Wednesday, December 24, 2008


Sekadar Renungan bersama....


Muslim Merdeka di Era Moden


Umum mengetahui kita sudah mencapai 51 tahun kemerdekaan. Berlabuhnya tirai 31 Disember 2008, kita semua akan melangkah ke tahun 52 kemerdekaan pada 2009 beberapa hari sahaja lagi. Acap kali itu juga kita melaung-laungkan kalimah keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka!.
Mungkin bagi mereka yang hidup pada zaman penjajahan, perkataan merdeka mempunyai ‘roh’nya yang tersendiri. Mereka begitu menghargai nikmat kebebasan yang diberikan. Mereka ibarat mati lalu hidup semula. Hidup bebas dari segala cengkaman kesengsaraan dibawah kuasa penjajahan asing kaum Portugis, Belanda, Jepun dan British.

Namun, anak-anak muda pasca-merdeka melaungkan kalimat ‘Merdeka’ hanya sekadar suka-suka. Mati tanpa langsung dimengerti akan falsafahnya. Malah dewasa ini, sambutan kemerdekaan Negara Malaysia dihidupkan dengan hiruk-pikuk konsert, pesta dan program-program yang ‘entah apa-apa’.

Sesuai dengan umur kemerdekaan Malaysia yang sudah melebihi separuh abad, adalah menjadi harapan untuk Malaysia bertindak matang dalam mencorakkan tamadunnya yang tersendiri sepertimana yang tercatat dalam misi Wawasan 2020 untuk melahirkan negara maju mengikut acuannya sendiri. Dalam teks ucapan YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad (sekarang Tun) ketika beliau menerajui pimpinan kerajaan sebagai Perdana Menteri yang keempat pada 28 Februari 1991, beliau berucap,
“ menjelang tahun 2020, Malaysia dapat menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur,dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.”

Walaupun begitu, semakin dewasa dan semakin maju Malaysia, pelbagai virus penyakit sosial telah merebak keseluruh jasad dan anggota semua genap lapisan masyarakat Malaysia. Daripada rakyat jelata hinggalah kepimpinan negara, daripada golongan yang tidak bersekolah hinggalah yang berpelajaran tinggi melangit, daripada yang muda remaja hinggalah yang sudah tua bangka, semuanya tidak terkecuali. Politik wang @rasuah, kecelaruan identiti, pergaulan bebas, penzinaan, pelacuran, pembuangan bayi,dadah, arak, pembunuhan, pencabulan hak asasi manusia dan segala macam jenayah begitu membimbangkan sekali. Adakah ini harga yang terpaksa di bayar demi sebuah kemajuan?
Apa erti merdeka dan maju pada kalian semua? Biasa kita dengar dan mungkin juga kita terbaca, merdeka bermaksud bebas dari penjajahan British sepertimana yang Malaysia hadapi 51 tahun dahulu. Ada juga yang berpendapat, merdeka itu bebas dari segala-gala bentuk penjajahan mental dan fizikal hatta spiritual tinggalan pihak penjajah asing. Manakala, ramai yang berpendapat, majunya sesebuah bangsa dan negara adalah dengan terbangunnya teknologi dan industri.

Merdekahkah Malaysia? Majukah Malaysia? Susah untuk menjawab soalan ini kerana ia sungguh subjektif dan relatif bagi setiap orang. Walau apapun, semuanya bertitik tolak dari dalam diri seseorang individu itu sendiri khususnya orang-orang Islam. Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’ad; ayat 11,
“sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Penulis ingin menekankan bahawasanya merdeka dan majunya orang Islam adalah bergantung dan saling berkait rapat dengan ajaran Islam.Walau macam mana moden dunia yang kita lalui, prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam harus menjadi garis panduan buat semua kaum Muslimin dan Muslimat yang merdeka. Ini bermakna, orang Islam yang bebas jiwa dan raga dari menjadi hamba manusia dan duniawi. Dengan kata lain, Muslim yang merdeka ialah mereka yang menyerahkan segala-galanya dan mengabdikan diri hanya kepada-Nya. Muslim yang merdeka ialah mereka yang membebaskan diri dari semua unsur-unsur yang mengotori kesucian fitrah semulajadi manusia yang bertaqwa.

Ayuh saudara-saudaraku!

Marilah kita sama-sama menjadi hamba Allah yang merdeka dan mengamalkan segala syariatnya. Hanya itu penawar kepada segala penyakit sosial yang kian meruncing sekarang ini. Inilah yang dinamakan perjuangan. Perjuangan yang menjadi teman dalam meniti sebuah kehidupan. InsyaAllah dan Wallahu’alam.

“nikmat hidup itu adalah perjuangan, nikmat perjuangan itu adalah kemenangan.” (HAMKA)

SELAMAT DATANG 1 MUHARRAM 1430 H


Pada tanggal 29 Disember 2008 ini, bersamaan dengan 1 Muharram 1430, semua orang Islam akan melangkah ke tahun baru mengikut kalendar Hijriah. Muharram adalah bulan pertama yang mendahului 11 bulan-bulan Islam yang lain. Tika dan saat waktunya menjelma, ramai orang-orang Islam memasang niat dan azam masing-masing untuk berhijrah memulakan kehidupan baru. Semoga hijrah itu menjurus ke arah memperbaiki diri, keluarga dan umat Islam yang lebih bertaqwa. Saya mendoakan semoga azam itu sentiasa bergerak dalam momentumnya yang tersusun. Mulakan segala-galanya dengan penuh keikhlasan kerana Allah. InsyaAllah, Allah Taala akan memberikan semangat dan ketabahan dalam menempuh perjalanan hijrah ifradi kita itu.

Dikesempatan ini, saya suka untuk berkongsi dengan saudara-saudaraku sekalian tentang kelebihan bulan Muharram ini terutamanya hari ke-10 Muharam (hari Asyura). Rasulullah S.A.W. bersabda: “sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Muharam maka baginya menyamai 30 hari berpuasa.” Antara lain, Baginda pernah bersabda: “seafdhal-afdhal puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa dalam bulan Muharam dan seafdhal-afdhal solat selepas solat fardhu ialah solat pada sepertiga malam 10 Muharam.”

Para Sahabat bertanya: “wahai Rasulullah! Apakah kelebihan 10 Muharam berbanding dengan hari-hari yang lain? “sabda Rasulullah S.A.W.:

  • Allah menciptakan langit, bintang dan sebagainya pada 10 Muharam.
  • Allah menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharam.
  • Diciptakan lautan pada 10 Muharam.
  • Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharam.
  • Diciptakan papan tulis (Luh Mahfuz) pada 10 Muharam.
  • Diciptakan Adam A.S. pada 10 Muharam.
  • Dimasukkan Adam A.S. ke dalam syurga pada 10 Muharam.
  • Diselamatkan Ibrahim A.S. daripada Namrud pada 10 Muharam.
  • Diselamatkan anaknya Ismail A.S. daripada sembelihan pada 10 Muharam.
  • Ditenggelamkan Fir’aun pada 10 Muharam.
  • Diampunkan dosa Daud A.S. pada 10 Muharam.
  • Dilahirkan ‘Isa A.S. ke langit pada 10 Muharam.
  • Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Sulaiman A.S. pada 10 Muharam.
  • Diciptakan ‘Arasy pada 10 Muharam.
  • Awal-awal hujan turun dari langit pada 10 Muharam.
  • Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharam.
  • Diselamatkan bahtera Nuh A.S. daripada tenggelam pada 10 Muharam.
Islam adalah agama yang indah. Ia mengajar penganutnya cara-cara menyambut tahun baru yang penuh dengan keberkatan. Bukannya disambut dengan sorak-sorai, pesta-pestaan mahupun konsert tiap kali menjelangnya 1 Januari. Dalam Islam, sebelum menjelang 1 Muharam iaitu sebelum waktu Maghrib pada 29 Zulhijjah, kita disunatkan membaca doa akhir tahun seperti yang berikut:

Maksudnya:
“Dengan nama Allah yang amat pemurah lagi amat penyayang, segala puji-pujian itu tertentu bagi Allah seru sekalian alam, selawat dan salam ke atas penghulu sekalian Rasul dan keatas keluarganya dan sahabatnya sekalian. Ya Allah! Apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari apa yang engkau tegahkan kami daripadanya, maka tidak sempat kami bertaubat darinya dan Engkau tidak meredhainya dan tidak Engkau melupainya dan Engkau berlemah-lembut ke atas kami walaupun Engkau berkuasa atas menyeksakan kami, malah Engkau memberi peluang supaya kami bertaubat setelah kami melakukan maksiat ke atas Engkau, maka sesungguhnya kami memohon keampunan Engkau, maka ampunilah bagi kami dan apa yang kami lakukan padanya dari apa yang Engkau redhainya dan Engkau telah menjanjikan kami ganjaran pahala ke atasnya, maka kami memohon akan Dikau wahai tuhan yang mulia yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Semoga Engkau menerima daripada kami dan janganlah Engkau memutuskan harapan kami daripada Engkau wahai tuhan yang mulia.”
Kemudian, dituruti dengan doa awal tahun sepertimana yang berikut:
Ertinya:

“Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, segala puji-pujian itu bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul iaitu penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan diatas keluarganya dan para sahabat sekalian. Ya Allah! Engkaulah yang kekal, qadim lagi azali dan di atas kelebihan Engkau yang besar dan kemurahan Engkau yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang sesungguhnya telah mendatangi kami, kami memohon kepada Engkau pemeliharaan padanya daripada syaitan yang direjam, pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan kami memohon pertolongan di atas nafsu yang banyak mendorong kepada kejahatan dan kami memohon kepada Engkau bagi melakukan sebarang pekerjaan yang boleh mendekatkan diri kami kepada Engkau. Ya Allah! Tuhan yang mengubahkan segala keadaan, ubahkanlah keadaan kami kepada sebaik-baik keadaan dengan kekuasaan dan kekuatan Engkau wahai Tuhan yang mengerasi lagi maha tinggi.”

Ayuh saudara-saudaraku!

Rebutlah peluang yang datang pada kali ini. Manfaatkan kesempatan ini sebaik-baiknya. Mungkin ini yang terakhir bagi kita kerana ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Ini adalah antara waktu yang mulia yang Allah hadiahkan kepada para hamba-Nya yang beriman untuk membersihkan diri dan menebus segala kekhilafan dan dosa-dosa yang kita lakukan sepanjang hayat kehidupan kita di dunia ini. Mulakan hijrah anda pada detik dan tika ini juga. Moga hidup kita lebih diberkati dan dirahmati. InsyaAllah dan Wallahu’alam.