Friday, March 16, 2018

Dari kerana Mata...

Ihsan imej: Pinterest.com

Realitinya, perbuatan zina tidak berlaku dalam sekelip mata. Umpama pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin yang meniupnya. Dalam Al-Qur’an, Allah ‘Azza wa Jalla menyebutkan, “dan janganlah kamu mendekati zina!” tetapi Allah tidak berfirman, “Jangan berzina!”

Mengapa begitu? Kerana Allah ‘Azza wa Jalla hendak menutup rapat jalan-jalan yang membawa kepada perbuatan zina.

Secara tersirat, terdapat ‘bunga-bunga’ yang membawa kepada terjadinya zina.

Ihsan imej: Pinterest.com
·        Dari kerana mata…

‘Saya telah terdedah dengan pornografi sejak usia saya 8 tahun. Mula-mula saya cuma mahu cari ‘game’, tetapi terkeluar perkataan seks ketika saya guna internet. Saya pun ‘explore’ tentang seks menggunakan laptop keluarga. Keinginan saya sangat kuat hendak tahu tentang seks. Masuk sekolah menengah, saya mula cuba sendiri kemudian saya rasa mahu lakukannya dengan orang lain pula.’ Luah Diana (bukan nama sebenar)

Cabaran terbesar remaja kini ialah sukar untuk menjaga pandangan mata. Apa yang dilihat akhirnya mempengaruhi hati dan memberati fikiran. Bertambah sukar pula dengan kepesatan teknologi dan media massa. Jari mudah sekali untuk menekan apapun yang mahu dilihat nafsu mata.

Gambaran wanita seksi dengan kenyataan berbaur seks menjadi hidangan samada media cetak dan media elektronik untuk menarik pembaca. Hanya iman yang mantap dan rahmat Ilahi menyelamatkan adik-adik gadis daripada menjadi punca kepada rosaknya pandangan kebanyakkan manusia bernama lelaki.

Ya, benar. Islam meletakkan penjagaan pandangan adalah kewajipan bersama lelaki dan perempuan. Namun kebiasaannya, tundukkan pandangan biasa dikaitkan dengan lelaki, tetapi kini adik-adik gadis juga terasa sukar sekali menjaga hati dan menundukkan pandangan. 

Lelaki yang gemar tidak berbaju menayang tubuh ‘sado’ dan berseluar pendek sudah menjadi pandangan biasa. Iklan-iklan memaparkan ketampanan seorang lelaki berbadan sasa menjadi igauan para gadis digunakan sebagai tarikan untuk melariskan jualan. Drama, filem, video dan seangkatan dengannya memaparkan lelaki kacak bergaya menjadikan gadis gila bayang. Hati kegadisan menjadi tidak keruan.

Alangkah terasa nikmat dunia jika dapat berpasangan dan bercinta dengan lelaki kacak, sasa dan kaya. Keinginan yang kuat muncul daripada terlalu banyak memandang berlainan jantina hingga para gadis sanggup mengabaikan perasaan malu termasuklah membuka seluruh pakaiannya untuk mengejar perhatian dan cinta si lelaki.

Drama-drama di televisyen juga kerap kali memaparkan adegan golongan wanita yang terkejar-kejar lelaki tampan, bergaya dan berada. Seringkali juga golongan wanita ini digambarkan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menjatuhkan nilai diri memberikan satu-satunya mahkota diri untuk mendapatkan lelaki idaman tersebut. Ia menggambarkan seolah-olah itulah realiti yang melanda para gadis moden kini.

Menurut hukum alam, perempuan yang tertarik kepada si lelaki akan berhias cantik tampil dengan aksi menggoda agar lelaki pujaan jatuh ke dalam pegangannya. Perilaku perempuan sedemikian sebagai juga diberikan pelbagai istilah negatif seperti perempuan gedik ataupun perempuan murahan.

Dalam Al-Qur’an, menjaga pandang seringkali dikaitkan dengan memelihara kemaluan. Bayangkan terpandangkan gambar lucah secara tidak sengaja pun kita jadi tidak keruan, apatah lagi jikalau kita menjadikannya sebagai tabiat dan hobi. 

Dari pandangan itu, kita teringat-ingat dan nafsu menjadi terangsang dan bergelora. Gagal mengawal nafsu, rosak binasalah diri kita jika akhirnya kita melempiaskan nafsu melalui jalan yang salah seperti berzina. Kerana itu, belum dapat ditemukan lagi ubat penawar bagi merawat individu yang ketagihan menonton dan membaca bahan-bahan pornografi.

Ibnul Qayyim dalam syairnya pernah mengingatkan betapa bahaya sepasang mata seperti berikut,

‘Setiap bencana berawal daripada pandangan mata,
Sebagaimana api yang besar berasal dari percikan bara,
Berapa banyak pandangan sanggup menebus relung hati,
Seperti kekuatan anak panah yang lepas dari busur tali,
Seorang hamba, selama membuka pandangannya untuk memandang selainnya,
Maka dia berada dalam bahaya.
Ia menyenangkan mata dengan sesuatu yang mambahayakan hatinya.
Maka janganlah menyambut kesenangan yang akan membawa bencana.”

Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah juga menjelaskan, “pandangan merupakan pangkal bencana yang menimpa manusia. Dari pandangan mata tersebut akan melahirkan lintasan dalam hati. Kemudian lintasan hati akan melahirkan fikiran. Fikiran akan melahirkan syahwat. Syahwat membangkitkan keinginan. Kemudian, keinginan menjadi kuat dan berubah menjadi tekad yang bulat. Maka apa yang terjadi jika lintasan dalam fikiran menjadi kenyataan, dan itu pasti akan terjadi selama tidak ada yang menghalanginya. Oleh itu, sungguh bagus satu nasihat: kesabaran dalam menundukkan pandangan masih lebih ringan daripada kesabaran dalam menanggung beban sakit akibat tidak menjaga pandangan.”

Begitulah parahnya jika kita gagal menundukkan pandangan. Ia mempengaruhi hati menjadikannya berbolak-balik, mempengaruhi fikiran menjadikan kita teringat-ingat dan mempengaruhi syahwat menjadikan kita lupa diri, lupa dosa pahala, lupa halal dan haram.


(Bersambung.......)

0 comments: