Monday, July 25, 2011

TERKILAN...

Entri kali ini ingin meluahkan rasa terkilan di hati terhadap sikap sesetengah pelajar.
Baru-baru ini, temanku mengkhabarkan bahawa seorang pelajar telah menulis di ‘wall post’ facebooknya sebagai demikian..
“Baru hari pertama dalam kelas, dah bagi kerja macam-macam...What a f**k!”
Aku sangat terkilan kerana pelajar terbabit adalah pelajarku juga.
Dalam hati aku terfikir, betapa rendahnya adab seorang pelajar dengan gurunya. Sampai hati seorang pelajar mengeluarkan kata-kata kesat apabila diberi tugasan oleh gurunya. Tidak pernahkah mereka terfikir tugasan yang diberikan adalah untuk kebaikan pelajar sendiri.
Selang sehari kemudian, seperti biasa aku akan beri tazkirah kepada pelajar-pelajarku dipenghujung kelas. Tambahan pula, tugasan ringkasku tidak disiapkan oleh pelajar dengan pelbagai alasan. Kali ini dengan sengaja aku bicarakan tentang ini..
“Sebagai pelajar, kita jangan mencipta alasan. Kerana, sekali kita mencipta alasan, sebenarnya kita telah mewujudkan satu halangan. Berkali-kali mencipta alasan, semakin bertambah halangan. Sehinggakan kamu tidak mungkin nampak akan cahaya kejayaan.”
Tambahku lagi,
“bila cikgu bagi kamu tugasan, bukan bermakna cikgu ingin bebankan kamu. Adat belajar, tidak lari dari pelbagai tugasan. Cikgu pun beri tugasan pada diri sendiri, buat kajian dan tugasan lain supaya kita sama-sama memperbaiki dan mempertingkatkan diri agar tidak berada di takuk lama. Cikgu nak kita sama-sama maju. Itu sahaja! Jadinya jangan budayakan sikap bertangguh, malas dan memberi alasan.” Ucapku panjang lebar dalam nada tenang tetapi bermesej tegas.
***
Sebenarnya, aku dapat rasakan kenyataan pelajar terbabit ditujukan kepadaku. Aku sedikit terkilan kerana tugasan mudah yang diberikan dihambur dengan kata-kata kesat. Apakah salah diriku memberi tugasan sedangkan sesi pengajian telah pun bermula? Aku tidak lupa, aku dibayar untuk mengajar..maka tiap waktu pembelajaran, tidak pernah kusia-siakan.
Pada penilaian anda adakah berat tugasan ini sebagai persediaan pelajar untuk BAB 1 dan 2 Pengajian Malaysia- Masyarakat dan Budaya yang akan dibicangkan pada minggu yang berikutnya..
Pelajar diberikan tugasan untuk mencari maklumat 5 kaum yang ada di Malaysia. Maklumat tersebut perlulah mencakupi:-
  • Agama,
  • Pakaian,
  • Makanan,
  • Perkahwinan,
  • Adat dan Kepercayaan,
  • Tarian dan
  • Perayaan


(Cara penyampaian/ pembentangan perlulah ringkas dan bebas mengikut kreativiti masing2)
Jangka waktu persiapan yang diberikan: 3 hari
Hasil Pembelajaran: Pelajar akan berasa bangga lahir di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat majmuknya, melahirkan perasaan hormat-menghormati seterusnya mencambahkan benih perpaduan di kalangan pelbagai kaum dan etnik.
***
Namun perasaanku sedikit terkilan kerana tugasan itu tidak juga disiapkan kerana pelbagai alasan. Dan sesungguhnya aku sedikit kecewa kerana pelajar2 non-Muslim begitu bersungguh menyiapkan kerja, berjumpa dan berdiskusi berbanding pelajar2 sebangsa dan seagamaku sendiri. Bagaimana survival umat pada masa mendatang jika beginilah keadaannya...M.A.L.A.S dan S.U.K.A B.E.R.A.L.A.S.A.N? Sungguh besar cabaran bagiku sebagai pendidik.

Pejabat kesayanganku...

Tetap tersenyum dan tabah dalam misi mendidik umat :)

Hujung Minggu Bermakna....

Alhamdulillah, hasrat untuk menghadirkan diri ke Ijtimak Harakiy ke-2 akhirnya tercapai juga. Banyak manfaat yang diperoleh terutamanya sebagai suntikan semangat perjuangan yang kian luntur. Perasaan rindu dan gembira bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan jelas di riak wajah...Terima kasih Tuhan kerna mempermudahkan segala urusan.

Secebis memori...



Sahabat-sahabat seperjuangan KPIJ :)


Barisan kepimpinan yang berjasa dalam sesi yang lepas...


Tuesday, July 19, 2011

NILAI DARA DAN TERUNA
Usai menonton filem ‘Aku Masih Dara’ arahan Ahmad Idham membuatkan penulis berfikir sejenak tentang kemerosotan nilai dan moral dalam diri anak muda dewasa ini.
Aku Masih Dara mengisahkan perjalanan hidup 3 sekawan yang mempunyai latar belakang, serta pemahaman tentang agama Islam yang berbeza iaitu Sofia, Hani dan Alyssa. Sofia merupakan seorang gadis kaya yang dibesarkan dalam keluarga Islam tetapi mengamalkan budaya dan agama Kristian. Hani pula merupakan gadis yang dilahirkan dalam kemiskinan. Kemiskinan itu menyebabkannya menjadi liar dengan berkawan dengan seorang lelaki bernama Zack dan terlibat dengan seks bebas, arak, penggunaan dadah dan ectasy. Alyssa pula merupakan gadis yang berpelajaran, lahir dalam keluarga yang berpelajaran tetapi suka berhibur. Alyssa mempunyai seorang sepupu lelaki yang alim dan diberi amanah oleh ayah Alyssa untuk menasihatinya tentang agama.
Aku Masih Dara turut juga mempertemukan 3 orang kawan baik yang berbeza pendapat mengenai ‘dara’. Pada Sofia,walau sebebas manapun hidupnya, ‘dara’nya hanya untuk lelaki yang halal menjadi suaminya. Hani pula memandang enteng tentang ‘dara’ dan mengatakan dara tidak lagi relevan. Alyssa pada awalnya seorang gadis suci tetapi telah dinodai apabila mengikut Hani ke ‘exclusive party’ yang menganjurkan pergaulan bebas, minum arak dan seks bebas.
Persoalan ‘dara dan teruna’ memang merupakan isu hangat untuk dibincangkan. Dara merupakan bukti kegadisan seseorang sama ada masih suci atau pernah melakukan persetubuhan. Teruna juga merujuk kepada kesucian si jejaka yang masih belum pernah menjalin hubungan intim. Namun penulis sangat sedih apabila masyarakat remaja kita hari ini beranggapan seseorang yang masih dara dan teruna sebelum berkahwin adalah seorang yang kolot dan ketinggalan dalam kepantasan waktu dan pembangunan. Adakah mereka lupa menjaga ‘dara/ teruna’ itu sama ertinya dengan menjaga maruah diri? Apa makna maruah diri pada diri mereka? Adakah dengan berzina sebebas-bebasnya menjadikan mereka semakin bermaruah?
Budaya zina dan hilang dara dan teruna semakin meruncing dewasa ini. Saban hari membaca akhbar, ada sahaja laporan mengenai kes buang anak kesan buruk dari parahnya budaya zina ini. Sebuah laporan akhbar tempatan melaporkan sebanyak 60 peratus gadis hilang perawan akibat hubungan seks luar nikah menjelang umur 18 tahun. Bukan setakat itu, pencabulan maruah diri, rogol juga amat menakutkan. Laporan lain menyatakan bahawa setiap 17 minit, satu kes rogol berlaku di Malaysia! Betapa parah moral anak muda kita pada hari ini.
MENJAGA MARUAH DIRI ADALAH SALAH SATU MAQASID SYARIAH
Islam begitu menitik beratkan tentang persoalan menjaga maruah diri ini. Salah satu maqasid syariah adalah menjaga kehormatan dan maruah diri. Allah berfirman dalam KitabNya, Surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud.
“ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang salah.”
Islam mengambil pendekatan, mencegah lebih baik daripada merawat. Ia selari dengan intipati yang cuba disampaikan dalam ayat di atas. Ayat tersebut jelas melarang kita dari mendekati semua bentuk perbuatan yang menjurus kearah penzinaan. Daripada muamalah antara lelaki dan wanita yang tidak terjaga, membaca bahan-bahan lucah di komik-komik, blog, dan sebagainya, ber’sms’ dengan berlainan jantina yang berbau ghairah, mendengar lagu-lagu membangkitkan syahwat, menonton cerita porno, dan apa sahaja yang berbaur zina. Semuanya dilarang dan harus dijauhi.
Remaja kita hari ini seakan-akan tidak punya rasa malu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya, ‘ bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki. (Riwayat Bukhari). Muda belia kita bergaul sebebas-bebasnya sehingga terjerumus ke lembah zina tanpa hadir perasaan malu dalam sanubari. Malah, kita pernah digemparkan oleh seorang gadis berusia 16 tahun begitu berbangga kehilangan ‘dara’ lalu diuar-uarkan di laman sosial sehingga mengundang kecaman dari masyarakat dan ada juga yang memihak kepadanya. Lelaki si hidung belang pula berbangga dan terasa hebat kerana meniduri ramai gadis. Inilah yang disampaikan melalui hadith di atas iaitu mengerjakan sesuatu yang terlarang sesuka hati dan berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Larangan dan kecaman tidak langsung membenihkan perasaan takut, tetapi sebaliknya.
Malah zina ini sudah mula menjadi budaya jika tidak ditangani segera oleh semua pihak. Sikap ibu bapa yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak bebas lepas menjalani kehidupan mengikut suka hatinya memburukkan lagi keadaan. Di tambah pula dengan keadaan masyarakat yang ‘malas menjaga tepi kain orang’ semakin meruncingkan budaya zina hari ini. Penggunaan kata ‘buat projek’ apabila berdua-duaan di tempat sunyi menjadi senda gurau. Istilah ‘projek’ adalah tidak tepat, kerana paling tepat adalah istilah zina. Penggunaan ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat sedar bahawa perbuatan itu dilarang sama sekali yang perlu diambil tindakan, bukan menjadi bahan gurauan semata-mata.
PEMERKASAAN SAHSIAH DIRI
Generasi muda kita harus dibangunkan. Program-program membina generasi muda perlu diperkasakan. Namun malangnya, kebanyakan program hanya berbentuk fizikal semata-mata tanpa ada suntikan kerohanian dan pembinaan akhlak. Hari ini, keperluan utama adalah pengisian kerohanian dan spiritual. Bertahun- tahun di sekolah belajar tentang ilmu agama dan moral secara formal tidak menjamin seseorang itu terbangun adab dan sahsiahnya.
Usaha memupuk adab dikalangan generasi muda kita perlulah diambil penting dan istiqomah oleh semua pihak daripada institusi keluarga, institusi pendidikan hinggalah kepada institusi pemerintahan Negara. Malah pendidikan agama dan moral perlulah melangkaui batas akademik semata-mata. Aspek pentarbiyahan jiwa nurani pula perlulah berterusan dan bukan setakat habis sejurus tamat zaman persekolahan.
Sebuah hadis menyatakan yang bermaksud,
Kemuliaan seseorang mu’min itu adalah kerana agamanya, maruahnya adalah terletak pada akalnya dan kedudukannya adalah bergantung kepada akhlaknya.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi).
Sudah terang lagi bersuluh, agama, ibadah, dan akhlak adalah elemen penting dalam Islam. Belumlah sempurna keislaman dan keimanan seseorang Muslim itu jika elemen ini masih pincang. Maruah dan jati diri adalah cerminan tahap keimanan dan akhlak seseorang itu. Generasi muda yang bermaruah dan berakhlak mulia merupakan cita-cita. Cita-cita ini tidak akan tercapai tanpa adanya usaha. Justeru itu, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan kelahiran sebuah generasi muda baru yang terbangun jiwa dan raganya dengan cahaya Islam yang gemilang. Ayuh, generasi muda sekalian, bangkitlah demi kesucian agamamu!

Monday, July 18, 2011

JIWA TERHEBAT!!!1

Wahai jiwa
Kenapa kau begitu kecil?
Mana perginya keberanianmu?
Mana hilangnya semangat membaramu?
Mana hapusnya cekalmu?
Kecil hati, sensitive, emosi, kuat merajuk....
Arghhh...sungguh lembik kau wahai jiwa!
Dunia ini bukan untuk kau wahai si jiwa lembik!
Dunia ini untuk si gagah-gagah berani
Engkau????
Tidak layak sama sekali!
Ayuh...BANGKITlah!
Kau gagah sebenarnya...
Usah diikut kata hati kerna
Kelak kau akan rugi binasa
Usah didengari kata-kata orang
Kerna ia bisa menjatuhkan engkau
Percaya diri...
Engkau terhebat sebenarnya
Jelaskan matlamatmu
Hapuskan segala kerungsinganmu
Hilangkan semua kekusutanmu
Tinggalkan bisikan yang menggagalkanmu
Kerana ENGKAU TERHEBAT WAHAI JIWA!

BERBEZA

Si A seorang yang perjalanan hidupnya mudah. Lahir dalam latar belakang keluarga kecil yang berada, mak dan ayah yang mempunyai kerjaya yang bagus, tingga di bandar, mendapat pendidikan yang sempurna, mempunyai kerjaya, kereta, dan serba-serbinya berjenama dan bersikap boros. Apa sahaja yang diingini akan dapat walau bagaimana sekali caranya.
Si B seorang yang perjalanan hidupnya sukar sedikit. Lahir dalam keluarga yang besar tetapi kurang berada, tinggal di kampung tetapi masih tetap mendapat pendidikan yang sempurna dengan berkat hasil usaha emak ayah yang bertungkus-lumus membanting tulang, bergolok-gadai menyekolahkan anak-anak. Juga sudah bekerjaya, tetapi tidak mampu lagi untuk membeli kereta sendiri. Prinsipnya berjimat-cermat walau kekadang dikatakan sebagai kedekut dan berkira-kira. Apa sahaja yang diingini terpaksa dibatasi.
Diatas merupakan dua orang yang berbeza situasi. Mana satu pilihan anda dan mengapa?

PENDEKAR

Dalam riang hati menangis
Dalam senyum hati terguris
Dalam sepi hati menyendiri
Dalam sabar hati menanti
Dimanakah?
Keamanan.
Dimanakah?
Kebahagiaan.
Dimanakah?
Keadilan
Jiwa terkorban
Rebah menyembah bumi
Hati musnah
Hilang sifat manusiawi
Dimanakah?
Keamanan
Dimanakah?
Kebahagiaan
Dimanakah?
Keadilan
Rakyat menanti susuk pendekar
Memperjuang ummah penuh berkobar-kobar
Semangat membara teramat membakar
Laungan menggentar jiwa Allahu Akbar!
Dimanakah?
Susuk pendekar itu
Dimanakah?
Semangat itu
Dimanakah?
Laungan itu
Dimanakah?
Susuk pendekar itu
Semangat itu
Laungan itu
Bangkitlah wahai pemuda-pemudi Islam!
Ayuh!
Kitalah pendekar itu!
Allahu Akbar!