Ihsan imej: Pinterest.com |
Realitinya,
perbuatan zina tidak berlaku dalam sekelip mata. Umpama pokok tidak akan
bergoyang kalau tiada angin yang meniupnya. Dalam Al-Qur’an, Allah ‘Azza wa
Jalla menyebutkan, “dan janganlah kamu mendekati zina!” tetapi Allah tidak
berfirman, “Jangan berzina!”
Mengapa
begitu? Kerana Allah ‘Azza wa Jalla hendak menutup rapat jalan-jalan yang
membawa kepada perbuatan zina.
Secara
tersirat, terdapat ‘bunga-bunga’ yang membawa kepada terjadinya zina.
Ihsan imej: Pinterest.com |
·
Dari kerana mata…
‘Saya telah terdedah dengan pornografi
sejak usia saya 8 tahun. Mula-mula saya cuma mahu cari ‘game’, tetapi terkeluar
perkataan seks ketika saya guna internet. Saya pun ‘explore’ tentang seks
menggunakan laptop keluarga. Keinginan saya sangat kuat hendak tahu tentang
seks. Masuk sekolah menengah, saya mula cuba sendiri kemudian saya rasa mahu
lakukannya dengan orang lain pula.’
Luah Diana (bukan nama sebenar)
Cabaran
terbesar remaja kini ialah sukar untuk menjaga pandangan mata. Apa yang dilihat
akhirnya mempengaruhi hati dan memberati fikiran. Bertambah sukar pula dengan
kepesatan teknologi dan media massa. Jari mudah sekali untuk menekan apapun
yang mahu dilihat nafsu mata.
Gambaran
wanita seksi dengan kenyataan berbaur seks menjadi hidangan samada media cetak
dan media elektronik untuk menarik pembaca. Hanya iman yang mantap dan rahmat
Ilahi menyelamatkan adik-adik gadis daripada menjadi punca kepada rosaknya
pandangan kebanyakkan manusia bernama lelaki.
Ya,
benar. Islam meletakkan penjagaan pandangan adalah kewajipan bersama lelaki dan
perempuan. Namun kebiasaannya, tundukkan pandangan biasa dikaitkan dengan
lelaki, tetapi kini adik-adik gadis juga terasa sukar sekali menjaga hati dan
menundukkan pandangan.
Lelaki yang gemar tidak berbaju menayang tubuh ‘sado’
dan berseluar pendek sudah menjadi pandangan biasa. Iklan-iklan memaparkan
ketampanan seorang lelaki berbadan sasa menjadi igauan para gadis digunakan
sebagai tarikan untuk melariskan jualan. Drama, filem, video dan seangkatan
dengannya memaparkan lelaki kacak bergaya menjadikan gadis gila bayang. Hati
kegadisan menjadi tidak keruan.
Alangkah
terasa nikmat dunia jika dapat berpasangan dan bercinta dengan lelaki kacak,
sasa dan kaya. Keinginan yang kuat muncul daripada terlalu banyak memandang
berlainan jantina hingga para gadis sanggup mengabaikan perasaan malu termasuklah
membuka seluruh pakaiannya untuk mengejar perhatian dan cinta si lelaki.
Drama-drama
di televisyen juga kerap kali memaparkan adegan golongan wanita yang
terkejar-kejar lelaki tampan, bergaya dan berada. Seringkali juga golongan
wanita ini digambarkan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menjatuhkan
nilai diri memberikan satu-satunya mahkota diri untuk mendapatkan lelaki idaman
tersebut. Ia menggambarkan seolah-olah itulah realiti yang melanda para gadis
moden kini.
Menurut
hukum alam, perempuan yang tertarik kepada si lelaki akan berhias cantik tampil
dengan aksi menggoda agar lelaki pujaan jatuh ke dalam pegangannya. Perilaku
perempuan sedemikian sebagai juga diberikan pelbagai istilah negatif seperti
perempuan gedik ataupun perempuan murahan.
Dalam
Al-Qur’an, menjaga pandang seringkali dikaitkan dengan memelihara kemaluan.
Bayangkan terpandangkan gambar lucah secara tidak sengaja pun kita jadi tidak
keruan, apatah lagi jikalau kita menjadikannya sebagai tabiat dan hobi.
Dari
pandangan itu, kita teringat-ingat dan nafsu menjadi terangsang dan bergelora.
Gagal mengawal nafsu, rosak binasalah diri kita jika akhirnya kita melempiaskan
nafsu melalui jalan yang salah seperti berzina. Kerana itu, belum dapat
ditemukan lagi ubat penawar bagi merawat individu yang ketagihan menonton dan
membaca bahan-bahan pornografi.
Ibnul
Qayyim dalam syairnya pernah mengingatkan betapa bahaya sepasang mata seperti
berikut,
‘Setiap bencana berawal daripada pandangan
mata,
Sebagaimana api yang besar berasal
dari percikan bara,
Berapa banyak pandangan sanggup
menebus relung hati,
Seperti kekuatan anak panah yang lepas
dari busur tali,
Seorang hamba, selama membuka
pandangannya untuk memandang selainnya,
Maka dia berada dalam bahaya.
Ia menyenangkan mata dengan sesuatu
yang mambahayakan hatinya.
Maka janganlah menyambut kesenangan
yang akan membawa bencana.”
Ibnul
Qayyim Al-Jauziyyah juga menjelaskan, “pandangan merupakan pangkal bencana yang
menimpa manusia. Dari pandangan mata tersebut akan melahirkan lintasan dalam
hati. Kemudian lintasan hati akan melahirkan fikiran. Fikiran akan melahirkan
syahwat. Syahwat membangkitkan keinginan. Kemudian, keinginan menjadi kuat dan
berubah menjadi tekad yang bulat. Maka apa yang terjadi jika lintasan dalam
fikiran menjadi kenyataan, dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang
menghalanginya. Oleh itu, sungguh bagus satu nasihat: kesabaran dalam menundukkan pandangan masih lebih ringan daripada kesabaran
dalam menanggung beban sakit akibat tidak menjaga pandangan.”
Begitulah
parahnya jika kita gagal menundukkan pandangan. Ia mempengaruhi hati
menjadikannya berbolak-balik, mempengaruhi fikiran menjadikan kita
teringat-ingat dan mempengaruhi syahwat menjadikan kita lupa diri, lupa dosa
pahala, lupa halal dan haram.
(Bersambung.......)
0 comments:
Post a Comment