Monday, June 16, 2008

Membugar Kesetiaan dalam Gerakan Islam

Sebagai sebuah gerakan Islam, adalah menjadi suatu kemestian untuk kita memahami dengan sebenar-benarnya perkara-perkara asas yang perlu ada dalam sesuatu jemaah Islamiyyah. Untuk yang pertamanya, sukalah saya untuk membicarakan sedikit tentang konsep bai’ah- salah satu amalan yang amat dipentingkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Semasa hayat baginda masih dikandung badan, telah berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan bai’ah yang diberikan oleh kaum Muslimin kepada baginda seperti Bai’atul ‘Aqabah pertama dan kedua serta Bai’atul Ridhwan.

Apa itu bai’ah? Bai’ah ialah perjanjian untuk taat setia kepada pemimpin dalam urusan gerakan Islam. Apabila kita telah melibatkan diri dengan gerakan Islam, secara tidak langsung, kita telah berjanji untuk setia bersama-sama dengan pemimpin kita tidak kira apa jua situasi kita, suka atau duka, susah atau senang. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “ Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami kami pun memberikan bai’ah kepada baginda…kemudian ‘Ubadah berkata: di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; kami berjanji mendengar dan mentaati Rasulullah S.A.W. dalam perkara yang kami sukai atau kami benci, dalam keadaan kami susah atau senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah tehadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” [1]
(Sahih Al-Bukhari- Bab Al-Fitan)

Daripada hadis diatas, kita akan dapat lihat betapa bai’ah (janji setia) amat perlu untuk memastikan kita patuh kepada pemimpin berjiwa Islami. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’:59;

59. Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Sudah terang lagi bersuluh, tuntutan berbai’ah adalah sunnah. Sebagai pejuang dalam harakah Islamiyyah yang berpegang dengan dua mutiara Islam, Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah, maka kita perlu membugar kembali sistem bai’ah ini. Walaupun bukan secara ritual, tetapi cukuplah sekadar berbisik didalam hati dengan ikhlas yang kita semua akan memberikan kesetiaan kita kepada pemimpin tidak kira apa jua kondisi kita. Hakikatnya, kita semua sedang berbai’ah dengan Khaliq manusia, Allah untuk beramal dan berjihad dijalanNya. Walaupun agak sukar untuk melakukannya, namun percayalah Allah tidak pernah mensia-siakan hamba yang mengharap pada-Nya. Letakkan sepenuh harapan dan bertawakkallah kepada Allah, InsyaAllah kita semua akan merasai nikmatnya. Jangan sia-siakan pintu rahmat yang telah terbuka kepada kita. Kita adalah putera-puteri Islam yang terpilih untuk memegang amanah menyebarkan Syi’ar Islam dibumi yang fana ini. Bisikkan didalam hati, “aku sentiasa dekat Allah. Jiwaku aman, fikiranku tenang walau dalam serba kekurangan. Hari-hariku ceria dan penuh harapan. Aku tidak gundah risau , malah mampu tersenyum kerana aku yakin kebaikan yang Allah janjikan untukku. Dia telah meniup ketenangan dan ketenteraman dalam hatiku. ” Dan
“Katakanlah; sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam,”
(surah Al-‘An’am:162)

Ayuh sahabat-sahabat sekalian! Marilah kita sama-sama terus istiqamah dan setia dalam harakah Islamiyyah ini kerana ia merupakan satu rahmat Allah yang kita tidak sedari secara zahirnya. Wassalam.

[1] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, m/s 187(2006), Dewan Pustaka Fajar, Selangor.

0 comments: