Tuesday, February 12, 2019

Naif dan terlalu mudah percaya lelaki durjana



Pertemuan penulis bersama seorang gadis, Amy (bukan nama sebenar) berusia 17 tahun beberapa tahun lalu di Surau Perhentian Bas Puduraya begitu menghibakan. Ketika itu, penulis memerhati si gadis sedang duduk bertemankan seorang bayi perempuan yang kelihatan seperti masih baru dilahirkan. 

Sambil menunggu giliran untuk solat jama’, penulis berbual bersama si gadis bertanyakan perihal dirinya. Pemerhatianku benar, bayi yang dikendongnya baru berusia seminggu. Sangka penulis, si gadis menunggu suaminya solat, tetapi kebenarannya, si gadis dalam keadaan buntu kerana tidak tahu kemana arah selepas teman lelaki yang dipercayainya meninggalkan dia selepas mengandungkan anak hasil persetubuhan haram.

“Saya tidak boleh balik rumah, sebab saya lari dari rumah kerana mencari pekerjaan.Kuala Lumpur banyak peluang kerja.Saya berkenalan dengan seorang lelaki. Dia baik, banyak bantu saya. Bagi tempat tinggal dan kami menjalinkan hubungan seolah-olah kami suami isteri.Bila saya mengandung, dia halau saya dan saya merempat di surau-surau. Saya sendiri melahirkan anak ini di sebuah gereja tetapi ‘sister’ disitu minta saya keluar lepas bersalin sebab takut akan menjadi isu sebab saya orang Islam. Sebab itu saya disini.Saya tidak tahu nak pergi mana.Saya tidak ada duit.Dengan ada anak lagi!” kata si gadis naif itu.

Pernah juga ketika penulis sedang menunggu bas pulang ke rumah ketika cuti pertengahan semester terdengar seorang adik gadis sekolah menengah dipujuk oleh seorang lelaki lingkungan 20-an untuk menyerahkan diri kepada ketua ‘geng’ jika ingin menjadi ahli kumpulan itu. Ketika itu, popular kumpulan ‘Skin Head’ dalam kalangan remaja sekolah.

“Nak jadi ahli kumpulan, kamu kena tidur dulu dengan ketua kita.”Jelas lelaki kepada adik remaja perempuan itu.

Jelas di pendengaran butir bicara mereka kerana penulis berada di belakang mereka ketika itu.Lagi pula, mereka berkumpul di perhentian bas dan gelagat dan penampilan mereka menjadi perhatian.

 ‘Jangan jadi naif adikku!!!’, teriakku dalam hati.

Penulis hanya berkata dalam hati sahaja kerana penulis juga keseorangan dan berlakon seolah-olah tidak mendengar apa yang sedang dibualkan mereka. Tetapi, penulis tetap mendoakan adik tersebut tidak terlalu naif menuruti permintaan hanya untuk menjadi ahli kumpulan yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat.

‘Saya hilang dara ketika itu saya baru tingkatan dua. Saya ada seorang abang angkat berumur 20-an. Suatu hari, kami keluar dan dia ajak balik rumah dia sebab katanya mahu cas telefon dia. Saya ikut sahaja dan tidak terfikir dia akan buat apa-apa dengan saya. Naif sangat masa itu.Dekat rumah dia saya dirogol dan dia ugut akan beritahu ibu saya. Sejak itu saya ikut sahaja kehendak dia sebab takut.Bila saya fikir kembali, kalau saya tidak dirogol mesti saya tidak seperti sekarang.Maksudnya, mesti saya masih lagi jaga kesucian diri saya.Sekarang saya jadi ketagihan.Saya yang rela buat seks.’Jelas seorang gadis remaja berusia 18 tahun.

Itulah antara pengalaman peribadi penulis berhadapan dengan gadis-gadis naif yang mudah sekali diperdaya oleh lelaki durjana yang hanya mahu ‘dara’ gadis-gadis itu untuk kepuasan peribadi.

Dalam sebuah akhbar, seorang gadis telah dinoda oleh kenalan baru laman sosial yang mengajaknya keluar makan tetapi memperkosanya di Hutan Simpan Bukit Malut dalam sebuah kereta dan meninggalkan si gadis di tepi Jalan Kendawang, Langkawi. (Harian Metro, 19 Januari 2016). Dalam situasi yang lain, nasib malang menimpa seorang gadis berusia 14 tahun apabila dirogol oleh tiga orang lelaki dalam sebuah temujanji pertama bersama teman lelaki yang baru dikenali secara ‘online’ di Kuala Terengganu (The Star, 13 Ogos 2014).Seorang gadis, 15 tahun yang melarikan diri dari pusat pemulihan berakhir tragedi apabila dirogol bergilir-gilir oleh 16 orang lelaki.Ia terjadi apabila terlalu naif mengikuti seorang lelaki yang baru dikenali sebelum di bawa ke sebuah perkuburan Kristian di Kuala Lumpur. (Berita Harian, 21 Ogos 2014).

Inilah antara kes benar yang dilaporkan oleh media melibatkan kenaifan adik-adik gadis belasan tahun yang terlalu mudah percaya kepada lelaki  baru dikenali yang kesudahannya berakhir tragedi. Menurut undang-undang, perhubungan seks melibatkan gadis berusia 16 tahun dan kebawah ialah jenayah rogol mandatori walaupun dengan kerelaan diri si gadis itu sendiri.

Tolonglah! Adik-adik gadis jangan terlalu naif menanggapi realiti khususnya apabila melibatkan tentang maruah diri.

Ada ketikanya, lebih baik kita berasa curiga dan lebih berwaspada apabila seseorang lelaki mengajak keluar. Lebih baik lagi, perkasa diri agar tidak mudah menyerahkan mahkota diri atas nama cinta dan budi kerana ia sebenarnya menyatakan kebodohan diri semata-mata. Jangan kerana budi, ‘body’ tergadai.Jangan kerana terlalu naif, tercalar maruah diri. Jangan kerana terlalu percaya kepada seseorang lelaki yang baru dikenali akhirnya ia memakan diri.