Monday, August 28, 2017

Keutamaan gadis perawan

Menjadi gadis perawan merupakan sebuah kebahagiaan. Tatkala pergaulan bebas semakin berleluasa sebagai budaya yang menjadi kebiasaan, maka si lelaki yang soleh lebih berhati-hati dalam memilih calon isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Tidak diragukan, gadis perawan menjadi kriteria utama dalam pemilihan jodoh kerana dikhuatiri menjadi fitnah dan kecurigaan sepanjang perkahwinan.


Ihsan imej: Pinterest.com
Saat sang teruna dan dara disatukan dengan pernikahan, maka bersemilah cinta dan kasih yang utuh kerana masing-masing telah menjaga kehormatan dan menyerahkan segalanya untuk dinikmati bersama-sama di kala sah menjadi suami isteri. Mereka berasa tidak sia-sia mengekang hawa nafsu sekian lama untuk menjauhi keinginan menuju jalan-jalan zina. Pada akhirnya, keperawanan itu diberikan kepada yang halal maka terbitlah rasa saling ingin membahagiakan. Inilah pentingnya erti sebuah keperawanan.


Dalam surah An-Nur, ayat 3, Allah ‘Azza Wajalla melarang sama sekali seorang lelaki mukmin untuk bernikah dengan seorang perempuan yang aktif berzina seperti menjadikan pelacuran sebagai kerjaya.

“Lelaki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mu’min.”  
                                                                                                                           
                                                                                                                           (Surah An-Nur: Ayat 3)

Larangan ini bersebab dan mengandungi hikmah yang besar kerana ia akan memberi implikasi-implikasi negatif kepada lelaki soleh yang mu’min.


Menurut Ustaz Zaid Susanto dalam kajian muslimahnya berdasarkan tafsiran surah An-Nur, ayat 3, menjelaskan sekurang-kurang terdapat lapan akibat negatif jika lelaki soleh yang beriman mengahwini wanita penzina (kecuali yang telah bertaubat nasuha) kepada kehidupannya iaitu;


a) Perkahwinan dengan wanita penzina seperti pelacur telah melanggar status sah dan halal sesebuah perkahwinan yang telahpun diharamkan secara jelas dalam surah An-Nur ayat 3 ini. Begitu juga sebaliknya, seorang wanita mukminah tidak dihalalkan baginya berkahwin dengan lelaki penzina (yang tidak bertaubat).


b) Perkahwinan dengan wanita penzina akan menyebabkan berlakunya percampuran nasab keturunan sedangkan salah satu tujuan pensyariatan hukum dalam Islam ialah bagi memelihara nasab keturunan supaya jelas dan benar. Bayangkan si wanita meminta lelaki lain bertanggungjawab apabila telah terbukti mengandung akibat perbuatan zinanya dan dinasabkan kepada lelaki yang menjadi suaminya. Sudah pasti berlaku pencampuran nasab yang boleh merosakkan masyarakat.


c) Perkahwinan dengan wanita penzina juga akan menyebabkan si isteri tidak rasa pentingnya kewujudan atau memerlukan suami kerana keperluan material dan biologinya dapat diperolehi dengan sendiri termasuklah curang dengan suaminya atau menjual dirinya untuk dapatkan kemahuannya.


d) Perkahwinan dengan wanita penzina akan menyeret sama suaminya kepada perbuatan haram kerana si isteri tidak lagi melayani suaminya kerana telah dipenuhi nafsu syahwatnya oleh lelaki lain. Justeru, bagaimana dengan nafsu si suami tadi? Maka untuk memenuhi tuntutan syahwat, si suami barangkali akan juga terjebak dalam perlakuan zina.


e) Rumahtangga yang dibina juga akan mengalami masalah hingga berlaku keruntuhan institusi keluarga. Anak-anak akan meniru aksi ibubapa sepertimana perumpamaan “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.”


f) Wanita yang berzina juga akan menghilangkan rasa cemburu suaminya sehingga si lelaki tadi menjadi suami yang dayus hingga tidak ada perasaan cemburu jika melihat si isteri bersama dengan lelaki lain walaupun di depan matanya.


g) Paling menggusarkan, si isteri penzina akan mengajari anak-anaknya kelakuan zina samaada secara langsung atau tidak langsung. Kasihan anak-anak yang suci bersih akhirnya dirosakkan fitrahnya disebabkan dosa ibubapa yang terlibat zina.


h) Akhirnya, dari aspek kesihatan akan menyebabkan pelbagai penyakit menular seksual termasuklah menjadi pembawa HIV positif dan pengidap AIDS kerana aktif berhubungan seks secara rambang dengan orang lain.

Nauzubillahi min zalik.

Menakutkan sekali bukan?

Justeru itu, keutamaan menikahi gadis perawan merupakan suatu galakan kerana secara fitrahnya si gadis yang pertama kali berkahwin akan lebih mencintai suaminya dan lebih bersatu. Daripada Jabir, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud,

“(Kahwinilah) gadis-gadis, sesungguhnya mereka lebih ramai keturunannya, lebih manis tutur katanya dan lebih menerima dengan sedikit (qana’ah).”

Namun, jika si gadis telah hilang keperawanan dan bertaubat atas dosa zinanya yang lalu dan diterima oleh lelaki yang ikhlas dengannya, maka ia menjadi satu permulaan yang baik kepada hijrah diri menjadi wanita dan isteri yang solehah.


Dosa-dosa lalu akan sentiasa membayangi diri dan menjadikan si isteri lebih rendah hati dan mendekatkan diri dengan kebaikan untuk menjadi isteri terbaik kepada suami yang luhur mengasihi walaupun pernah memberikan kehormatan diri kepada lelaki yang bukan suaminya.


(Bersambung....)

0 comments: