Friday, April 13, 2012

MEMBINA KEMBALI KEKUATAN GENERASI ‘Y’ ISLAM*



Penulisan kali ini bukan bersifat nostalgia. Tetapi mengenang sejarah silam keperkasaan generasi muda Islam itu sesungguhnya memberikan kita gambaran positif tentang pemuda-pemudi yang mampu menggegar cakerawala demi perjuangan menegakkan Kalamullah di muka dunia. Tokoh-tokoh pemuda-pemudi Islam silam yang tersohor seperti Baginda Rasullullah S.A.W, Saidina ‘Ali R.A, Usamah bin Zaid R.A, Salahudin Al-Ayyubi, Ashabul Kahfi, Sultan Muhamad Al-Fateh, Saidatina ‘Aishah R.A, Fatimah puteri Rasulullah, Asma’ Abu Bakar dan ramai lagi adalah antara nama yang tidak asing lagi bagi umat Islam seluruh dunia. Ruh sejarah yang ditinggalkan benar-benar meninggalkan kesan dalam nurani.



Dewasa ini, kita dapat menyaksikan implikasi yang melanda generasi muda Islam akibat daripada pelbagai anasir jahat yang menyerang setiap penjuru kehidupan anak muda Islam. Satu-persatu anak muda kita tewas dengan pelbagai tipu-daya yang mengelabungi mata yang dipacu oleh dunia Barat. Budaya hedonism yang bertuhankan keseronokan duniawi semata-mata menjadi falsafah dan pegangan anak muda dengan bangga. Ini kelihatan di mana-mana. Golongan muda atau generasi Y lebih suka menghabiskan masa dengan berhibur tanpa mengira batas waktu dan tempat.



Hari ini istilah generasi Y merujuk kepada golongan muda yang lahir antara tahun 1986 hingga 2001. Generasi internet juga adalah antara nama jolokan lain bagi generasi Y. Kehidupan mereka lebih mencabar dengan tercetusnya teknologi internet yang membuka seluas-luasnya pintu maklumat tanpa sempadan. Mereka terdedah kepada keluarga yang berantakan, cerai-berai, disajikan dengan hiburan melampau dan gejala lain yang negatif.


Kedudukan Generasi Muda Dalam Islam


Sesungguhnya golongan muda diiktiraf dalam Islam. Ini dijustifikasi oleh ayat 54 dari Surah Ar-Rum yang bermaksud,“Allah yang menciptakan kamu bermula dari keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu, ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang di kehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” Kalamullah tersebut memberitahu kita tentang istimewanya golongan muda.


Islam turut menggambarkan golongan muda sebagai generasi yang mempunyai ketinggian idealism kesedaran kepada realiti, kekuatan intelektualisme, spiritualisme dan aktivisme. Rasulullah S.A.W sendiri mengiktiraf golongan muda seperti yang dikisahkan melalui perlantikan Usamah bin Zaid r.a sebagai ketua panglima angkatan perang semasa zaman Baginda Rasulullah masih hidup. Walaupun ada segelintir para sahabat mempertikaikan perlantikan Usamah kerana faktor umurnya yang ketika itu berusia 18 tahun, tetapi Rasulullah S.A.W tetap dengan kepercayaan kepada kebolehannya. Ini jelas menunjukkan betapa Islam sangat mengiktiraf golongan muda.



Teras Kepada Pembinaan Generasi Muda Islam


Generasi muda yang ingin dicorakkan dalam Islam bolehlah kita simpulkan kepada empat teras utama iaitu idealism dan realisme, intelektualisme, aktivisme dan spiritualisme. Keempat-empat teras ini perlu untuk menjadi satu kombinasi yang hebat yang akan membentuk seorang pemuda/i Islam yang hebat. InsyaAllah.



Pertamanya idealism iaitu merujuk kepada ketinggian pemikiran disamping memahami realiti. Kedua-dua ini perlu bergandingan supaya ketinggian idea disusuli juga dengan tindakan serta strategi yang bijaksana. Inilah yang menjadi salah-satu cabang dalam Islam sebagai agama yang menganjurkan perubahan (hijrah) dengan keberkesanan usaha dan perancangan.



Menurut Prof. Dato’ Sidek Baba dalam makalahnya yang bertajuk, ‘Membina Idealisme, Memahami Realiti’, idealism itu dituntut dalam Islam dimana dalam konteks yang luas, idea-idea yang lahir adalah pedoman dari wahyu Allah dalam Al-Furqan. Menurut beliau lagi, idealism itu perlu berpijak ke bumi nyata dan disebabkan itu perlu menjadi realis. Ini kerana gandingan kedua-dua ini mencetuskan kebijaksanaan akal.



Kedua ialah intelektualisme yang bermaksud kekuatan ilmu. Definisi ilmu oleh Fakhrudin Al-Razi yang diperbaharui semula oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas menyatakan seperti berikut, ‘merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang. Apabila ia merujuk kepada diri sebagai pentafsir, ilmu adalah ketibaan diri seseorang kepada makna tentang sesuatu.’ (Dipetik di blog rasmi Khairul Anwar Shazali, mantan YDP PERKEPIS 2009/2011).



Peri-penting kekuatan ilmu tidak dinafikan lagi. Jika barat terkenal dengan ungkapan, ‘knowledge is power’, dalam Islam pula mengungkapkan ‘knowledge is virtue’. Justeru itu, ilmu yang bermanfaat adalah yang menjadikan seseorang itu sentiasa melakukan kebaikan untuk diri dan alam raya. Kita perlu kembalikan ‘hikmah pengetahuan’ Islam yang hilang dengan mempersiapkan generasi muda dengan ilmu-ilmu sains dan sosial berpaksikan kalimah Tawhid-La Ilaha Illallah-.



Ketiga ialah aktivisme atau kesungguhan usaha. Kebangkitan generasi muda Islam kepada kepangkuan syariat Islam sebenar hanya akan menjadi satu lafaz retorik jika tidak disusuli dengan tindakan dan usaha yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Generasi muda digesa untuk keluar dari kepompong selesa kepada jiwa kesukarelawan supaya ‘yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul.’ Budaya mengambil peduli kepada keadaan masyarakat sekeliling akan membantu mengurangkan gejala-gejala negatif yang sinonim dengan orang muda.



Teras terakhir dan terpenting adalah spiritualisme atau kekuatan rohani. Kita sering mengaitkan faktor terjebaknya kebanyakkan golongan muda ke barah sosial adalah kerana kelemahan rohani. Justeru itu, kekuatan rohani menjadi teras terpenting dalam membina semula generasi muda kini. Ini sepertimana dinukil oleh Prof. Syed Naquib al-Attas seperti berikut, ‘ilmu-ilmu keagamaan haruslah dijadikan dasar hidup sebab dialah yang menilai kehidupan. Menurutnya lagi, Islam memandang manusia yang baik itu sebagai manusia yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya Yang Hak; manusia yang memahami serta menyelenggarakan penunaian keadilan dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; manusia yang serba-serbi tingkah-lakunya sentiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi.’( dipetik dalam Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001).


Ilmu pendidikan Islam perlu diperkasa supaya pendidikan Islam yang ada di institusi-institusi pendidikan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Pendidik sebagai aktor utama dalam dunia pendidikan perlu memahami Islam dengan baik dan mengislamisasikan semua ilmu yang diajar dari dari kaca mata Islam. Nilai-nilai Islam dan murni yang diasingkan dalam subjek-subjek di institusi pendidikan hanya akan menyukarkan lagi usaha untuk membina kembali generasi Y yang serba-serbi canggih dengan jati diri sebagai penganut Islam.


Sebagai kesimpulan, kita semua seharusnya sedar kejayaan budaya Barat mengakar ke segenap aspek kehidupan majoriti masyarakat terutama generasi Y kini disebabkan oleh keruntuhan kaum Muslimin sendiri. Generasi Y kini sedang berhadapan dengan cabaran dahsyat yang menyebabkannya senang sekali tewas. Nauzubillah. Justeru itu, generasi muda Islam perlu dibina semula kekuatannya berteraskan ketinggian idealism dan memahami realiti, kekuatan intelektual, kesungguhan usaha dan kekuatan rohani sebagai perisai untuk menepis segala anasir jahat yang cuba melonggarkan pegangan dan melemahkan jati diri sebagai umat Islam. Ini memerlukan keterlibatan dan kesungguhan dari semua pihak. Kita percaya dengan firman Allah Ta’ala yang bermaksud, “Sesungguhnya telah kami jadikan insan dalam acuan yang terbaik.” (surah At-Tin: Ayat 4). Wallahu’alam.



*Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson.
(Juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-Abim)