Thursday, February 8, 2018

“…Dan Janganlah Kamu Mendekati Zina”

‘Wanita muslimah yang baik akhlak dan bijak pembawaan dirinya laksana mutiara di langit ketujuh, bukan sebarang orang yang boleh melihat dan menyentuhnya.’

***

Ihsan imej: Pinterest.com
Remaja atau masyarakat lebih selesa menggunakan istilah ‘buat projek’ berbanding perkataan zina yang keras bunyinya. Apabila melihat sepasang lelaki dan perempuan tanpa ikatan sah berdua-duaan dalam gelap di pantai, dalam kereta, taman, kebun atau rumah tinggal, kita mungkin bercakap-cakap, “buat projeklah tu.” Malah, mungkin ada juga dalam kalangan remaja bergurau menggunakan ‘buat projek’ untuk menerangkan sesuatu perkara berkaitan seksual sambil ketawa berdekah-dekah sesama mereka.

Masyarakat Melayu terlalu berlapik dalam berkata-kata sehingga kepada perkara yang menjadi dosa besar. Penggunaan ‘buat projek’ menyebabkan remaja memandang perkara yang berunsurkan seks bebas sebagai sesuatu yang boleh diambil ringan. Tetapi, cuba kita tukar penggunaan istilah ‘buat projek’ kepada ‘zina’. Automatiknya, remaja akan memandang perkara itu dengan lebih serius dan berat.

Yang tidak tahu, mungkin akan lebih ambil tahu apa yang dikatakan dengan zina sehingga ia menjadi antara dosa-dosa besar dalam agama samawi seperti Islam, Kristian dan Yahudi, juga bercanggah moral dalam kebanyakkan agama berasaskan falsafah seperti Buddha, Hindu, Konfusius dan lain-lain.


Pengertian zina dalam Islam


Adik-adik, mahu tidak mahu kita sebagai manusia ‘biasa-biasa’ ini sebenarnya tidak dapat mengelak dari perlakuan zina dalam kehidupan?

Alamak! Apa maksudnya itu?

Cuba perhati dan baca maksud hadis sahih di bawah ini.

Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w, baginda bersabda yang bermaksud,
“Telah ditentukan atas anak Adam (manusia) bahagian zinanya yang tidak dapat dihindarinya : Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lisan adalah berbicara, zina tangan adalah dengan meraba atau memegang (wanita yang bukan mahram) zina kaki adalah melangkah, dan zina hati adalah menginginkan dan berangan-angan, lalu semua itu dibenarkan (direalisasikan) atau didustakan (tidak direalisasikan) oleh kemaluannya. (Hadis riwayat Al Bukhari no.6243 dan Muslim no. 2657)


Dalam hadits ini, Nabi s.a.w bersabda, ertinya, “Telah ditentukan atas anak Adam (manusia) bahagian zinanya yang tidak dapat dihindarinya…”, yakni bahawasanya manusia pasti melakukan zina yang tidak mungkin dapat dihindarinya, kecuali orang-orang yang Allah jaga darinya. Kemudian Nabi s.a.w menyebutkan contoh-contohnya:

Zina mata adalah memandang, iaitu bahwasanya seseorang jika melihat atau memandang wanita yang bukan mahramnya, maka ini termasuk zina mata, apalagi menonton tayangan wanita yang terbuka auratnya, atau filem lucah, atau melihat majalah lucah, dan sebagainya.

Zina telinga adalah mendengar, iaitu seseorang mendengar suara wanita dan menikmatinya, maka ini adalah zina telinga.

Zina lisan iaitu dengan membicarakan sesuatu yang diharamkan Allah ‘Azza wa Jalla.

Zina tangan, iaitu memegang, antara perbuatan dengan tangan seperti menyentuh wanita yang bukan mahramnya atau menciumnya, dan yang seangkatan dengannya.

Zina kaki adalah melangkah, iaitu seseorang berjalan ke tempat-tempat maksiat (tempat pelacuran), atau mendengar suara wanita kemudian dia berjalan ke arahnya, atau melihat wanita kemudian dia berjalan ke arahnya, maka ini adalah zina kaki.

Zina hati adalah menginginkan dan cenderung untuk mewujudkan keinginan syahwat terhadap wanita.

Lalu semua itu dibenarkan (direalisasikan) atau didustakan (tidak direalisasikan) oleh kemaluannya, iaitu jika seseorang berzina dengan kemaluansemoga Allah lindungi kita darinya- maka dia telah merealisasikan zina anggota tubuhnya. Adapun jika dia tidak berzina dengan kemaluannya, menyelamatkan dan menjaga dirinya, maka dia tidak merealisasikan zina anggota tubuhnya tersebut.


Hadis di atas menunjukkan larangan bagi seorang lelaki terikat dengan wanita (yang bukan mahramnya); iaitu dengan suaranya, memandang kepadanya, menyentuhnya, berjalan ke arahnya, dan juga keinginan dan angan-angan terhadapnya.

Mengapa?

Kerana semua perkara di atas termasuk jenis zina. Maka hendaklah sebagai manusia yang berakal dan menjaga harga diri berhati-hati terhadap anggota tubuh kita agar tidak terikat dengan wanita.

Adik-adik gadis, setiap dari kita menjadi ujian besar kepada golongan lelaki, samaada kita boleh merosakkan atau memberi kebaikan. Tepuk dada, tanya iman, tanya suara hati.

Mahu jadi yang bagaimana? 

Menjadi punca zina atau menghalang zina daripada terjadi.

Allah ‘Azza wa Jalla juga berfirman dalam surah Al-Isra’ ayat 32, yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk.”

Oleh itu, wahai para gadis sekalian!

Berusahalah menjaga setiap anggota tubuh agar tidak menjadi punca kepada jalan-jalan zina. Jauhi segala perlakuan yang menyumbang kepada zina seperti berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram, pergaulan bebas, ber’chatting’ di laman sosial, membuka aurat, berpenampilan seksi dan menggoda, menonton bahan-bahan lucah dan sebagainya yang menyebabkan nafsumu bergelojak tidak tenteram.


Tutuplah serapat-rapatnya jalan-jalan yang membawamu ke arah zina. 


(Bersambung.....)