Monday, June 14, 2010

HATI…
HATI-HATI…
PERSOALAN HATI…




Hari ini hari Ahad bersamaan 13 Jun 2010. 7 hari berlalu dengan pelbagai kisah yang punya maksud tersendiri. Cuma pada entri kali ini, aku tertarik untuk menulis tentang kisah masyarakat disekelilingku. Hubungan sesama manusia berlainan jenis. Hubungan lelaki dan wanita. Secara spesifiknya, hubungan kasih antara dua gender yang berlainan.

Yang menariknya beberapa kenalan rapat di UIA dan PKPIM-Abim melangsungkan walimah mereka hampir serentak bersempena cuti sekolah ini. Tahniah kepada K. Nisa dan Abang Bukhori, Aqilah Izzati dan Abang Syah, Hasnul Hanif dan pasangannya, K.Aemy dan pasangannya, Abang Zaidi dan pasangannya serta Wan Khalid dan pasangannya. Tidak ketinggalan teman Abim, Cikgu Khadijah dan pasangannya. Semoga selamat menempuh alam baru di bawah rahmatNya.  Maaf sesangat tidak dapat hadir disebabkan komitmen kerja dan kedudukan geografi yang jauh-jauh belaka. Tapi, jangan risau doa aku sentiasa bersama kalian.

Ya, Allah Ta’ala telah menciptakan Hawa dari rusuk kiri Nabi Adam a.s sebagai simbolik kepada fitrah manusiawi yang mahu berpasang-pasangan. Cukup seminggu, bukan sahaja berita gembira penyatuan golongan Adam dan Hawa, tetapi tidak ketinggalan aku berhadapan dengan pelbagai kisah persoalan hati terkecewa ibarat kisah cinta Romeo dan Juliet, Laila Majnun lantaran cinta terhalang, cinta kecundang ditengah jalan, cinta dalam hati, cinta bertepuk sebelah tangan dan sebagainya dikalangan teman-temanku lelaki dan wanita. (inilah part yang aku paling tak suka, isk3)



Aku menjadi rujukan teman-teman yang mahu meluahkan masalah dan rasa yang terpendam dilubuk sanubari. Aku mendengar dengan setia dan cuba untuk menyelami perasaan mereka yang mengadu masalah hati yang ditamu kekecewaan. Walaupun aku tidaklah pakar mengenai persoalan hati terutama melibatkan cinta, tetapi aku tetap setia mendengar supaya dengan cara itu aku dapat mengurangkan bebanan hati teman-teman. Tidak dinafikan, memang sukar untuk memahami persoalan hati ini. Bak kata pepatah, “rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain”. Serius.

Hati memang diciptakan berbolak-balik. Nafsu pula diciptakan sebagai yang degil. Memang sukar untuk menguasai hati dan menundukkan nafsu. Namun, kita jangan lupa, kita ada Tuhan. Justeru, mohonlah kepada Allah Ta’ala agar hati itu terpelihara dan nafsu itu terdidik kepada kebaikan. Natijahnya, kebahagiaan itu pasti menjadi milik kita semua dan kekecewaan itu pasti pergi. Percayalah pada Allah. Jika ini difahami secara tuntas, hubungan hati ini pasti berjalan lancar dan terpelihara.

Bagi membina hubungan yang bahagia, persefahaman, sikap matang dan keterbukaan, prihatin, jujur, ikhlas, saling percaya dan memerlukan, saling menghargai dan penerimaan secara total sesama sendiri adalah kunci utama kepada sinar kebahagiaan. Sekali lagi dan yang terutama jangan dilupa Tuhan yang Maha Agung. Mintalah kepadaNya agar impian kebahagiaan dan keabadian cinta itu tertunai selamanya. InsyaAllah.

Menyentuh persoalan persefahaman, mungkin ada orang akan membidas dengan mengatakan, “sedangkan lidah lagi tergigit”, inikan pula hubungan sesama manusia. Ya, ketidak sehaluan faham, minat dan seangkatannya itu lumrah dalam kehidupan manusia. Tidak ada manusia pun tercipta sama kehendaknya. Pasti ada perbezaan. Tetapi perbezaan itu boleh bertukar rahmat jika kita meraikannya dengan berlapang dada. Kalaupun berbeza, kenapa kita tidak berusaha mencari titik persamaan dan menggilapnya agar terang jernih. Bukankah kita semua mengejar kebahagiaan? Lagipun, perbezaan itu kekadang indah. Sangat indah. Serius.

Akhirnya, kehidupan ini penuh warna-warninya. Bukan semata-mata hitam dan putih yang menjadikan hidup kita teramat bosan. Serius. Bermainlah dengan warna agar kehidupan berlangsung dengan menarik. Walaupun begitu, semua warna ada kelebihan dan kekurangan. Justeru,raikan semua warna agar lukisan kehidupan tetap kekal indah dengan warna-warninya yang hanya kita sahaja yang faham corak maknanya. Wallahu’alam dan Wassalam.


***



Nota Mimosa:

Kepada teman-teman, HATI-HATI PERSOALAN HATI INI

Mahukan kebahagiaan?

I believe I achieve, You believe You achieve!!! 

Thursday, June 3, 2010


LUAHAN RASA...

(tetiba je, tak tahu nak letak tajuk ape, kui3)


Erm..lama rasanya tidak ku’update’ blog aku ni. Blog nilah tempat aku mencurah rasa yang berbuku di dalam sanubari. Tetapi, setelah meninggalkan zaman belajar dan sedang merangkak ke alam pekerjaan dan dalam usaha mengejar impian mengajar aku erti memanfaatkan masa sebaik mungkin.

Baru seminggu duduk di rumah selepas tamat belajar bulan April yang lepas, aku sudah tidak keruan. Bukan bermakna aku tidak suka duduk di rumah, aku sangat suka. Semua kerja suri rumah sudah aku lakukan, tetapi masih tidak cukup untuk memberi kepuasan kepada diri. Aku mahu mandiri, melihat masyarakat, memperhebat kemahiran hidup supaya aku tetap tegar menjalani kehidupan yang penuh onak duri ini.

Alhamdulillah, aku sangat bersyukur dengan apa yang dikurnia Ilahi kerna sesungguhnya siapalah aku untuk mempersoal setiap ketentuanNya. Siapalah aku untuk mempersoalkan takdirNya. Kerana aku hanyalah Hamba yang hina-dina. Setiap detik kehidupan cuba kuusahakan kearah mencapai kebahagian dan barakahNya. Syukur ada Dia sebagai penunjuk arah. Terima kasih Tuhanku.

Apa yang aku kecapi sepanjang sebulan lebih ini? Aku tertanya-tanya. Mindaku ligat mengimbas kembali detik kehidupan yang sudah berlalu. Macam-macam yang ditempuhi. Dari menjadi pengasuh kepada kanak-kanak comel, menjadi guru ganti mengajar komputer untuk pelajar darjah 5, hinggalah menjadi Research Assistant (RA) kepada seorang pensyarah UTM yang juga orang kuat ABIM Johor. Semuanya bermakna. Aku amat menghargainya. Mungkin pengalaman yang dikutip ini dapat membantu aku di masa hadapan. InsyaAllah.

Langkahku tidak terhenti disitu. Aku punya komitmen lainnya bersama Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) dan Abim. Selepas disyurakan, akhirnya, namaku tetap terpilih untuk memegang tugas sebagai Exco Tugas-Tugas Khas (TTK). Aku terima dengan rela hati kerana aku sayangkan KPIJ dan disinilah tempat aku dapat menyumbang sebaik mungkin untuk Islam dan masyarakat setempat. Hadith Rasulullah s.a.w mafhumnya, “ orang yang baik dikalangan kalian adalah orang yang memberi manfaat pada orang lain”.

Hujung minggu, ada sahaja program. Cuma sesekali bila tiada, aku lebih suka pulang kekampung, menghabiskan masa bersama keluarga tercinta. Perjalanannya cuma memakan masa lebih kurang 2 ke 3 jam jika menaiki bas. Sambil-sambil itu, aku akan memerhati alam, kehidupan masyarakat sekeliling, mengoreksi diri dan sebagainya. Aku memang suka begitu.

Bagaimana pula dengan pengalaman dengan orang baru dikenali? Takkan asyik dengan grup sendiri je kan. Alhamdulillah, aku bertemu dengan seorang teman maya yang kupanggil sebagai Yeop. Walau baru dikenali, tetapi aku selesa dengannya. Banyak yang dikongsi bersama. Bak katanya, “ NEW PEOPLE NEW EXPERIENCE”. Betul-betul pengalaman baru yang menarik. Terima kasih Yeop sebab kita dah jadi kawan..kui3.

Akhirnya, ibrah dari perkongsian rasa di atas, kehidupan kita ini sangat misteri. Tidak pernah terlintas sedikipun dibenakku untuk melalui semua pengalaman-pengalaman tersebut. Tetapi itulah ketentuanNya. Apa-apapun,

“ I BELIEVE I ACHIEVE!!!!”


***

Nota Mimosa

Semangat sentiasa untuk menyelongkar misteri kehidupan yang berikutnya.