Monday, October 29, 2018

Aplikasi ‘smartphone’ membangkit syahwat....



Dalam sebuah Konvensyen Keluarga Sakinah Peringkat Negeri Selangor pada 2010, Dr. Azhar Yaakob, Pensyarah Kanan UTM, Kuala Lumpur berkongsi kertas kerjanya berjudul, ‘Zina: Tragedi Sedih Umat Kini’. Dalam pembentangan kertas kerja tersebut, beliau menyatakan ‘handphone’ menjadi punca utama menularnya budaya zina di kalangan generasi muda Islam yang menggugat kemakmuran sebuah institusi kekeluargaan Islam.

Memasuki era digital dipacu dengan kepesatan penciptaan alat-alat teknologi yang sofistikated menjadi gaya hidup moden kini. Sekurang-kurangnya, setiap remaja memiliki sebuah telefon pintar dengan pelbagai aplikasi agar tidak ketinggalan dalam arus perdana. Namun, yang menggusarkan banyak pihak ialah penyalahgunaan telefon pintar bagi tujuan jenayah dan aktiviti tidak bermoral.

Dalam sebuah laporan berita BERNAMA bertarikh 28 Oktober 2015, sebanyak 16.8 juta daripada 20.1 juta pengguna internet aktif dalam media sosial. Antara rangkaian laman sosial yang banyak dimiliki remaja ialah WeChat, Facebook, Friendster dan MySpace. Dengan hanya sebuah telefon pintar, kesemua rangkaian sosial boleh dilayari dengan mudah dan tanpa pengawalan oleh sesiapapun khususnya ibubapa.


Pengerusi Badan Bertindak Kesedaran Penderaan Seksual Kanak-kanak (MCPSA), Sabri Rahman menyatakan pemberian gajet sebagai hadiah kepada anak-anak untuk menggantikan kesibukan ibu bapa menjadi racun yang mendorong berlakunya pelbagai masalah sosial di kalangan remaja bawah umur termasuk kes rogol. Bahkan, jika diteliti kebanyakan salah laku seksual termasuk seks bebas dan seks di luar nikah bermula dengan penggunaan gajet ini secara tidak beretika.


Rasa ingin tahu yang tinggi dalam kalangan anak remaja termasuk para gadis hari ini mendorong mereka menggunakan gajet untuk melayari internet tanpa batas apatah lagi tiada sesiapa yang memantau. Mereka cenderung menghabiskan masa untuk aktiviti tidak berfaedah dan bermoral seperti berkenalan dengan teman baru dikenali dari laman sosial dan melayari web lucah.


Ketagihan terhadap laman web pornografi dan berbaur seks mencetuskan kerosakan maruah dan nilai keperibadian tidak kira remaja lelaki mahupun remaja perempuan. Kewujudan laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja memberi kesan negatif terhadap perubahan nilai dan gaya hidup mereka. Larangan agama terhadap perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat golongan remaja ini termasuklah adik-adik gadis daripada menghindari perbuatan tercela.


Bermula dengan menonton foto atau video lucah melalui telefon mencetuskan rasa untuk melakukannya. Kebiasaannya, si lelaki memulakan langkah memujuk si gadis agar menyerahkan mahkota diri. Maka bermulalah aktiviti perbualan, bertukar mesej dengan nada berbaur seks, berkongsi foto dan video ghairah. Malangnya, si gadis menuruti sahaja akibat takut ditinggalkan oleh teman lelaki atau takut mengecewakan kekasih hati. Aktiviti ‘phone sex’ ini akhirnya menyebabkan jiwa gelisah kerana desakan nafsu syahwat yang mendesak. Akhirnya, terjadilah hubungan seks di luar pernikahan bermula dengan perbualan, mesej-mesej, foto-foto lucah yang dikongsi bersama sebelum itu.


Dalam kajian UKM di Asrama Bahagia Kampung Pandan mendapati seorang remaja perempuan mengakui mereka melakukan hubungan seksual sambil menonton video lucah bersama teman lelakinya. Pengkaji juga mendapati kebanyakan mereka yang aktif dalam hubungan seksual mempelajari cara melakukan seks daripada video lucah. Kajian Siti Salwani (2009) mendapati bahawa salah laku seksual yang dilakukan oleh 105 responden daripada 124 responden adalah disebabkan terpengaruh dengan pornografi (Khadijah Alavi dll. 2012). Dalam kajian LPPKN: Kesihatan Reproduktif dan Seksual Remaja (2012), perempuan yang menonton dan membaca bahan lucah adalah sebanyak 14.9%, manakala lelaki sebanyak 60.6 % dan 41.6% ialah berbangsa Melayu Islam. Kajian telah melibatkan seramai 22, 810 pelatih PLKN daripada 83 kem seluruh Malaysia.


Baru-baru ini Halaman Facebook Warga Prihatin mendedahkan trend memiliki akaun ‘IG Pornstar’ dalam kalangan remaja perempuan yang merupakan bahana baru yang muncul daripada kegagalan menggunakan aplikasi telefon pintar secara bijaksana. Dengan adanya perkhidmatan jalur lebar, maka makin mudahlah remaja untuk mengakses internet dan melayari laman web negatif dengan hanya menggunakan telefon pintar! Akhirnya, telefon pintar yang sepatutnya memberikan manfaat disalah guna, membangkit syahwat hingga mengundang petaka zina.


Penulis berkesempatan mendekati seorang gadis remaja yang aktif seks rambang. Kehidupannya yang penuh ranjau di pekan besar dengan keluarga yang berantakan menyebabkan beliau ketandusan kasih-sayang dan terjebak dalam pergaulan bebas.


‘Saya melakukan seks rambang dengan kenalan di WeChat. Tidak terkira berapa ramai lelaki dan berapa kali saya buat seks. WeChat ini bahaya sangat puan. Setiap kali saya ‘update’ status saya di WeChat atau Instagram ramai kenalan lelaki saya ajak bertemu dan buat seks. Selalunya mereka akan tanya saya sudah pernah buat ke sebab saya memang agak ‘sosial’?Jujur saya cakap pernah terlanjur. Apa lagi, lelaki-lelaki ini mulalah pujuk saya, supaya mereka dapat jamah juga tubuh saya. Kekadang, saya yang cari sebab macam sudah ketagihan.’ Jelas Diana (bukan nama sebenar) sambil menunduk.