Thursday, January 19, 2012

PENDEKATAN USRAH SEBAGAI WASILAH PEMBANGUNAN DIRI REMAJA DAN PELAJAR LEMAH



Bila berbicara tentang masalah kebejatan sosial, tergambar di kepala kita golongan remaja. Siapakah remaja? Remaja merupakan golongan yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 20 tahun. Zaman remaja adalah suatu proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. (Jas Laille Suzana Jaafar, 2006, Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, DBP).

Persoalan tentang ‘siapakah aku?’ sering bermain-main di kalangan golongan ini dalam usaha mencari identiti diri. Justeru, tempoh ini sangat kritikal kerana remaja mula membentuk identiti diri samada positif atau negatif.

Peranan persekitaran dan sosial amat berkait dalam pembentukan identiti seseorang remaja. Golongan pertama; remaja yang sejak dari mulanya terdedah kepada persekitaran positif seperti membesar dalam keluarga yang harmoni, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bermanfaat dan kepimpinan akan melahirkan remaja yang mempunyai nilai kendiri yang positif.

Begitulah sebaliknya bagi golongan remaja kedua; iaitu bagi remaja yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan, dan mencari ketenangan dengan aktiviti negatif seperti merokok, menghisap dadah, menghidu gam, melepak, berhibur melampau (hedonism) akan membentuk golongan remaja yang mempunyai konsep kendiri yang rendah.

Justeru, golongan remaja kedua ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak terjerat dalam dunia sendiri tanpa panduan dan akhirnya mensia-siakan zaman penting untuk meneroka dan mencipta kejayaan manis dalam episod hidup berikutnya.

Oleh kerana mereka menghabiskan masa di institusi pendidikan samada sekolah menengah mahupun IPT, maka golongan pendidik memainkan peranan penting bagi mengenal pasti remaja bermasalah supaya bimbingan dapat diberikan. Bimbingan dalam bentuk usrah dirasakan penulis sebagai paling berkesan berbanding menerusi proses ceramah.


Usrah dari segi bahasa beerti keluarga. Ia juga mempunyai maksud yang lebih mencapah dan meluas iaitu sekumpulan individu yang tiada pertalian darah tetapi mempunyai keakraban hubungan seperti keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan. (Siri Usrah, 2007, Kolej Universiti Islam Selangor).

Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi supaya keterikatan hati dapat diwujudkan oleh pendidik yang bertindak juga sebagai pentarbiyah atau naqib/ naqibah. Rukun usrah itu terdiri daripada proses ta’aruf, tafahhum dan takaful. Pendidik menjadi Naqib/ naqibah bagi memastikan remaja-remaja ini mempunyai tempat rujukan dan berkongsi rasa hati serta masalah. Usrah bukan sahaja menjadi tempat berdiskusi ilmu tetapi juga sebagai halaqah tarbiyyah iaitu mengetahui sesuatu dan menterjemahkannya dalam amalan kehidupan sehari-hari.

Dalam pendidikan contohnya, golongan pelajar yang lemah ini perlu dibantu bukan disisihkan. Guru dan pendidik berperanan dalam membantu pelajar ini membina konsep diri positif supaya nasib mereka tidak berakhir sebagai golongan pelajar tercicir dan tiada masa hadapan.

Pendidik perlu mengetahui perkara-perkara asas mengenai pelajarnya (ta’aruf), memahami pelajarnya (tafahhum) seperti pendekatan sesuai untuk mengajar dan mendidik mereka mengikut laras pemikiran mereka. Seterusnya saling menolong mereka (takaful) supaya mereka dapat merangka perjalanan hidup dengan jayanya dengan keyakinan diri yang tinggi. Ini penting supaya pelajar-pelajar ini mendapat tunjuk ajar yang baik sebelum mengemudi kehidupan secara sendiri selepas tamat pendidikan formal.

Malah dengan pendekatan usrah, ikatan (rabitah) hati yang terbina di kalangan ahli usrah (pendidik dan pelajar) akan berterusan sampai ke alam abadi. Pelajar bermasalah ini dapat merasakan nikmat kekeluargaan yang tidak pernah dikecapi dan sekurang-kurangnya mereka terselamat dari melakukan perkara-perkara yang menjerumuskan diri mereka ke dalam kancah negatif seperti kehancuran moral dan kebejatan sosial.

Penulis misalnya menggunakan teknik usrah ini dalam mengendalikan kelas. Para pelajar yang lemah dikenal pasti dan dibantu supaya mereka boleh mencapai satu tahap yang memberangsangkan yang akan mempengaruhi konsep dan kepercayaan terhadap kebolehan diri. Para pelajar tidak ditekan untuk menggapai kejayaan dalam konteks akademik semata-mata tetapi turut sama menekankan pembangunan kemahiran, sahsiah diri dan budi. Alhamdulillah, pelajar-pelajar lemah ini sedikit demi sedikit telah melakukan anjakan supaya dapat menempuh episod hidup dengan keyakinan untuk berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Saturday, January 14, 2012

Kepelbagaian Parti Politik di Malaysia: Pemecah atau Pemersatu Rakyat?


Sebuah kajian telah dijalankan oleh Pusat Merdeka (Merdeka Center) mengenai nilai-nilai Politik rakyat Malaysia bermula Januari hingga April 2010. Kajian tersebut memberi fokus kepada perpaduan negara. Daripada sepuluh pendapat yang tertinggi, 13 peratus daripada 3141 atau 408.3 responden berpendapat ketidakstabilan politik iaitu pertelingkahan antara ahli politik dan parti-parti politik yang menyebabkan perpecahan antara rakyat dalam sesebuah negara.

Oleh kerana Malaysia dianggap dunia sebagai unik kerana berjaya hidup bersama dalam kepelbagaian budaya, agama dan bangsa lebih dari 50 tahun selepas mencapai kemerdekaan, tetapi ia bukanlah satu tugas yang mudah. Beberapa insiden berdarah melibatkan pertelingkahan antara kaum pernah mewarnai sejarah Negara kita. Semua masyarakat tanpa mengenal perbezaan perlu mengambil iktibar dan perhatian daripada kejadian-kejadian sebegini supaya peristiwa pergolakan kaum tidak berulang lagi.

Paling traumatik adalah peristiwa 13 Mei 1969. Rentetan dari kejadian itu, Kerajaan telah melaksanakan usaha-usaha intensif demi pengukuhan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertanggungjawab memperkenalkan Rukun Negara dan Jabatan Perpaduan. Mageran ini telah dibubarkan pada tahun 1971 dan ditubuhkan pula Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tahun yang sama. Kini, MKN bertanggungjawab memastikan keselamatan Negara dari pelbagai ancaman luar pada masa kini dan mendatang seperti ancaman hak asasi manusia, pemanasan global, ancaman ekonomi dan jenayah rentas sempadan. Usaha ini dibuat sebagai salah-satu usaha memperkemas wawasan wewujudkan Negara bangsa Malaysia.



Selain itu, pucuk pemerintahan Kerajaan Perikatan di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua negara selepas insiden 13 Mei telah memperkasa kerjasama politik antara kepelbagaian kaum yang ada dengan menubuhkan Barisan Nasional (BN). Antara parti komponennya adalah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Malaysian Chinese Association (MCA), Malayan Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Progresif Rakyat (PPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Pesaka Bumiputera dan United Sabah National Organization (USNO). BN merupakan inisiatif YAB Tun Abdul Razak bagi mengurangkan permainan politik dan politik perkauman agar segala usaha dan tenaga digembeling ke arah perpaduan dan pembangunan nasional. (Fadilah Zaini & Kassim Tukiman, 2009: 136). Kerjasama ini merupakan langkah bijak kepimpinan dahulu untuk meperkukuhkan perpaduan Negara-bangsa.

Dalam masa yang sama, kita tidak menafikan kewujudan parti-parti pembangkang sebagai penting dalam sesebuah negara berdemokrasi. Kini, Pakatan Rakyat (PR) secara rasmi telah ditubuhkan pada 1 April 2008 yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Rakyat (DAP) bagi memainkan peranan menyemak dan menyeimbang (check and balance) kepada Kerajaan sedia ada. Peranan lain adalah untuk menjadi parti alternatif kepada rakyat untuk menyatakan kehendak mereka jika kerajaan sedia ada tidak dapat memenuhi suara hati rakyat terutama dalam aspek kebajikan.

Kepelbagaian parti politik dengan masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan tersendiri sering mengundang pertelingkahan sehingga menggugat keharmonian dan perpaduan antara rakyat. Sikap terlalu taksub kepada satu-satu parti politik menyebabkan politik Malaysia sering diwarnai dengan insiden-insiden tidak matang. Politik lucah, politik tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah, sabotaj dan pelbagai lagi acap kali menghiasi dada-dada media massa dan elektronik. Rakyat di hujani dengan politik perkauman melampau yang lama-kelamaan menghancur-leburkan solidariti bangsa Malaysia.

