Wednesday, February 24, 2010



DALIL TENTANG KEHARUSAN MENYAMBUT MAULIDUR RASUL MENURUT AL-QUR’AN DAN SUNNAH.




(Sambungan bagi enti yang lepas)
Pada hari Isnin yang lepas, seperti biasa penulis tetap istiqomah untuk menghadiri kuliah tauhid yang disampaikan oleh Dr. Mohd Farid bin Mohd Shahran yang dianjurkan oleh Exco Dakwah dan Tarbiyyah PKPIM UIAM. Sebelum menyambung pengajian kuliah tauhid, beliau membicarakan secara ringkas tentang sambutan Maulidur Rasul, kenapa kita diharuskan menyambutnya dan bagaimana kaedah menyambutnya. Beliau juga sempat memberi respon kepada sebuah fahaman yang menentang penganjuran majlis tersebut.

Alhamdulillah, penulis mempunyai sebuah buku ringkas bertajuk Al-Bayan: Sambutan Maulidur Rasul Bid’ah Dhalalah? terbitan Sektariat Penjelasan Hukum Isu-isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Negeri Johor. Didalamnya terkandung beberapa dalil yang mengharuskan sambutan Maulidur Rasul daripada Al-Qur’an dan Sunnah. Berikut adalah dalil- dalil tersebut:-

DALIL PERTAMA

Perhimpunan para sahabat yang diakui dan diterima oelh Nabi Muhammad s.a.w.
Diriwayatkan oleh Muslim, Al-Tirmizi dan Al-Nasa’I daripada Mu’awiyyah bin Abi Sufian, bahawa Rasulullah s.a.w datang ke satu majlis perhimpunan para sahabat lalu bertanya:

Maksudnya,

“kenapa kamu berkumpul? Mereka menjawab: Kami duduk berbincang-bincang mengingati Allah dan memuji-muji-Nya kerana telah memberi petunjuk kepada agama-Nya dan mengurniakan engkau diutuskan kepada kami…., hingga akhir hadith…Jibril datang kepadaku memberitahu aku sesungguhnya Allah bermegah kepada malaikat-Nya di atas perhimpunan yang kamu lakukan”.
Dalam hadith ini terdapat nas yang jelas bahawa para sahabat berhimpun dalam satu kumpulan berbincang-bincang mengenai pengutusan Rasulullah s.a.w. sebagai satu nikmat kepada mereka. Dalam hadith ini dinyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu bahawa Allah S.W.T. sendiri menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri membolehkan dan mengiktiraf perhimpunan itu sebagai baik mengenai apa yang mereka bincangkan.

Persoalannya, adakah mereka boleh mengetahui bentuk nikmat pemberian Allah S.W.T. itu sekiranya tidak diadakan perbincangan sesama mereka. Melalui perbincangan ini mereka dapat mengetahui dan mendalami ajaran Islam, kelebihan dan berbagai rahmat dan kebajikan yang dinikmati oleh umat Muhammad melalui baginda Rasulullah s.a.w.

Soalnya lagi, adakah terdapat perbezaan antara perhimpunan yang diadakan oleh para sahabat itu dengan perhimpunan untuk mengingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. yang kita adakan sekarang? Sekiranya tidak ada perbezaan dari segi pengisiannya, jelaslah bahawa dakwaan perhimpunan seperti sambutan Maulidur Rasul tidak pernah dilakukan oleh para sahabat merupakan satu dakwaan yang melulu dan tidak tepat.

DALIL KEDUA

Kisah Abu Lahab memerdekakan Thuiabah al-Aslamiyah kerana kegembiraannya dengan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w.

Ibn Kathir dalam kitabnya ‘Al-Bidayah wa al-Nihayah’ mengatakan: sesungguhnya orang yang mula-mula menyusukan baginda Nabi s.a.w. ialah Thuaibah hamba sahya Abu Lahab. Beliau telah dimerdekakan oleh Abu Lahab sebaik sahaja diberitahu tentang keputeraan Nabi s.a.w. Justeru itu manakala adiknya Al-Abbas bermimpi beliau begitu sedih sekali selepas meninggal dunia, lalu ditanya: Apa yang engkau temui? Abu Lahab menjawab, aku tidak menemui sesuatu yang baik selepas mati selain aku berada dalam keadaan ini disebabkan aku memerdekakan Thuaibah dalam hidupku. (Nas hadith ini terdapat dalam hadith Bukhari dan Muslim).

Jika sekiranya inilah yang berlaku kepada Abu Lahab yang dicela oleh Al-Qur’an diringankan azab siksanya kerana begitu gembira disebabkan keputeraan Nabi Muhammad s.a.w., mengapa kita yang beriman kepada Allah S.W.T. dan beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. tidak boleh menyambut dan mengagungkan Nabi?

Ini juga yang disebut dan diperakukan oleh seorang qari dan ahli hadith Al-Hafiz Syamsudin Ibn al-Jaziri dalam kitabnya “Urfu al-Ta’rif al-Maulid al-Syarif.

Al-Hafiz Syamsudin bin Nasrudin Al-Dimasyqi dalam kitab ‘Maurid al-Sadi fi Maulid al-Hadi’ menyebutkan dalam syairnya, bermaksud:

Jika sekiranya Abu Lahab seorang kafir yang dicela di dalam Al-Qur’an dengan firman-Nya (Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab, dan binasalah ia bersama) dia kekal di dalam neraka jahanam.



Pada setiap hari Isnin selalunya diringankan azab siksanya kerana merasa gembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Bagaimana pula halnya dengan orang yang sepanjang hidupnya begitu gembira dengan Nabi Muhammad s.a.w. dan beliau mati mentauhidkan Allah S.W.T.


DALIL KETIGA

Nabi Muhammad s.a.w. menyambut hari keputeraannya dengan berpuasa pada hari Isnin.

Imam Muslim telah mengeluarkan hadith sahihnya daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa pada hari Isnin, lalu baginda bersabda:

Maksudnya,
“Hari ini merupakan hari aku diputerakan dan pada hari itu juga diturunkan wahyu ke atasku. (HR Muslim)

Hadith ini berkaitan secara langsung dengan sambutan Maulidur Rasul s.a.w. bukan boleh dikaitkan dengan yang lain, Cuma bentuknya sahaja yang berbeza tetapi maksudnya tetap ada sama ada ia dengan berpuasa atau memberi makanan kepada fakir miskin atau berkumpul kerana mengadakan tazkirah mengingati Allah atau berselawat ke atas Nabi s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w. ‘ zaka yaumu wulidtu’ merupakan nas yang mengandungi dua perkara: pertama, nama hari tersebut ialah hari Isnin iaitu hari keputeraan baginda setiap tahun pada 12 haribulan Rabi’ul Awal. Kedua, asalnya hadith ini bersifat umum, ketika itu mafhum hadith secara umum bahawa Nabi s.a.w. menjelaskan sebab Baginda berpuasa pada hari keputeraannya ialah untuk melahirkan kesyukurannya pada Allah S.W.T di mana ia sebagai cara sambutan hari jadi di zaman itu pada setiap tahun dan pada hari Isnin.

DALIL KEEMPAT

Hadith Nabi mengenai baginda s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura.

Maksudnya:

“Daripada Ibn Abas (r.a.) berkata: semasa Nabi Muhammad s.a.w. datang ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu ditanya mengenainya, mereka menjawab: hari itu adalah hari di mana Allah S.W.T. melahirkan kemenangan pada Nabi Musa dan anak cucu orang Israel ke atas Fir’aun, maka kami berpuasa pada hari itu sebagai mengingati hari kemenangan. Lalu baginda bersabda “Kami lebih utama daripada kamu dengan Nabi Musa’ lalu baginda memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari ‘Asyura. (HR Bukhari dan Muslim)

Hadith ini merupakan panduan untuk mengekal dan mengambil berat mengenai pergerakan masa atau zaman. Nabi s.a.w. melihat pertalian antara masa dengan peristiwa bersejarah yang berkaitan dengan agama yang telah berlalu, apabila tiba masa peristiwa tersebut berlaku ia merupakan peluang untuk mengingati dan menyambut kedatangan hari tersebut dengan mengagungkannya kerana ia merupakan sebahagian daripada peristiwa yang bersejarah.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani telah menjadikan hadith ini sebagai dalil kaharusan mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul sebagaimana yang beliau fatwakan, di mana telah dipetik oleh Al-Hafiz Imam Al-Sayuti dalam bukunya ‘Husnul Maqsadi fi ‘Amali al-Maulid’ (Tujuan yang baik mengadakan sambutan Maulidur Rasul), katanya: perbuatan bersyukur kepada Allah S.W.T. itu memberi pengertian ke atas apa yang telah dikurniakannya pada hari tersebut, sama ada bersyukur ke atas nikmat yang diberikan atau untuk menolak bencana. Perbuatan mengingati peristiwa pada hati tersebut berulang setiap tahun. Bersyukur kepada Allah S.W.T. dapat dicapai melalui pelbagai ibadah seperti solat, berpuasa, bersedekah, membaca Al-Qur’an dan sebagainya. Bukankah keputeraan Nabi s.a.w. pada hari itu merupakan nikmat yang paling besar? (Al-Hawi dalam Kitab Al-Fatawa).

Nabi s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura sebagai meraikan kemenangan Nabi Musa (a.s) daripada Fir’aun. Tidak diragukan lagi bahawa kemenangan itulah yang menjadi sebab Nabi berpuasa pada hari tersebut. Daripada peristiwa ia menjadi tasyri’ (amalan) untuk mengingati peristiwa-peristiwa agung dengan mengadakan sambutan dan bergembira dengannya, sedangkan Maulidur Rasul bagi umat Islam adalah lebih agung dan lebih layak disambut daripada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa (a.s).

DALIL KELIMA

Nabi s.a.w. membuat aqiqah untuk dirinya selepas dilantik menjadi nabi.

Imam Al-Sayuti dalam kitabnya “Husnul Maqsad fi ‘Amali al-Maulidur al-Rasul mengatakan: Asal berkumpul mengadakan solat Tarawih adalah sunat dan sebagai mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. .. justeru itu kami tekankan: Asal berkumpul untuk melahirkan sambutan Maulidur Rasul itu sunat dan untuk mengharapkan keredhaan Allah S.W.T….Ini tujuan sebenar mengadakan sambutan Maulidur Rasul, ia merupakan niat yang baik tanpa diragukan lagi, maka renung-renungkanlah ia.

Kemudian beliau menambah: Apa yang jelas padaku terdapat petikan daripada sumber lain iaitu apa yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi daripada Anas (r.a):

Maksudnya,
“ sesungguhnya Nabi s.a.w. membuat aqiqah untuk dirinya selepas baginda dilantik menjadi Nabi.”
Sebenarnya terdapat dalam hadith bahawa Abdul Mutalib datuknya telah mengaqiqahkan baginda pada hari ketujuh keputeraannya. Aqiqah tidak diulangi pada kali kedua, jadi apa yang dilakukan oleh baginda itu adalah sebagai tanda melahirkan kesyukuran diatas perlantikan beginda sebagai Nabi yang menjadi rahmat kepada seluruh alam dan sebagaimana halnya dengan berselawat ke atas dirinya.

Lantaran itu kita digalakkan melahirkan tanda kesyukuran di hari keputeraan baginda dengan mengadakan majlis perhimpunan beramai-ramai, mengadakan jamuan makan dan sebagainya sebagai cara mengharapkan keredhoan Allah dan melahirkan rasa kegembiraan.

Monday, February 22, 2010


‘Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam, dan kepada-Nya kami memohon pertolongan atas urusan-urusan dunia dan akhirat. Ya Allah limpahkanlah rahmat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. penghulu segenap rasul, juga kepada keluarga, sahabat dan pengikutnya hingga hari kiamat’


12 Rabi’ul Awal merupakan tarikh penting dalam sejarah alam, dimana lahirlah Baginda Nabi Muhammad s.a.w sebagai penghulu dan penutup segenap Rasul yang diutuskan Allah yang tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyeru manusia kepada pengEsaan Maha Pencipta, Allah SW.T. (Tauhid). Tahun ini, Maulidur Rasul jatuh pada 26hb Februari bersamaan hari jumaat. Sempena kedatangan Maulidur Rasul tidak lama lagi , penulis amat berbesar hati untuk menggesa diri penulis sendiri dan semua sahabat-sahabat untuk menghayati sirah Nabawiyyah yang jarang-jarang dibaca dan dianalisis oleh generasi masa kini.

Berikut adalah sebahagian kupasan tentang sambutan Maulidur Rasul yang termuat didalam al-Bayan terbitan Sektariat Penjelasan Hukum Isu-isu Akidah dan Syariah Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Tujuan sambutan Maulidur Rasul

Kalau dilihat dari segi perlaksanaan, majlis sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu cara mendekatkan umat Islam kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w, kerana di dalam majlis ini mengandungi pelbagai unsur positif meningkatkan iman dan takwa seperti puji-pujian dan selawat kepada baginda Rasulullah s.a.w., tazkirah mengenai sirah perjuangan baginda dan sebagainya.

Asal sambutan Maulidur Rasul itu ialah orang ramai berkumpul beramai-ramai untuk mendengar bacaan Al-Qur’an, membaca sirah atau ceramah mengenai perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Di majlis seperti ini penekanan selalunya diberikan oleh penceramah untuk menghuraikan sirah Nabi s.a.w., perjuangannya menegakkan agama Allah di Mekah dan Madinah, pengajaran dan contoh teladan yang perlu dijadikan panduan dan amalan. Ini bertujuan untuk memberikan rangsangan dan nasihat yang boleh mendekatkan hamba kepada Tuhan.

Melalui petunjuk dan bimbingan yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w itulah umat manusia mendapat petunjuk daripada kegelapan syirik kepada cahaya iman.

Jadi, sambutan Maulidur Rasul bertujuan untuk mengagungkan Nabi Muhammad s.a.w., dengan melahirkan kegembiraan di atas keputeraan baginda, disamping melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana mengutuskan rasul yang memandu mereka ke jalan yang benar dan lurus.

Sambutan ini merupakan satu cara pendidikan secara tidak langsung mengingati peranan baginda membawa kebaikan dan kebajikan kepada manusia, selain menarik manusia ke jalan kebaikan dan kebajikan. Inilah matlamat sebenar sambutan Maulidur Rasul yang diadakan selama ini.

Sejarah Sambutan Maulidur Rasul

Sambutan Maulidur Rasul mula diadakan apabila umat Islam sudah tidak ada masa untuk mempelajari dan mendalami Al-Qur’an serta sudah tidak ramai lagi orang yang memahami sirah Nabi Muhammad s.a.w. dari alim ulam yang soleh.

Berdakwah secara langsung biasanya kurang menarik minat orang ramai terutama generasi muda, lantaran itu menggunakan kaedah secara tidak langsung lebih berjaya menembusi hati nurani untuk menarik manusia melakukan kebaikan dan kebajikan.

Oleh yang demikian para pendakwah ketika itu menggunakan sambutan Maulidur Rasul untuk mendekatkan manusia kepada ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Antara Negara yang banyak mengadakan sambutan maulid ini selain daripada Mesir ialah Syria, Semenanjung Arab, Yaman, Afrika, Maghribi dan Andalus.

Selepas Salahuddin Al-Aiyubi dapat menguasai Kerajaan Fatimiyah pada tahun 567 Hijriah dan berdepan peperangan salib dengan penjajah Barat, beliau terus mengadakan sambutan Mauldir Rasul sehingga akhirnya Raja Muzafar Abu Said, raja Irbil di bawah pemerintahan Slahuddin (wafat tahun 639 Hijrah) yang juga adik iparnya kerana berkahwin dengan adik perempuannya juga mengadakan sambutan Maulidul Rasul. Al-Hafiz Ibn Dahyah (wafat tahun 633 Hijrah) ketika pergi ke Irbil tahun 604 Hijrah telah mengarang kitab yang dinamakan ‘Al-Tanwir fi Maulid al-Basyir al-Nazir’ di mana beliau memuji majlis sambutan ini an memberikan hujah dan dalil mengenainya.

Sambutan Maulidur Rasul ini terus diamalkan di serata pelusuk Negara Islam baik oleh agensi kerajaan, badan berkanun, pihak swasta, individu mahupun masyarakat Islam bermula sejak tahun 362 Hijrah sehingga ke hari ini dan bentuk sambutannya berubah mengikut peredaran zaman sehingga sebagaimana yang ada sekarang ini.

Aturcara Sambutan

Andainya diteliti aturcara sambutan Maulidur Rasul, kita dapati isi kandunganya terdiri daripada perkara-perkara yang diharuskan oleh syarak, ia dapat disusunkan seperti berikut:

 Majlis dibuka dengan bacaan doa dan bacaan Al-Qur’an Al-Karim.
 Bacaan Berzanji dan Marhaban.
 Selawat Nabi.
 Nasyid yang memuji Nabi Muhammad s.a.w.
 Tazkirah atau ceramah agama atau forum.
 Penyampaian hadiah aktiviti kemasyarakatan.
 Bacaan doa.
 Jamuan.

Inilah aturcara sambutan Maulidur Rasul yang biasa dilakukan di mana-mana di Negara kita ini dan kita tidak membenarkan penganjur membuat sesuatu yang bertentangan dengan syarak.

Tidak aa siapa pun dari kalangan umat Islam yang menolak keharusan kandungan sambutan tersebut. Apa yang mungkin menimbulkan pertikaian ialah asas sambutan yang diadakan dari segi perhimpunan dan bentuk majlis tersebut.



Bersambung pada entri yang lain….

Friday, February 19, 2010

MIMPI oh MIMPI...



Sejak kebelakangan ini, aku asyik bermimpi. Semuanya ada kaitan dengan keadaan semasa diri aku sekarang ini. Sebelum-sebelum ini, selalunya aku akan tidur 'mati'. Haha. Jarang sangat bermimpi. Tapi keinginanku untuk mengetahui tentang mimpi begitu meluap-luap seolah-olah mimpi itu sedang berbicara denganku...kenapa???biarlah jawapannya menjadi RAHSIA MIMOSA.

MIMPI!!! apakah itu mimpi? kenapa kita bermimpi? aku tertanya-tanya??? Tambahan lagi, mimpi itu seakan-akan punya makna yang tersirat yang mendorong aku untuk mengetahui rahsianya.

MIMPI. Aku sungguh teruja ingin mengetahui tentang mimpi. Segera aku mencapai buku psikologi di rak buku dan mencari bahan-bahan yang berkaitan di internet yang sudah tersedia dihujung jari.

Kuselak-selak buku dan beberapa bahan rujukan itu dan terpandangkan topik khusus tentang MIMPI.
Perkataan mimpi didalam kamus merujuk kepada sesuatu yang terlihat di alam tidur. ia juga merujuk kepada angan-angan atau sesuatu pengalaman/ bahagian yang dialami seseorang dalam tidurnya.

Manakala, menurut ahli psikologi, mimpi adalah pengalaman penglihatan dan pendengaran yang jelas yang berlaku hanya sewaktu tidur nyenyak (REM )-(dreams as vivid visual and auditory experiences that occur primarily during REM periods of sleep). Orang yang bermimpi ini pula selalunya akan bermimpi sesuatu yang ada kaitan dengannya.

KENAPA KITA BERMIMPI YA???

Menurut pembacaanku, mimpi itu adalah kehendak-kehendak kita secara tidak sedar (unconcious wishes). Menurut Sigmud Freud, mimpi adalah kehendak-kehendak yang tidak tertunai di alam realiti. Akibatnya, kehendak-kehendak itu terbawa-bawa di dalam tidur yang dinamakan mimpi.

Freud juga membahagikan mimpi itu kepada dua bahagian iaitu, pertamanya manifest content dan yang keduanya latent content. Manifest content adalah mimpi luaran yang jelas maksudnya, manakala latent content merujuk kepada mimpi yang mempunyai maksud tersirat. Ia adalah pemikiran atau kehendak tidak sedar kita yang diekspresasikan secara tidak langsung melalui mimpi.

Hipotesis lain menyatakan bahawa mimpi itu adalah satu manifestasi daripada minda manusia yang merupakan kutipan-kutipan maklumat-maklumat penting semasa berada di dalam keadaan sedar (berjaga). Justeru, hipotesis itu mencadangkan mimpi sebagai penguat kepada sistem memori manusia kepada informasi penting tersebut.

Teori lain pula menyatakan mimpi adalah satu keadaan dimana terdapat kesinambunagn hubungan antara alam realiti dan alam maya lahir daripada keprihatinan mendalam seseorang kepada sesuatu perkara yang berlaku sepanjang harinya.

Mimpi dalam sudut pandang hidup Islam memang ada. Tentu kita ingat tentang kisah Nabi Yusuf a.s yang bermimpikan tentang bulan dan bintang yang tunduk padanya. Kisah mimpinya itu adalah kurniaan Allah yang Maha Suci yang mempunyai maksud yang mendalam. Pengalaman baginda telah dikisahkan didalam surah Yusuf (sila baca surah Yusuf untuk mengetahui dengan lebih lanjut).

Selain itu, mimpi juga boleh dikawal. Ia dinamakan kawalan mimpi ditambah dengan analisa mimpi (ia berbeza dengan tafsir mimpi). Analisa kawalan mimpi adalah mimpi-mimpi yang hanya diketahui maknanya oleh sang pemimpi itu sahaja. Erm, sekarang terpulanglah kepada anda untuk mengawal dan menentukan mimpi anda itu???

10 FAKTA TENTANG MIMPI
  • orang buta juga bermimpi.
  • kita akan lupa 90% dari mimpi kita tersebut.
  • semua orang bermimpi.
  • mimpi mencegah gangguan emosi.
    rangsangan dari luar mempengaruhi mimpi kita.
  • saat bermimpi, tubuh kita kan lumpuh.
    kita hanya memimpikan apa yang kita ketahui.
  • mimpi itu tidak seperti yang terlihat.
  • tidak semua orang mimpinya berwarna.mimpi kita cenderung kepada 'tema' yang sama seperti di sekolah, keluarga dan sebagainya.

Berani bermimpi, usahakan ke alam realiti!!!

I believe I achieve!!!



Thursday, February 18, 2010

PEMIMPIN DINAMIK, PENGIKUT TERDIDIK





Mustafa Masyhur (2001) dalam bukunya berjudul ‘Jalan Da’wah: antara Qiyadah dan Jundiyyah’ terbitan Dewan Pustaka Fajar telah membicarakan tentang usaha-usaha keIslaman (‘amal Islami) sangat bergantung kepada tiga faktor utama iaitu:

1. barisan pimpinan yang berwibawa dan dihormati,
2. sistem penyusunan, pengurusan dan kawalan yang tersusun dan berkesan, dan
3. para pengikut yang terdidik lagi setia.

Penulis pada kali ini suka untuk mengupas secara ringkas barisan kepimpinan yang berwibawa, dinamik dan beradab serta pembinaan pengikut yang setia dan terdidik didalam konteks gerakan pelajar Islam yang kita ceburi terlahir dalam kancah kebangkitan kefahaman Islam lewat tahun 70-an.

Kita sedar dengan sejelas-jelasnya, pimpinan menjadi kepala kepada sesuatu gerakan Islam, manakala pengikut menjadi tulang belakangnya. Kekuatan dan kewibawaan kepimpinan dan kesetiaan pengikut menjadi teras kekuatan sesebuah gerakan Islam itu.

Pimpinan dinamik yang berwibawa adalah pemimpin yang bertenaga dan cergas dalam mengemudi bahtera perjuangan berprinsipkan amar makruf dan nahi munkar bersulamkan benang keemasan budaya ilmu. Pemimpin dinamik ini juga berperanan sebagai pendakwah yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan agama yang luas, tetapi mempunyai bidang pengkhususan tersendiri dalam pelbagai bidang terdiri daripada aliran sains sosial dan sains tulen yang dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat sekeliling.

Antara ciri lain pemimpin dan pendakwah dinamik adalah mempunyai kekuatan rohani, jasmani, jiwa, adab, idealisme, intelektual, sosial dan budaya bagi mempelbagaikan dinamika kepimpinan supaya lebih meluas dan holistik. Contoh agung kepimpinan Islam ialah junjungan kita Rasulullah s.a.w. Baginda bukan sahaja seorang Rasul, malah menjadi seorang ketua Negara yang disegani kawan dan lawan, ahli perniagaan yang penuh integriti dan amanah, penyelesai masalah yang adil dan pelbagai lagi yang membuktikan keRasulan Baginda sebagai utusan Allah sebagai qudwah hasanah kepada seluruh manusia.

Selain itu, pemimpin dinamik juga mempunyai komitmen serta daya juang yang luar biasa, kental dan cekal jiwanya, mampu berterus-terang menyatakan kebenaran, kasih dan sayang kepada semua orang dengan pandangan iman, berdisiplin, bijaksana dan pelbagai sifat mahmudah yang lainnya. Kesemuanya terangkum kemas dalam kefahaman tuntas tentang adab sebagai hamba dan khalifah kepada Maha Pencipta.

Dengan adanya kepimpinan dinamik ini, makanya kita akan dapat melahirkan pengikut yang setia dan terdidik dengan tarbiyyah yang terbaik. Banyak contoh bagaimana pemimpin dinamik melahirkan pengikut yang terdidik sahsiahnya seperti generasi Khulafa’ ar-Rasyidun, generasi Salahuddin al-Ayyubi, generasi Sultan Muhammad Al-Fateh dan pelbagai lagi. Kisah-kisah pemimpin agung Islam tersebut tercatat dalam sejarah silam dunia Islam. Namun malangnya, generasi masa kini kian buta sejarah akibat terpukau dengan budaya Barat yang berkiblatkan materialistik semata-mata dan menolak secara total kepada keperluan beragama. Maka boleh dilihat implikasinya dimana masyarakat Barat hidup hura-hara lantaran ketiadaan matlamat hidup yang jelas.

Penulisan ini pasti hilang serinya jika tidak mengambil secebis nasihat daripada senior dalam gerakan kita ini. Sebagai memetik kata-kata Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam inti ucapannya bertajuk ‘Menoleh Masa Lalu, Menyorot Masa Depan’ disampaikan dalam muzakarah qiyaddah kali ke-2, pada 30 Januari 2010 baru-baru ini,

“Kita adalah pewaris dan pelanjut sebuah gerakan besar. Yang kita warisi bukan cuma kebesarannya, tetapi juga beban memelihara kebesarannya dan mempertahankan kerelevanannya.


Apabila dikatakan bahawa quality means survival bererti kualiti kader gerakan adalah penentu kerelevanan dan survival. Kerana itu dalam keadaan bagaimana sekalipun, kualiti (khususnya kualiti kepimpinan jamaah) tidak seharusnya dikompromikan. Justeru, pemimpin adalah imej gerakan/jamaah keseluruhannya. Kerana itu kepimpinan Jamaah harus memiliki sejumlah kriteria keunggulan terutama keperibadian yang inspiring, integriti moral dan ketaatan beragama, kompetensi keilmuan yang tinggi, kemampuan mengartikulasikan fikrah dan gagasan keislaman dengan petah, indah dan meyakinkan; juga ketrampilan berorganisasi termasuk kemampuan menjadi problem solver.”


Sebagai akhirnya, tidak dapat dinafikan, kelesuan kepimpinan dan kepengikutan gerakan kita dewasa ini memerlukan muhasabah secara tuntas dan telus. Momentum perjuangan harus disusun semula dengan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua barisan qiyadah dan jundiyyahnya yang masih setia dan percaya dengan kerelevanan gerakan Islam kita ini. Semoga segala usaha kita kearah itu diberkati Allah demi kemaslahatan semua. Wallahu’alam.

Monday, February 15, 2010

PILIHAN HATI...

Dua tiga hari ini, mindaku sesak memikirkan 'sesuatu' yang sudah lama bertandang. cuma sebelum ini, aku membuat tidak endah. Aku terpaksa membuat pilihan. Katakan 'YA' atau 'TIDAK'. Sungguh, sukar sekali dalam membuat pilihan. Adakah aku berlaku kejam dengan membuatnya ternanti-nanti dengan jawapanku.

Disaat ini, aku buntu. Antara mendahului cita-cita diri atau memilihnya.....Aku terpaksa membuat pilihan. Pilihan yang dapat memberi kebaikan pada diri dan semua. Manakah yang akan menjadi pilihan di hati ini???

Perancangan teliti harus dibuat agar pilihan yang dipilih adalah tepat. Tambahan lagi, ia membabitkan kehidupanku selepas tamat pengajian. Benar, aku sungguh takut untuk membuat pilihan itu. Manakah yang akan menjadi pilihan sanubari???

Apakah pilihan yang terbaik untukku???

Ya Allah, bantulah aku dalam membuat pilihan ini. Sesungguhnya, Engkaulah yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahu segala sesuatu.

Sungguh, seribu kata2 belum mampu untuk kuluahkan sebuah perasaan yang terbuku di hati...

"kamu tak tahu
rasanya hatiku
saat berhadapan kamu
kamu tak bisa
bayangkan rasanya jadi diriku"
ISLAM TERUS DIPERLEKEH...

Sejak zaman-berzaman, Islam di perlekeh. Dari zaman jahiliyyah lebih 1400 tahun terdahulu hinggalah sekarang. Islam terus dibenci. Mengapa???

Kebencian kuasa Barat terhadap Islam terus menjadi-jadi. Mereka tetap tegar dengan kempen anti-Islam di serata pelosok dunia walau mendapat tentangan pihak Muslim sendiri. Islam terus disalahkan. Islam terus diperlekeh. Islam terus dihina. Islam terus ditindas. Islam terus dilabel negatif. Mengapa????

Kesabaran umat Islam terus dicarik-carik. Satu persatu insiden anti-Islam mencalar kesucian Islam sebagai agama yang benar seperti janji-Nya, '' Inna Ad-Dinu 'Inda Allah-i- al-Islam" terus-terusan diperkotak-katikkan Kafir durjana. Mengapa???


Beberapa contoh kempen anti-Islam...

Al-Qur'an digambarkan sebagai kitab yang mengajar penganutnya kepada keganasan.


Antara contoh lain Islamphobia. Islam diertikan sebagai agama keganasan.


Penganut Islam terus dianiaya...berapa ramai lagi akan terkorban akibat kebencian Barat ini???


Kempen anti undang-undang shariah yang dikatakan menindas dan kejam...paling sedih, ada segelintir Masyarakat Muslim sendiri memperlekeh hukuman syariah ini...



Islam disamakan seperti gerakan Nazi...


Islam dan kitab suci Al-Qur'an disama ertikan sebagai Mein Kampf, manifesto Hitler



Rupa hodoh Geert Wilders yang menghasilkan kontroversi murahan dengan menerbitkan filem 'Fitna' yang merupakan fitnah terbesar buat Islam di Belanda tidak berapa lama dulu...



Tanpa bukti kukuh, Islam disabitkan sebagai pesalah kepada serangan ini...maka bermulalah kempen yang dinamakan 'war on terrorisme' yang bertujuan membanteras sebarang aktiviti terrorism (Islam) dibawah kepimpinan Bush...


Dimanakah kita???


Muslim yang akan membela agama-Nya.


Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk menjadi hamba-Mu yang dapat membela dan mempertahankan kesucian Islam sebagai agama-Mu hingga akhir hayat kami. Amin.

ISLAM IS PEACE!!!



Thursday, February 11, 2010

VALENTINE....VALENTINE...VALENTINE...

KEPADA SEMUA SAHABAT-SAHABATKU....
MENGAPA KALIAN SIBUK2 SAMBUT HARI VALENTINE????
SEDANGKAN IA BERTENTANGAN DENGAN AQIDAH KITA SEBAGAI MUSLIM....
JAUHI SAMBUTAN HARI VALENTINE!!!!
KERANA IA MEROSAK AQIDAH....
untuk kupasan lanjut, sila layari http://www.kpijohor.blogspot.com/


Monday, February 8, 2010

Kisah aku dan Adik Bongsu

Suatu hari sementara menunggu ayahku membuat rawatan di Hospital Kluang akibat masalah pada hatinya, (alhamdulillah, sekarang bertambah sihat), aku berbual tentang kematian dengan adik bongsuku, Helmy yang baru berusia 11 tahun ketika itu Aku pun tak tahu macam mana kiteorang boleh bercakap tentang perkara tersebut, tapi yang pasti adikku yang memulakan perbualan tersebut…

***

Adik: K.Ida, Emy ingat lagi masa abang Andak meninggal..tempat tu (dia menunjukkan bilik rawatan kecemasan) penuh dengan kawan-kawan dia. (Allahyarham memang ramai kawan)..

Aku diam seketika…aku tidak selesa membicarakan peristiwa yang paling sedih dalam kehidupanku.

Tapi, aku tetap melayan adikku yang sedang bercerita itu…

Aku: Erm…Emy, ajal maut di tangan Tuhan. Bila kita meninggal, kita akan sorang2 dalam kubur.Tapi, amalan di dunia ini yang akan menemani kita di dalam kubur kelak. Sebagai contoh, solat. (sengaja aku bangkitkan isu solat, sebab adik kecilku selalu meninggalkan solat ini kerana belum faham kewajipan menunaikan solat).

Adik: Emy tahu..masa Abang Andak meninggal dulu, Emy dah insaf. Emy solat, Emy baca Qur’an. Tapi, Emy tak tahulah…Emy selalu terpedaya dengan Syaitan…(dia juga petah membicarakan tentang tujuan manusia diutuskan ke dunia, sebab dia suka membaca buku agama dan sirah Nabawiyyah.)

Aku diam sambil tersenyum mendengar jawapannya. (tak sangka jawapan tu yang keluar daripada mulut dia). Kan best jadi budak-budak, hati masih lagi suci daripada benda-benda maksiat. Masih belum dipertanggungjawabkan dengan perbuatan yang dikira berdosa dan mudah menerima kebenaran.

Benarlah seperti sebuah hadith Sahih yang maksudnya, anak-anak ini ibarat kain putih. Ibu bapalah yang mencorakkan sama ada anak-anak ini, Yahudi, Nasrani mahupun Islam.

Tidak berapa lama kemudian, ayah dan emak kami keluar dari bilik Doktor…perbualan kami terhenti di situ. Aku dan adikku berlalu mendapatkan ayah dan emak…

***

Alhamdullillah, sekarang adikku meneruskan pengajian Menengahnya di Tingkatan 1 di sebuah Madrasah Tahfiz di Parit Jawa, Muar, Johor. Emaklah orang yang paling bahagia sebab tercapai hajatnya yang mahukan salah seorang anak-anaknya ada dalam bidang tahfiz.

Dikala ini, aku rindu sangat dengan dia. Yelah, sebelum ni aku suka sakat dia dan adik-adik yang lain. Sekarang, dah hampir 2 bulan aku tak jumpa dia. Kalau balik cuti pun, dia tidak ada kerana tinggal di asrama yang jauh dari rumah. Cuma sesekali, dia akan menelefon rumah, bertanyakan khabar emak, ayah dan keluarga.

Aku kagum dengan dia, dalam umur yang begitu muda, dia sudah belajar hidup berdikari di perantauan. Semoga adikku menjadi seorang lelaki Muslim yang bermanfaat pada Negara, bangsa dan agama. InsyaAllah. Wallahu’alam.
Aku sebagai kaunselor tidak bertauliah…

Ketika aku sedang mengulangkaji pelajaran di malam hari (tapi belum lewat malam lagi), tiba-tiba…tut..tut..tut…handphone ku berbunyi…

“Siapalah gerangan hamba Allah yang mesej aku ni,” bisikku di dalam hati

Aku berhenti seketika, kucapai handphoneku lalu kubaca mesej yang masuk.

Hamba Allah itu seorang junior yang selalu merujuk kepadaku jika punya masalah atau perlukan bantuan dan pendapat. Aku rapat dengannya kerana selalu berbincang hal-hal gerakan dan kami boleh dikatakan ‘sekepala’. Walaupun kekadang kami nampak ‘ting tong’, tapi bila tiba urusan jemaah, kami begitu serius. InsyaAllah.

Dia: Salam kak, saya tengah stress…” tulisnya didalam mesej.

Aku: Hmmm, nape plak ni? Pasal …..ye?

Dia: Banyak benda, tu salah satunya…

Aku: Kamu luahkan, citer je ngan akak…apa bendanya yang wat kamu tak puas hati.
(masa nilah aku akan mengaplikasikan ilmu kaunseling aku..huhu)

(maaf, orang dan beberapa luahan mesej hatinya terpaksa dirahsiakan, dalam ilmu kaunseling, ianya dipanggil client’s confidentiality)

Dia: Ntah la kak…kecewa sangat2…

Aku: Kamu jangan macam tu…akak pernah kecewa dengan komitmen…., tapi amanah dakwah kena juga diteruskan.

Dia: Syukran kak, tengoklah kekuatan saya camne nanti.

Aku: Kamu kena kuat, sebab kamu….adalah contoh pada jundiyyahnya. Kalau tak, jundy2 kamu pun akan lemah. Erm, satu perkara akak belajar dari medan ini dan akak nak share dengan kamu…kita jangan berharap pada manusia, nanti kita akan kecewa..bergantunglah kepada Allah semata-mata, InsyaAllah, semua mehnah akan dilalui dengan jayanya..sama2 kita renungkan.

Dia: Saya akan fikirkan dan cuba untuk untuk kuat, kalau nak diikutkan hati ni, baik….

Aku: Erm, baguslah macam tu, fikirkan dulu sebelum bertindak..kita kena bijak mengemudi hati dan emosi dalam medan dakwah ini. Ianya mudah dilafazkan, tapi perlaksanaannya amat sukar sekali. Akak pun tengah belajar ni. Betul kata-kata…, soal hati ini memang menjadi penghalang terbesar dalam medan dakwah kita. Sama2lah kita kuatkan semangat…

Dia: Syukran kak, saya 2, 3 hari ni memang ‘lost’, asyik fikir benda tu…bincang gak dengan……..dia pun suruh fikir gak…

Aku: Memang kena fikir. P….wujud dengan kekuatan B…, kalau kita tinggalkan macam yang lain-lain, amat malang sekali. Jangan sampai, pembunuhnya kita sendiri. Mati tapi tak tahu mana kuburnya..Benda-benda ni, kena bincang hati ke hati, cari titik persamaan dan jauhi perbezaan yang menyebabkan perpecahan. Kita kena kuat untuk Islam.

Dia: InsyaAllah kak, orang akan cuba…


(mesej tersebut terhenti di situ sebab handphone aku dah habis kredit, lagipun dah mencecah jam 12 tengah malam, di mana biasanya aku tidak akan terima sebarang panggilan kecuali perkara-perkara mustahak. Mesej juga begitu, aku hanya akan balas bila penting, sebabnya, itu adalah waktu aku belajar dan berehat dan…)

Ibrahnya,

 ilmu kaunseling sangat penting.
 Sebagai kauselor yang tak bertauliah ni, aku belajar macam mana nak membantu sahabat2 untuk keluar dari dilemma..walaupun aku sendiri dalam dilemma…sekurang-kurangnya, bila aku menasihati dia, aku pun menasihati diri sendiri…(orang tua-tua kata, menyelam sambil minum air, huhu)
 Berasa sangat beruntung terlibat dalam gerakan Islam, semuanya ada unsur-unsur tarbiyyah untuk diri…
Lastnya, aku terbaca satu kata-kata, betul2 masa aku punya masalah peribadi dan aku nak kongsi bersama sahabat2 sekalian…
“ Bila engkau letih dan hilang semangat, Allah tahu engkau telah mencuba sedaya upaya. Bila tangismu berpanjangan dan hatimu berduka, Allah telah mengira titis air matamu. Bila engkau rasa ketinggalan, dan masa meninggalkanmu, Allah tetap bersamamu. Bila engkau kebuntuan ‘aqal, maka Allah adalah penunjuk jalan…apabila engkau telah berazam, maka bertawakkal kepada Allah.
 Selamat berjuang sahabat2ku…

Wallahu’alam.

Friday, February 5, 2010

HORMATILAH KAMI ….

Pada penulisan kali ini, aku ingin luahkan perasaan tidak puas hati pada sikap tidak hormat seorang lelaki pada seorang perempuan.

Aku baru sahaja selesai belajar memandu untuk kelas terakhir sebelum test JPJ lewat bulan Februari ini, InsyaAllah. Malangnya, aku tidak bernasib baik sebab dapat cikgu lelaki. (Erm, aku bukan anti-lelaki okey!!! Walaupun ada yang mengatakan aku seorang feminism…hmmm???).

Oleh kerana aku dapat cikgu lelaki dan cikgu perempuan semuanya tidak berkelapangan, aku redho je. Jadinya, setiap kali aku belajar, aku akan pakai sarung tangan. Dari kelas pertama lagi, cikgu aku tu asyik perlekehkan aku sebab pakai sarung tangan. Aku tersenyum dan menyatakan pendirianku dengan penuh ketegasan….

Cikgu: pakai sarung tangan lagi…ngada-ngadalah awak ni.

Aku: (senyum) syariat Islam, balasku ringkas.

Cikgu: Ala…biasalah, untuk belajar, tersentuh-sentuh sikit, tak apa. (memandai2 je dia bagi ‘fatwa’ macam tu)

Aku: Tapi, kalau boleh elak, kita wajib elak..

Cikgu: erm….ntah2 tangan awak ni ada parut kot. (saja je dia bagi aku ayat2 provokasi).

Aku: (senyum, tapi dalam hati, sabar jelah aku dengan cikgu ni)

Cikgu: Erm, kamu dah berpunya???

Aku: Dah. (aku sengaja berbohong padanya, sebab dengan bagi alasan macam ini, dia tak akan menggatal dan aku berasa selamat)

Cikgu: Okeylah…kita belajar mandu sekarang.

Aku: Okey, jom…

***

Aku pun memulakan latihan pemanduanku….

Hampir sejam kemudian, masa menunggu giliran untuk ‘latihan bukit’.. dengan sengaja cikgu tersebut mencuit tanganku..

Aku memandangnya dengan sinis sekali.

“Tak haram pun, berlapik kan??” cikgu itu tersengih

“Kalau sengaja, berdosa” tegasku dan memalingkan wajahku yang sedang bengang ke tempat lain.

Lepas itu cikgu aku menegur kawannya yang juga sedang mengajar seorang perempuan bersebelahan dengan kereta kami.

Cikgu: Ustaz (sengaja dia panggil kawannya dengan gelaran itu)., ada tersentuh-sentuh tangan tak dengan pelajar ko tu???

Kawan dia: Adalah sikit2 tersentuh…(pelajar perempuan disebelahnya senyum malu)

Cikgu: Jangan, haram. Ko tengok pelajar aku ni (akulah orangnya), pakai sarung tangan tau.

Aku: (diam sambil menggeleng2kan kepala)…

Setelah cukup 2 jam kelas, aku pun pulang semula ke UIA…

***

Aku terfikir…

Sesungguhnya, amat sukar untuk menjaga syariat Islam di kalangan masyarakat Muslim sendiri. Pelik, tapi itulah realitinya. Oleh kerana, masyarakat sudah terbiasa dengan sesuatu yang pada dasarnya haram, tapi disebabkan sudah menjadi kebiasaan pada masyarakat, ia seolah-olah tidak berdosa. Maka, apabila seseorang itu mengikut syariat, dia pula dianggap ‘taboo’ dan diperlekehkan sebagai tidak moden dan pelbagai istilah sinis lainnya. Apa sudah jadi????

Walaupun begitu, hubungan aku dengan cikgu aku tetap berlangsung dengan baik, sebab aku tak pernah meninggi suara padanya kerana masih lagi menjaga adab dengan guru. (walaupun aku marah dengan sikap tidak hormatnya pada aku). Tapi, aku sedar, aku punya tanggungjawab besar dalam mendepani senario begini di dalam masyarakat Muslim sekarang. Cikguku menjadi sampel kepada sebahagian daripada masyarakat kita yang jahil dalam agama, dan kita sebagai pendakwah perlu memainkan peranan dengan sabar dan penuh berhikmah. Tugas kita cuma menyampaikan, sebab pintu hidayah itu tetap dulu, kini dan selamanya hak mutlak Allah Ta’ala.

Perspektif lain yang aku ingin cuba coretkan, sebagai perempuan, kita kena kuat berhadapan dengan lelaki jenis macam ini. Kita kena berani menyatakan pendirian kita dengan tegas dan berhikmah supaya tidak menimbulkan perasaan dendam dalam hati mereka.

Nasihatku pada para lelaki, hormatilah kami kaum perempuan. Contohilah Rasulullah yang begitu mengasihani wanita. Aku pernah terbaca satu hadith Sahih yang bermaksud, “Lelaki yang paling baik antara kamu adalah mereka yang berlemah-lembut pada wanita.” Wanita ini termasuklah, ibu, isteri, saudara perempuan, sahabat perempuan, dan semua sekali yang namanya wanita.

Tidak pernahkah kita semua terfikir, mengapa kewujudan feminism dalam dunia Islam dasawarsa ini semakin menjadi-jadi???…walaupun jawapannya pelbagai dan relatif bagi setiap orang, namun poin utamanya adalah kerana kekejaman pihak lelaki yang tidak memahami ajaran agama Islam yang syumul. Berapa banyak kes penderaan isteri, rogol, sumbang mahram, gangguan seksual dan sebagainya menghantui kaum wanita sekarang???

Kesimpulannya, sikap saling hormat-menghormati menjadi kunci kesejahteraan dalam masyarakat. Lelaki perlu memahami fitrah kejadian wanita, dan wanita perlu juga memahami fitrah kejadian lelaki. Jangan cuba melanggar dan mencabar batas ego diri masing-masing kerana kelak akan menjadi penyebab huru-hara dalam masyarakat.

Bilamana sikap saling hormat-menghormati ini wujud, produk akhirnya, masyarakat hidup aman dan makmur. Tidak ada lagi istilah gender bias, feminism, emansipasi wanita, penghakupayaan wanita, penghakupayaan lelaki dan banyak lagi istilah yang terlahir dari ketidakseimbangan dalam struktur sosial. Wallahu’alam.

Thursday, February 4, 2010


INI BUKAN CERITA KEDAI KOPI


Suatu hari, di waktu senggang, aku lepak2 dengan adik aku, Ayin.

Aku: Ko tengah dengar lagu ape???

Adik:CERITA KEDAI KOPI, Malique Too Phat…

Aku: Ape2 ntah tajuk lagu…(aku mengomel padanya)

Adik: Best ar lagu dia, ada mesej yang nak disampaikan pada pendengar…

(nada cuba meyakinkan aku)

Aku: Ohhh…nak dengar, kuatkan sikit volum tu…(hehe :p sesekali aku layan jugak lagu2 Too Phat ni sebenarnya)

Adik: hayati lirik dia tau…

Aku: Erm… Sesekali pekena lagu rentak ‘Raggae’… Best jugak…

***
Antara sedutan lirik yang menarik perhatian aku…

“Masing-masing ada masalah sendiri
Masalah dunia masalah peribadi
Luahkan jangan simpan dalam hati
Boleh cerita di kedai kopi”

***


Nak dijadikan cerita, masa aku ambil kelas kaunseling beberapa sem lepas, kaunselor aku kata, kita perlu luahkan apa yang kita rasa bila ada masalah. Katanya, jangan disimpan dalam hati. Kalau disimpan ia akan menyebabkan tekanan pada diri. Tambahnya lagi, jangan rasa bersalah apabila kita luahkan, biarkan sahaja…

Jadinya, lagu CERITA KEDAI KOPI ni (aku sedang layan lagu ni sebenarnya) memang ada mesej. Tapi, kalau ada masalah, tak perlulah pi kedai kopi…banyak lagi cara seperti membaca buku tasawuf (penyucian rohani), menulis, berzikir, dengar lagu, pergi jumpa sahabat yang juga pendengar terbaik dan memahami diri ataupun lain-lain..ikut keselesaan individu…


Walaupun begitu, poin terakhir yang aku cuba sampaikan pada entri kali ini adalah, dalam Islam, Allah telah berfirman dalam surah Al-Ra’d: ayat 28 yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”


Tidak diragui lagi, Islam memang agama yang syumul, semuanya diajar (itupun bagi mereka yang berfikir). Ini membuktikan fitrah manusia memang inginkan hidup beragama ataupun bertuhan. Dengan kata lain yang lebih tepat, punya ‘invisible relationship’ dengan Allah yang Maha Esa (Hablum minallah). Ada juga yang mengatakan peka terhadap kehadiran ‘God-Spot’ dalam minda manusia. Bila hubungan ini difahami dengan jelas oleh setiap insan, maka segala masalah dianggap benda biasa dalam kehidupan manusia. Sampai ada yang mengatakan, kalau tak punya masalah, orang tu bukan manusia namanya… Erm, menarik 3x!

Wallahu’alam.

Tuesday, February 2, 2010

ISTIMEWA BUATMU ZAINAB AL-GHAZALI

Zainab al-Ghazali al- JubailiDirimu bak pahlawan Islam sejati
Sanggup mewakafkan diri
Demi menegakkan Islam agama suci
Walaupun diseksa pemerintah zalim nan keji
Faiza ‘azamta fatawakkal ‘ala Allah teguh disanubari


Zainab al-Ghazali al-Jubaili
Kau srikandi Islam abad ini
Kau menyahut seruan Ilahi
Kau menyambung dakwah warisan Nabi
Demi cintamu kepada jihad Islami
Demi iltizammu untuk kebangkitan umat ini
Demi kebencianmu terhadap perhambaan kepada manusiawi
Kalimah Tauhid dijunjung tinggi
Sungguh! cita-citamu murni sekali

Zainab al-Ghazali al-Jubaili
Walau caci maki kau hadapi
Kau tetap punya jati diri
Kau tetap teguh melafazkan Kalamullah ini
“‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami
Dan Allah adalah sebaik-baik pelindung’
itulah yang aku yakini”
Pemerintah zalim dan kuncu-kuncunya tetap tuli lagi buta hati

Zainab al-Ghazali al-JubailiKisah perjuanganmu di medan dakwah ini
Membuatkan air mata mengalir di pipi
Walau jasadmu terbelenggu dalam penjara besi
Walau kau dibiar lapar hingga pedih perut ke ulu hati
Walau suamimu pergi menemui Ilahi tanpa dirimu di sisi
Walau jasadmu diseksa ratusan kali
Sekalipun jiwamu dicemeti… disakiti dengan kejam sekali
Namun kau tetap bangkit… dan terus bangkit demi sebuah perjuangan suci
Hatimu…semangatmu tidak pernah mati
Malah kekal hidup dengan cahaya kurniaan Ilahi
Kesan dari solat dan rintihan hati yang suci


Zainab al-Ghazali al-JubailiKau sungguh terpuji
Kecekalanmu, ketabahanmu, keikhlasanmu senantiasa diingati
Kisah perjuanganmu penuh inspirasi
Bagi kami yang kerdil diri
Walau apapun mehnah dan tribulasi
‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami
Dan Allah adalah sebaik-baik pelindung’*
Itulah pesanmu pada mereka yang memilih jalan dakwah ini
Semoga diri kita semua dirahmati Rabbul ‘Izzati
InsyaAllah.

(* Surah Ali-‘Imran: 173)


Oleh: Mimosa @;--
Srikandi Islam: ZAINAB AL-GHAZALI AL-JUBAILI




Zainab al-Ghazali al-Jubaili dilahirkan di wilayah Al-Bihira, Mesir pada tahun 1917, dan merupakan keturunan dari kalifah kedua Islam, Umar bin Khattab dan Hasan bin Ali bin Abi Thalib. Justeru, tidak hairanlah kepada kita tentang semangat jihadnya yang tinggi dan sentiasa membara dalam membawa mesej tauhid di bumi Mesir. Zainab al-Ghazali mewarisi semangat jihad Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sifatnya yang tegas. Kerana ketegasannya, Islam tersebar luas di seluruh pelosok bumi, bukan dengan sifat tolak ansur seperti liberalisme, pluralisme dewasa ini.


Zainab Al-Ghazali merupakan pengasas Jama'at Muslimat. Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

Namunpun begitu, pada tahun 1937 Zainab telah menyatakan bai’ahnya pada As-Syahid Imam Hasan al-Bana, pengasas gerakan Islam pertama di dunia selepas kejatuhan sistem khalifah Islam pada tahun 1924. Ikhwanul Muslimin telah ditubuhkan pada tahun 1928 dengan tujuan untuk mengembalikan Islam ke dalam kehidupan manusia ataupun menegakkan kembali daulah Islamiyyah. Peristiwa itu seterusnya menjadikan Jama’at Muslimat pimpinan Zainab al-Ghazali menjadi sayap kiri bagi Ikhwanul Muslimin, dan Zainab sendiri menjadi ahli Ikhwanul Muslimin itu.


Benar seperti yang dikatakan, perjuangan dalam Islam penuh onak dan duri. Hanya mereka yang punya kesabaran dan keyakinan dengan jalan dakwah yang di pilih ini mampu melaluinya dengan semangat jihad tidak berbelah bahagi. Zainab Al-Ghazali telah menjadi suri tauladan kepada generasi aktivis Islam masa kini tentang jerit payah yang dilaluinya dalam menentang taghut dan sekularisme penghancur generasi manusia tauhid.


Beliau melalui pelbagai seksaan berat pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasser demi menyatakan keyakinannya pada wadah yang dipilih-berjihad menentang sekularimse yang menyebabkan perhambaan kepada manusia semata-mata. Beliau adalah antara ratusan ribu anggota Ikhwanul Muslimin yang dipenjara dan diseksa dengan amat kejam sekali.

“Atas perintah Jamal Abdul Nasser, Presiden Republik Mesir (ketika itu), Zainab al-Ghazali al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.” Zainab tidak gentar sekalipun maut menanti. Zainab terus teguh dengan jihadnya menentang sekularisme yang sedang bermaharajalela di Mesir ketika itu.


Zainab telah dipukul dengan tongkat, dicemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang liar lagi ganas, direndam seharian selama berhari-hari dalam penjara air, dipenjara dengan tikus, diugut rogol oleh lelaki2 keji dan pelbagai seksaan lagi. Namun, imannya tetap tidak berganjak walaupun seinci. Kebergantungannya pada Allah menjadi peneman dan motivasi diri. Zainab tetap yakin menyatakan ‘Cukup Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.”(maksud surah Ali-‘Imran: 173).


Bagi menyembunyikan kekejaman pemerintahan Jamal Abdul Nasser pada masyarakat setempat ketika itu, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Manakala Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat


Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan. Zainab al-Ghazali telah pergi menemui Ilahi pada hari Rabu, 3 Ogos 2008 pada usia 88 tahun. Perginya Zainab tidak kembali, tetapi kisah perjuangannya tetap menjadi inspirasi aktivis Islam masa kini.


‘Ibrah dari secebis coretan sejarah perjuangan Srikandi Islam di atas adalah;


1) Punya prinsip yang teguh dalam menegakkan Islam. Justeru kita mesti mengimani Kalamullah ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (Surah At-Taubah: ayat 111).


2) Punya rasa kebergantungan semata-mata kepada Allah Ta’ala, Allah berfirman yang mafhumnya ‘Cukup Allah menjadi Penolong kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung.”(maksud surah Ali-‘Imran: 173).

3) Tidak berasa lemah dan putus asa kerana Allah telah berfirman yang bermaksud, “Janganlah kamu merasa lemah dan berdukacita. Kamu adalah lebih tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman.” (maksud surah Ali-‘Imran: 139)


4) Yakin kemenangan itu hak mutlak Allah Ta’ala, kita sebagai aktivis Islam hanya mampu berjuang merealisasikan kemenangan itu. Firman Allah Taala dalam surah Al-Anfal ayat 10 yang mafhumnya, ‘Dan kemenangan itu hanya dari Allah.” Lagipula, dalam kamus kehidupan seorang aktivis Islam yang tulen, tidak ada perkataan “menyerah kalah”, dia hidup sebagai mujahid ataupun mati sebagai syahid.


5) Sentiasa bertawakkal kepada Allah Ta’ala. Berdoalah, “Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada-Nya; tidak ada daya, tidak ada kekuatan kecuali kerana Allah.”

Semoga kita tetap istiqomah di medan Dakwah ini dalam pelbagai lapangan. Wallahu’alam.
Wassalam.


Novel yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu yang menceritakan tentang kisah benar Zainab Al-Ghazali di dalam penjara tentera Mesir. Harus di baca oleh semua aktivis Islam.


Rujukan:


Fathi Yakan. (2006). Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.


Kamal Zharif. (Ogos 2008). Zainab Al Ghazali Al Jubaili - Sirah Tokoh Harokah dan Dakwah – dimuat turun di Halaqah-Online pada 1 Februari 2010.


Mustafa Masyhur. (2001). Jalan Da’wah: Antara Qiyadah dan Jundiyyah. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor.


Zainab Al-Ghazali, Gigih Melawan Sekularisme. (2008, Oktober 15 ). Di muat turun pada 1 Februari 2010 di Republika Online.


Zainab Al-Ghazali al-Jubaili (2007). Hari-hari Dalam Hidupku: Kisah Realiti Penyeksaan di Penjara Tentera Mesir. Pustaka Salam, Kuala Lumpur.