Sunday, October 24, 2010

BILA SUDAH TERLANJUR...



DAPAT ANAK DAHULU SEBELUM BERNIKAH
“Selepas melahirkan bayi ini, saya akan menikah dengan lelaki, bapa kepada bayi ini”, kata seorang penghuni di salah sebuah rumah perlindungan wanita di Shah Alam yang menjawab pertanyaanku tentang perancangan perkahwinannya selepas terlanjur berzina.
Berkahwin sesudah melahirkan anak diluar pernikahan mungkin bukan lagi satu kejutan ditengah-tengah kancah penzinaan yang berleluasa dewasa ini. Malah ia seperti trend yang direstui oleh masyarakat lantaran kejahilan diri tentang dosa dan pahala. Penerimaan budaya ini seolah-olah membenarkan zina dan mengganggapnya sebagai perkara kecil, bukan lagi suatu dosa besar.
Setelah diri disahkan hamil luar nikah lantaran maksiat tersebut, diri tidak keruan. Resah menemani kehidupan sehari-harian. Akal tidak berfungsi secara waras. Pasangan lelaki tidak ambil peduli, meninggalkan mereka terkontang-kanting mencari jalan keluar.
Ada yang berhasrat menggugurkan janin yang sedang membesar di dalam rahim mereka, ada yang gembira kerana ia bukti cinta kepada pasangan walaupun jelas haramnya, ada juga yang tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan, tetapi mahu diserahkan kepada orang lain, malah yang paling keterlaluan, bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja seperti sampah.
Walaupun begitu, tidak banyak yang mengambil pendekatan bernikah setelah disahkan hamil. Ada yang ragu-ragu untuk mendirikan rumah tangga dengan pasangan zinanya kerana memikirkan kehidupan diri dikemudian hari. Mereka tidak yakin pasangan lelaki itu mampu menjaga mereka dengan baik. Inilah yang begitu mengecewakan. Di saat inilah timbul keinsafan di kalangan remaja wanita yang terlanjur. Andai masa boleh diputar kembali, ramai yang ingin memperbetulkan segala kesilapan. Namun semuanya tinggal harapan yang mustahil untuk dicapai. Satu-satunya jalan, BERTAUBAT NASUHA dan memulakn episod kehidupan yang baharu.
SOLAT SEBAGAI PERISAI DIRI
Perbualan hati ke hati bersama remaja-remaja wanita yang terlanjur di rumah perlindungan wanita tersebut membawa kita kepada satu kesimpulan penting. SOLAT MENCEGAH DIRI DARIPADA PERBUATAN MUNGKAR! Kesemua mereka mengakui pengabaian kepada rukun Islam yang kedua itu menjadi faktor utama kepada terjerumusnya diri ke lembah keji penzinaan.
Solat acap kali ditinggalkan sewenang-wenangnya. Solat fardhu tidak pernah cukup lima waktu sehari semalam apatah lagi solat-solat sunat yang lainnya. Diminta untuk membaca bacaan dalam solat, ramai yang gagal membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan solat tunggang-langgang. Solat dianggap perkara yang membebankan. Sembahyang tidak terasa sebagai kewajipan syariat yang wajib dipenuhi. Natijahnya, tiada perisai yang melindungi diri daripada maksiat. Perisai itulah yang dinamakan solat.
Kepentingan kewajipan solat ini tidak dapat diragukan lagi kerana amalan pertama yang akan ditanya di alam kubur kelak adalah tentang solat. Nah, solat amat penting sekali dalam kehidupan seorang yang bergelar Muslim selain akidah yang sahih.
Walaupun begitu, ramai juga yang mengerjakan ibadat solat ini, namun masih lagi terikat dengan dosa dan maksiat. Kenapa terjadi sedemikian rupa?
Bagi menjawab persoalan ini, kita boleh mengatakan sembahyang yang dikerjakan itu tiada rohnya. Sepertimana jasad kita, kalau tiada roh, mana mungkin kita boleh bergerak kesana-kemari. Roh inilah yang menghidupkan jasad kita. Roh yang sihat melahirkan jasad dan perawakan peribadi yang sihat dan begitulah sebaliknya.
Begitulah sama halnya dengan solat. Solat yang tiada roh, kaku dan membebankan serta tidak menghalang seseorang daripada melakukan maksiat yang menjahanamkan diri sendiri. Tanda solat yang diterima oleh Allah Ta’ala adalah yang mencegah seseorang daripada perbuatan-perbuatan yang melanggar syariatNya, yang dapat membentuk akhlak mulia seseorang itu selain mempunyai nur keimanan diwajah si pelakunya.
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa ubat kepada penyakit sosial seperti penzinaan, buang bayi, rasuah dan lain-lainnya adalah SOLAT. Penekanan kepada aspek solat dan hikmah kepentingannya harus dipupuk sedari anak-anak masih kecil. Ibarat kata-kata orang lama, melentur buluh biar dari rebungnya. Mendalam sekali pepatah tersebut, kerana apabila umur semakin menginjak dewasa, diri semakin liat untuk melakukan sesuatu kerana sudah terbiasa. Untuk keluar dari kebiasaan, ia memerlukan kemahuan yang ikhlas dan usaha yang bersungguh-sungguh selain rahmat dan hidayah dari Allah Ta’ala.
Selain itu, pendidikan kerohanian dan fardhu ‘ain amat penting dalam pembentukan jati diri Muslim soleh sebelum ilmu-ilmu lainnya. Kerohanian yang terdidik dapat membantu seseorang untuk mengawal nafsu yang secara fitrahnya tidak pernah puas. Aktiviti-aktiviti seperti menunaikan solat berjemaah, berzikir, mentadabbur Al-Qur’an, menghafaz kalamullah, qiyammulail, membaca bahan bacaan berunsurkan keagamaan dan tasawuf amat penting dalam melahirkan nafsu yang terdidik mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran.
Wallahu’alam.

0 comments: