Wednesday, April 27, 2011

Corat-Coret: Etika Berpakaian Pelajar IPT

Cara berpakaian di institusi pendidikan tinggi sememangnya berbeza ketika berada di alam persekolahan. Jika di sekolah semua pelajar terikat dengan uniform khas tetapi di IPT, pelajar diberi kebebasan dalam berpakaian.

Walaupun begitu, kebebasan berpakaian bukanlah lesen untuk pelajar IPT melanggar etika berpakaian ketika hadir ke kelas atau kuliah. Etika berpakaian merujuk kepada berpakaian yang bersesuaian dengan majlis, acara dan tempat.

Ketika penulis menuntut di salah sebuah IPT awam dahulu, sebilangan pelajar-pelajar lelaki gemar hadir ke kelas hanya memakai selipar ‘jepun’ dan baju tidak berkolar sehingga di tegur sinis oleh pensyarah. Sebilangan pelajar perempuannya pula, suka mengenakan selendang tipis, berpakaian ketat penuh warna-warni dan kerlipan serta solekan tebal.

Kini, penulis berkhidmat sebagai seorang pensyarah di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan. Penulis juga berhadapan dengan karenah pelajar yang gagal mematuhi etika berpakaian. Bukan tiada papan besar memaparkan etika berpakaian yang betul, tetapi para pelajar memandang enteng perkara tersebut.

Etika berpakaian yang betul di kalangan pelajar IPT adalah penting kerana ia mencerminkan kecemerlangan sesebuah IPT itu. Kita semestinya sedih apabila melihat cara berpakaian pelajar IPT ke kelas ibarat mahu berlumba-lumba membuat pertunjukan fesyen. Malah tidak kurang, ada juga yang kelihatan selekeh sehingga membuatkan kita mengeluh.

Lebih parah, apabila duit juga habis berbelanja untuk membeli barang kosmetik dan pakaian berjenama. Apabila diminta untuk membeli buku dengan harga yang sangat murah, masing-masing mengeluh mengatakan ketiadaan duit. Pelik. Tetapi inilah realiti yang penulis perlu hadapi. Sehinggakan penulis berfikir, adakah mereka berhabis duit untuk belajar atau shopping.

Perlu diingatkan kepada pelajar IPT bahawa mereka adalah golongan yang berpendidikan tinggi. Maka penampilan diri terutama aspek berpakaian harus dipandang penting. Imej sebagai penuntut IPT harus dijaga supaya dapat menjaga dan memartabatkan IPT sebagai tempat penting melahirkan manusia yang bijak menjaga penampilan dan pemakaian selari dengan imej individu yang berpelajaran tinggi.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan secara konsisten bagi memastikan pelajar mematuhi etika berpakaian. Begitu juga kerjasama pensyarah. Pensyarah perlu sedikit tegas dengan cara pemakaian para pelajar ketika menghadiri kelas atau kuliah ataupun urusan rasmi di pejabat.

Sesetengah pensyarah mungkin tidak tegas seperti membiarkan pelajar lelaki dan perempuan memakai seluar jeans, selipar dan berambut panjang mengikut style, juga memakai rantai (bagi pelajar lelaki). Tetapi ia mendatangkan masalah apabila mereka melangkah dari institusi pengajian. Mereka tidak dapat membezakan pakaian yang sesuai untuk urusan rasmi seperti temuduga.

Justeru, salah satu aspek penting dalam melahirkan mahasiswa berketrampilan adalah dengan mendidik mereka mengenai tatacara berpakaian yang betul sesuai dengan urusan, majlis atau acara rasmi atau tidak rasmi serta cocok dengan lunas-lunas agama. Penampilan yang kemas dan tidak berlebih-lebihan memaksimumkan lagi pandangan positif kepada golongan berpendidikan tinggi ini.

1 comments:

Jurnal Murahan said...

itulah, selalu terbawak2 gaya pemakaian tak ikut disiplin sampailah bekerjaya

tu yg selalu jadi masalah tu