Monday, August 28, 2017

Bab 1: Ada Apa Dengan Istilah Gadis?

‘Kecantikan tertinggi seseorang wanita ialah kualiti yang menjadikan dirinya diingini sebagai isteri oleh seseorang lelaki berbudi pekerti dan sebagai ibu kepada anak-anaknya.’

***
Ihsan imej: Pinterest.com
Adik-adik gadis pernah dengar lagu Allayarham Sudirman berjudul, “Milik siapakah gadis ini?”. Secara peribadi, penulis menggemari lagu tersebut kerana bait-bait lirik dan melodinya yang indah.

Disini, penulis kongsikan lirik lagu tersebut. Ia boleh dikisahkan sebagai seorang jejaka yang begitu ingin memiliki seorang gadis untuk mencurahkan kasih suci. Sudah pasti curahan kasih suci itu melalui jalan pernikahan kerana tidak bermakna suci pada hubungan cinta yang membelakangkan syariat agama.

***
Milik siapakah gadis ini
Wajah lembut bagaikan sutera
Ingin hatinya ku miliki
Apakan terdaya
Adakahkan terdaya

Milik siapakah hati ini
Bagai berkurun lama kesepian
Ingin aku mencurahkan kasih
Kepada yang sudi
Adakah ia sudi

Lama telah ku impikan
Gadis sepertinya
Mengisi taman hati
Dengan cahaya kasih (suci)
Siapakah gadis yang ku idam...


***

Suatu masa dahulu, penulis rasa asyik sekali bila dengar lagu tersebut. Seolah-olah ada si jejaka dedikasikan lagu ini untuk diri. Kemudian, fenomena pula lagu nasyid berjudul ‘kasih kekasih’ dari kumpulan inTeam terutama bagi penulis yang berlatarbelakangkan sekolah arab.


Boleh dikatakan, hampir setiap hari lagu tersebut akan diputar dengan rasa berbunga-bunga dalam jiwa. Biasalah, jiwa remaja perempuan. Ada juga rasa ingin dikasihi dan mengasihi. Setakat itu sahaja, ok! Penulis tidak terjebak dalam sebarang 'cinta monyet' sebab menggapai cita-cita lebih utama ketika penulis seorang gadis remaja. Malu pula bila mengenangkannya. Zaman gadis remaja penulis sudah berlalu, kini masa adik-adik pula dengan cabaran yang lebih hebat.


***

Gadis, perempuan dan wanita merupakan istilah yang hampir sama tetapi tidak serupa.

Baiklah, apa makna 'gadis' sebenarnya?

Samaada adik-adik tahu ataupun tidak, istilah gadis amat besar maknanya bagi seorang perempuan. Ia merujuk kepada satu keadaan seorang anak perempuan yang telah mencapai akil baligh dan masih perawan. Maksudnya, seorang perempuan yang belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki melainkan suaminya melalui ikatan perkahwinan.


Panggilan anak dara seringkali digunakan untuk merujuk kepada seorang gadis.  Tradisi Melayu dahulunya memanggil anak perempuan sebagai gadis pingitan kerana menurut kelaziman, keberadaan anak-anak dara adalah di dalam rumah dan jarang-jarang sekali dilihat diluar rumah tanpa sebarang urusan yang mendesak.


Tetapi zaman telah berubah. Kini terlihat anak-anak gadis di merata tempat hingga di tempat yang tidak sepatutnya. Pada umur 18 tahun itulah pertama kalinya penulis keluar dari kampung kerana melanjutkan pengajian di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Petaling Jaya.


Pelbagai jenis ragam rakan sebaya penulis hadapi. Ada yang menjaga tatasusila, namun ada juga yang terbabas. Kekadang penulis rasa takut jika terjebak dalam aktiviti yang tidak baik. Mujur, kesedaran diri yang tinggi menyelamatkan penulis dari cepat terpengaruh dengan kehidupan kota yang penuh keseronokan dan pancaroba. Hari ini, bukan sahaja di kota, di desa juga tidak terlepas dengan pelbagai konflik sosial melibatkan golongan remaja yang semakin menggusarkan.


Adik-adik, kepentingan seorang perempuan menjaga kegadisannya menjadi cerminan kepada akhlak dan kehormatan diri dan keluarganya. Ia merupakan suatu tanggungjawab yang berat sehingga ada pantun Melayu menukilkan perihal ini sebagai, ‘membawa pinang dalam raga, berjalan malam membawa udang, gadis seorang bimbang dijaga, tidak sama kerbau sekandang.’


Menjadi seorang gadis lagi susah untuk dijaga berbanding kerbau sekandang!

Macam tidak boleh diterima bukan?

Tapi, itulah hakikatnya anak gadis pada pandangan masyarakat Melayu yang sangat mementingkan kesucian diri si gadis. Ibubapa begitu khuatir dan risau jika anak gadis mereka tidak terjaga perilaku hingga menconteng arang di muka mereka. Bagi menukilkan kegusaran dan kepayahan menjaga si anak gadis tersebut mereka cipta peribahasa di atas.

Apa lagi makna menjadi seorang gadis?

Adik-adik, seorang gadis yang masih perawan sangat diimpikan oleh seorang lelaki yang baik akhlak untuk dijadikan suri hidupnya. Ia bukan sekadar menjadi teman hidup tetapi ia membawa makna yang lebih besar iaitu rasa ingin mencinta, menjaga, membahagiakan, memberikan nafkah dan mengasihinya setulus jiwa kepada wanita yang bersedia menyerahkan kegadisannya melalui ikatan yang halal.

Dalam zaman moden yang serba terbuka ini, menjaga kegadisan merupakan suatu hal yang amat mencabar bagi seorang anak perempuan. Dorongan nafsu, lingkungan sosial yang bersikap tidak peduli dan pergaulan bebas menjadi faktor terkuat seseorang gadis boleh terjerumus ke lembah yang menghilangkan darjatnya sebagai wanita suci dan mulia.

Kalau suatu ketika dahulu, susah sekali dilihat anak dara berpeleseran tanpa hala tuju, tapi kini, pandangan itu menjadi sebuah kebiasaan. Kita boleh saksikan anak-anak dara berani pulang lewat malam kerana berhibur dan melepak. Malah yang paling kita takutkan, terjebak dalam kancah zina dan seks bebas yang memusnahkan nilai kegadisannya.


(Bersambung...)

0 comments: