Monday, June 16, 2008

Membugar Kesetiaan dalam Gerakan Islam

Sebagai sebuah gerakan Islam, adalah menjadi suatu kemestian untuk kita memahami dengan sebenar-benarnya perkara-perkara asas yang perlu ada dalam sesuatu jemaah Islamiyyah. Untuk yang pertamanya, sukalah saya untuk membicarakan sedikit tentang konsep bai’ah- salah satu amalan yang amat dipentingkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Semasa hayat baginda masih dikandung badan, telah berlaku beberapa peristiwa yang melibatkan bai’ah yang diberikan oleh kaum Muslimin kepada baginda seperti Bai’atul ‘Aqabah pertama dan kedua serta Bai’atul Ridhwan.

Apa itu bai’ah? Bai’ah ialah perjanjian untuk taat setia kepada pemimpin dalam urusan gerakan Islam. Apabila kita telah melibatkan diri dengan gerakan Islam, secara tidak langsung, kita telah berjanji untuk setia bersama-sama dengan pemimpin kita tidak kira apa jua situasi kita, suka atau duka, susah atau senang. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “ Rasulullah S.A.W. telah memanggil kami, lalu kami kami pun memberikan bai’ah kepada baginda…kemudian ‘Ubadah berkata: di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; kami berjanji mendengar dan mentaati Rasulullah S.A.W. dalam perkara yang kami sukai atau kami benci, dalam keadaan kami susah atau senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah tehadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” [1]
(Sahih Al-Bukhari- Bab Al-Fitan)

Daripada hadis diatas, kita akan dapat lihat betapa bai’ah (janji setia) amat perlu untuk memastikan kita patuh kepada pemimpin berjiwa Islami. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’:59;

59. Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Sudah terang lagi bersuluh, tuntutan berbai’ah adalah sunnah. Sebagai pejuang dalam harakah Islamiyyah yang berpegang dengan dua mutiara Islam, Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah, maka kita perlu membugar kembali sistem bai’ah ini. Walaupun bukan secara ritual, tetapi cukuplah sekadar berbisik didalam hati dengan ikhlas yang kita semua akan memberikan kesetiaan kita kepada pemimpin tidak kira apa jua kondisi kita. Hakikatnya, kita semua sedang berbai’ah dengan Khaliq manusia, Allah untuk beramal dan berjihad dijalanNya. Walaupun agak sukar untuk melakukannya, namun percayalah Allah tidak pernah mensia-siakan hamba yang mengharap pada-Nya. Letakkan sepenuh harapan dan bertawakkallah kepada Allah, InsyaAllah kita semua akan merasai nikmatnya. Jangan sia-siakan pintu rahmat yang telah terbuka kepada kita. Kita adalah putera-puteri Islam yang terpilih untuk memegang amanah menyebarkan Syi’ar Islam dibumi yang fana ini. Bisikkan didalam hati, “aku sentiasa dekat Allah. Jiwaku aman, fikiranku tenang walau dalam serba kekurangan. Hari-hariku ceria dan penuh harapan. Aku tidak gundah risau , malah mampu tersenyum kerana aku yakin kebaikan yang Allah janjikan untukku. Dia telah meniup ketenangan dan ketenteraman dalam hatiku. ” Dan
“Katakanlah; sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, kehidupanku dan kematianku semata-mata untuk Allah Tuhan semesta alam,”
(surah Al-‘An’am:162)

Ayuh sahabat-sahabat sekalian! Marilah kita sama-sama terus istiqamah dan setia dalam harakah Islamiyyah ini kerana ia merupakan satu rahmat Allah yang kita tidak sedari secara zahirnya. Wassalam.

[1] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam, m/s 187(2006), Dewan Pustaka Fajar, Selangor.

"Tazkirah Kehidupan"


Bila mentari bersinar terang
Terpancar cahaya suria
Memuji keagungan Tuhan pencipta
Menginsafi kedaifan

Bila mentari menghilang diri
Terbit pula kenangan lalu
Tertunduk ku pasrah seribu menyepi
Hanyut dalam arus berliku

Oh Tuhanku Yang Esa
Ampunilah hambamu
Berikanlahku kekuatan
Mengharungi mehnahmu
Kupohon restu hidayah dariMu
Rahmatilah hidupku
Terimalah taubatku
Penghapus segala dosaku

Ya Kareem…Ya Allah
Ya Rahman…Ya Rahim

Deruan ombak menghempas pantai
Bergelora dipukul badai
Himpunan buih ditepian
Ia tidak berkekalan
Begitulah hidup manusia

Sebenarnya, bait-bait tulisan diatas merupakan sebuah lagu yang bertajuk “Epilog Seorang Hamba”. Lagu tersebut didendangakan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air , kumpulan Brothers.

Lagu ni sangat memberi kesan dalam hati aku. Pertama kali dengar, aku terus tertarik dan mendengar setiap butir bicaranya dengan penuh perhatian. Pembawaan lirik berserta alunan muzik yang mendayu dan syahdu bisa buat aku menangis sepi.

Sungguh, lagu ini sangat istimewa. Lagu ini tidak sama dengan lagu-lagu nasyid yang pernah aku dengar sebelum ini. Kebanyakkan lagu nasyid sekarang konsepnya berkisar cinta. Cinta manusia, cinta Ilahi dan bermacam-macam lagi yang seumpamanya. Namun, ini tidak bermakna aku prejudis terhadap lagu nasyid yang berkonsepkan cinta manusia. Mungkin, mereka berkarya mengikut kehendak pasaran. Jadi, tidak timbul persoalan untuk mengkritik mereka. Lagipun, kehendak manusia itu berlainan antara satu sama lain.

Kalau direnung dan difahami dengan teliti bait-bait senikata lagu tersebut, ia mengisahkan keagungan Tuhan yang jelas tergambar dengan terciptanya alam ini. Namun, sebagai manusia yang biasa yang lemah imannya, yang sering leka dengan kenikmatan dunia sementara, kita gagal untuk bertafakkur merenungi kehebatan Tuhan, Khaliq bagi segala sesuatu di dunia ini. Malah, Allah yang Maha Bijaksana menciptakan tiap-tiap sesuatu itu ada manfaatnya. Tugas manusia ialah untuk berfikir mengenainya. Maka, akibat kelemahan itu, manusia menjadi buta, lalu lupa
tujuan penciptaan. Allah berfirman:

56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(surah Adh-Dhaariyyat:56)
Ayat al-Qur’an ini sepatutnya dapat membuka mata kita, bahawasanya hidup kita juga punya tujuan iaitu untuk tunduk beribadah kepada-Nya. Konsep amal makruf, nahi munkar wajib dijadikan prinsip hidup seorang insan bergelar Mukmin. Dengan itu, hidup kita lebih terarah. Dengan memahami ayat diatas juga, seorang mukmin yang berfikir, sedar bahawa dunia ini merupakan ladang untuk kita menanam pokok yang menghasilkan buah kebaikan. Hasil keuntungan yang diperoleh, merupakan bekalan kita untuk kehidupan yang kekal abadi iaitu hari Akhirat. Disebabkan itu, maka kita perlu berlumba-lumba dalam mencari keuntungan yang banyak untuk dibawa kesana kelak.

Tetapi, manusia sering lupa. Iman manusia itu pula sering naik dan turun. Maka, kita perlu pohon pada Allah agar sentiasa diberikan sikap istiqamah dalam segala urusan kebaikan bagi mencapai mardhotillah. Apalah guna hidup kita tanpa redhoNya?

Akhir nukilan, marilah kita sama-sama berusaha menjadi mukmin yang sentiasa bertaubat dan sentiasa bermujahadah pada jalan-Nya. Hanya dengan usaha, doa dan tawakkal kita dapat melalui ujian iman dengan penuh kesabaran, lantaran kesabaran itu sebahagian dari iman. insyaAllah. Wallahu’alam.

Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia, cukupcubaan untuk membuat kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadimanusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan.

Perkahwinan Sebagai Bukti Cinta


Setiap manusia mengimpikan hidup berteman kerana sudah menjadi fitrah manusia itu tidak boleh hidup bersendiri. Allah yang Maha Bijaksana telah menjadikan tiap-tiap ciptaannya berpasangan seperti malam dan siang, kuat dan lemah, baik dan buruk serta lelaki dan wanita. Manusia memerlukan teman istimewa untuk berkongsi perasaan cinta, kasih dan sayang, suka dan duka. Maka, sebagai agama yang syumul, Islam menyediakan jalan untuk memenuhi fitrah ini secara betul iaitu melalui perkahwinan. Perkahwinan atau nikah dari sudut bahasa beerti bercampur atau berkumpul. Dari sudut istilah syara’, perkahwinan ialah ijab dan qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan lelaki dan perempuan, yang diucapkan dengan kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Konsep perkahwinan dalam Islam sangat luas, bukan sekadar hubungan intim antara suami dan isteri. Ia merupakan satu perkongsian hidup yang menggabungkan elemen fizikal, spiritual dan emosi demi mengejar keredhaan Ilahi. Maka, apabila ikatan perkahwinan didasari ila mardhotillah, kebahagiaan dan ketenangan akan menjadi perhiasan perhubungan suci ini. Perkahwinan membantu seorang manusia Muslim menjauhi dunia kotor penzinaan. Malah, ikatan perkahwinan ini membezakan manusia dengan haiwan dalam memenuhi kehendak naluri. Ringkasnya, perkahwinan menjamin kesucian martabat seorang manusia dan sebagi bukti cinta murni.

Dewasa ini, ramai manusia Muslim yang sedang asyik dengan cinta tidak sedar dengan hikmah sebuah perkahwinan. Maka, ramailah yang terjerumus kekancah zina, malah ada yang bersekedudukan lagak seperti sepasang suami isteri. Bukankah lebih indah jika hubungan cinta yang suci fitrahnya itu terjalin dengan adanya ikatan sah antara lelaki dan perempuan?

Zina adalah satu dosa dan jenayah besar yang berat hukumannya dalam Islam. Lelaki dan perempuan yang belum berkahwin apabila didapati berzina, maka hukumannya 100 kali sebatan dan dibuang negeri selama setahun. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, “penzina-penzina perempuan dan laki-laki hendaklah kamu sebat mereka sebanyak seratus kali.”
Dalam hadith Riwayat Muslim, Rasulullah bersabda, “ambillah dari kami, sesungguhnya Allah telah jadikan mereka (kaum wanita) akan jalan; teruna dengan dara disebat seratus kali dan dibuang setahun.”
Manakala, hukuman bagi penzina yang sudah berkahwin pula adalah rejam sampai mati. Walaupun hukuman ini tidak dijalankan di Malaysia, anda tidak akan terlepas dari hukuman Allah di akhirat kelak. Api neraka tidak sabar untuk membakar manusia-manusia yang ingkar pada-Nya.

Kesan daripada perbuatan zina ini, maka wujudlah fenomena buang anak dan pengguguran janin yang begitu membimbangkan. Nilai-nilai kemanusiaan mula terhakis akibat termakan racun pemberian syaitan dan apabila menjadikan nafsu sebagai tuhan. Lama-kelamaan, tamadun manusia akan hilang ciri kemanusiaan, tetapi diganti dengan ciri kebinatangan. Itukah yang kita mahu?

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang prihatin dengan permasalahan ini, saya seru anda semua menjadikan perkahwinan atau nikah sebagai wasilah utama memenuhi tuntutan naluri bercinta. Kembalikan martabat perkahwinan sebagai benteng pemelihara diri dan sebagai tempat menggapai cinta Allah.. Bagi mereka yang pernah terjerumus dengan perbuatan zina yang terkutuk, belumlah terlambat untuk anda bertaubat dengan sebenar-benarnya selagi mana matahari terbit disebelah timur letaknya. Sesungguhnya, Allah S.W.T. Maha Pengampun. InsyaAllah.

Falsafah Cinta



“Cinta ibarat gunung salji dan matahari”. Salji akan mencair akibat teriknya sinar mentari. Begitu juga dengan cinta sang manusia. Cinta kepada manusia itu tidak kekal. Ia sentiasa berubah. Jika kita cintakan seseorang kerana cantiknya wajah, maka apabila umur kian lanjut, kecantikan mula pudar, seribu kedutan mula muncul, perasaan cinta mula menghilang. Jika cintakan seseorang kerana harta, apabila jatuh miskin, jatuhlah juga cahaya cinta. Maka, seseorang itu akan mencari cinta baru. Cinta yang sudah pastinya tidak kekal. Cinta yang tidak murni. Cintakan seseorang dengan sebab duniawi, pasti mengundang perasaan tidak bahagia.

Cintakan seseorang kerana Allah membibitkan perasaan kedamaian, tanggungjawab, sanggup berkongsi susah dan senang bersama serta saling lengkap-melengkapi dalam menggapai redho Ilahi. Cinta kerana Allah tidak melalaikan sang pencinta manusia dalam kenikmatan syurga cinta. Malah, cintanya itu mendorong manusia untuk sentiasa berusaha melakukan yang terbaik demi sebuah masjid cinta. Cinta kerana Allah juga melahirkan individu-individu yang rindu pada-Nya. Demi perasaan rindu itu, manusia termotivasi untuk sentiasa beribadah kepadanya. Maka, mereka menjadikan perkahwinan sebagai ladang yang menanam benih cinta Lillahi Ta’ala. Hasilnya, tumbuhlah pohon-pohon cinta yang kukuh, tidak tumbang dek hebatnya ribut angin kencang. Pohon cinta yang berakar umbikan ketaatan kepada Allah yang teguh mencengkam bumi. biar berpanas, berhujan sekalipun, tidak akan berganjak walau selangkah cuma. Inilah kehebatan cinta sebenar. Cintakan seseorang kerana Allah.

Cinta yang terbit dihati adalah satu rahmat yang amat besar diberikan kepada manusia. Maka, jangan sia-siakannya dengan menodai sucinya cinta dengan perkara-perkara maksiat. Nikmatilah cinta dalam bentuknya yang terindah-perkahwinan. Semoga diri kita semua terpelihara dari cinta palsu. Akhirnya, berusahalah mencintai seseorang kerana ingin mendapat mardhotillah. Wallahu’alam.
Luahan Hati Bumi

Titisan air jernih ibarat berlian
Turun membasahi bumi yang kering
Turun bukan dengan sia-sia
Kerana tiap-tiap sesuatu yang dijadikan olehNya
Pasti membawa seribu manfaat
Sesekali….aku terfikir
Mungkin juga bumi sedang menangis
Tapi, kenapa?????
Mungkin sebab tubuhnya telah dinodai
Tapi, siapa yang menodai dirinya yang suci bersih?
Arghhh!!!!! Manusia yang zalim! jerit sang bumi marah.
Guruh dan kilat bersilih-ganti
kemarahan bumi sedang memuncak
Suasana reda sekejap
Tiada lagi dentuman guruh kuat
Yang bisa menggegar seluruh isi perut
Air mata bumi kembali menitis perlahan
“Aku sedih Ya Khalik.” Luah bumi
Bagaimana bisa aku menghadapMU, Ya Tuhanku?
Sedang diri penuh dosa maksiat
Diri kotor dengan pertumpahan darah
Perebutan kuasa, korupsi malah pembunuhan semakin membarah
Badanku tidak sanggup menanggung kesakitan ini
Ingin sahaja aku hapuskan manusia virus ini
Penyebab kesakitan yang kutanggung
Tapi, siapalah aku??
Hanya hambaMu yang lemah…tidak punya kuasa
Aku pasrah Ya Allah
Kumohon padaMu….
Berilah aku kekuatan dan kesabaran
Engkaulah yang Maha Mengetahui
Aku hanya tercipta untukMu
Mengabdikan diri menyembahMu
Akhirnya bumi tenang…
Tiada lagi titisan air hujan turun
Wahai manusia!!! “Bertaubatlah!” seru bumi
“Tiadalah diciptakan manusia dan jin
melainkan hanya untuk beribadat kepadaNya”
dengarlah nasihatku ini wahai manusia yang zalim dan jahil
kembalilah pada Tuhammu
dengan jiwa yang suci…
astaghfirullahal ‘azim 3x

Monolog Sang Hamba



Tuhanku,
Aku tidak layak masuk syurgaMU.
Namun,
Aku tak upaya menghadapi siksaMU.
Terimalah taubatku Ya Allah.
Aku pohon padaMU sepenuh hatiku.
Jangan Kau sia-siakan aku,
Setelah Kau buka pintu hidayahMU
Bantulah aku, hamba yang hina.
Berilah aku sikap istiqamah
Dalam segala urusan kebaikan
Ikhlaskan hatiku hanya untukMU
Jangan sekali Kau selitkan perasaan riya’ dalam qalbi ini
Yang bisa menjadikan segala amalan ibarat debu
Berterbangan, hilang sekelip mata
Mana mungkin dapat dikejar
Apa yang akan kubawa untukMU
Dengan tangan kosong?
Tidak sekali-kali!
Aku ingin menjadi hambaMU yang kaya
Kaya dengan keredhaanMU
Bekalan kehidupan sebagai mukmin sejati
Apalah makna hidupku
Jika Kau tolak aku
Tolakan yang bisa buat aku tidak mampu bangkit lagi.
Justeru itu,
Aku pohon dengan bersungguh-sungguh
Bantulah aku mencapai mardhotillah
Supaya, aku bisa meneruskan hidup ini dengan tenang
Dan akan ku abdikan jiwa ragaku hanya untukMU
Tuhan yang satu
Amin…amin….amin…Ya Allah