Pada 14 September yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia
telah membuat satu sidang media bagi menuntut Kerajaan Myanmar beri hak
kerakyatan kepada etnik Rohingya di pejabat Abim, Taman Cemerlang, Gombak yang
turut dihadiri oleh para ustaz dari Persatuan Muslim Rohingya Malaysia.
Kepedulian ini bukanlah suatu
usaha baru oleh Abim kerana seawal 1990-an lagi Abim telah mendesak agar
Kerajaan Myanmar lebih prihatin dengan nasib etnik yang paling dilupakan di
rantau Asia ini. Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan
tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke
atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah
berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya
dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala oleh Junta Tentera Myanmar.
Konflik yang berlaku di antara
etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan
tahun ini apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh
etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke hari
ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam
sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon
oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes
rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk
Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang
beberapa dekad yang lalu.
LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA
Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah
etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan
dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki,
Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti
Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada
jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.
Nasib Etnik Muslim Rohingya mula
terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada
tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta
tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang
merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana
perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.
Etnik ini kemudian terus ditindas
apabila dasar fobia Islam (Islamphobia)
disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma
Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis
agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah
melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai
etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.
Di era 1990-an sahaja, terdapat
86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25
peratus daripadanya adalah etnik Rohingya dan selebihnya adalah etnik Chins dan
lain-lain.(Arzura Idris, 2012)
Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini
adalah:-
- · Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
- · Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
- · Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
- · Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
- · Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
- · Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
- · Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.
Sehingga hari ini, kerja-kerja
pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan
prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915
rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid
dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90
ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh
meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan
hutan untuk menyelamatkan diri.
PENANGKAPAN ARBITRARI @ TIDAK BERASAS PENDUDUK TEMPATAN
Malah kerajaan Junta juga telah
melaksanakan penangkapan sejumlah penduduk
tempatan secara arbitrari dan tidak berasas. Tidak terkecuali seorang
Doktor ternama di wilayah bergolak itu
bersama ahli keluarganya. Beliau selalu menjadi wakil umat Islam dalam
menyalurkan maklumat dan menyelesaikan konflik antara etnik Rohingya dan
Kerajaan Junta Myanmar.
Pada sidang media yang lalu, Abim
juga mendesak supaya bapa (Dr. Tun Aung- Presiden Majlis Agama dan juga seorang
doktor), kakak (Mya Nandar Aung-petugas di UNCHR Maungdaw) dan abang ipar
kepada seorang pelajar warganegara Myamnar (kini penuntut di IPTA) yang ditahan secara arbitari dibebaskan serta-merta.
Ketiga-tiga mangsa telah di tahan masing-masing pada 10 Jun 2012 (bapa Aishah)
dituruti penahanan kakak dan abang ipar Aishah pada 18 Jun 2012. Mereka adalah
sebahagian daripada mangsa kempen pembersihan etnik oleh puak junta Myanmar
dengan mensabitkan ketiga-tiga mereka dengan kesalahan berat tanpa bukti.
Dr. Tun Aung, 65 tahun ialah juga
penghidap penyakit Tumor Pituitari dan sedang menjalani rawatan kini berhadapan
dengan undang-undang bagi lima (5) pertuduhan iaitu:-
1) Tidak
menghormati Negara,
2) Menjadi
dalang kepada tercetusnya rusuhan,
3) Memegang
kad pengenalan diri palsu,
4) Memegang
kewangan asing, dan
5) Penyalahgunaan
alat teknologi dan media.
Beliau kini dipenjarakan dalam
ruang yang teruk, kotor juga disiksa fizikal dan mental. Beliau juga telah
dinafikan hak untuk mendapatkan peguam, tidak dibenarkan untuk membela diri dan
tidak dibenarkan untuk memanggil saksi bagi membuktikan beliau tidak bersalah
atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Manakala pertuduhan yang
dikenakan ke atas kakak dan abang ipar pelajar terbabit adalah memegang kad
pengenalan diri palsu, penyalahgunaan alat teknologi dan media serta terlibat
dengan politik. Akibat penahanan ini, anak mereka yang berumur dua tahun hilang
tempat bergantung dan tiada yang menjaganya. Sudah tentu jika keadilan tidak
ditegakkan, nasib anak kecil ini akan hancur berkecai dan inilah yang diimpikan
oleh junta tentera Myanmar yang giat melakukan pembersihan etnik dengan
pelbagai cara ke atas masyarakat yang tidak berdosa.
KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’
Ekoran dari pembersihan etnik
yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim
komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship
For Rohingya’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru itu, Abim
mendesak agar:-
1) Kerajaan
Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya
dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi
Hak Asasi Kemanusiaan PBB,
2) Membebaskan
Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan
menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka.
Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.
Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.
Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Juga merangkap aktivis Kempen ‘Citizenship for Rohingya’)
3 comments:
assalamualaikum saudari
mohon izin share di blog kami
penulisan saudari jelas dan mudah difahami walaupun ia berbentuk jurnalis.
tahniah.teruskan menulis
wassalam
Wa'alaikum salam..
Boleh, di alu2kan..
Semoga dengan perkongsian ini, ramai yang akan maklum dengan saudara kita di sana..
Terima kasih sis
Macamnilah nasib kalau satu minoriti islam tu tiada askar pembebasan, tak macam minoriti islam di chechen, acheh & filipina. Kalau takde askar penbebasan memang kena tindas ajelah dengan kafir zalim
Post a Comment