Tuesday, August 17, 2010

DILEMA ANTARA KOMITMEN KERJAYA DAN KEPERLUAN ANAK-ANAK


-->
Adik 1: “Kakak...mana ayah saya? Bila ayah nak ambil kiteorang?” Tanya si abang kepada pengasuhnya.
Kakak: “Sabar dik, ayah kamu kerja. Malam nanti ayah kamu ambil kamu ya,” pujuk si pengasuh.
Adik 2: “Asyik-asyik kerja...kerja...kerja..kerja..” rungut adik perempuannya pula.
Aku melihat kedua beradik yang masing-masing berumur 3 dan 4 tahun itu. Mereka menarik muncung membuat mimik muka masam kerana ayah yang ditunggu tidak juga sampai walaupun sudah lewat petang. Kasihan sebenarnya melihat mereka berdua di saat itu. Mana tidaknya hujung minggu sepatutnya mereka bersama-sama ibubapa, tetapi sebaliknya dihantar ke nurseri dari pagi sampai ke malam lantaran komitmen kerjaya yang menghambat kedua ibubapa adik-adik tersebut.
Tapi, apakan daya. Kekadang ibubapa tiada pilihan kerana sudah fitrah kerjaya yang mereka ceburi terpaksa mengorbankan waktu bersama anak-anaknya. Disinilah dilema berlaku. Antara komitmen kerja untuk menampung kehidupan diri dan anak-anak di bandar besar dan keperluan kasih-sayang dan perhatian dambaan anak-anak.
Pusat Asuhan Kanak-kanak.
Situasi diatas sudah cukup menggambarkan kepada kita dilemma ibubapa bekerjaya dan keperluan anak-anak kepada perhatian dan kasih-sayang. Disebabkan dewasa ini, ramai ibu memilih untuk keluar bekerja bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan membantu meringankan beban suami bagi keperluan dan keselesaan bersama, maka sebagai alternatif bagi mengisi kelompongan penjagaan dan asuhan anak-anak mereka ,pusat asuhan dibangunkan dengan banyaknya ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Pihak pusat asuhan mengambil alih peranan untuk mengasuh dan mendidik anak-anak yang dihantar oleh ibu bapa seawal jam 7 pagi hingga lewat malam. Di sesetengah tempat, ada taska mengamalkan system syif terutama di kawasan perindustrian. Ada anak-anak dihantar ke nurseri dari malam hingga ke pagi kerana ibubapa yang bekerja pada syif malam.
Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) menawarkan khidmat menjaga dan memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun-iaitu sebelum mereka melangkah ke alam pra-sekolah (tadika) bagi ibubapa yang bekerjaya. TASKA menjadi alternatif kepada ibubapa yang tidak mahu menggaji pengasuh di rumah kerana mahukan anak-anak mereka diasuh secara professional yang disediakan oleh pusat asuhan. Menyedari betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak di bawah 5 tahun, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada YAB Perdana Menteri giat mengerakkan program PERMATA agar kanak-kanak ini membangun sepenuhnya dan mencapai potensi yang maksimum.
Menurut sebuah laporan, sebanyak 13 peratus ibubapa menghantar anak mereka ke pusat asuhan/ nurseri. Dalam sebuah laporan yang lain, berdasarkan tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2006, hanya 10.6 peratus sahaja yang menggunakan khidmat pusat asuhan dimana hanya 5.9 peratus sahaja dikalangan mereka yang tinggal di luar Bandar.
Walaupun begitu, tugas mengasuh dan mendidik anak-anak tetap hingga akhirnya menjadi tugas utama ibubapa. Pengasuh hanya merupakan pihak kedua yang mengambil alih peranan tersebut untuk seketika. Tidak dinafikan ada setengah ibubapa menyerahkan semua tanggungjwab menjaga dan mendidik anak-anak mereka keatas bahu pengasuh semata-mata. Ada anak-anak dihantar ke pusat jagaan dalam keadaan kusut masai, comot dan berbau mengharapkan pengasuh melakukan semua kerja menguruskan anak-anak mereka. Anak-anak dihantar dari awal pagi dan dijemput semula sehingga lewat malam tatkala anak-anaknya sudah terlena. Waktu ibubapa tersebut bersama anak-anak mereka amat terhad dan ini boleh merenggang hubungan kasih ibubapa dan anak-anak seterusnya memberi impak negatif kepada pembangunan sebuah keluarga yang harmoni dikemudian hari.
Anak-anak memerlukan perhatian dan belaian secukupnya untuk membesar dengan sihat dalam segala aspek termasuklah jasmani, rohani dan psikologi. 5 tahun pertama usia anak-anak merupakan waktu-waktu kritikal yang membentuk pertumbuhan dan pembesaran yang optimum. Menurut para pakar pembangunan kanak-kanak, kesan ketiadaan dan kekurangan belaian dan kasih sayang secukupnya akan hanya dapat dilihat apabila kanak-kanak itu mencecah umur dewasa. Kanak-kanak ini membesar dan berkelakuan kasar dan liar, suka memberontak, dan kurang keyakinan diri serta ada juga yang sering sakit-sakit.
Justeru, bagi memelihara generasi kita yang mendatang agar terjamin kualitinya sebagai pewaris bangsa merdeka dan bersahsiah tinggi, disarankan agar ilmu keibubapaan dan pusat asuhan diperkasakan di Negara ini. Kita tidak mahu anak-anak ini disia-siakan hanya kerana tuntutan kerjaya dan kecelaruan ekonomi yang tidak pernah akan berakhir. Kita juga tidak mahu kilauan permata-permata Negara ini malap lalu menghilangkan ketinggian nilainya. Apalah gunanya harta melimpah-ruah jika harta yang paling berharga ini (anak-anak) disia-siakan dan dibiarkan terabai. Jangan pernah dilupa hak anak-anak untuk dikasihi sepenuhnya. Asuhan dan didikan yang sempurna bakal melahirkan anak-anak yang soleh dimana ibubapa akan tetap mendapat manfaat dari doa anak-anak mereka yang soleh walaupun jasad mereka sudah ditelan bumi. Wallahu’alam.