Wednesday, April 27, 2011

Corat-Coret: Etika Berpakaian Pelajar IPT

Cara berpakaian di institusi pendidikan tinggi sememangnya berbeza ketika berada di alam persekolahan. Jika di sekolah semua pelajar terikat dengan uniform khas tetapi di IPT, pelajar diberi kebebasan dalam berpakaian.

Walaupun begitu, kebebasan berpakaian bukanlah lesen untuk pelajar IPT melanggar etika berpakaian ketika hadir ke kelas atau kuliah. Etika berpakaian merujuk kepada berpakaian yang bersesuaian dengan majlis, acara dan tempat.

Ketika penulis menuntut di salah sebuah IPT awam dahulu, sebilangan pelajar-pelajar lelaki gemar hadir ke kelas hanya memakai selipar ‘jepun’ dan baju tidak berkolar sehingga di tegur sinis oleh pensyarah. Sebilangan pelajar perempuannya pula, suka mengenakan selendang tipis, berpakaian ketat penuh warna-warni dan kerlipan serta solekan tebal.

Kini, penulis berkhidmat sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan. Penulis juga berhadapan dengan karenah pelajar yang gagal mematuhi etika berpakaian. Bukan tiada papan besar memaparkan etika berpakaian yang betul, tetapi para pelajar memandang enteng perkara tersebut.

Etika berpakaian yang betul di kalangan pelajar IPT adalah penting kerana ia mencerminkan kecemerlangan sesebuah IPT itu. Kita semestinya sedih apabila melihat cara berpakaian pelajar IPT ke kelas ibarat mahu berlumba-lumba membuat pertunjukan fesyen. Malah tidak kurang, ada juga yang kelihatan selekeh sehingga membuatkan kita mengeluh.

Lebih parah, apabila duit juga habis berbelanja untuk membeli barang kosmetik dan pakaian berjenama. Apabila diminta untuk membeli buku dengan harga yang sangat murah, masing-masing mengeluh mengatakan ketiadaan duit. Pelik. Tetapi inilah realiti yang penulis perlu hadapi. Sehinggakan penulis berfikir, adakah mereka berhabis duit untuk belajar atau shopping.

Perlu diingatkan kepada pelajar IPT bahawa mereka adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Maka penampilan diri terutama aspek berpakaian harus dipandang penting. Imej sebagai penuntut IPT harus dijaga supaya dapat menjaga dan memartabatkan IPT sebagai tempat penting melahirkan manusia yang bijak menjaga penampilan dan pemakaian selari dengan imej individu yang berpelajaran tinggi.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan secara konsisten bagi memastikan pelajar mematuhi etika berpakaian. Begitu juga kerjasama pensyarah. Pensyarah perlu sedikit tegas dengan cara pemakaian para pelajar ketika menghadiri kelas atau kuliah ataupun urusan rasmi di pejabat.

Sesetengah pensyarah mungkin tidak tegas seperti membiarkan pelajar lelaki dan perempuan memakai seluar jeans, selipar dan berambut panjang mengikut style, juga memakai rantai (bagi pelajar lelaki). Tetapi ia mendatangkan masalah apabila mereka melangkah dari institusi pengajian. Mereka tidak dapat membezakan pakaian yang sesuai untuk urusan rasmi seperti temuduga.

Justeru, salah satu aspek penting dalam melahirkan mahasiswa berketrampilan adalah dengan mendidik mereka mengenai tatacara berpakaian yang betul sesuai dengan urusan, majlis atau acara rasmi atau tidak rasmi serta cocok dengan lunas-lunas agama. Penampilan yang kemas dan tidak berlebih-lebihan memaksimumkan lagi pandangan positif kepada golongan berpendidikan tinggi ini.

Monday, April 25, 2011

SEUTAS TASBIH ITU...

Mataku memandang tasbih dihadapanku. Biji tasbih berwarna koko gelap itu mensayukan hati. Hatiku sayu. Tetiba kurasa sudah begitu jauh. Jauh denganNya.
Berapa kali aku mengingatiNya dalam sehari selain dalam solat. Adakah aku mengingatiNya dalam segala tindak-tandukku? Adakah aku mengutamakanNya dalam semua urusanku? Adakah aku ikhlas keranaNya dalam seluruh ibadahku? Persoalan itu bertalu-talu menerjah mindaku. Aku tertunduk sayu. Sayu mengenang kelemahan diri. Ampunkan aku Ya Allah.
Mataku mula bergenang. Aku sayu. Aku ingin kembali kepadaMu. Ampunkanlah aku.
Aku selak helaian demi helaian bukuku yang belum habis dibaca, Personaliti Wanita yang Disayangi Allah dan Rasul’. Mataku tertarik pada helaian muka surat 29 yang bertajuk Mengenal Tahap Keimanan. Aku baca satu persatu. Huruf demi huruf. Baris ke baris.
Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tabrani mentakrifkan iman sebagai mafhumnya ‘yakin dengan hati, diikrarkan dengan lidah dan dilaksanakan dengan perbuatan.’ Ini memberi maksud seseorang individu itu dikira benar-benar beriman jika hati, percakapannya serta amalannya selari dengan keimanan kepadaNya. Sebagai ilustrasi, seseorang yang percaya Allah itu Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, mana mungkin percaya kepada karut-marut seperti tangkal yang boleh melindunginya. Jika sebaliknya, percaya kepada kuasa tangkal menjamin keselamatan kepada dirinya, seolah-olah telah menafikan kekuasaan dan keEsaan Allah Ta’ala. Maka imannya itu boleh jadi tertolak dan jatuh kepada syirik. Na’zubillahi min zalik.
Setelah habis dibaca tentang tingkatan keimanan seseorang, aku terdiam, berfikir sejenak. Oh Tuhan, jauh lagi perjalanan diri hamba yang daif ini ingin menuju iman hakikat- tingkatan iman yang tertinggi. Aku tertunduk. Sayu. Sebak. Adakah ruang untukku menggapai tingkatan iman itu? Ya Allah, kuatkan hatiku. Tetapkan hatiku supaya benar-benar beriman kepadaMu.
Nota Mimosa:
Bersyukur kepada segala rasa sayu kerana dengan perasaan itu, kutahu Allah masih sayangkanku dan mahu aku dekatkan diri denganNya. Terima kasih Ya Rabbul Izzati dengan kesayuan pada hati hambaMu yang tersangat lemah ini. Aku mengambil dan menggengam tasbih dihadapanku. Allahu Akbar!

Monday, April 18, 2011

TERKENANG SEMASA DULU...

Tetiba aku terfikir tentang umurku. Huhu..umurku dah 25 tahun. Macam sekejap dirasakan. Dulu masa kecik-kecik aku selalu berfikir cepatlah dewasa sebab nak berdikari dan berusaha sendiri. Sekarang bila sudah dewasa, aku teringin kembali ke zaman kanak-kanak. Walaupun di ulit seribu kepayahan, tetapi aku seronok. Seronok dengan caraku sendiri.


Sedari kecil sudah biasa berikat perut kerana selalu tiada duit untuk berbelanja, berendam peluh berjalan kaki sedari tadika sampai tingkatan 5 di tengah panas terik, berbasah kuyup kalau hujan dipertengahan jalan, berjalan dalam gelap seawal jam 6 pagi menuju ke bus stop sebelum menaiki bas ke sekolah Menengah Arab dari tingkatan 1 hingga 5.


Tidak setakat itu, dalam keletihan, kugagahi juga ke sekolah agama sesi petang walaupun terlewat kerana kelewatan bas. Aku gembira kerana mendapat pengecualian dari ustazah kerana aku satu-satunya yang bersekolah Arab dan masuk ke sekolah agama di tempatku sehingga tamat sijil darjah khas dengan cemerlang (walaupun laporan kehadiranku sangat teruk). Ulang alik aku ke sekolah seawal pagi hingga ke lewat petang.


Pertama kali duduk di asrama semasa di tingkatan 6 buatku janggal berjauhan dengan keluarga. Tapi itu semua permulaan sebelum aku mendapat panggilan memasuki pusat matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. 5 bulan berada di asrama cukup memberikan aku kekuatan untuk berada di perantauan dan berjauhan dengan keluarga. Aku masih ingat, kakakku ketika belajar di UM mengajarku perjalanan pulang ke Matrik dan kampong menaiki bas dan LRT supaya aku boleh berdikari sendiri semasa di awal pembelajaranku di PJ.

Aku banyak bergerak sendirian. Pernah juga dalam perjalanan pulang ke Pusat Matrikulasi, HPku hilang kerana dicuri di depan Kota Raya. Aku sedih bukan kepalang, kerana walaupun bukan HP canggih (hehe), tapi itulah barang pertama yang berharga kubeli menggunakan duit dengan titik peluh sendiri. Hampir satu sem aku tidak gunakan HP sehingga ayahku berikan satu kepadaku. Alhamdulillah. Kemudian, beberapa lama kemudian, kupulang semula setelah kubeli yang baru. Dan kuguna hingga saat ini.


Setelah tamat belajar sehingga mendapat sekeping ijazah. Aku memulakan langkah dalam membina episod kehidupan baru. Dalam tempoh setahun aku tamat belajar, pelbagai kerja aku lakukan. Bermula sebagai sukarelawan di Abim Johor, pengasuh kanak-kanak, pengurus kerohanian di rumah perlindungan wanita Islam sehinggalah sekarang sebagai pendidik di kolej. Semuanya penuh suka duka yang harus ditempuhi. Mungkin ada yang bertanya, kenapa aku asyik bertukar kerja. Aku akan tersenyum dan menjawab ringkas, mencari satu bidang kerjaya yang benar-benar membuatku puas dan demi masa depanku sendiri. Sehingga saat ini, aku puas menjadi pendidik.


Entahlah. Aku tidak pasti kenapa aku terkenangkan masa lalu dan coretkan di sini. Mungkin sebab aku mahu memotivasi diri untuk terus mara ke depan walau apa jua halangan. Ya, terus maju tanpa toleh ke belakang. I believe I achieve! Nak jadi superwoman ni...kui3x.



Wednesday, April 6, 2011

NIKMAT KEGEMBIRAAN



Alhamdulillah. Syukur padaNya di atas semua nikmat dan rahmat kepadaku hamba yang hina. Minggu ini minggu yang indah sekali. Rindu kepada keluarga terubat. Gembira bukan kepalang bila dapat pulang ke kampong melihat wajah tenang ibu bapaku, wajah ceria adik-beradikku serta wajah comel ketiga-tiga anak saudaraku.


Cuti singkat hujung minggu dimanfaatkan dengan menjaga dan bermain dengan anak-anak saudara, mengemas rumah, memasak untuk keluarga dan buat kek batik untuk dibawa pulang ke hostel sebagai buah tangan kawan-kawan serumah.


Aku juga gembira dapat menghulurkan sedikit wang kepada ibu bapa dan adik-adik untuk kegunaan mereka terutama untuk makan minum, alatan belajar di perantauan. Walaupun tak banyak, tapi aku selalu ingat pesan ayahku untuk lebih keberkatan iaitu gunakan duit untuk sedekah pada keluarga dan lainnya. InsyaAllah.


Bagaimanapun, cuti 2 hari tidak cukup bagiku untuk melepaskan rindu pada keluarga, tapi apakan daya amanah kerjaya sebagai pendidik perlu dilaksana sebaik mungkin. Tambah-tambah para pelajarku bakal menduduki ujian akhir dan aku risau dengan prestasi mereka untuk subjekku ini.


Kegembiraan terus diisi bilamana temanku mendapat kerja. Aku sangat gembira untuknya. Kerana berkat kesabaran dia dijawab Tuhan yang Maha Besar dengan memperoleh kerja pilihannya. Segunung ucapan tahniah pada kejayaannya. 


Kegembiraan terus diisi apabila aku selalu punyai waktu untuk memasak dan menghidang juadah untuk 6 sahabat serumahku. Merekalah yang selalu mengisi hariku dengan keceriaan di pejabat mahupun rumah. Lantaran itu, aku gembira bila dapat masak untuk mereka sebagai tanda terima kasih.


Alhamdulillah, gembira dihati terpancar di wajah. Tambahan lagi dengan karenah pelajar yang kadang-kadang mencuit hati sehingga kekadang tersenyumku sendirian. Marah-marah sayang aku pada mereka bila mereka belajar dan buat tugasan sambil lewa.


Semoga nikmat kegembiraan ini tidak buat aku lupa padaNya. Dia Tuhan pemberi segala rasa. Terima kasih Ya Allah atas segala nikmatMu. Alhamdulillah, syukru lillahi Ta’ala.


Nota Mimosa:


Hablum Min al Allah Wa Hablum Min as- Nas. Prinsip yang aku pegang, kalau hubungan dengan Allah di jaga dengan baik dan komited, InsyaAllah hubungan dengan manusia dan alam juga baik. Wallahu’alam. Semoga dalam kedukaan, aku tetap gembira dengan bersabar. Amin ya Rabb.

AKU INSAN BIASA

Aku insan biasa
Tidak punya apa-apa
Harta mahupun rupa
Tapi aku punya DIA
DIA Tuhanku pemberi segala rasa bahagia
DIA Tuhanku pengubat segala duka
Aku hanya hamba pada DIA
Bila diuji aku harus redha
Bila diberi nikmat aku bersyukur dan gembira
Semuanya indah belaka bila zikir mengingatiNya
Alhamdulilahi Ta’ala
Hatiku berbunga ria
Semoga dipermudahkan walau apa jua cara
Jalan menuju cita-cita
Menjadi hambaNya yang bertaqwa