Ihsan imej: Pinterest.com |
Manusia
merupakan makhluk sosial. Justeru, pergaulan antara sesama manusia menjadi
keperluan bagi meneruskan kelestarian hidup di dunia. Apa yang menjadi
kebimbangan hari ini ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batas. Budaya
berpasangan atau istilah popularnya ‘couple’
semakin menjadi lazim di kalangan remaja moden hari ini.
Boleh
dilihat dimana-mana pasangan lelaki dan perempuan khususnya golongan remaja berpeleseran
di pusat membeli-belah, pantai, kafeteria dan kedai-kedai makan atau
pusat-pusat rekreasi dan hiburan. Mereka bercengkerama tanpa peduli kepada
tanggapan masyarakat sekeliling kerana ia sudah menjadi pandangan biasa sosial
hari ini.
Fenomena
remaja perempuan bertandang ke rumah sewa lelaki hingga larut malam atau
bermalam dalam satu rumah juga semakin menghibakan. Walaupun ada jiran tetangga
menegur, tetapi tetap tiada perubahan. Malah semakin rancak pula mereka sebagai
tanda protes kerana menyibuk hal ehwal mereka. Mereka seolah-olah menyampaikan
mesej bahawa dunia sudah berubah, nafsu menjadi Tuhan. Biar apapun kata orang,
yang penting inilah kehidupan yang diinginkan.
Bila
kita bercakap tentang pergaulan bebas, sudah tentu ia berkait dengan
perbuatan-perbuatan songsang yang di luar norma masyarakat. Antaranya,
bercumbu, berpegangan tangan, necking,
petting, hingga kepada perlakuan zina. Samaada ia melibatkan sepasang
lelaki perempuan atau melibatkan seks secara berkumpulan. Ia semakin menjadi isu
yang semakin membimbangkan di kebanyakkan negara amnya dan secara khusus di
Malaysia.
Budaya
‘couple’ dan bertukar-tukar pasangan
menjadi kebiasaan. Dalam satu temubual bersama beberapa orang gadis remaja,
kecenderungan mereka berpasangan adalah untuk mengisi rasa sunyi dan keinginan
bercinta. Ada juga mengatakan dengan berpasangan, mereka akan lebih termotivasi
dalam pelajaran dan ia merupakan tanda kematangan diri.
Kenapa
kamu ber’couple’?
‘Saya sunyi. Sudahlah jauh dari
keluarga. Sekurang-kurangnya, bila saya rasa keseorangan contohnya pada hujung
minggu, saya ada teman lelaki yang boleh isi masa terluang dengan
berjalan-jalan.’ kata
Nora (bukan nama sebenar).
‘Saya ber ‘couple’ sebab naluri ingin
dicintai oleh seorang lelaki. Kebanyakkan kawan perempuan saya semua ada teman
lelaki, saya pun nak merasa juga berteman. Seronok rasa ada orang ambil berat,
tanya sudah makan atau belum, melayani saya dan beri saya hadiah atau kata-kata
cinta.’ Ujar Siti
(bukan nama sebenar).
‘Couple. Hmm… saya rasa ‘couple’ saya
mendorong saya untuk lebih motivasi dalam belajar. Teman lelaki saya pandai,
saya biasa sahaja. Dialah yang banyak bantu saya dalam pelajaran.’ Jelas Baizura (bukan nama sebenar).
Lain
pula pada Erni, ‘Saya rasa dengan
ber’couple’ maksudnya kita sedang menjadi matang. Yelah, maknanya kita sudah
dewasa, sudah ada perasaan kepada lelaki yang kita suka untuk dijadikan
pasangan hidup di kemudian hari.’ Jelasnya.
Yang
menjadi kebimbangan penulis ialah ramai ‘couple’
terjebak dengan aktiviti-aktiviti seksual sejak di bangku persekolahan lagi.
Pengalaman penulis di Rumah Perlindungan Wanita Islam di Shah Alam dan Ampang
beberapa tahun dahulu menyaksikan bahawa ramai gadis telah melakukan hubungan
seksual dengan ‘couple’ mereka seawal
14 tahun.
Antara
penghuni termuda yang penulis kenali ialah Aina berusia 15 tahun dan sarat
mengandung. Aina memiliki kecantikan rupa namun sayangnya dia gadis naif. Aina
sendiri tidak terfikir bahawa hubungan seks bersama teman lelakinya, 16 tahun
menghasilkan zuriat tidak sah taraf. Apabila ditanya tentang hubungan cinta
bersama teman lelakinya selepas kelahiran anak tersebut, Aina dengan bersahaja
meluahkan ‘taknaklah kahwin dengan dia,
nanti jadi janda muda.’
Ada
juga kajian yang dijalankan sekumpulan pensyarah UKM melibatkan enam orang
remaja wanita hamil luar nikah di Taman Seri Puteri Cheras. Hasil kajian
mendapati remaja wanita tersebut melibatkan diri dengan seks luar nikah ketika
di sekolah menengah akibat desakan dan pengaruh kawan-kawan yang sering
menceritakan pengalaman seks mereka.
Adik-adik,
mengapa budaya ‘couple’ ini boleh
membawa kepada zina?
Menurut
John Gray, pakar perhubungan lelaki dan perempuan dalam salah satu bukunya yang
terkenal, “Mars and Venus on a Date” menyatakan
seorang lelaki dan perempuan sebelum menjalin hubungan yang serius melalui
beberapa fasa. Dalam fasa temujanji pengenalan (dating), seorang lelaki dan perempuan akan melalui lima fasa iaitu
saling tertarik, fasa rasa tidak yakin, fasa rasa eksklusif, fasa rasa untuk
lebih intim dan akhirnya saling memerlukan sebagai pasangan hidup.
Apabila
seorang lelaki mahupun perempuan saling tertarik maka mereka cenderung untuk menunjukkannya
secara verbal atau bukan verbal seperti lirikan mata, senyuman menggoda dan
perlakuan yang menarik perhatian jenis lawannya. Apabila seseorang wanita tertarik
kepada seorang lelaki, dia lebih teruja untuk tampil cantik dan menggoda dan
berusaha untuk membahagiakan si lelaki. Ini menyebabkan ramai perempuan kecewa
apabila mesej lelaki di salah anggap sebagai cinta pada permulaan perkenalan.
Ada juga lelaki mengambil kesempatan ke atas kelemahan perempuan ini.
Perempuan
pula cenderung untuk berlebih-lebihan dalam perasaan. Hanya sepotong ayat manis
yang keluar dari mulut seorang lelaki membuatkan mereka lupa diri. John Gray
dalam buku tersebut menyatakan memang kebanyakan lelaki cenderung berharap
untuk melakukan hubungan intim bersama teman wanitanya. Yang menjadi persoalan
semasa, kenapa golongan gadis remaja begitu mudah menyerahkan mahkota diri kepada
lelaki yang bukan suaminya?
Apabila
ditanya, ada jawapan adik-adik gadis yang penulis perolehi mengatakan bahawa
mereka takut ditinggalkan jika mengatakan tidak kepada keinginan seksual si
lelaki yang menjadi ‘couple’nya. Inilah yang menjadi kegusaran banyak pihak
kepada jati diri para gadis kini!
Ramai
yang mengakui bahawa hubungan seksual terjadi biasanya dengan
perbuatan-perbuatan ringan terlebih dahulu seperti berciuman, berpegangan
tangan, meraba sebelum akhirnya mereka tidak mampu mengawal hawa nafsu hingga
melakukan hubungan kelamin secara tersembunyi di rumah semasa ketiadaan ibu
bapa, rumah-rumah sewa, rumah-rumah kosong hingga hotel-hotel murah yang
menyediakan perkhidmatan mengikut jam.
(Bersambung.....)
0 comments:
Post a Comment