Tanggal 16 Mei setiap tahun diangkat sebagai hari penghargaan
kepada Guru di Malaysia. Tarikh ini dipilih rentetan dari pengiktirafan dan
penerimaan Laporan Razak pada 16 Mei 1956 sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan
oleh Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu.
Tema yang dipilih pada tahun 2012 ini adalah ‘Guru Berinovatif Pelonjak Transformasi
Pendidikan Negara’ adalah merupakan kesinambungan daripada tema-tema Hari
Guru sebelum ini. Selaras dengan agenda transformasi negara, guru diiktiraf
sebagai watak utama dalam menjayakan transformasi pendidikan negara ke satu arah
yang lebih berwibawa dan efisyen.
Pendidik sering menjadi cerminan kepada jatuh
bangun sesebuah generasi akan datang dan kerana itu pendidik selau dipandang
tinggi oleh masyarakat. Justeru itu, masyarakat menaruh harapan yang besar
supaya para pelajar dididik mengikut kesesuaian zaman dan jantinanya. Ini
penting supaya tidak berlaku ‘gender bias’
di dalam pendidikan hingga meyebabkan ketidakseimbangan pencapaian akademik
antara pelajar lelaki dan perempuan semakin membarah.
Pendidik perlu sentiasa terkehadapan dalam
semua aspek intelek, ilmu, emosi positif, adab dan sahsiah diri. Kita tidak
mahu golongan pendidik ‘tangkap muat’ yang natijahnya melahirkan generasi pewaris yang lesu dan kaku
jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Guru sebagai tulang belakang dalam bidang
pendidikan perlu memperkasakan Falsafah Pendidikan Negara dengan membangunkan
kesemua aspek JERI dalam diri pelajar. Dengan rencam dunia hari ini, guru perlu
lebih berinovatif dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efisyen supaya para pelajar yang dididik bukan sahaja
cemerlang akademik, tetapi turut kaya dengan adab selain mandiri.
Menurut Ahmad dan Eka Setyaningsih (2012) dalam
jurnal Sosiahumanika Volum 5 (1) berjudul “Teacher
Professionalisme: A Study Teachers Professional and Pedagogic Competence at
Junior, Senior and Vocational High Schools in Banyumas Regency, Central Java,
Indonesia” menyatakan empat (4) asas
pendidikan yang perlu ada dalam diri semua tenaga akademik terutama guru
sepertimana digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangasa Bersatu dalam Pendidikan,
Sainstifik dan Organisasi Kebudayaan (UNESCO).
Asas pertama ialah belajar untuk mengetahui iaitu pendidik perlu mengetahui dan
menguasai ilmu dan maklumat serta tahu bagaimana mahu menyampaikannya kepada
pelajar. Kedua ialah belajar untuk melakukan iaitu setiap
pendidik perlu membina pelajar untuk menjadi kreatif dan produktif dalam
mendepani apa jua situasi mendatang. Seterusnya, belajar untuk menjadi iaitu pendidik perlu mencungkil kemandirian
dan kebijaksanaan para pelajar supaya mereka menjadi manusia yang baik. Asas
terakhir ialah belajar untuk tinggal
bersama iaitu pelajar dididik untuk sentiasa menghargai satu sama lain dan
tinggal bersama dalam satu masyarakat dengan harmoni dan saling bekerjasama.
Ringkasnya, boleh disimpulkan bahawa pendidik
memainkan peranan yang utama sebagai agen pelonjak transformasi masyarakat dan
negara. Justeru itu, tema hari guru iaitu ’Guru
Berinovatif Pelonjak Transformasi Pendidikan Negara’ tahun ini perlu
dihadami dengan tuntas oleh semua golongan pendidik. Akhirnya, diucapkan
Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar pendidik samaada di
peringkat rendah, menengah mahupun institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.
Teruskan mendidik tanpa jemu kerana anda adalah pencipta modal insan yang
berkualiti di masa hadapan.
Oleh,
FARIDAH
BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Negeri Sembilan.
1 comments:
ini bagus , saye suke
Jeri saye semakin tuntas hehe
.
Post a Comment