu. Hari ini, boleh dilihat bagaimana anak-anak muda begitu bebas lepas dalam pergaulan atas tiket cinta.


Lebih parah, ada segelintir ibu bapa era milenium yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak mereka hanyut di buai ombak cinta. Perasaan cinta dijadikan alasan untuk menghalalkan yang sedia haram dalam agama.


Akibatnya, sering terpapar di media-media massa dan elektronik bahana dan malapetaka apabila cinta yang di jalin membelakangkan syariat. Maka, jika dulu jarang-jarang kedengaran penyakit sosial, kini budaya khalwat dan zina, mengandung dan melahirkan anak ‘tidak sah taraf’, buang anak, lari ikut kekasih dan pelbagai lagi atas nama cinta tidak lagi lagi menjadi kehairanan yang ajaib.


Semasa penulis bertugas sebagai pengurus kerohanian di sebuah rumah perlindungan wanita Islam di Shah Alam, didapati percintaan adalah sebab utama para penghuni terjebak dalam zina dan mengandungkan anak luar nikah hatta seawal umur 15 tahun. Malah ia juga dijustifikasi oleh sebuah laporan oleh Malaysian Healthcare Sdn. Bhd yang dibuat oleh Durex 2002 ke atas 2,500 lelaki dan wanita berbilang bangsa di Malaysia dalam lingkungan umur 18-30 tahun yang mengatakan percintaan sebagai faktor utama responden dalam kajian terlibat dalam seks bebas. (Farawahida Mohd Yusof & Norazila Sugiman, 2011 yang dipetik daripada Mohammad Shatar Sabran, 2003: 128.)


Buka sahaja akhbar, ada sahaja berita pilu keruntuhan akhlak dan moral yang pelakunya adalah segolongan besar generasi muda sebaya yang beragama Islam. Sungguh parah sehingga ada yang menyalahkan cinta! Adakah salah cinta?


Keasyikan cinta sebenar


Silap. Cinta itu tidak salah. Yang salah ialah pelakunya yang tidak tahu menikmati anugerah Allah yang terindah itu. Terdapat pelbagai peringkat cinta, namun cinta yang berada di tingkatan yang tertinggi adalah cinta yang apabila segala-galanya didasari Lillahi Ta’ala.


Tiada yang boleh dijadikan galang-ganti untuk membeli cinta agung tersebut kecuali keimanan yang tinggi pada Tuhan-Nya seperti cintanya ahli sufi mukminah Rabi’atul Adawiyah yang tenggelam dalam keasyikan cinta bersama Rabb-Nya, Rabb kita semua Allah ‘Azza Wajalla. Subhanallah.


Namun sungguh sukar untuk mencapai cinta teragung tersebut bagi kita manusia biasa yang hidup di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan dugaan. Justeru, pintalah bersungguh-sungguh kepada Allah agar diri ini bertemu cinta dengan seseorang yang membawa kita kepada keTawhidan-Nya.


Bukalah pintu hati untuk menikmati cinta dengan ikatan perkahwinan sebagai wasilah pembuktian kepada keagungan Tuhan yang menciptakan segala sesuatu di alam ini beserta pasangannya. Allah Ta’ala berfirman dalam surah Yaasin, ayat 36 mafhumnya, “ Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”


Cinta adalah anugerah Allah kepada kita. Justeru sunnatullah menyebabkan lelaki dan wanita saling tertarik dan jatuh cinta. Untuk itu, Islam telah menunjukkan kita jalannya untuk menyemai cinta yang bersemi melalui pernikahan. Melalui pernikahan, akan dapat kita rasai keasyikan sebenar perasaan cinta itu.


Permudahkan urusan perkahwinan


Pernikahan adalah sebahagian dari tuntutan agama. Maka, bagi seseorang lelaki Muslim dan wanita Muslimah yang berkahwin telah lengkaplah sebahagian daripada imannya kepada Allah Ta’ala. Subhanallah. Indah sungguh ajaran Islam!


Tetapi malangnya, keindahan itu terbantut apabila perkahwinan telah diberat-beratkan dengan hantaran yang melambung-lambung mahalnya. Jalan yang sepatutnya mudah untuk menyatukan dua hati yang sedang asyik bercinta disusah-susahkan.


Natijahnya, hilang kenikmatan cinta apabila selepas perkahwinan, hutang keliling pinggang, hidup pula resah gelisah mengenangnya. Kenapa perlu dibebankan perkara-perkara yang baik dalam agama? Tidak perlu majlis gah untuk pembuktian cinta, cukup sekadarnya bagi menghebahkan sebuah ‘masjid’ telahpun terbina.


Pernahkah pula kita mendengar mafhum sebuah hadith sahih sanadnya iaitu perempuan yang berkat itu adalah yang ringan maharnya, mudah dinikahi dan baik akhlaknya? Jika anda kasihkan pasangan cinta anda, ringankanlah kaum Adam untuk melengkapkan sebahagian iman. Namun begitu, bagi kaum Adam pula, janganlah di ambil mudah dalam keterbatasan itu. InsyaAllah, jika konsep perkahwinan Islami difahami dengan tuntas oleh setiap pasangan bercinta, keberkatan akan mengiringi hidup berumah tangga hingga ke akhir hayat dengan izin-Nya. Wallahu’alam.


Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.

Beliau juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-Abim)
Beliau boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com atau Facebook (Faridah binti Mohd Tap)

Thursday, January 19, 2012

PENDEKATAN USRAH SEBAGAI WASILAH PEMBANGUNAN DIRI REMAJA DAN PELAJAR LEMAH



Bila berbicara tentang masalah kebejatan sosial, tergambar di kepala kita golongan remaja. Siapakah remaja? Remaja merupakan golongan yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 20 tahun. Zaman remaja adalah suatu proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. (Jas Laille Suzana Jaafar, 2006, Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, DBP).

Persoalan tentang ‘siapakah aku?’ sering bermain-main di kalangan golongan ini dalam usaha mencari identiti diri. Justeru, tempoh ini sangat kritikal kerana remaja mula membentuk identiti diri samada positif atau negatif.

Peranan persekitaran dan sosial amat berkait dalam pembentukan identiti seseorang remaja. Golongan pertama; remaja yang sejak dari mulanya terdedah kepada persekitaran positif seperti membesar dalam keluarga yang harmoni, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bermanfaat dan kepimpinan akan melahirkan remaja yang mempunyai nilai kendiri yang positif.

Begitulah sebaliknya bagi golongan remaja kedua; iaitu bagi remaja yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan, dan mencari ketenangan dengan aktiviti negatif seperti merokok, menghisap dadah, menghidu gam, melepak, berhibur melampau (hedonism) akan membentuk golongan remaja yang mempunyai konsep kendiri yang rendah.

Justeru, golongan remaja kedua ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak terjerat dalam dunia sendiri tanpa panduan dan akhirnya mensia-siakan zaman penting untuk meneroka dan mencipta kejayaan manis dalam episod hidup berikutnya.

Oleh kerana mereka menghabiskan masa di institusi pendidikan samada sekolah menengah mahupun IPT, maka golongan pendidik memainkan peranan penting bagi mengenal pasti remaja bermasalah supaya bimbingan dapat diberikan. Bimbingan dalam bentuk usrah dirasakan penulis sebagai paling berkesan berbanding menerusi proses ceramah.


Usrah dari segi bahasa beerti keluarga. Ia juga mempunyai maksud yang lebih mencapah dan meluas iaitu sekumpulan individu yang tiada pertalian darah tetapi mempunyai keakraban hubungan seperti keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan. (Siri Usrah, 2007, Kolej Universiti Islam Selangor).

Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi supaya keterikatan hati dapat diwujudkan oleh pendidik yang bertindak juga sebagai pentarbiyah atau naqib/ naqibah. Rukun usrah itu terdiri daripada proses ta’aruf, tafahhum dan takaful. Pendidik menjadi Naqib/ naqibah bagi memastikan remaja-remaja ini mempunyai tempat rujukan dan berkongsi rasa hati serta masalah. Usrah bukan sahaja menjadi tempat berdiskusi ilmu tetapi juga sebagai halaqah tarbiyyah iaitu mengetahui sesuatu dan menterjemahkannya dalam amalan kehidupan sehari-hari.

Dalam pendidikan contohnya, golongan pelajar yang lemah ini perlu dibantu bukan disisihkan. Guru dan pendidik berperanan dalam membantu pelajar ini membina konsep diri positif supaya nasib mereka tidak berakhir sebagai golongan pelajar tercicir dan tiada masa hadapan.

Pendidik perlu mengetahui perkara-perkara asas mengenai pelajarnya (ta’aruf), memahami pelajarnya (tafahhum) seperti pendekatan sesuai untuk mengajar dan mendidik mereka mengikut laras pemikiran mereka. Seterusnya saling menolong mereka (takaful) supaya mereka dapat merangka perjalanan hidup dengan jayanya dengan keyakinan diri yang tinggi. Ini penting supaya pelajar-pelajar ini mendapat tunjuk ajar yang baik sebelum mengemudi kehidupan secara sendiri selepas tamat pendidikan formal.

Malah dengan pendekatan usrah, ikatan (rabitah) hati yang terbina di kalangan ahli usrah (pendidik dan pelajar) akan berterusan sampai ke alam abadi. Pelajar bermasalah ini dapat merasakan nikmat kekeluargaan yang tidak pernah dikecapi dan sekurang-kurangnya mereka terselamat dari melakukan perkara-perkara yang menjerumuskan diri mereka ke dalam kancah negatif seperti kehancuran moral dan kebejatan sosial.

Penulis misalnya menggunakan teknik usrah ini dalam mengendalikan kelas. Para pelajar yang lemah dikenal pasti dan dibantu supaya mereka boleh mencapai satu tahap yang memberangsangkan yang akan mempengaruhi konsep dan kepercayaan terhadap kebolehan diri. Para pelajar tidak ditekan untuk menggapai kejayaan dalam konteks akademik semata-mata tetapi turut sama menekankan pembangunan kemahiran, sahsiah diri dan budi. Alhamdulillah, pelajar-pelajar lemah ini sedikit demi sedikit telah melakukan anjakan supaya dapat menempuh episod hidup dengan keyakinan untuk berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Saturday, January 14, 2012

Kepelbagaian Parti Politik di Malaysia: Pemecah atau Pemersatu Rakyat?


Sebuah kajian telah dijalankan oleh Pusat Merdeka (Merdeka Center) mengenai nilai-nilai Politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian tersebut memberi fokus kepada perpaduan negara. Daripada sepuluh pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3141 atau 408.3 responden berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti-parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.

Oleh kerana Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana berjaya hidup bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih dari 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah melibatkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah Negara kita. Semua masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian-kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.

Paling traumatik adalah peristiwa 13 Mei 1969. Rentetan dari kejadian itu, Kerajaan telah melaksanakan usaha-usaha intensif demi pengukuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara dan Jabatan Perpaduan. Mageran ini telah dibubarkan pada tahun 1971 dan ditubuhkan pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tahun yang sama. Kini, MKN bertanggungjawab memastikan keselamatan Negara dari pelbagai ancaman luar pada masa kini dan mendatang seperti ancaman hak asasi manusia, pemanasan global, ancaman ekonomi dan jenayah rentas sempadan. Usaha ini dibuat sebagai salah-satu usaha memperkemas wawasan wewujudkan Negara bangsa Malaysia.



Selain itu, pucuk pemerintahan Kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua negara selepas insiden 13 Mei telah memperkasa kerjasama politik antara kepelbagaian kaum yang ada dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN). Antara parti komponennya adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera dan United Sabah National Organization (USNO). BN merupakan inisiatif YAB Tun Abdul Razak bagi mengurangkan permainan politik dan politik perkauman agar segala usaha dan tenaga digembeling ke arah perpaduan dan pembangunan nasional. (Fadilah Zaini & Kassim Tukiman, 2009: 136). Kerjasama ini merupakan langkah bijak kepimpinan dahulu untuk meperkukuhkan perpaduan Negara-bangsa.

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan kewujudan parti-parti pembangkang sebagai penting dalam sesebuah negara berdemokrasi. Kini, Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi telah ditubuhkan pada 1 April 2008 yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) bagi memainkan peranan menyemak dan menyeimbang (check and balance) kepada Kerajaan sedia ada. Peranan lain adalah untuk menjadi parti alternatif kepada rakyat untuk menyatakan kehendak mereka jika kerajaan sedia ada tidak dapat memenuhi suara hati rakyat terutama dalam aspek kebajikan.

Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden-insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada-dada media massa dan elektronik. Rakyat di hujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.

Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tassawur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Malah yang terpenting sekali adalah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang merupakan panduan hidup bernegara. Dasawarsa ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan-peruntukan khas dalam Perlembagaan terutama yang melibatkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.

Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik. Apatah lagi bila kita berbicara tentang masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.

Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini di atas bahu sesuatu pihak sahaja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat musim-musiman iaitu hanya mempromosikan perpaduan bilamana ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warganegara Malaysia.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat setelah 446 tahun dijajah oleh beberapa kuasa kolonial dunia. Namun nikmat yang teragung adalah mengekalkan ketahanan, keharmonian dan perpaduan nasional. Justeru, nilai toleransi, kerjasama, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi penting dalam memudahkan proses menjayakan penubuhan Negara-bangsa Malaysia. Perbezaan idelogi politik kepartian tidak harus menjadi racun yang membunuh solidariti rakyat yang telahpun wujud.

Nota Mimosa:



Sayangi negara, perpaduan dijaga, negara-bangsa dicipta...

Monday, January 2, 2012

JEJAK BELIA METROPOLITAN DAN KEMPEN INDAHNYA ISLAM: SECEBIS PERKONGSIAN

Menjelang tahun baru 2012, penulis telah berkesempatan menyertai Jejak Belia Metropolitan dan Kempen Indahnya Islam di Masjid Jamek, di tengah ibu kota Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dibuat saban tahun sebagai dakwah di medan lapangan. Program tersebut turut disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaya (GAMIS).
Pelbagai aktiviti seperti nasyid, bacaan selawat, sembang santai golongan muda, Qiyammulail, pameran, jualan buku dan sebagainya mengindahkan lagi program alternatif bagi belia menyambut tahun baru di kawasan Masjid Jamek. Penulis juga sempat membeli sebuah buku ‘AWAS! Ancaman Orientalis Terhadap Kita’ oleh Mohd Fikri Che Hussain yang kian melakar nama sebagai penulis dan pendakwah di salah sebuah gerai buku di sana.
Paling menarik dan mencabar adalah ketika melakukan ‘outreach’ di kawasan Dataran Merdeka. Pelbagai lapisan masyarakat membanjiri kawasan sekitar. Penulis sempat berborak dengan beberapa pengunjung, bertaaruf dan cuba tafahum tujuan mereka datang ke Dataran tersebut. Rata-rata pengunjung datang hanya untuk menyaksikan persembahan bunga api yang menyesakkan telinga dan hidung dengan asapnya yang berkepul-kepul. Sejurus selepas persembahan bunga api, aktiviti tahun baru diteruskan pula dengan konsert. Terdengar jeritan penyanyi-penyanyi menghiburkan pengunjung yang rata-rata anak-anak muda Islam.
Penulis dan ahli kumpulan berjalan di tengah lautan manusia untuk membuat pemerhatian keadaan masyarakat di ambang tahun baru. Dari ibu mengendong bayi hinggalah nenek yang tidak mampu berjalan bersesak-sesak untuk menyambut tahun baru. Tidak ketinggalan sekumpulan adik-adik kecil berbasikal, sekumpulan manusia bertopeng watak ‘V for Vandetta’ yang membawa belon dan sepanduk ‘Occupy Merdeka’ dan ‘Mature Democracy’.
Penulis begitu terkilan kerana sambutan tahun baru anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hanya menyuburkan budaya berhibur terlampau (hedonism) dalam masyarakat terutama generasi muda. Perasaan sedih menyaksikan anak-anak muda lelaki dan perempuan bebas bertepuk-tampar , berpeluk, berpakaian mencolok mata dan terkinja-kinja berpesta sampai ke pagi.
Peniaga jalanan mengambil peluang dengan menjual pelbagai hiasan kepada pengunjung seperti ‘headband’ bertanduk syaitan berlampu. Maka ramailah ‘syaitan’ terlompat-lompat kegembiraan ditengah-tengah lautan manusia di Dataran.
Pemerhatian kemudian diteruskan di sekitar Dataran dan Pudu walaupun jam sudah melewati jam 1:30 pagi sebagai ganti ke Lorong Haji Taib atas sebab tertentu. Di sekitar Pudu, terkedu melihat golongan geladangan yang masih tidur berbumbungkan langit di tepi-tepi jalan. Sungguh tragis bilamana dalam menjadikan Malaysia sebagai Negara maju, masih ada lagi masyarakat ‘homeless’ lantaran kekejaman kota metropolitan yang menjadikan manusia semakin bersikap individualistik dan manifestasi kepada ‘only the fittest win the struggle of survival.”
Malam tahun baru itu dihabiskan untuk menyelami jiwa belia metropolitan dan golongan geladangan. Disini penulis sedar, perlu ada golongan yang prihatin di tengah-tengah kekalutan asakan globalisasi yang mencengkam. Kerajaan perlu menjenamakan semula sambutan tahun baru supaya program yang dianjurkan menjurus kepada pembinaan positif masyarakat berminda kelas pertama, bukannya disuap dengan program-program yang melalaikan yang natijahnya hanya merugikan Negara. Wallahu’alam.

