Assalamu’alaikum kepada semua pembaca
khususnya adik-adik remaja yang dikasihi sekalian. Ketika sedang menyiapkan
artikel kali ini, penulis merasakan masa berlalu sangat pantas. Rasanya seakan
baru sahaja memasuki tahun 2012. Tetapi untuk beberapa hari lagi, tahun 2012
ini akan meninggalkan kita. Paling penting, kita umat Islam akan memasuki bulan
Muharam tidak lama lagi. Kedatangan Muharam sudah tentu menjadi titik permulaan
untuk kita semua berhijrah melakukan transformasi diri yang lebih baik daripada
sebelumnya. InsyaAllah.
Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat di atas cukup jelas kepada kita betapa signifikan
melakukan hijrah dalam mengubah diri menjadi insan yang lebih baik, lebih soleh
dan lebih bertaqwa.
Pernahkah pula adik-adik remaja di luar sana mendengar
ungkapan ini ‘fail to plan is plan to
fail (gagal merancang ialah merancang untuk gagal)’? Penulis yakin tentu
ramai yang pernah mendengarnya. Walaupun begitu, sejauhmana kita benar-benar
memahami peri-penting ungkapan tersebut dalam merancang kehidupan kita?
Berikut adalah cara-cara bagaimana merancang hijrah untuk
menjadi insan remaja soleh:-
1) Tetapkan matlamat- iaitu matlamat yang
realistik. Sebagai contoh, SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM TANPA GAGAL+ IBADAH
SUNAT (Qiyammullail seminggu sekali, baca Al-Qur’an dan tafsirnya, amalkan
zikir mathurat setiap hari).
2) Doa dan niat. Sentiasa berdoa dan memperbaharui
niat untuk menjadi insan soleh kerana Allah Ta’ala. Perihal doa ini pernah
diungkapkan sebagai senjata orang mukmin. Doa menjadikan kita kuat ketika
lemah, memberikan kita dorongan ketika kita rasa putus asa, menjadikan kita
hamba yang sangat lembut hati dan sentiasa mendambakan pertolongan Allah.
Manakala, memperbaharui niat pula akan mengingatkan diri untuk sentiasa fokus
mencari keredhoaannya.
3)
Usaha dan
Ikhtiar. Kita perlu berusaha dan mencari pilihan terbaik (ikhtiyar)untuk menjayakan proses
mencapai matlamat hijrah. Antara usaha yang boleh dibuat ialah seperti
menghadiri kelas-kelas tahsin solat, tahsin bacaan Al-Qur’an yang ada di
kawasan terdekat, berkawan dengan sahabat-sahabat yang soleh, meninggalkan
majlis atau program sia-sia (lagho) dengan mendekati majlis-majlis ilmu,
kem-kem ibadah untuk memantapkan rohani. Jangan segan untuk mencari ilmu agama
walaupun agak terlambat kerana pepatah Arab pernah menyatakan ‘tuntutlah ilmu
walaupun sehingga ke liang lahad.”
4) Bertawakal. Proses berikutnya dalam menjayakan
rancangan hijrah diri adalah bertawakal setelah sehabis usaha dilakukan. Allah
Ta’ala berfirman, ‘faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah’ (Maka setelah kamu
berazam, maka bertawakkallah ke atas Allah Ta’ala.) Tawakal ini penting sebagai
memupuk diri supaya sentiasa bergantung kepada Allah Ta’ala dalam kehidupan.
5)
Muhasabah
diri. Bagaimana mahu menentukan rancangan hijrah sentiasa berjalan
baik? Caranya sudah tentu dengan melakukan muhasabah diri. Tidak ada salahnya
kalau kita membuat jadual ibadah tahunan kita untuk tujuan menilai diri.
Sekurang-kurangnya, dengan cara itu, kita dapat memperbaiki segala kelompongan
dan usaha hijrah berkesan.
Kesimpulannya, ‘tepuk dada, tanyalah iman.’ Jom adik-adik
remaja! Kita rancang hijrah kita menjadi insan yang lebih soleh, lebih
bertaqwa. Selamat maju jaya dan salam awal Muharam pada semua. Wassalam.
2 comments:
Kak fa sebagai mentee hehe bagus2
kak fa bile nak update blog lagi?
Post a Comment