Wednesday, August 24, 2011

TERTIPU DEK CINTA


“Kenapa kamu tidak hadir ke kelas untuk beberapa minggu?” tanyaku kepada seorang pelajar perempuanku.
“Kamu tahu, kamu tidak hadir selama 9 jam iaitu waktu maksimum dan ini bermakna kamu tidak dibenarkan untuk menduduki peperiksaan akhir semester.” Tambahku lagi.
Pelajar itu tetap tenang mendengar satu demi satu kalimat yang keluar dari mulutku.
“Dan, kenapa kamu tidak berjumpa dengan cikgu walau sudah beberapa kali di minta berbuat demikian?” tanyaku sedikit tegas.
“Saya takut nak berjumpa cikgu.” Jawabnya ringkas.
“Cikgu bukan makan orang sampai kamu nak takut.” Balasku berseloroh.
“Okay, terus kepada sebab kamu gagal hadir ke kelas selama 4 minggu. Kamu ada masalah yang mahu dikongsi?”
“Hmmm…saya tak dating sebab saya ada masalah peribadi dan kesihatan cikgu.”
“Masalah peribadi dan kesihatan? Jelaskan dengan lebih lagi supaya cikgu faham.” Tanyaku lagi sebagai provokasi.
“ Biasalah cikgu, masalah remaja.” Jawabnya ringkas.
“ Masalah remaja? Kawan-kawan sekelas kamu yang lain juga remaja, tapi tetap hadir ke kelas. Apa sebenarnya masalah remaja kamu itu? Cinta?” tanyaku lagi tidak puas hati dengan jawapan ringkasnya itu.
“Ya cikgu. Sebenarnya saya ada couple dengan seorang senior sem 5, tapi baru-baru ini saya dapat tahu dia dah ada makwe. Saya rasa tertipu dan kecewa. Semua orang dan ada pensyarah yang tahu saya couple dengan dia. Bila dapat tahu ditipu, saya rasa rendah diri. Orang mula pandang saya sinis. Saya malu dan berkurung dalam bilik melayan perasaan. Sebab itu saya tak dating kelas. Saya tidak mahu terserempak dengan dia di sini.” Katanya panjang lebar.
“hmm, kamu rasa betul ke tindakan kamu itu? Kamu tak rasa rugi merosakkan prestasi akademik kamu hanya kerana cinta palsu seorang lelaki tersebut? Kamu tak rasa sia-sia sedang kami bersedih, mengurung diri, lelaki itu tetap menjalani kehidupannya dengan gembira?”
“Saya tahu tindakan saya itu tidak betul, tetapi saya dah okay sekarang cikgu.” Jawabnya.
“Saya akan lebih fokus dalam akademik saya selepas ini.” Tambahnya lagi.
“Bagus! Cikgu tidak dapat nafikan zaman remaja merupakan zaman yang kamu mencari cinta untuk melengkapkan self-esteem dan cinta itu sendiri sifatnya universal. Ia hadir tanpa dipinta. Ia merupakan kurniaan dan nikmat Tuhan yang terindah untuk hambaNya. Tetapi, tidak semua orang tahu mengendalikan cinta. Maka cinta yang sepatutnya indah tercemar dan menyebabkan kelalaian dan kesengsaraan. Justeru, dalam konteks begini, cinta itu tidak dibenarkan. Jadi nasihat cikgu, buat masa sekarang, usahlah difikirkan tentang cinta. Kamu masih belasan tahun dan banyak lagi impian yang harus kejar. Cikgu tidak mahu kamu hanyut dalam dunia sendiri tanpa panduan orang dewasa yang makan garam lebih kamu. Cikgu tidak mahu kamu terus-terusan hidup dalam bayangan silam dan membuang masa melayani perasaan kecewa sedangkan setiap detik harus dilalui dengan tenang dan gembira untuk mencapai impian dan kejayaan.” Nasihatku padanya panjang lebar.
“Baik cikgu, saya akan cuba.” Jawabnya.
“Cikgu akan pantau kamu dari semasa ke semasa. Cikgu tak nak kamu duduk sini bertahun hanya untuk ulang semula semester. Cukuplah sekali. Mulai sekarang, tolong fokus dan komited dengan pelajaran kamu. Ingat kamu menggalas cita-cita dan impian emak ayah kamu. Sampai bila kamu mahu terus menipu ibu bapa kamu?”
“Baik cikgu. Saya usahakan.” Jawabnya perlahan tanda penyesalan.
Pertemuanku dengan pelajar terbabit berakhir. Kami bersalaman dan berpeluk sebelum masing-masing menuju ke destinasi masing-masing.
Nota Mimosa:
C.I.N.T.A OH C.I.N.T.A??????