Friday, October 29, 2010

DAKWAH DAN TEKNOLOGI

Aku leka memilih video-video terbaik di youtube untuk dijadikan bahan audio sisipan untuk pengisian dan tazkirah kepada penghuni-penghuni di rumah perlindungan wanita Islam tempat kucurahkan bakti. Oleh kerana kebanyakannya adalah remaja produk teknologi terkini, segala pengisian harus disampaikan secara kreatif bagi menarik perhatian mereka. Ya, penulisan kali ini kusuka untuk menekankan kepentingan teknologi kepada para pendakwah untuk menyesuaikan mesej dakwahnya kepada para mad’unya agar tampil meyakinkan dan berwibawa.


Tranformasi teknologi yang sangat pesat merupakan kesan ledakan era globalisasi yang berlaku seawal abad ke-18. Dasar ‘langit terbuka’ yang mewarnai zaman globalisasi membolehkan manusia berhubung secara terus tanpa halangan geografi dan batas masa. Pelbagai alat teknologi yang sofistikated dicipta bagi memudahkan urusan manusia.
Walaupun kemajuan teknologi seperti penciptaan telefon mudah alih,dan internet sering dikecam kerana mengikis nilai moral masyarakat dewasa ini, namun, dari satu perspektif yang lain, sebenarnya ia membantu para pendakwah untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih meluas dan berkesan.


Jika diteliti, dahulu kala, pendakwah selalu digambarkan sebagai seorang yang membaca kitab-kitab lusuh di pondok-pondok, surau-surau dan masjid-masjid. Para hadirin pula kebanyakkannya terdiri daripada golongan manusia yang sudah berada di penghujung usia.


Namun, sepantas masa berlalu, metod penyampaian dakwah harus juga dikemas kini agar sesuai dan seiring dengan masa dan waqi’ (tempat). Jika dahulu ceramah-ceramah tanpa bantuan alatan teknologi sudah cukup, namun ia tidak lagi sesuai diaplikasikan di masa sekarang.


Bukan niat untuk memperleceh para pendakwah dahulu, namun sekadar lontaran buah fikir kepada pendakwah generasi masa kini agar mengaplikasikan teknologi dalam bidang dakwah agar lebih versatile. Mahu tidak mahu, para pendakwah harus juga mempelajari dan menguasai sedikit sebanyak ilmu teknologi sebagai pelengkap menghadapi para mad’u yang semakin ‘advanced’. Jika kita masih ditakuk lama, berdakwah melalui ceramah semata-mata, takut-takut dakwah kita tidak kemana.


Untuk mengelakkan problem dakwah ‘syok sendiri’, eloklah kita kaji keperluan audiens kita yang terdiri daripada remaja-remaja yang semakin tenat dengan nilai moral dan adab. Demi menghadapi mereka ini, kita harus terlebih dahulu celik teknologi kerana mereka ini adalah produk daripada letusan teknologi dan maklumat beberapa dekad terdahulu. Dakwah secara ceramah semata-mata tidak mampu untuk menarik hati dan perhatian mereka. Kita sebagai pendakwah harus lebih kreatif, lebih berinovasi, lebih advanced dalam menyampaikan mesej amar makruf dan nahi munkar. InsyaAllah, kesannya tidak akan mengecewakan.


Tengok sajalah dakyah-dakyah yang mengelirukan umat kita yang terdapat diruang internet. Bebas, sebebas-bebasnya tersebar dan senang pula dicapai maklumatnya kerana hanya dihujung jari. Lebih malang, anak-anak muda kita lebih percaya apa yang tertulis di internet berbanding di dalam Kitab dan Sunnahnya. Jadi, bagi menangani masalah ini daripada semakin teruk, adalah lebih baik para pendakwah mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk kerja-kerja dakwah agar memenuhi kehendak semasa tuntutan zaman. Wallahu’alam.

0 comments: