Friday, November 10, 2017

Bicara Gadis-gadis: Remaja Perlu Inspirasi dan Aspirasi


Apa yang kamu semua ingin capai dalam hidup ini selepas tamat pengajian diploma? Tanyaku kepada sekumpulan remaja perempuan pada permulaan kelas.

“Nak khawin!!!!’ lantang sekali kata mereka.

“Ish, kamu belajar ambil diploma mahal-mahal, penat-penat, akhirnya itu sahaja yang kamu ingin capai? Berkahwin?” Kamu semua biar betul

“Muda lagi kan?” “Binalah dulu potensi diri.” Gasakku lagi.

Dalam situasi yang lain.

Saya meminta para pelajar melakar satu peta minda pelan perancangan kehidupan mereka 20 tahun akan datang.

Setelah seminggu, tugasan peta minda itu dihantar kepada saya.

Saya meneliti, satu persatu perancangan mereka.

Mengujakan! Senyumku sendiri sambil mengangkat kening.

Daripada 30 tugasan yang diterima, 27 ingin berkahwin sejurus tamat pengajian diploma iaitu sekitar umur 22 tahun. Perancangan ingin berkahwin paling diutamakan daripada pencapaian lain seperti akademik, kerjaya, pembangunan kemahiran diri dan sebagainya.

Malah ada yang kata ingin bertunang apabila mencecah semester lima. Ada juga yang letak harapan ‘tidak ingin dimadukan’ dalam tugasan peta minda itu.

Tugasan itu adalah sepatutnya untuk membantu mereka membuat perancangan diri dengan teliti untuk mencapai imaginasi diri yang berjaya di kemudian hari.

Paling tidak dilupakan.

Baru-baru ini, mengiringi pelajar ke lawatan industri di sebuah syarikat penerbitan buku yang tersohor dan antara ‘Top 10’ di Malaysia.

Pengendali program memulakan sesi dengan ‘ice breaking’ bertanyakan tentang makna kebahagiaan kepada sekumpulan pelajar remaja (sekitar umur 19-20 tahun).

Dengan kuat remaja perempuan pun memberikan maklumbalas.

‘Kahwin!!!”.

Saya memandang sesama rakan pensyarah lain dan tiba-tiba kami tergelak kecil kerana tidak menyangka itu jawapan yang akan keluar dari remaja ini. Yelah, kami sedang mengikuti lawatan akademik ke industri kot. Mahu kami tidak terketawa kecil.

Apabila, pengendali sesi mengatakan beliau sudah berkahwin dan memiliki seorang anak, dengan kuat remaja perempuan ini berseloroh…

‘Lorr…dah kahwin ke?” 

Senyum sahaja melihat telatah remaja ini.

Itulah antara momen-momen saya bersama remaja perempuan.

Memang luar biasa beraninya.

Seingat saya, perasaan nak bagitahu ibubapa mahu berkahwin ketika umur-umur belasan tahun sangat memalukan apatah lagi ingin bagitahu kepada orang lain seperti guru dan pensyarah.

Tetapi, hari ini remaja kita sangat vokal!

Vokalnya sehingga ada remaja perempuan tanpa segan beritahu saya ‘taste’ dia adalah lelaki dewasa. Wow. Luar dari kebiasaan!

Bukanlah suatu dosa ada perasaan mahu berkahwin. Itu dinamakan fitrah. Masa kecil-kecil dulu pun penulis main kahwin-kahwin. Jangan tidak percaya, itu permainan anak permainan satu dunia tau! Tapi kalau terlebih-lebih, ada orang mengatakan ia sebagai ‘menggelenyar’. Apatah kalau yang beria-ia itu remaja yang masih lagi di bangku persekolahan dan tidak berpendapatan.

Zaman kini tidak sama seperti puluhan tahun yang dahulu. Anak-anak gadis dikahwinkan ketika berusia belasan tahun. Walaupun begitu, mereka matang dan cekap mengenai pengurusan rumahtangga. Remaja kita hari ini? Sendiri jawab ya.

Kalau rasa dah bersedia sangat, cuba baca-baca luahan-luahan dan ‘cabaran-cabaran’ dalam halaman Kisah Rumah Tangga (KRT) yang ‘HOT’ sangat tu dengan pengikut sejuta lebih. Ada bran???

Adik-adik, jadi remaja kena ada inspirasi dan aspirasi.

Kalau belum bersedia menerima tanggungjawab, jangan sesekali bermain cinta. Simpan sikit cinta anda kepada seseorang yang anda yakin boleh membimbing diri dan keluarga menuju kepada kebaikan, keharmonian dan kelestarian hidup.


Sibukkan saat remaja anda dengan perkara-perkara yang membina potensi diri, kemahiran dan pengurusan diri yang cekap. Lengkapkan diri anda dengan dapatkan pencerahan kepada ilmu-ilmu yang menjadikan anda lebih matang seperti literasi undang-undang termasuklah undang-undang kekeluargaan. Sekarang segalanya mudah, hanya di hujung jari.

Adik-adik kena tahu kita berada di fasa Revolusi Industri 4.0 yang cabarannya bukan biasa-biasa. Sekarang segalanya berdasarkan data (big data) bukan cakap-cakap kosong. Nak jadi ratu rumahtangga, kena ada ilmu.

Dengan ragam kehidupan yang pelbagai rencam, maka adik-adik perlu mempunyai wibawa ilmu untuk tampil matang dan mampu menangani pelbagai masalah yang timbul.

Kenapa menjadi remaja berilmu itu penting?

Kerana apabila seseorang telah mempunyai kefahaman ilmu dan semakin jelas maka terhasillah amalan dan tindakan yang berkesan. Kita boleh lihat betapa banyak porak-peranda dalam masyarakat berlaku akibat kekurangan ilmu yang membawa kepada tindakan-tindakan yang melulu. Apatah lagi jika melibatkan hal-ehwal kewanitaan, maka adik-adik sendiri perlu berikhtiar mencari ilmu sebagai persediaan diri menjadi modal insan atau aset berharga kepada agama, masyarakat dan negara.

Sekali lagi, jadi remaja kena ada inspirasi dan aspirasi.

Oleh itu, adik-adik gadis manfaatkan masa yang ada berjuang untuk ilmu. Lihat kekuatan dan ketabahan remaja perempuan Pakistan, Malala Yousafzai, 20 yang begitu haus kepada pendidikan. Beliau rela ditembak di dahi kerana memperjuangkan pendidikan untuk para gadis di negaranya. Beliau terselamat dari kecederaan parah dan telah diangkat sebagai penerima hadiah nobel termuda ketika itu beliau berusia 16 tahun oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau dalam satu ucapannya di Persidangan PBB 2013 dengan bersemangat mengatakan suara perjuangannya untuk mendapatkan hak pendidikan tidak boleh disenyapkan hanya dengan peluru.  Beliau akan terus berjuang untuk mendapatkan pendidikan dan ilmu untuk para gadis di negaranya.

Manakala, Michelle Obama, isteri kepada mantan Presiden Amerika Barack Obama dalam satu program ‘Let Girls Learn Iniatiative’ mengingatkan para gadis Amerika agar bersungguh-sungguh menuntut ilmu agar lebih berdikari, mempunyai jaminan kewangan dan kesihatan. Beliau menyatakan demikian kerana kekhuatirannya kepada sejumlah 65 juta remaja perempuan di Amerika yang ketinggalan dalam sistem persekolahan dalam ucapannya itu.

Antara punca para gadis Amerika ketinggalan dalam pendidikan disana adalah kerana gejala seks bebas yang menyebabkan para gadisnya menjadi ibu tunggal ketika masih lagi di bangku sekolah tinggi. Menurut laporan Center for Disease Control and Prevention, USA, 50 peratus gadis Amerika menerima sijil diploma dari sekolah tinggi mereka menjelang umur 22 tahun kerana mengandung dan melahirkan anak ketika berusia 15 hingga 19 tahun.

Di akhir ucapan, beliau menyatakan,

“I want you to be that hungry to get your education because it is going to be the key to your future.”
Ilmu akan menjadi kunci kejayaan adik di masa hadapan. Ilmu juga membantu untuk membuat penilaian mana yang baik dan mana buruk terhadap diri sendiri. Jadilah orang berilmu supaya menjalin hubungan cinta juga secara bijaksana.

Kesimpulannya, ayuh, jadi remaja yang bijak menentukan masa depan yang gemilang! Menjadi inspirasi dan menginspirasikan orang lain dengan gagasan aspirasi yang menginspirasikan.


Salam sayang,

Puan Far
Jumaat[10 Nov 2017 @ 4:55 PM)

Monday, August 28, 2017

Memelihara kehormatan diri bererti jihad

Bukan suatu hal yang mudah untuk seorang gadis menjaga kehormatan dirinya pada zaman moden kini. Pelbagai dugaan dan rintangan dihadapi yang boleh menggugat keimanan diri. Apatah lagi jika iman si gadis diibaratkan senipis kulit bawang yang senang sekali dirobek. Faktor dorongan hawa nafsu dan lingkungan sosial yang mendukung nilai-nilai sekular yang tidak syari’e menjadikan kehormatan adik-adik gadis di dalam ancaman.


Bagi yang tidak kuat menepis dugaan, mereka mengaku kalah dengan mula memperlihatkan perhiasan diri. Maka, berlakulah pendedahan aurat yang menjadi pandangan biasa sedangkan dosanya jelas dalam agama. Ia juga seolah-olah tindakan yang menyatakan pertentangan terbuka kepada perintah Allah Ta’ala yang merupakan kewajipan setiap orang yang beragama.

Kewajipan menutup aurat jelas dalam firman Allah S.W.T  yang bermaksud, “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka!” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab, Ayat 53)


Tahukah adik-adik gadis sekalian?

Saat kamu mencapai akil baligh, kamu sedang mempersiapkan diri menuju kedewasaan. Perubahan hormon dan bentuk badan mula menampakkan diri sebagai seorang wanita dewasa yang mempunyai daya tarikan seksual kepada lawan jenismu. Mungkin perubahan pertama yang dilihat bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting akan membengkak, jisim payudara akan lebih membulat serta menjadi padat dan berat.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan. Dengan kata lain, ovulasi sudah berlaku dan sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

Perubahan bentuk tubuh si gadis yang semakin mempesona tidak boleh dinafikan menggoncangkan naluri kelakian yang memang tertarik kepada wanita apatah lagi jika ia dipertontonkan sewenangnya tanpa perasaan malu. Betapa ramai lelaki menatapmu dengan nafsu yang bergelojak di dalam hati. Cuba berfikir sejenak, apakah yang akan terjadi jika lelaki liar dan buas menginginkanmu? Dia pasti cuba mendapatkanmu atau gadis lain sebagai mangsa dengan cara yang kejam dan meninggalkan si gadis dalam keaiban dan trauma sepanjang hayat. Nauzubillah.


Bukan untuk berprasangka buruk, tapi kebanyakkan gadis moden sengaja mempamerkan sebahagian tubuhnya untuk menggoda dan menarik perhatian para lelaki agar memuja kecantikan dirinya. Iman yang lemah menjadikan gadis-gadis alpa lantaran dipujuk rayu oleh lelaki yang tidak baik yang mahukan dirinya untuk kepuasan nafsu semata-mata. Si gadis mungkin tidak rasa berdosa melainkan rasa seronok dan rasa dihargai walaupun pada hakikatnya si gadis telah merendahkan martabat kegadisan dan kehormatan dirinya.

Wahai adik-adik gadis sekalian! Menjaga kehormatan diri adalah suatu amanah yang ditaklifkan oleh Allah Ta’ala saat manusia berikrar menjadi khalifah di bumi ini. Sudah tentu, tugas itu bukanlah mudah jika tidak disertai dengan rasa tanggungjawab, iltizam yang jitu dan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhan.

Menjaga kehormatan diri merupakan sebuah jihad yang besar kerana kita sedang mendidik hawa nafsu agar patuh dan taat kepada perintah Allah Ta’ala. Jihad menentang hawa nafsu digolongkan sebagai jihad yang besar kerana asal penciptaan nafsu itu sendiri bersifat degil dan sukar untuk ditundukkan.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Hajj, ayat 78: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya (haqqa jihadihi)”.Menurut Imam al-Qurtubi, firman Allah S.W.T ‘haqqa jihadihi’ dalam ayat tersebut menyampaikan mesej kepada menjunjung dan mengerjakan segala suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan dan tegahan. Selanjutnya beliau menjelaskan: “Berjihadlah terhadap diri sendiri supaya mentaati Allah SWT dan menjauhi hawa nafsu, berjihadlah melawan syaitan supaya godaan dan gangguan dihapuskan, berjihadlah menentang orang zalim supaya kezaliman dapat dibasmi dan berjihadlah menentang orang kafir supaya kekufuran dapat dihindari.” 


Jadi, janganlah adik-adik gadis sekalian mudah berputus asa, mengangkat bendera putih sebagai akuan kalah kepada tuntutan hawa nafsu dan tipu daya syaitan yang sentiasa mengajak manusia kepada kemungkaran dan lembah kehinaan. Ia hanya boleh dilakukan dengan melawan nafsumu dengan sebenar-benar jihad.

Keutamaan gadis perawan

Menjadi gadis perawan merupakan sebuah kebahagiaan. Tatkala pergaulan bebas semakin berleluasa sebagai budaya yang menjadi kebiasaan, maka si lelaki yang soleh lebih berhati-hati dalam memilih calon isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Tidak diragukan, gadis perawan menjadi kriteria utama dalam pemilihan jodoh kerana dikhuatiri menjadi fitnah dan kecurigaan sepanjang perkahwinan.


Ihsan imej: Pinterest.com
Saat sang teruna dan dara disatukan dengan pernikahan, maka bersemilah cinta dan kasih yang utuh kerana masing-masing telah menjaga kehormatan dan menyerahkan segalanya untuk dinikmati bersama-sama di kala sah menjadi suami isteri. Mereka berasa tidak sia-sia mengekang hawa nafsu sekian lama untuk menjauhi keinginan menuju jalan-jalan zina. Pada akhirnya, keperawanan itu diberikan kepada yang halal maka terbitlah rasa saling ingin membahagiakan. Inilah pentingnya erti sebuah keperawanan.


Dalam surah An-Nur, ayat 3, Allah ‘Azza Wajalla melarang sama sekali seorang lelaki mukmin untuk bernikah dengan seorang perempuan yang aktif berzina seperti menjadikan pelacuran sebagai kerjaya.

“Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mu’min.”  
                                                                                                                           
                                                                                                                           (Surah An-Nur: Ayat 3)

Larangan ini bersebab dan mengandungi hikmah yang besar kerana ia akan memberi implikasi-implikasi negatif kepada lelaki soleh yang mu’min.


Menurut Ustaz Zaid Susanto dalam kajian muslimahnya berdasarkan tafsiran surah An-Nur, ayat 3, menjelaskan sekurang-kurang terdapat lapan akibat negatif jika lelaki soleh yang beriman mengahwini wanita penzina (kecuali yang telah bertaubat nasuha) kepada kehidupannya iaitu;


a) Perkahwinan dengan wanita penzina seperti pelacur telah melanggar status sah dan halal sesebuah perkahwinan yang telahpun diharamkan secara jelas dalam surah An-Nur ayat 3 ini. Begitu juga sebaliknya, seorang wanita mukminah tidak dihalalkan baginya berkahwin dengan lelaki penzina (yang tidak bertaubat).


b) Perkahwinan dengan wanita penzina akan menyebabkan berlakunya percampuran nasab keturunan sedangkan salah satu tujuan pensyariatan hukum dalam Islam ialah bagi memelihara nasab keturunan supaya jelas dan benar. Bayangkan si wanita meminta lelaki lain bertanggungjawab apabila telah terbukti mengandung akibat perbuatan zinanya dan dinasabkan kepada lelaki yang menjadi suaminya. Sudah pasti berlaku pencampuran nasab yang boleh merosakkan masyarakat.


c) Perkahwinan dengan wanita penzina juga akan menyebabkan si isteri tidak rasa pentingnya kewujudan atau memerlukan suami kerana keperluan material dan biologinya dapat diperolehi dengan sendiri termasuklah curang dengan suaminya atau menjual dirinya untuk dapatkan kemahuannya.


d) Perkahwinan dengan wanita penzina akan menyeret sama suaminya kepada perbuatan haram kerana si isteri tidak lagi melayani suaminya kerana telah dipenuhi nafsu syahwatnya oleh lelaki lain. Justeru, bagaimana dengan nafsu si suami tadi? Maka untuk memenuhi tuntutan syahwat, si suami barangkali akan juga terjebak dalam perlakuan zina.


e) Rumahtangga yang dibina juga akan mengalami masalah hingga berlaku keruntuhan institusi keluarga. Anak-anak akan meniru aksi ibubapa sepertimana perumpamaan “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.”


f) Wanita yang berzina juga akan menghilangkan rasa cemburu suaminya sehingga si lelaki tadi menjadi suami yang dayus hingga tidak ada perasaan cemburu jika melihat si isteri bersama dengan lelaki lain walaupun di depan matanya.


g) Paling menggusarkan, si isteri penzina akan mengajari anak-anaknya kelakuan zina samaada secara langsung atau tidak langsung. Kasihan anak-anak yang suci bersih akhirnya dirosakkan fitrahnya disebabkan dosa ibubapa yang terlibat zina.


h) Akhirnya, dari aspek kesihatan akan menyebabkan pelbagai penyakit menular seksual termasuklah menjadi pembawa HIV positif dan pengidap AIDS kerana aktif berhubungan seks secara rambang dengan orang lain.

Nauzubillahi min zalik.

Menakutkan sekali bukan?

Justeru itu, keutamaan menikahi gadis perawan merupakan suatu galakan kerana secara fitrahnya si gadis yang pertama kali berkahwin akan lebih mencintai suaminya dan lebih bersatu. Daripada Jabir, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud,

“(Kahwinilah) gadis-gadis, sesungguhnya mereka lebih ramai keturunannya, lebih manis tutur katanya dan lebih menerima dengan sedikit (qana’ah).”

Namun, jika si gadis telah hilang keperawanan dan bertaubat atas dosa zinanya yang lalu dan diterima oleh lelaki yang ikhlas dengannya, maka ia menjadi satu permulaan yang baik kepada hijrah diri menjadi wanita dan isteri yang solehah.


Dosa-dosa lalu akan sentiasa membayangi diri dan menjadikan si isteri lebih rendah hati dan mendekatkan diri dengan kebaikan untuk menjadi isteri terbaik kepada suami yang luhur mengasihi walaupun pernah memberikan kehormatan diri kepada lelaki yang bukan suaminya.


(Bersambung....)

Kemuliaan seorang gadis kerana keperawanannya



Ihsan imej: Pinterest.com
Adik-adik, seperti yang penulis nyatakan sebelum ini, nilai perawan seorang gadis terkait rapat tentang akhlak dan kesempurnaan imannya. Sungguh mulia kedudukan seorang gadis jika mampu menjaga keperawanannya dari dicemari dengan perbuatan zina dan hubungan seks bebas.


Allah berfirman dalam KitabNya, Surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud,

“ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang salah.”


Lihat realiti betapa parahnya budaya zina dalam kalangan masyarakat kita hari ini?


Mengikut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat peningkatan yang drastik kelahiran anak tidak sah taraf ini terutama selepas tahun 2009. Laporan statistik pada tahun 2000 hingga 2008 menyatakan terdapat 155, 744 kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan di JPN. Manakala pada tahun 2009-2012 terdapat 217, 863 pendaftaran kelahiran anak tidak sah diterima. Pecahannya adalah seperti berikut; 52, 378 (2009), 52, 982 (2010), 53, 788 (2011) dan 58, 715 (2012). Jumlah ini sungguh membimbangkan dan jika tidak ditangani segera maka Malaysia bakal menghadapi bencana sosial sepertimana negara-negara barat kebuntuan menangani gejala ibu tunggal di kalangan remaja perempuannya.


Dalam sebuah laporan akhbar, sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh yang sama, terdapat 526 kes pembuangan bayi.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270.

“Berdasarkan Statistik Remaja Hamil Jabatan Kesihatan Negeri 2012 hingga 2015, tiga negeri dengan statistik tertinggi remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil adalah Sarawak (5,246 orang), Johor (2,427 orang) dan Selangor (1,603 orang),” katanya. (FMT News, 10 November 2016)



Tambahan lagi, laporan kajian oleh Durex & Durex mencatatkan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah di kalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003), dan 86 kali setahun (kajian 2004). Kajian juga menunjukkan wanita didapati kehilangan dara pada usia muda pada umur 20 tahun (kajian 2001) dan 19.3 (kajian 2004).


Oleh kerana majoriti penduduk Malaysia ialah Melayu, maka kita boleh andaikan statistik yang besar juga disumbangkan oleh bangsa Melayu yang beragama Islam. Adakah statistik-statistik yang dinyatakan tidak merobek perasaan kita betapa berleluasanya budaya zina ini?


Apa perasaan adik-adik membaca data-data tersebut?


Letakkan tangan didada, kata pada diri,

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Aku memohon perlindunganMu dari segala perbuatan yang membawa kepada kerosakan diri sebagai hambaMu. Aku memohon kepadaMu agar kesucian diriku sebagai gadis terpelihara agar tidak menjadi fitnah kepada agama Islam yang murni ini.”
Ameen Ya Rabbal ‘Alamin. 


Dalam keadaan dunia yang mengagungkan nilai-nilai sekular seperti hedonism dan kebebasan melampau, bukankah ia satu kemuliaan jika seorang gadis berjaya menjaga kehormatannya dari dicemari?


Gadis-gadis yang teguh pendirian mempertahankan kehormatan diri melambangkan betapa mulia akhlak diri yang terbit daripada kesempurnaan iman. Mereka menjadikan perasaan malu sebagai perisai diri dari melakukan perbuatan keji.


Apabila seseorang gadis telah hilang malunya, maka dia akan lebih cenderung untuk melakukan semua perkara terlarang sesuka hatinya. Lalu, pudarlah juga nilai kegadisannya. Sedangkan, seorang gadis seringkali disinonimkan dengan sifat pemalu.


Perasaan malu itu ibaratnya muara akhlak. Ia akan mencegah seseorang dari membiarkan dirinya melakukan perbuatan tercela. Ia juga diertikan sebagai enggan melakukan kemungkaran atau meninggalkan sesuatu kewajipan kerana takut dicela Allah Ta’ala. Kepentingan rasa malu ini sangat besar hingga ia merupakan salah satu cabang dalam kesempurnaan iman seseorang hambaNya.


Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amru al-Ansoori al-Badriy r.a., beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama ialah: “Apabila kamu tidak malu buatlah apa yang kamu suka.”                                                 (Riwayat Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, “Sifat malu adalah satu cabang daripada iman.”

Sabda Baginda lagi yang bermaksud, “Sifat malu tidak mendatangkan selain daripada kebaikan.”

Sehubungan dengan itu, ketiadaan sifat malu ini akan menyebabkan manusia berada dalam keaiban dan kekurangan. Perasaan malu akan membatasi pandangan mata, pemikiran dan tingkah laku kita dari segala bentuk maksiat. Malah, jika terlihatkan haiwan bersenggama di tepi jalan pun, secara fitrahnya kita tertunduk. Itulah malu!

Apatah lagi bergelar seorang gadis muslimah?

Jika malu yang menjadi perhiasannya, sudah tentu terpancar kemuliaan peribadinya. Al-Qur’an mengkisahkan mengenai perihal malu salah seorang puteri Nabi Syuaib a.s ketika dia datang memanggil Musa a.s.

Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud, ‘Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan malu-malu, ia berkata: “sesungguhnya bapaku memanggilmu agar dia memberi balasan terhadap (kebaikanmu memberi minum [ternakan] kami.”                                                 (Surah Al-Qosos: Ayat 25)

Salah seorang puteri Nabi Syu’aib a.s itu datang menemui Nabi Musa a.s bagi memenuhi perintah bapanya. Jalannya penuh beradab, suci bersih ketika bertemu dengan lelaki tanpa dibuat-buat, tidak bersolek keterlaluan (tabarruj) dan tidak pula mendatangi lelaki dalam keadaan menggoda.


Puteri Nabi Syu’aib a.s itu menjelmakan nilai-nilai malu yang harus ada pada diri setiap gadis. Dia tidak mempunyai maksud lain tetapi sekadar menyampaikan pesan bapanya. Cakapnya juga jelas dan terang sekadar yang perlu tanpa berniat untuk menggoda lelaki agar menginginkan dirinya.

Seorang gadis yang mengimani kepentingan menjaga perasaan malu sebagai sebahagian daripada iman, pasti tidak sanggup membiarkan dirinya memakai pakaian yang mendedahkan tubuh badannya hingga ada lelaki yang mengimpikan untuk menjamah setiap inci tubuhnya.

Hatta Rasulullah begitu malu apabila terlihatkan batang tubuh Asma’ di sebalik pakaiannya yang nipis. Lalu Rasulullah s.a.w menegur Asma binti Abu Bakar r.a ketika beliau datang ke rumah Nabi s.a.w dan memalingkan mukanya sambil berkata yang bermaksud,


“Wahai Asma ! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” (HR. Abu Dawud, no. 4104 dan al-Baihaqi, no. 3218. Hadis ini disahihkan oleh syaikh al-Albani rahimahullah)


Gadis yang malu juga tidak sanggup berpeleseran dengan lelaki hingga mengundang syaitan sebagai pihak ketiga lalu meniupkan dorongan syahwat hingga terjadinya zina. Jika itu berlaku, hilanglah kemuliaan si gadis saat keperawanannya diambil oleh lelaki-lelaki yang bukan suaminya. Nauzubillah.

Adik-adik gadisku, perasaan malu merupakan kebaikan dan warisan sifat para anbiya’. Seseorang gadis yang tebal malunya, maka teballah kebaikannya. Jika nipis atau tiada malunya, maka banyak juga kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan.

Oleh itu, adik-adik perlu beriltizam untuk menjaga perasaan malu agar terpelihara juga warisan para anbiya secara turun- temurun hingga saat ini.  Ingat, nilai kemuliaan dan kesempurnaan iman seorang gadis terletak kepada malunya iaitu tidak sesekali membenarkan keperawanannya dirampas oleh yang bukan menjadi halalnya.


(Bersambung....)

Nilai Selaput Dara Seorang Gadis


Ihsan imej: Pinterest.com
Bila kita sebut tentang gadis perawan, pasti ia menyentuh tentang ‘dara’ yang menjadi aset yang tidak ternilai kepada seseorang gadis.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, selaput dara didefinisikan sebagai selaput yang menutup sebahagiaan bukaan faraj gadis atau wanita dan kebiasaannya akan pecah saat pertama kali melakukan hubungan seks. Menurut Dr. Zubaidi Haji Ahmad, selaput dara (hymen) menjadi status yang dipandang sangat bernilai oleh agama, sosio-budaya malahan bernilai ekonomi.


Menurutnya lagi, kaum wanita hanya memiliki satu selaput dara sahaja namun ada juga dalam kes terpencil wanita tidak dilahirkan bersama selaput dara. Dalam hal ini, Dr. Zubaidi menulis terdapat dua fakta penting yang wajar diketahui iaitu;

a) 99.9 peratus selaput dara dibentuk di peringkat embrio. Ia bermaksud, 1 daripada 1000 orang wanita boleh jadi tidak memiliki selaput dara ketika dilahirkan,

b) Semasa persetubuhan pertama, 44 peratus wanita tidak mengalami pendarahan.

Selaput dara dalam kebudayaan timur khususnya di kalangan orang Melayu merupakan suatu hal yang sangat dititikberatkan terutama dalam perkahwinan. Sudah menjadi akar tradisi yang kuat, mempunyai selaput dara merupakan identiti nilai keperawanan dan kesucian seseorang gadis. Justeru, kehilangan dara disebabkan perbuatan zina dan seks bebas merupakan suatu hal yang tercela dan dipandang hina. Kesan ketiadaan dara ini boleh dilihat jelas apabila seorang perempuan itu mengandung dan melahirkan anak diluar perkahwinan.


Nilai kegadisan menurut Islam




Dari sudut pandang agama pula, nilai dara seorang gadis menjadi hal yang penting kerana disitulah dapat dilihat kesucian akhlak dan kesempurnaan iman seseorang perempuan. Malah, menjaga dara dari perlakuan zina merupakan salah satu dari tujuan pensyariatan hukum (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga nasab dan keturunan manusia.

Ihsan imej: Pinterest.com

Bergelar perempuan merupakan sebuah keistimewaan dalam Islam. Allah S.W.T menjadikan wanita dengan selaput dara menyampai mesej yang sarat dengan hikmah. Ia menjadi bukti komitmen dan keseriusan seseorang perempuan memelihara iman dan kegadisannya. Selaput dara menjadi saksi bahawa dirinya tidak pernah melakukan hubungan seksual selagi mana belum bernikah dengan suaminya yang sah.


Ironinya juga, selaput dara mempunyai nilaian ekonomi yang besar apatah lagi dengan pengeluaran selaput dara palsu berharga hingga mencecah ribuan ringgit bagi memenuhi permintaan pasaran. Dari perspektif perubatan pula, terdapat pembedahan bagi membaiki selaput dara yang telah terkoyak. Pembedahan ini dipanggil sebagai hymen repair, hymen surgery atau hymenoplasty iaitu sebenarnya pembedahan kosmetik yang cuba membaiki atau mewujudkan semula selaput dara yang hilang.


Menurut Dr. Zubaidi, pembedahan memperbaiki selaput dara ini bagi membohongi bakal suami merupakan perbuatan hina dan keji. Dalam soal hukum pula, beliau telah memetik Fatwa daripada Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama’ dari Arab Saudi yang menyatakan terdapat dua pandangan berbeza mengenai pembedahan tersebut;

a) Pendapat pertama diharamkan terus jika kehilangan dara disebabkan perkahwinan atau zina dengan beberapa hujah. Antaranya ia akan mencampurkan nasab, pendedahan aurat kepada pengamal perubatan khususnya doktor lelaki atau doktor non-muslim, pertentangan dengan kaedah syarak dan boleh menggalakkan wanita yang menjalani pembedahan itu mengulangi perbuatan zina buat sekian kalinya.

b) Adapun bagi pendapat kedua, terdapat keharusan melakukan pembedahan itu dengan beberapa situasi iaitu, jika selaput dara koyak disebabkan kemalangan atau dirogol dan sebarang perbuatan yang tidak bertentangan dengan syarak seperti bersukan, serta tekanan sosio-budaya yang boleh mengancam kehormatan seseorang gadis.

Walaupun begitu, seseorang perempuan yang ingin menjalani pembedahan membaiki selaput dara ini perlulah bertemu dan berbincang dengan ilmuwan agama dan pengamal perubatan yang jujur tentang hal ini. Namun, jika ia bertujuan untuk menutupi dosa lalu, maka ia dihukumkan sebagai haram kerana mengandungi unsur-unsur pembohongan yang tertolak oleh syarak.


Selain itu, dalam pasaran jamu dan kosmetik di Malaysia pula, sudah terdapat pelbagai jamu untuk memulihkan dara dengan mengembalikan keanjalan dan kesegaran organ intim perempuan supaya kembali seperti anak dara. Target pasaran produk-produk sebegini ialah untuk golongan wanita berkahwin, namun ia juga menjadi alternatif bagi gadis terlanjur dan aktif seks bebas untuk mengembalikan keintiman dengan harga yang lebih murah berbanding melalui pembedahan.


Maksudnya apa?

Ia bermakna, dara kepada seseorang wanita sangat penting hingga pelbagai cara perubatan moden dan tradisional diusahakan untuk cuba mengembalikan selaput dara yang terkoyak khususnya bagi wanita yang tidak pernah berkahwin.


(Bersambung....)

Bab 1: Ada Apa Dengan Istilah Gadis?

‘Kecantikan tertinggi seseorang wanita ialah kualiti yang menjadikan dirinya diingini sebagai isteri oleh seseorang lelaki berbudi pekerti dan sebagai ibu kepada anak-anaknya.’

***
Ihsan imej: Pinterest.com
Adik-adik gadis pernah dengar lagu Allayarham Sudirman berjudul, “Milik siapakah gadis ini?”. Secara peribadi, penulis menggemari lagu tersebut kerana bait-bait lirik dan melodinya yang indah.

Disini, penulis kongsikan lirik lagu tersebut. Ia boleh dikisahkan sebagai seorang jejaka yang begitu ingin memiliki seorang gadis untuk mencurahkan kasih suci. Sudah pasti curahan kasih suci itu melalui jalan pernikahan kerana tidak bermakna suci pada hubungan cinta yang membelakangkan syariat agama.

***
Milik siapakah gadis ini
Wajah lembut bagaikan sutera
Ingin hatinya ku miliki
Apakan terdaya
Adakahkan terdaya

Milik siapakah hati ini
Bagai berkurun lama kesepian
Ingin aku mencurahkan kasih
Kepada yang sudi
Adakah ia sudi

Lama telah ku impikan
Gadis sepertinya
Mengisi taman hati
Dengan cahaya kasih (suci)
Siapakah gadis yang ku idam...


***

Suatu masa dahulu, penulis rasa asyik sekali bila dengar lagu tersebut. Seolah-olah ada si jejaka dedikasikan lagu ini untuk diri. Kemudian, fenomena pula lagu nasyid berjudul ‘kasih kekasih’ dari kumpulan inTeam terutama bagi penulis yang berlatarbelakangkan sekolah arab.


Boleh dikatakan, hampir setiap hari lagu tersebut akan diputar dengan rasa berbunga-bunga dalam jiwa. Biasalah, jiwa remaja perempuan. Ada juga rasa ingin dikasihi dan mengasihi. Setakat itu sahaja, ok! Penulis tidak terjebak dalam sebarang 'cinta monyet' sebab menggapai cita-cita lebih utama ketika penulis seorang gadis remaja. Malu pula bila mengenangkannya. Zaman gadis remaja penulis sudah berlalu, kini masa adik-adik pula dengan cabaran yang lebih hebat.


***

Gadis, perempuan dan wanita merupakan istilah yang hampir sama tetapi tidak serupa.

Baiklah, apa makna 'gadis' sebenarnya?

Samaada adik-adik tahu ataupun tidak, istilah gadis amat besar maknanya bagi seorang perempuan. Ia merujuk kepada satu keadaan seorang anak perempuan yang telah mencapai akil baligh dan masih perawan. Maksudnya, seorang perempuan yang belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki melainkan suaminya melalui ikatan perkahwinan.


Panggilan anak dara seringkali digunakan untuk merujuk kepada seorang gadis.  Tradisi Melayu dahulunya memanggil anak perempuan sebagai gadis pingitan kerana menurut kelaziman, keberadaan anak-anak dara adalah di dalam rumah dan jarang-jarang sekali dilihat diluar rumah tanpa sebarang urusan yang mendesak.


Tetapi zaman telah berubah. Kini terlihat anak-anak gadis di merata tempat hingga di tempat yang tidak sepatutnya. Pada umur 18 tahun itulah pertama kalinya penulis keluar dari kampung kerana melanjutkan pengajian di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya.


Pelbagai jenis ragam rakan sebaya penulis hadapi. Ada yang menjaga tatasusila, namun ada juga yang terbabas. Kekadang penulis rasa takut jika terjebak dalam aktiviti yang tidak baik. Mujur, kesedaran diri yang tinggi menyelamatkan penulis dari cepat terpengaruh dengan kehidupan kota yang penuh keseronokan dan pancaroba. Hari ini, bukan sahaja di kota, di desa juga tidak terlepas dengan pelbagai konflik sosial melibatkan golongan remaja yang semakin menggusarkan.


Adik-adik, kepentingan seorang perempuan menjaga kegadisannya menjadi cerminan kepada akhlak dan kehormatan diri dan keluarganya. Ia merupakan suatu tanggungjawab yang berat sehingga ada pantun Melayu menukilkan perihal ini sebagai, ‘membawa pinang dalam raga, berjalan malam membawa udang, gadis seorang bimbang dijaga, tidak sama kerbau sekandang.’


Menjadi seorang gadis lagi susah untuk dijaga berbanding kerbau sekandang!

Macam tidak boleh diterima bukan?

Tapi, itulah hakikatnya anak gadis pada pandangan masyarakat Melayu yang sangat mementingkan kesucian diri si gadis. Ibubapa begitu khuatir dan risau jika anak gadis mereka tidak terjaga perilaku hingga menconteng arang di muka mereka. Bagi menukilkan kegusaran dan kepayahan menjaga si anak gadis tersebut mereka cipta peribahasa di atas.

Apa lagi makna menjadi seorang gadis?

Adik-adik, seorang gadis yang masih perawan sangat diimpikan oleh seorang lelaki yang baik akhlak untuk dijadikan suri hidupnya. Ia bukan sekadar menjadi teman hidup tetapi ia membawa makna yang lebih besar iaitu rasa ingin mencinta, menjaga, membahagiakan, memberikan nafkah dan mengasihinya setulus jiwa kepada wanita yang bersedia menyerahkan kegadisannya melalui ikatan yang halal.

Dalam zaman moden yang serba terbuka ini, menjaga kegadisan merupakan suatu hal yang amat mencabar bagi seorang anak perempuan. Dorongan nafsu, lingkungan sosial yang bersikap tidak peduli dan pergaulan bebas menjadi faktor terkuat seseorang gadis boleh terjerumus ke lembah yang menghilangkan darjatnya sebagai wanita suci dan mulia.

Kalau suatu ketika dahulu, susah sekali dilihat anak dara berpeleseran tanpa hala tuju, tapi kini, pandangan itu menjadi sebuah kebiasaan. Kita boleh saksikan anak-anak dara berani pulang lewat malam kerana berhibur dan melepak. Malah yang paling kita takutkan, terjebak dalam kancah zina dan seks bebas yang memusnahkan nilai kegadisannya.


(Bersambung...)

Friday, August 18, 2017

PUAN FAR @ MEDIA MASSA




















I'm writing for sharing my minds, and to educate people especially teens out there.


"The power is in the pen..." 

(Note: Please continue the above statement.)


Loves,

Puan Far

Thursday, August 17, 2017

GLAMOR TANPA PERLU JADI ARTIS


Satu kajian telah dilakukan oleh Adecco Malaysia mendapati kanak-kanak Malaysia berumur tujuh hingga 14 tahun cenderung memilih menjadi artis daripada kerjaya doktor apabila dewasa kelak. Keputusan yang diperoleh ini sungguh mengejutkan masyarakat terutama ibu bapa dan guru-guru. Mengapa perkara ini bertukar secara drastik daripada tahun sebelum ini?


Lihat sahaja jaringan dunia tanpa sempadan yang semakin canggih sekarang ini. Kanak-kanak usia seawal dua tahun sudah tahu menggunakan gajet untuk bermain game, malah lebih bijak daripada orang dewasa apabila mengendalikan teknologi yang kecil molek ini. Selain daripada pendedahan menerusi dunia maya, mereka juga cepat terpengaruh dengan apa yang dilihat di kaca televisyen. Sekarang ini, lebih banyak program realiti yang melibatkan kanak-kanak. Masalah ini menjadi semakin parah apabila ada di antara mereka sanggup mengabaikan nasihat ibu bapa semata-mata ingin mengejar dunia glamor yang tidak tahu kemana penghujungnya.

Sebenarnya, glamor tanpa perlu jadi artis pun boleh. Bacaan lanjut....Belilah buku



Judul Buku: "Bangkitlah Remaja Islam"
Harga         : RM 16 (Semenanjung)/ RM 18 (Sabah dan Sarawak)
Penerbit      : Telaga Biru Sdn. Bhd
Tahun terbitan: 2017


Harga berbaloi,
Konten yang bernilai,
Pasti tidak rugi membeli,
Dapatkan senaskah hari ini!

(Eh,terpantun empat kerat)



BAGAIMANA BIJAKSANA DALAM BERCINTA?