Monday, June 16, 2008

Falsafah Cinta



“Cinta ibarat gunung salji dan matahari”. Salji akan mencair akibat teriknya sinar mentari. Begitu juga dengan cinta sang manusia. Cinta kepada manusia itu tidak kekal. Ia sentiasa berubah. Jika kita cintakan seseorang kerana cantiknya wajah, maka apabila umur kian lanjut, kecantikan mula pudar, seribu kedutan mula muncul, perasaan cinta mula menghilang. Jika cintakan seseorang kerana harta, apabila jatuh miskin, jatuhlah juga cahaya cinta. Maka, seseorang itu akan mencari cinta baru. Cinta yang sudah pastinya tidak kekal. Cinta yang tidak murni. Cintakan seseorang dengan sebab duniawi, pasti mengundang perasaan tidak bahagia.

Cintakan seseorang kerana Allah membibitkan perasaan kedamaian, tanggungjawab, sanggup berkongsi susah dan senang bersama serta saling lengkap-melengkapi dalam menggapai redho Ilahi. Cinta kerana Allah tidak melalaikan sang pencinta manusia dalam kenikmatan syurga cinta. Malah, cintanya itu mendorong manusia untuk sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi sebuah masjid cinta. Cinta kerana Allah juga melahirkan individu-individu yang rindu pada-Nya. Demi perasaan rindu itu, manusia termotivasi untuk sentiasa beribadah kepadanya. Maka, mereka menjadikan perkahwinan sebagai ladang yang menanam benih cinta Lillahi Ta’ala. Hasilnya, tumbuhlah pohon-pohon cinta yang kukuh, tidak tumbang dek hebatnya ribut angin kencang. Pohon cinta yang berakar umbikan ketaatan kepada Allah yang teguh mencengkam bumi. biar berpanas, berhujan sekalipun, tidak akan berganjak walau selangkah cuma. Inilah kehebatan cinta sebenar. Cintakan seseorang kerana Allah.

Cinta yang terbit dihati adalah satu rahmat yang amat besar diberikan kepada manusia. Maka, jangan sia-siakannya dengan menodai sucinya cinta dengan perkara-perkara maksiat. Nikmatilah cinta dalam bentuknya yang terindah-perkahwinan. Semoga diri kita semua terpelihara dari cinta palsu. Akhirnya, berusahalah mencintai seseorang kerana ingin mendapat mardhotillah. Wallahu’alam.

0 comments: