Friday, March 30, 2018

Cinta Ternoda dek Hawa Nafsu

Ketika mencapai usia remaja iaitu antara 10-19 tahun sepertimana definisi World Health Organization (WHO), maka adik-adik gadis akan mengalami perubahan secara fizikal dan seksualiti terutama selepas terjadinya haid pertama. 



Perubahan fizikal yang lebih kewanitaan dan dorongan seksual dan emosi untuk mencintai menjadikan ramai di kalangan adik-adik gadis mahukan pengalaman bercinta dan berkasih-sayang dengan berlainan jantina. 

Ketika ini, jika silap pergaulan, maka adik-adik gadis boleh terbabas ke lembah hina. Kajian mendapati faktor rakan sebaya banyak mempengaruhi seseorang dalam pembentukan watak dan perilaku. 


Fenomena ‘coupling’ dan ‘dating’ menjadikan cinta sebagai tiket untuk melakukan semua perbuatan yang menyatakan rasa kasih kepada pasangan cintanya. Seakan-akan menjadi perlumbaan para gadis untuk membuktikan cinta pada si teman lelaki. 

Ada yang sampai hati menyerahkan dara sebagai bukti cinta kepada pasangan yang tidak lagi menjadi halal baginya. Pada mereka, dengan cara itu, si lelaki akan lebih terikat dan tidak akan meninggalkannya. Sungguh naif persepsi adik-adik gadis kita hari ini. 


Dorongan seksual merupakan salah satu fitrah yang dialami oleh semua manusia yang sihat. Tetapi ramai gadis moden kini tidak malu merealisasikan dorongan seksual dengan teman lelakinya. Menurut Kinsey et al. (1965), perilaku-perilaku seksual seseorang adalah meliputi empat tahap iaitu:- 

a) Bersentuhan (touching), mulai dari berpegangan tangan hingga berpelukan.
b) Berciuman (kissing), mulai dari ciuman singkat hingga berciuman bibir dengan mempermainkan lidah.
c) Bercumbuan (petting), iaitu menyentuh bahagian sensitif dan mendorong kepada keghairahan seksual dan
d) Berhubungan kelamin. 

(Dipetik daripada Sunanti Zalbawi Soejoeti, Perilaku Seks di Kalangan Remaja dan Permasalahannya yang dimuatkan dalam Jurnal Penerbitan Media Penelitian dan Pengembangan Kesehatan, Mac 2011.)


Ada juga fenomena terbaru, adik-adik gadis moden tidak segan berkongsi foto berpelukan hingga sedang bercumbuan bersama kekasih hati di laman-laman sosial yang dimiliki. Ada yang merakam untuk simpanan peribadi. 

Namun apabila perpisahan terjadi, segala foto dan rakaman disebarkan oleh bekas teman lelaki ataupun sebagai ugutan kepada adik-adik. Tinggallah adik-adik ini gadis menjadi buah mulut, dipandang hina dan maruah dipermainkan oleh teman-teman lelaki yang mengajak untuk adakan hubungan seksual kerana mereka beranggapan adik-adik pasti kesunyian selepas putus cinta. 


Penulis masih lagi ingat kisah seorang gadis ketika belajar dahulu apabila gambarnya yang separuh bogel tersebar di kalangan para pelajar. Menurut cerita, gambar tersebut disebarkan oleh bekas teman lelaki untuk memalukan dirinya. Gadis tersebut akhirnya berhenti belajar kerana tekanan dan malu setelah diaibkan sebegitu rupa. 


Mungkin, jikalau masa dapat diundur, si gadis tidak sesekali berkongsi gambar peribadi kepada teman lelaki walaupun sedang hangat bercinta. Tapi, masa tidak dapat diputar kembali. Itulah realiti yang perlu si gadis hadapi. 


Dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh beberapa pensyarah UKM di Asrama Bahagia Kampung Pandan pula mendapati tujuh daripada lapan remaja perempuan melakukan hubungan seksual bersama teman lelaki atas nama cinta dengan harapan cinta yang dijalin berkekalan selamanya. Lima daripada lapan remaja tersebut merasa seronok saat dicium dan dibelai oleh teman lelaki sebelum terjadinya hubungan seks kelamin. Pengalaman seronok melakukan seks itu menyebabkan mereka terus gian melakukannya. 


Ironinya, kesemua remaja perempuan dalam kajian menyatakan mereka tahu perbuatan yang dibuat itu merupakan dosa besar tetapi tidak berdaya melawan pujukan hawa nafsu yang menggunung. Secara amnya, dapatan kajian UKM itu mendapati bahawa nafsu yang tidak terkawal telah mendorong keinginan melakukan hubungan seksual tanpa batasan. Keinginan seksual yang tinggi menyebabkan mereka mengabaikan asas-asas pendidikan agama dan moral yang telah diterima. 


Menurut Sternberg dan Barnes (1988) dalam teori psikologi cinta, keberahian adalah komponen motivasi dan rangsangan dalam hubungan. Perhubungan seksual pula melibatkan keinginan romantik, tarikan berahi dan hubungan kelamin. Cinta remaja biasanya akan berakhir di peringkat pertama dan kedua iaitu berahi dan berhubungan intim. 

Menurutnya lagi, remaja tidak boleh mencapai ke peringkat ketiga iaitu mengambil tanggungjawab dalam menjaga hubungan kerana belum mampu untuk menjalankan komitmen penjagaan terhadap orang lain. Disini, kita dapat simpulkan sikap remaja yang hanya menginginkan keseronokan dan tidak matang membuatkan mereka buta dalam menilai mana yang baik dan buruk bagi diri mereka.


Persoalan cinta yang suci akhirnya ternoda dek hawa nafsu yang meluap-luap dan rasa seronok tanpa mengambil sikap bertanggungjawab. Pasangan yang hangat bercinta pasti mengaitkan cinta dengan rela berkorban segalanya untuk kekasih hatinya. 

Teman lelaki rela mengeluarkan wang poket untuk menjinakkan teman wanitanya, manakala si gadis seringkali diminta untuk menyerahkan mahkota diri paling berharga untuk membuktikan cintanya. Nafsu berahi yang membuak menjadikan pasangan bercinta alpa terhadap dosa pahala. Yang penting, keinginan seksual dilempiaskan walaupun dengan cara yang ternyata hina di sisi agama. 


Bersambung.....

Friday, March 23, 2018

Pergaulan Bebas dan Budaya ‘Couple’

Ihsan imej: Pinterest.com

      Manusia merupakan makhluk sosial. Justeru, pergaulan antara sesama manusia menjadi keperluan bagi meneruskan kelestarian hidup di dunia. Apa yang menjadi kebimbangan hari ini ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batas. Budaya berpasangan atau istilah popularnya ‘couple’ semakin menjadi lazim di kalangan remaja moden hari ini.

Boleh dilihat dimana-mana pasangan lelaki dan perempuan khususnya golongan remaja berpeleseran di pusat membeli-belah, pantai, kafeteria dan kedai-kedai makan atau pusat-pusat rekreasi dan hiburan. Mereka bercengkerama tanpa peduli kepada tanggapan masyarakat sekeliling kerana ia sudah menjadi pandangan biasa sosial hari ini.

Fenomena remaja perempuan bertandang ke rumah sewa lelaki hingga larut malam atau bermalam dalam satu rumah juga semakin menghibakan. Walaupun ada jiran tetangga menegur, tetapi tetap tiada perubahan. Malah semakin rancak pula mereka sebagai tanda protes kerana menyibuk hal ehwal mereka. Mereka seolah-olah menyampaikan mesej bahawa dunia sudah berubah, nafsu menjadi Tuhan. Biar apapun kata orang, yang penting inilah kehidupan yang diinginkan.

Bila kita bercakap tentang pergaulan bebas, sudah tentu ia berkait dengan perbuatan-perbuatan songsang yang di luar norma masyarakat. Antaranya, bercumbu, berpegangan tangan, necking, petting, hingga kepada perlakuan zina. Samaada ia melibatkan sepasang lelaki perempuan atau melibatkan seks secara berkumpulan. Ia semakin menjadi isu yang semakin membimbangkan di kebanyakkan negara amnya dan secara khusus di Malaysia.

Budaya ‘couple’ dan bertukar-tukar pasangan menjadi kebiasaan. Dalam satu temubual bersama beberapa orang gadis remaja, kecenderungan mereka berpasangan adalah untuk mengisi rasa sunyi dan keinginan bercinta. Ada juga mengatakan dengan berpasangan, mereka akan lebih termotivasi dalam pelajaran dan ia merupakan tanda kematangan diri.

Kenapa kamu ber’couple’?

‘Saya sunyi. Sudahlah jauh dari keluarga. Sekurang-kurangnya, bila saya rasa keseorangan contohnya pada hujung minggu, saya ada teman lelaki yang boleh isi masa terluang dengan berjalan-jalan.’ kata Nora (bukan nama sebenar).

‘Saya ber ‘couple’ sebab naluri ingin dicintai oleh seorang lelaki. Kebanyakkan kawan perempuan saya semua ada teman lelaki, saya pun nak merasa juga berteman. Seronok rasa ada orang ambil berat, tanya sudah makan atau belum, melayani saya dan beri saya hadiah atau kata-kata cinta.’ Ujar Siti (bukan nama sebenar).

‘Couple. Hmm… saya rasa ‘couple’ saya mendorong saya untuk lebih motivasi dalam belajar. Teman lelaki saya pandai, saya biasa sahaja. Dialah yang banyak bantu saya dalam pelajaran.’ Jelas Baizura (bukan nama sebenar).

Lain pula pada Erni, ‘Saya rasa dengan ber’couple’ maksudnya kita sedang menjadi matang. Yelah, maknanya kita sudah dewasa, sudah ada perasaan kepada lelaki yang kita suka untuk dijadikan pasangan hidup di kemudian hari.’ Jelasnya.


Yang menjadi kebimbangan penulis ialah ramai ‘couple’ terjebak dengan aktiviti-aktiviti seksual sejak di bangku persekolahan lagi. Pengalaman penulis di Rumah Perlindungan Wanita Islam di Shah Alam dan Ampang beberapa tahun dahulu menyaksikan bahawa ramai gadis telah melakukan hubungan seksual dengan ‘couple’ mereka seawal 14 tahun.

Antara penghuni termuda yang penulis kenali ialah Aina berusia 15 tahun dan sarat mengandung. Aina memiliki kecantikan rupa namun sayangnya dia gadis naif. Aina sendiri tidak terfikir bahawa hubungan seks bersama teman lelakinya, 16 tahun menghasilkan zuriat tidak sah taraf. Apabila ditanya tentang hubungan cinta bersama teman lelakinya selepas kelahiran anak tersebut, Aina dengan bersahaja meluahkan ‘taknaklah kahwin dengan dia, nanti jadi janda muda.’

Ada juga kajian yang dijalankan sekumpulan pensyarah UKM melibatkan enam orang remaja wanita hamil luar nikah di Taman Seri Puteri Cheras. Hasil kajian mendapati remaja wanita tersebut melibatkan diri dengan seks luar nikah ketika di sekolah menengah akibat desakan dan pengaruh kawan-kawan yang sering menceritakan pengalaman seks mereka.

Adik-adik, mengapa budaya ‘couple’ ini boleh membawa kepada zina?

Menurut John Gray, pakar perhubungan lelaki dan perempuan dalam salah satu bukunya yang terkenal, “Mars and Venus on a Date” menyatakan seorang lelaki dan perempuan sebelum menjalin hubungan yang serius melalui beberapa fasa. Dalam fasa temujanji pengenalan (dating), seorang lelaki dan perempuan akan melalui lima fasa iaitu saling tertarik, fasa rasa tidak yakin, fasa rasa eksklusif, fasa rasa untuk lebih intim dan akhirnya saling memerlukan sebagai pasangan hidup.

Apabila seorang lelaki mahupun perempuan saling tertarik maka mereka cenderung untuk menunjukkannya secara verbal atau bukan verbal seperti lirikan mata, senyuman menggoda dan perlakuan yang menarik perhatian jenis lawannya. Apabila seseorang wanita tertarik kepada seorang lelaki, dia lebih teruja untuk tampil cantik dan menggoda dan berusaha untuk membahagiakan si lelaki. Ini menyebabkan ramai perempuan kecewa apabila mesej lelaki di salah anggap sebagai cinta pada permulaan perkenalan. Ada juga lelaki mengambil kesempatan ke atas kelemahan perempuan ini.

Perempuan pula cenderung untuk berlebih-lebihan dalam perasaan. Hanya sepotong ayat manis yang keluar dari mulut seorang lelaki membuatkan mereka lupa diri. John Gray dalam buku tersebut menyatakan memang kebanyakan lelaki cenderung berharap untuk melakukan hubungan intim bersama teman wanitanya. Yang menjadi persoalan semasa, kenapa golongan gadis remaja begitu mudah menyerahkan mahkota diri kepada lelaki yang bukan suaminya?

Apabila ditanya, ada jawapan adik-adik gadis yang penulis perolehi mengatakan bahawa mereka takut ditinggalkan jika mengatakan tidak kepada keinginan seksual si lelaki yang menjadi ‘couple’nya.  Inilah yang menjadi kegusaran banyak pihak kepada jati diri para gadis kini!

Ramai yang mengakui bahawa hubungan seksual terjadi biasanya dengan perbuatan-perbuatan ringan terlebih dahulu seperti berciuman, berpegangan tangan, meraba sebelum akhirnya mereka tidak mampu mengawal hawa nafsu hingga melakukan hubungan kelamin secara tersembunyi di rumah semasa ketiadaan ibu bapa, rumah-rumah sewa, rumah-rumah kosong hingga hotel-hotel murah yang menyediakan perkhidmatan mengikut jam.


(Bersambung.....)


Friday, March 16, 2018

Dari kerana Mata...

Ihsan imej: Pinterest.com

Realitinya, perbuatan zina tidak berlaku dalam sekelip mata. Umpama pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin yang meniupnya. Dalam Al-Qur’an, Allah ‘Azza wa Jalla menyebutkan, “dan janganlah kamu mendekati zina!” tetapi Allah tidak berfirman, “Jangan berzina!”

Mengapa begitu? Kerana Allah ‘Azza wa Jalla hendak menutup rapat jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan zina.

Secara tersirat, terdapat ‘bunga-bunga’ yang membawa kepada terjadinya zina.

Ihsan imej: Pinterest.com
·        Dari kerana mata…

‘Saya telah terdedah dengan pornografi sejak usia saya 8 tahun. Mula-mula saya cuma mahu cari ‘game’, tetapi terkeluar perkataan seks ketika saya guna internet. Saya pun ‘explore’ tentang seks menggunakan laptop keluarga. Keinginan saya sangat kuat hendak tahu tentang seks. Masuk sekolah menengah, saya mula cuba sendiri kemudian saya rasa mahu lakukannya dengan orang lain pula.’ Luah Diana (bukan nama sebenar)

Cabaran terbesar remaja kini ialah sukar untuk menjaga pandangan mata. Apa yang dilihat akhirnya mempengaruhi hati dan memberati fikiran. Bertambah sukar pula dengan kepesatan teknologi dan media massa. Jari mudah sekali untuk menekan apapun yang mahu dilihat nafsu mata.

Gambaran wanita seksi dengan kenyataan berbaur seks menjadi hidangan samada media cetak dan media elektronik untuk menarik pembaca. Hanya iman yang mantap dan rahmat Ilahi menyelamatkan adik-adik gadis daripada menjadi punca kepada rosaknya pandangan kebanyakkan manusia bernama lelaki.

Ya, benar. Islam meletakkan penjagaan pandangan adalah kewajipan bersama lelaki dan perempuan. Namun kebiasaannya, tundukkan pandangan biasa dikaitkan dengan lelaki, tetapi kini adik-adik gadis juga terasa sukar sekali menjaga hati dan menundukkan pandangan. 

Lelaki yang gemar tidak berbaju menayang tubuh ‘sado’ dan berseluar pendek sudah menjadi pandangan biasa. Iklan-iklan memaparkan ketampanan seorang lelaki berbadan sasa menjadi igauan para gadis digunakan sebagai tarikan untuk melariskan jualan. Drama, filem, video dan seangkatan dengannya memaparkan lelaki kacak bergaya menjadikan gadis gila bayang. Hati kegadisan menjadi tidak keruan.

Alangkah terasa nikmat dunia jika dapat berpasangan dan bercinta dengan lelaki kacak, sasa dan kaya. Keinginan yang kuat muncul daripada terlalu banyak memandang berlainan jantina hingga para gadis sanggup mengabaikan perasaan malu termasuklah membuka seluruh pakaiannya untuk mengejar perhatian dan cinta si lelaki.

Drama-drama di televisyen juga kerap kali memaparkan adegan golongan wanita yang terkejar-kejar lelaki tampan, bergaya dan berada. Seringkali juga golongan wanita ini digambarkan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menjatuhkan nilai diri memberikan satu-satunya mahkota diri untuk mendapatkan lelaki idaman tersebut. Ia menggambarkan seolah-olah itulah realiti yang melanda para gadis moden kini.

Menurut hukum alam, perempuan yang tertarik kepada si lelaki akan berhias cantik tampil dengan aksi menggoda agar lelaki pujaan jatuh ke dalam pegangannya. Perilaku perempuan sedemikian sebagai juga diberikan pelbagai istilah negatif seperti perempuan gedik ataupun perempuan murahan.

Dalam Al-Qur’an, menjaga pandang seringkali dikaitkan dengan memelihara kemaluan. Bayangkan terpandangkan gambar lucah secara tidak sengaja pun kita jadi tidak keruan, apatah lagi jikalau kita menjadikannya sebagai tabiat dan hobi. 

Dari pandangan itu, kita teringat-ingat dan nafsu menjadi terangsang dan bergelora. Gagal mengawal nafsu, rosak binasalah diri kita jika akhirnya kita melempiaskan nafsu melalui jalan yang salah seperti berzina. Kerana itu, belum dapat ditemukan lagi ubat penawar bagi merawat individu yang ketagihan menonton dan membaca bahan-bahan pornografi.

Ibnul Qayyim dalam syairnya pernah mengingatkan betapa bahaya sepasang mata seperti berikut,

‘Setiap bencana berawal daripada pandangan mata,
Sebagaimana api yang besar berasal dari percikan bara,
Berapa banyak pandangan sanggup menebus relung hati,
Seperti kekuatan anak panah yang lepas dari busur tali,
Seorang hamba, selama membuka pandangannya untuk memandang selainnya,
Maka dia berada dalam bahaya.
Ia menyenangkan mata dengan sesuatu yang mambahayakan hatinya.
Maka janganlah menyambut kesenangan yang akan membawa bencana.”

Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah juga menjelaskan, “pandangan merupakan pangkal bencana yang menimpa manusia. Dari pandangan mata tersebut akan melahirkan lintasan dalam hati. Kemudian lintasan hati akan melahirkan fikiran. Fikiran akan melahirkan syahwat. Syahwat membangkitkan keinginan. Kemudian, keinginan menjadi kuat dan berubah menjadi tekad yang bulat. Maka apa yang terjadi jika lintasan dalam fikiran menjadi kenyataan, dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang menghalanginya. Oleh itu, sungguh bagus satu nasihat: kesabaran dalam menundukkan pandangan masih lebih ringan daripada kesabaran dalam menanggung beban sakit akibat tidak menjaga pandangan.”

Begitulah parahnya jika kita gagal menundukkan pandangan. Ia mempengaruhi hati menjadikannya berbolak-balik, mempengaruhi fikiran menjadikan kita teringat-ingat dan mempengaruhi syahwat menjadikan kita lupa diri, lupa dosa pahala, lupa halal dan haram.


(Bersambung.......)