Wednesday, September 19, 2012

KESENGSARAAN MANUSIA PERAHU DAN KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’


Pada 14 September yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia telah membuat satu sidang media bagi menuntut Kerajaan Myanmar beri hak kerakyatan kepada etnik Rohingya di pejabat Abim, Taman Cemerlang, Gombak yang turut dihadiri oleh para ustaz dari Persatuan Muslim Rohingya Malaysia.


Kepedulian ini bukanlah suatu usaha baru oleh Abim kerana seawal 1990-an lagi Abim telah mendesak agar Kerajaan Myanmar lebih prihatin dengan nasib etnik yang paling dilupakan di rantau Asia ini. Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala  oleh Junta Tentera Myanmar.


Konflik yang berlaku di antara etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan tahun ini apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke hari ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote,  daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang beberapa dekad yang lalu.


LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA


Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki, Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.


Nasib Etnik Muslim Rohingya mula terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.

Etnik ini kemudian terus ditindas apabila dasar fobia Islam (Islamphobia) disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.  

Di era 1990-an sahaja, terdapat 86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25 peratus daripadanya adalah etnik Rohingya  dan selebihnya adalah etnik Chins dan lain-lain.(Arzura Idris, 2012)

Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini adalah:-

  1. ·         Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
  2. ·         Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
  3. ·         Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
  4. ·         Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
  5. ·         Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
  6. ·         Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
  7. ·         Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.


Sehingga hari ini, kerja-kerja pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915 rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90 ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan hutan untuk menyelamatkan diri.


PENANGKAPAN ARBITRARI @ TIDAK BERASAS PENDUDUK TEMPATAN

Malah kerajaan Junta juga telah melaksanakan penangkapan sejumlah penduduk  tempatan secara arbitrari dan tidak berasas. Tidak terkecuali seorang Doktor  ternama di wilayah bergolak itu bersama ahli keluarganya. Beliau selalu menjadi wakil umat Islam dalam menyalurkan maklumat dan menyelesaikan konflik antara etnik Rohingya dan Kerajaan Junta Myanmar.

Pada sidang media yang lalu, Abim juga mendesak supaya bapa (Dr. Tun Aung- Presiden Majlis Agama dan juga seorang doktor), kakak (Mya Nandar Aung-petugas di UNCHR Maungdaw) dan abang ipar kepada seorang pelajar warganegara Myamnar (kini penuntut di IPTA) yang ditahan secara arbitari dibebaskan serta-merta. Ketiga-tiga mangsa telah di tahan masing-masing pada 10 Jun 2012 (bapa Aishah) dituruti penahanan kakak dan abang ipar Aishah pada 18 Jun 2012. Mereka adalah sebahagian daripada mangsa kempen pembersihan etnik oleh puak junta Myanmar dengan mensabitkan ketiga-tiga mereka dengan kesalahan berat tanpa bukti.

Dr. Tun Aung, 65 tahun ialah juga penghidap penyakit Tumor Pituitari dan sedang menjalani rawatan kini berhadapan dengan undang-undang bagi lima (5) pertuduhan iaitu:-

1)      Tidak menghormati Negara,
2)      Menjadi dalang kepada tercetusnya rusuhan,
3)      Memegang kad pengenalan diri palsu,
4)      Memegang kewangan asing, dan
5)      Penyalahgunaan alat teknologi dan media.

Beliau kini dipenjarakan dalam ruang yang teruk, kotor juga disiksa fizikal dan mental. Beliau juga telah dinafikan hak untuk mendapatkan peguam, tidak dibenarkan untuk membela diri dan tidak dibenarkan untuk memanggil saksi bagi membuktikan beliau tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Manakala pertuduhan yang dikenakan ke atas kakak dan abang ipar pelajar terbabit adalah memegang kad pengenalan diri palsu, penyalahgunaan alat teknologi dan media serta terlibat dengan politik. Akibat penahanan ini, anak mereka yang berumur dua tahun hilang tempat bergantung dan tiada yang menjaganya. Sudah tentu jika keadilan tidak ditegakkan, nasib anak kecil ini akan hancur berkecai dan inilah yang diimpikan oleh junta tentera Myanmar yang giat melakukan pembersihan etnik dengan pelbagai cara ke atas masyarakat yang tidak berdosa.



KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’

Ekoran dari pembersihan etnik yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship For Rohingya’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru itu, Abim mendesak agar:-

1)      Kerajaan Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi Hak Asasi Kemanusiaan PBB,

2)      Membebaskan Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka.




Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.



Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Juga merangkap aktivis Kempen ‘Citizenship for Rohingya’)