Friday, October 29, 2010

....PILIHAN....

Tanyakanlah pada dirimu...dan

Hidupmu tidak akan pernah sama lagi...

Kehidupan kita hari ini ditentukan oleh keputusan yang dibuat semalam

Dan kehidupan kita pada esok hari ditentukan oleh keputusan kita pada hari ini..

***

Adakah anda mahu sengsara dikemudian hari?

Atau adakah anda mahu bahagia?

Anda berhak membuat pilihan.

Keputusan di tangan anda.

***

Tahukah akan dikau pilihan yang tepat???

Jawapannya...

JAUHI MAKSIAT DAN ZINA PERBUATAN KEJI

InsyaAllah, bahagia akan kau kecapi

Bukan sahaja didunia, di akhirat lebih abadi

***

Tutupah rapat-rapat semua pintu menuju kehancuran

Bukalah seluas-luasnya pintu kebahagiaan

BERBAHAGIALAH MENJADI GADIS SUCI &

BERBANGGALAH MENJADI TERUNA HEBAT!!!

DAKWAH DAN TEKNOLOGI

Aku leka memilih video-video terbaik di youtube untuk dijadikan bahan audio sisipan untuk pengisian dan tazkirah kepada penghuni-penghuni di rumah perlindungan wanita Islam tempat kucurahkan bakti. Oleh kerana kebanyakannya adalah remaja produk teknologi terkini, segala pengisian harus disampaikan secara kreatif bagi menarik perhatian mereka. Ya, penulisan kali ini kusuka untuk menekankan kepentingan teknologi kepada para pendakwah untuk menyesuaikan mesej dakwahnya kepada para mad’unya agar tampil meyakinkan dan berwibawa.


Tranformasi teknologi yang sangat pesat merupakan kesan ledakan era globalisasi yang berlaku seawal abad ke-18. Dasar ‘langit terbuka’ yang mewarnai zaman globalisasi membolehkan manusia berhubung secara terus tanpa halangan geografi dan batas masa. Pelbagai alat teknologi yang sofistikated dicipta bagi memudahkan urusan manusia.
Walaupun kemajuan teknologi seperti penciptaan telefon mudah alih,dan internet sering dikecam kerana mengikis nilai moral masyarakat dewasa ini, namun, dari satu perspektif yang lain, sebenarnya ia membantu para pendakwah untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih meluas dan berkesan.


Jika diteliti, dahulu kala, pendakwah selalu digambarkan sebagai seorang yang membaca kitab-kitab lusuh di pondok-pondok, surau-surau dan masjid-masjid. Para hadirin pula kebanyakkannya terdiri daripada golongan manusia yang sudah berada di penghujung usia.


Namun, sepantas masa berlalu, metod penyampaian dakwah harus juga dikemas kini agar sesuai dan seiring dengan masa dan waqi’ (tempat). Jika dahulu ceramah-ceramah tanpa bantuan alatan teknologi sudah cukup, namun ia tidak lagi sesuai diaplikasikan di masa sekarang.


Bukan niat untuk memperleceh para pendakwah dahulu, namun sekadar lontaran buah fikir kepada pendakwah generasi masa kini agar mengaplikasikan teknologi dalam bidang dakwah agar lebih versatile. Mahu tidak mahu, para pendakwah harus juga mempelajari dan menguasai sedikit sebanyak ilmu teknologi sebagai pelengkap menghadapi para mad’u yang semakin ‘advanced’. Jika kita masih ditakuk lama, berdakwah melalui ceramah semata-mata, takut-takut dakwah kita tidak kemana.


Untuk mengelakkan problem dakwah ‘syok sendiri’, eloklah kita kaji keperluan audiens kita yang terdiri daripada remaja-remaja yang semakin tenat dengan nilai moral dan adab. Demi menghadapi mereka ini, kita harus terlebih dahulu celik teknologi kerana mereka ini adalah produk daripada letusan teknologi dan maklumat beberapa dekad terdahulu. Dakwah secara ceramah semata-mata tidak mampu untuk menarik hati dan perhatian mereka. Kita sebagai pendakwah harus lebih kreatif, lebih berinovasi, lebih advanced dalam menyampaikan mesej amar makruf dan nahi munkar. InsyaAllah, kesannya tidak akan mengecewakan.


Tengok sajalah dakyah-dakyah yang mengelirukan umat kita yang terdapat diruang internet. Bebas, sebebas-bebasnya tersebar dan senang pula dicapai maklumatnya kerana hanya dihujung jari. Lebih malang, anak-anak muda kita lebih percaya apa yang tertulis di internet berbanding di dalam Kitab dan Sunnahnya. Jadi, bagi menangani masalah ini daripada semakin teruk, adalah lebih baik para pendakwah mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk kerja-kerja dakwah agar memenuhi kehendak semasa tuntutan zaman. Wallahu’alam.

Sunday, October 24, 2010

BILA SUDAH TERLANJUR...



DAPAT ANAK DAHULU SEBELUM BERNIKAH
“Selepas melahirkan bayi ini, saya akan menikah dengan lelaki, bapa kepada bayi ini”, kata seorang penghuni di salah sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam yang menjawab pertanyaanku tentang perancangan perkahwinannya selepas terlanjur berzina.
Berkahwin sesudah melahirkan anak diluar pernikahan mungkin bukan lagi satu kejutan ditengah-tengah kancah penzinaan yang berleluasa dewasa ini. Malah ia seperti trend yang direstui oleh masyarakat lantaran kejahilan diri tentang dosa dan pahala. Penerimaan budaya ini seolah-olah membenarkan zina dan mengganggapnya sebagai perkara kecil, bukan lagi suatu dosa besar.
Setelah diri disahkan hamil luar nikah lantaran maksiat tersebut, diri tidak keruan. Resah menemani kehidupan sehari-harian. Akal tidak berfungsi secara waras. Pasangan lelaki tidak ambil peduli, meninggalkan mereka terkontang-kanting mencari jalan keluar.
Ada yang berhasrat menggugurkan janin yang sedang membesar di dalam rahim mereka, ada yang gembira kerana ia bukti cinta kepada pasangan walaupun jelas haramnya, ada juga yang tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan, tetapi mahu diserahkan kepada orang lain, malah yang paling keterlaluan, bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja seperti sampah.
Walaupun begitu, tidak banyak yang mengambil pendekatan bernikah setelah disahkan hamil. Ada yang ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan zinanya kerana memikirkan kehidupan diri dikemudian hari. Mereka tidak yakin pasangan lelaki itu mampu menjaga mereka dengan baik. Inilah yang begitu mengecewakan. Di saat inilah timbul keinsafan di kalangan remaja wanita yang terlanjur. Andai masa boleh diputar kembali, ramai yang ingin memperbetulkan segala kesilapan. Namun semuanya tinggal harapan yang mustahil untuk dicapai. Satu-satunya jalan, BERTAUBAT NASUHA dan memulakn episod kehidupan yang baharu.
SOLAT SEBAGAI PERISAI DIRI
Perbualan hati ke hati bersama remaja-remaja wanita yang terlanjur di rumah perlindungan wanita tersebut membawa kita kepada satu kesimpulan penting. SOLAT MENCEGAH DIRI DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR! Kesemua mereka mengakui pengabaian kepada rukun Islam yang kedua itu menjadi faktor utama kepada terjerumusnya diri ke lembah keji penzinaan.
Solat acap kali ditinggalkan sewenang-wenangnya. Solat fardhu tidak pernah cukup lima waktu sehari semalam apatah lagi solat-solat sunat yang lainnya. Diminta untuk membaca bacaan dalam solat, ramai yang gagal membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan solat tunggang-langgang. Solat dianggap perkara yang membebankan. Sembahyang tidak terasa sebagai kewajipan syariat yang wajib dipenuhi. Natijahnya, tiada perisai yang melindungi diri daripada maksiat. Perisai itulah yang dinamakan solat.
Kepentingan kewajipan solat ini tidak dapat diragukan lagi kerana amalan pertama yang akan ditanya di alam kubur kelak adalah tentang solat. Nah, solat amat penting sekali dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim selain akidah yang sahih.
Walaupun begitu, ramai juga yang mengerjakan ibadat solat ini, namun masih lagi terikat dengan dosa dan maksiat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Bagi menjawab persoalan ini, kita boleh mengatakan sembahyang yang dikerjakan itu tiada rohnya. Sepertimana jasad kita, kalau tiada roh, mana mungkin kita boleh bergerak kesana-kemari. Roh inilah yang menghidupkan jasad kita. Roh yang sihat melahirkan jasad dan perawakan peribadi yang sihat dan begitulah sebaliknya.
Begitulah sama halnya dengan solat. Solat yang tiada roh, kaku dan membebankan serta tidak menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang menjahanamkan diri sendiri. Tanda solat yang diterima oleh Allah Ta’ala adalah yang mencegah seseorang daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar syariatNya, yang dapat membentuk akhlak mulia seseorang itu selain mempunyai nur keimanan diwajah si pelakunya.
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa ubat kepada penyakit sosial seperti penzinaan, buang bayi, rasuah dan lain-lainnya adalah SOLAT. Penekanan kepada aspek solat dan hikmah kepentingannya harus dipupuk sedari anak-anak masih kecil. Ibarat kata-kata orang lama, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendalam sekali pepatah tersebut, kerana apabila umur semakin menginjak dewasa, diri semakin liat untuk melakukan sesuatu kerana sudah terbiasa. Untuk keluar dari kebiasaan, ia memerlukan kemahuan yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh selain rahmat dan hidayah dari Allah Ta’ala.
Selain itu, pendidikan kerohanian dan fardhu ‘ain amat penting dalam pembentukan jati diri Muslim soleh sebelum ilmu-ilmu lainnya. Kerohanian yang terdidik dapat membantu seseorang untuk mengawal nafsu yang secara fitrahnya tidak pernah puas. Aktiviti-aktiviti seperti menunaikan solat berjemaah, berzikir, mentadabbur Al-Qur’an, menghafaz kalamullah, qiyammulail, membaca bahan bacaan berunsurkan keagamaan dan tasawuf amat penting dalam melahirkan nafsu yang terdidik mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.
Wallahu’alam.
KISAH SEBUAH JAM DAN KEHIDUPAN




Kuperhatikan jam didinding. Lama mataku terpaku ke arah jam itu. Berbentuk bulat sederhana, berwarna hitam, putih dan kelabu. Warna yang melambangkan professionalisme. Terdapat 12 nombor berwarna putih tersusun mengikut turutan membulat 1,2, 3, 4 dan seterusnya hingga 12 berlatarbelakangkan warna hitam.
Terdapat 3 jarum yang berbeza saiz yang berpusat ditengah-tengah bulatan jam. Jarum-jarum itulah yang menentukan masa. Jarum yang sedikit panjang, halus dan bergerak dengan kadar yang pantas ditugaskan untuk menentukan saat. Manakala, jarum panjang yang bergerak dengan kadar yang perlahan ditugaskan untuk menentukan minit. Jarum ketiga diciptakan pendek, sedikit besar dan bergerak dengan sangat-sangat perlahan. Ia ditugaskan untuk menentukan masa dalam ‘jam’.
Bateri digunakan untuk membolehkan jam serta komponen-komponennya berfungsi dengan baik. Jika ketiadaan bateri sebagai sumber kuasa, sebuah jam tidak memberikan apa-apa makna kepada si pemiliknya. Kerana pemilik jam tidak dapat mengetahui masa.
Jam atau masa yang paling penting?
Sudah tentu masa yang terpenting. Jam hanya berfungsi sebagai teknologi untuk menunjukkan masa. Ramai yang bersetuju mengatakan masa adalah yang paling signifikan. Namun berapa ramai yang tidak ambil peduli tentang kepentingan masa.
Kepentingan masa diperakui dalam Islam sepertimana firman-Nya dalam surah Al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud,
“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Tatkala kurenung jam itu, masa seolah-olah berlalu begitu perlahan. Setiap saat dirasakan lama sekali. Namun hakikatnya masa berlari meninggalkan kita dengan begitu pantas. Buktinya, jika semalam kita adalah bayi kecil yang lemah, namun sekarang kita sudah dewasa, berumahtangga dan mengendong anak kecil pula. Ya, bila dikenang-kenang, setiap saat berlalu dengan sangat pantas. Amat singkat masa kehidupan kita didunia.
Justeru itu, Allah bersumpah dan mengingatkan kita tentang masa. Sudahlah masa itu singkat, namun masih lagi mengisinya dengan perbuatan-perbuatan ‘lagho’ (sia-sia) dan inilah sebabnya manusia itu sentiasa didalam kerugian. Kerugian kerana tidak banyak amalan baik yang dapat dilakukan semasa hayat dunia yang menjadi bekalan di alam akhirat yang abadi. Namun, Allah juga bertegas menyatakan orang yang menghargai masa dengan beramal soleh dan menyampaikan kebenaran dan kesabaran adalah golongan yang dikurnai Allah keberuntungan di dunia dan akhirat.
Berbicara mengenai masa, kuteringat sebuah kisah di antara Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali dengan murid-muridnya. Dikisahkan suatu hari Imam Al-Ghazali bertanya kepada murid-muridnya mengenai perkara/benda yang paling jauh dari diri kita didunia ini. Ada di antara murid-muridnya menjawab Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Imam Al-Ghazali membenarkan semua jawapan-jawapan tersebut, NAMUN beliau menegaskan jawapan yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimana hebat dan sofistikated sekalipun kenderaan kita, mana mungkin kita mampu kembali ke masa lalu.
Ibrahnya, kita haruslah memanfaatkan masa kehidupan kita dengan perkara-perkara yang selaras dengan syariat agama. Ini kerana, kelalaian kita terhadap masa kini mengakibatkan kerugian hatta kita tiada peluang untuk kembali ke masa lalu untuk kita memperbetulkan kesilapan. Justeru, kehidupan yang berbaki ini perlu diteruskan bagi memperoleh redho-Nya. Sekarang fikir-fikirkanlah bagaimana kita mahu menghargai waktu yang singkat ini untuk kebahagiaan kita di akhirat kelak. Wallahu’alam.

Thursday, October 21, 2010

JODOH ITU RAHSIA ALLAH


Persoalan jodoh memang sukar untuk dimengerti. Namun Allah telah berjanji, setiap diri kita sudah tertulis jodohnya semenjak kita di alam rahim ibu kita lagi. Ada beberapa teman wanitaku yang mengadu nasib tentang kerisauan mereka mengenai umur yang semakin meningkat, tapi bayangan jodoh belum lagi kelihatan. Aku diam, tidak berkata. Fikiranku ligat berfikir mengenai perihal jodoh ini.
Ramai temanku, merasa rendah diri kerana masih lagi belum berteman. Mereka merasa kerdil kerna keinginan mahu bernikah sudah ada, tetapi, tiada lelaki yang datang menyahut seruan dan harapan sanubari.
Aku berasa sangat simpati. Aku seringkali menasihatkan teman-temanku, “ InsyaAllah, jodoh akan ada, cuma cepat atau lambat bukan urusan kita tetapi Dia. Kita cuma perlu berusaha, berdoa dan bertawakal agar ditemukan dengan jodoh yang soleh dan beriman. Tidak di dunia, di akhirat pasti ada, jodoh itu rahsia Allah. Wallahu’alam.”
Lantaran luahan hati beberapa teman, aku terdorong bertanya sahabat-sahabat lelaki yang rapat denganku tentang apa yang dicari dan di ingini oleh mereka terhadap diri wanita untuk dijadikan suri hidup. Adakah rupa yang cantik menjadi prioriti, akhlak, kekayaan dan sebagainya yang menjadi ukuran?
Dalam banyak pendapat yang kuperolehi, aku tertarik kepada pendapat seorang teman yang istimewa bagiku. Pendapatnya kedengaran matang, dan aku seringkali gunakan untuk berkongsi bersama sahabat wanita yang lain.
Pendapat temanku yang masih segar dalam kotak ingatan,
“an ordinary man will be looking for looks (Beauty)..
For example, seorang lelaki yang suka kepada wanita yang berwajah bulat, akan memandang semua wanita yang berwajah bulat sebagai cantik, sport man pula akan memandang wanita yang berdada bidang, berotot sebagai cantik.
But, after several years, they feel unfulfilled. Satisfaction yang dirasakan hanya at surface. Then a man starts looking into himself, doing analysis about his real needs. Sebagai contoh, kalau dia pemalas, dia akan mencari pasangan yang rajin, boros akan cari yang penjimat, dan begitulah seterusnya.
Ringkasnya, temanku menyimpulkan...
“A man will look for a girl/ woman who can complete his form.”
Dan lagi dia menasihatiku...
“Don’t get confused between love and need. Love will sure perished by years but need not. Need is responsibility and honesty. You can have faith in it.”
Dan aku menambah pandanganku...
I believe in both love and need. Need comes first, then love will follow...
Dan kami percaya...
“As long as we need each other, anything else doesn’t matter..someday, we’re gonna make it.” InsyaAllah.
***
Nota Mimosa:
Persoalan jodoh adalah rahsia-Nya yang Maha ‘Alim.
Sehingga kini, aku teguh percaya setiap orang telah ditentukan pasangan jodoh masing-masing. Allah itu Maha Mengetahui keinginan setiap para hambaNya. Tiada satu manusia pun yang mahu hidup kesepian tanpa kehadiran teman hidup yang akan mewarnai episod kehidupan kita depan-depan. No man is an island. Kita manusia, bukan pulau yang tinggal keseorangan di tengah-tengah lautan yang terbentang luas. Walau bagaimanapun keadaannya, kita perlu berusaha mencari jodoh kita. Selebihnya, kita bertawakal..kerana “ Faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah”.

BEBAS


Diluar jendela
Kulihat langit kebiruan terbentang luas
Tenang...lapang...puas...BEBAS
Segala belenggu jiwa yang menghempas...
Pergi meninggalkan diri yang dirundung malas...
Kini diri terasa bebas...
Alhamdulillah untuk nikmat-Nya yang tidak terbalas...
18 Ogos 2010/ Isnin