Saturday, December 24, 2011



RASUAH: CABARAN BESAR KE ARAH MENCAPAI ‘GOOD GOVERNANCE’ DI MALAYSIA.
Oleh:
Cik Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej Uniti, Port Dickson, NSDK,

Laporan Transparency International (IT) Malaysia telah mengeluarkan sebuah laporan baru mengenai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2011. IT- M merupakan sebuah badan bukan kerajaan bebas, institusi non-partisan yang komited menentang rasuah atau korupsi sama ada dalam sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, dan juga institusi sivil melalui advokasi, kajian, serta pendidikan. Badan ini telah berdaftar dengan Registrar of Societies Malaysia (ROS) yang mencapai standard antarabangsa. [1]
Laporan menunjukkan skor CPI bagi negara ini telah jatuh daripada 4.4 kepada 4.3 pada tahun 2011 yang meletakkan Malaysia di tangga ke-60 daripada 178 negara yang dipantau berbanding tangga ke-56 dua tahun berturut-turut sebelumnya.
(Sumber: www.malaysiakini.com, Dis 5, 2011.)
Laporan statistik juga menyaksikan kepada kita bahawa gejala rasuah di negara ini tidak menunjukkan sebarang penurunan walau pelbagai usaha pencegahan dan membendung rasuah telah dilakukan. Malah, dapatan ini mencerminkan (bad governance) yang sedang membarah dalam pentadbiran negara.
Takrif ‘Good Governance’.
Cabaran besar ke arah mencapai tadbir urus yang baik (good governance) adalah membanteras rasuah daripada menjadi lingkaran syaitan (vicious circle) yang tidak berkesudahan. Apa yang dimaksudkan dengan ‘good governance’? OECD telah mentakrifkan ‘good governance’ sebagai ‘ the management of government in a manner that is essentially free of abuse and corruption, and with due regard for the rule of law. [2] Terdapat beberapa ciri penting kepada tadbir urus yang baik sepertimana digariskan oleh OECD iaitu keterlibatan (participation), ketelusan (transparency), akauntabiliti (accountability), kedaulatan undang-undang (rule of law), efektif (effective), kesaksamaan (equity), membuat keputusan secara bersama (consensus decision) dan responsif (responsiveness). [3]
Untuk mencapai tadbir urus yang baik, antara perkara pertama yang perlu diselesaikan adalah soal ketelusan (transparency) dalam pentabiran sepertimana yang ditulis oleh Saladin al-Jurf (1999), “governments cannot engage in good governance – i.e., good management of the country-without promoting “transparency.”[4]. Justeru, kepimpinan politik negara terutama Tun Hussien Onn , Tun Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) begitu giat membanteras korupsi sebagai matlamat perjuangan dalam memimpin dan mentadbir Negara. Malah tidak ketinggalan, Perdana Menteri kita hari ini, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak juga menyuntik semangat WAWASAN 2020 dalam Pelan Transformasi Kerajaan yang bertujuan untuk memperkasa tadbir urus yang baik.
Ironinya, persepsi umum kian merosot kerana statistik rasuah negara saban tahun meningkat. Rakyat mula mempertikai keberkesanan program untuk membasmi gejala tidak sihat ini daripada terus membarah. Usaha untuk membentuk dan menghidup suburkan tadbir urus yang baik akan terencat jikalau gejala rasuah ini tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh oleh semua pihak samaada kerajaan ataupun swasta, samaada pemimpin mahupun rakyat jelata.
Implikasi Rasuah: Cabaran ke Arah ‘Good Governance’.
Gejala rasuah meninggalkan impak yang besar sehinggakan sesebuah tamadun, empayar dan bangsa boleh runtuh dalam sekelip mata. Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming, yang tidak terurus pentadbirannya menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhimva hancur. Demikian juga dengan kisah kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka akibat berlakunya amalan rasuah di kalangan raja dan pembesamya. Kerajaan Nasionalis China Kai Shek di China, Richard Nixon di Amerika, Marcos di Filipina dan akhimya Presiden Mobuto di Zaire tumbang kerana gejala yang sama.[5] Sedari itu, ia perlukan kesungguhan dalam membanteras gejala ini sebelum Malaysia mengalami nasib yang serupa.
Semua masyarakat beragama dan bermoral menolak rasuah sebagai satu jenayah moral yang keji. Kesan rasuah bukan sahaja melibatkan segelintir individu pengamal rasuah tetapi ia melangkaui lebih daripada itu. Ia melibatkan segenap aspek negara dari segi keadilan sosialnya, kestabilan politiknya, kemakmuran ekonominya, juga nilai dan etika rakyatnya. Nah, sudah terang lagi bersuluh, inilah cabaran yang harus ditempuhi sebelum mencapai tadbir urus negara yang unggul.
Keadilan sosial tidak mungkin tercapai jika si kaya terus menjadi kaya-raya, manakala rakyat terus miskin terhimpit sehingga keperluan asas manusia yang seharusnya dijaga sukar diperolehi sehingga menyebabkan kemunculan jenayah lainnya seperti merompak, samun, rasuah dan pelbagai lagi. Keselamatan masyarakat tergugat oleh manusia yang terhimpit dek desakan hidup. Rakyat mula marah, maka mengancam kestabilan politik.
Para penguasa korup mula kerut dahi mengenang kebangkitan rakyat yang akan mengancam kekuasaan politiknya. Akibat daripada keadaan politik negara yang kucar-kacir, para pelabur asing mula takut untuk melabur. Maka, kemakmuran ekonomi terjejas kerana pelaburan asing amat perlu dalam menjana pendapatan dan membangun ekonomi masyarakat seterusnya negara. Kos-kos tambahan yang wujud dari amalan rasuah ini pula ditanggung oleh pihak lain dan rakyat. Lingkaran (vicious circle) ini akan berterusan tanpa kesudahan jika tiada komitmen bersungguh oleh semua bagi menghentikan budaya korupsi hingga ke akar umbi.
Sehingga artikel ini ditulis, media baru sahaja melaporkan hukuman penjara selama setahun kepada bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd Khir Toyo oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Mei 2007 yang melibat jutaan ringgit. Mahkamah juga telah melucutkan hak pemilikan hartanah tersebut kepada kerajaan Malaysia.[6] Terbaru, sedang berlangsung kes National Feedlot Corporation (NFC) yag melibakan seorang lagi pemimpin politik serta keluarganya. Bagaimana kesudahannya? Kita sama-sama menunggu laporan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia setelah selesai siasatan keatasnya.
Penyalahgunaan Kuasa dan Amalan Korupsi
Penyalahgunaan kuasa oleh barisan kepimpinan Negara hanya memudaratkan kerbelangsungan hidup rakyat jelata yang terpaksa bekerja-keras untuk mencari secupak rezeki untuk diri dan keluarga. Lord Acton menyatakan, “power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely.” Hanya iman dan moral kemanusiaan yang tinggi mampu menyelamatkan diri sang penguasa dari terjebak ke lembah hina rasuah. Pemimpin harus sedar tanggungjawabnya kepada rakyat jelata yang membayar cukai dalam memastikan sesebuah kerajaan berfungsi. Kerajaan pula haruslah berfungsi sebagai sebuah entiti yang mengamalkan governans yang baik demi kesejahteraan rakyat.
Pemimpin kerajaan juga organisasi sosial lainnya yang korup seperti bidalan Melayu, ‘bagai telur di hujung tanduk.’ Banyak contoh telah menyaksikan kita bagaimana satu-persatu pengamal rasuah di kalangan pemimpin jatuh tersungkur, rebah di bumi apabila rakyat mula menunjukkan kemarahannya lantaran sekian lama rintihdan dan derita tidak didengari. Begitulah yang terjadi kepada Kesultanan Melayu Melaka yang akhirnya tumbang sekelip mata apabila rasuah menjadi budaya raja dan pembesarnya. Fikir-fikirkanlah nasib untung rakyat yang baru separuh abad mengecap kemerdekaan setelah ratusan tahun dijajah oleh para kolonial barat dan Jepun (Asia) suatu ketika dahulu akibat dari amalan rasuah ini.



[1] Diambil dari http://transparency.org.my/ pada Dis 6, 2011.
[2] Sila layari http://stats.oecd.org untuk maklumat lanjut.
[3] Sila layari http://portal.unesco.org untuk maklumat lanjut mengenai konsep setiap ciri ‘good governance’.
[4] AJ Saladin – Good Governance and Transparency: Their Impact on Development dalam Transnat'l L. & Contemp. Probs., (1999) diambil dari http://heinonline.org pada Dis 6, 2011.
[5] Ucapan YB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Razak di Seminar Muafakat Memerangi Rasuah, di Putra World Trade Centre, 19 Julai 1997 diambil dari http://ikdasar.tripod.com/events/rasuah/najib.htm
[6] Hafiz Yatim, Rasuah: Khir Toyo Di Hukum Penjara Setahun. Dilaporkan di Malaysiakini.com pada 23 Disember 2011.