Kepelbagaian ini dapat disatukan jika semua menjunjung tassawur politik berkonsepkan demokrasi yang telah dipersetujui. Malah yang terpenting sekali adalah kefahaman setiap pemimpin parti politik dan penyokongnya kepada kedaulatan Perlembagaan yang merupakan panduan hidup bernegara. Dasawarsa ini, kerap kedengaran sesetengah pemimpin parti politik begitu lantang mempersoalkan peruntukan-peruntukan khas dalam Perlembagaan terutama yang melibatkan agama Islam, bahasa kebangsaan dan peruntukan khas orang Melayu masing-masing tercatat dalam Artikel 3, 152 dan 153.

Penyokong sesebuah parti disogok untuk membenci secara keterlaluan perbezaan ideologi politik sehingga pernah berlaku perkahwinan terhalang, perkahwinan bercerai-berai hanya disebabkan perbezaan parti politik. Apatah lagi bila kita berbicara tentang masyarakat. Boleh jadi masyarakat berpecah-belah kerana sikap ultra-taksub kepartian yang pada diri setiap individu. Kata-kata kesat keterlaluan dihambur bagi menyatakan kebencian kepada pemimpin dan penyokong parti-parti lain sehingga menggadai nilai sopan dan santun masyarakat timur.

Semua individu bergelar rakyat Malaysia wajib menjaga dan mengekalkan perpaduan yang dikecapi. Kita tidak boleh meletakkan beban menjaga perpaduan ini di atas bahu sesuatu pihak sahaja. Semua individu berkepentingan dalam memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga dan mengekalkan perpaduan nasional. Ia juga tidak bersifat musim-musiman iaitu hanya mempromosikan perpaduan bilamana ada perayaan dan keraian. Perpaduan adalah tanggungjawab bersama warganegara Malaysia.

Kemerdekaan adalah suatu nikmat setelah 446 tahun dijajah oleh beberapa kuasa kolonial dunia. Namun nikmat yang teragung adalah mengekalkan ketahanan, keharmonian dan perpaduan nasional. Justeru, nilai toleransi, kerjasama, hormat-menghormati dan sayang-menyayangi penting dalam memudahkan proses menjayakan penubuhan Negara-bangsa Malaysia. Perbezaan idelogi politik kepartian tidak harus menjadi racun yang membunuh solidariti rakyat yang telahpun wujud.

Nota Mimosa:



Sayangi negara, perpaduan dijaga, negara-bangsa dicipta...

Monday, January 2, 2012

JEJAK BELIA METROPOLITAN DAN KEMPEN INDAHNYA ISLAM: SECEBIS PERKONGSIAN

Menjelang tahun baru 2012, penulis telah berkesempatan menyertai Jejak Belia Metropolitan dan Kempen Indahnya Islam di Masjid Jamek, di tengah ibu kota Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dibuat saban tahun sebagai dakwah di medan lapangan. Program tersebut turut disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaya (GAMIS).
Pelbagai aktiviti seperti nasyid, bacaan selawat, sembang santai golongan muda, Qiyammulail, pameran, jualan buku dan sebagainya mengindahkan lagi program alternatif bagi belia menyambut tahun baru di kawasan Masjid Jamek. Penulis juga sempat membeli sebuah buku ‘AWAS! Ancaman Orientalis Terhadap Kita’ oleh Mohd Fikri Che Hussain yang kian melakar nama sebagai penulis dan pendakwah di salah sebuah gerai buku di sana.
Paling menarik dan mencabar adalah ketika melakukan ‘outreach’ di kawasan Dataran Merdeka. Pelbagai lapisan masyarakat membanjiri kawasan sekitar. Penulis sempat berborak dengan beberapa pengunjung, bertaaruf dan cuba tafahum tujuan mereka datang ke Dataran tersebut. Rata-rata pengunjung datang hanya untuk menyaksikan persembahan bunga api yang menyesakkan telinga dan hidung dengan asapnya yang berkepul-kepul. Sejurus selepas persembahan bunga api, aktiviti tahun baru diteruskan pula dengan konsert. Terdengar jeritan penyanyi-penyanyi menghiburkan pengunjung yang rata-rata anak-anak muda Islam.
Penulis dan ahli kumpulan berjalan di tengah lautan manusia untuk membuat pemerhatian keadaan masyarakat di ambang tahun baru. Dari ibu mengendong bayi hinggalah nenek yang tidak mampu berjalan bersesak-sesak untuk menyambut tahun baru. Tidak ketinggalan sekumpulan adik-adik kecil berbasikal, sekumpulan manusia bertopeng watak ‘V for Vandetta’ yang membawa belon dan sepanduk ‘Occupy Merdeka’ dan ‘Mature Democracy’.
Penulis begitu terkilan kerana sambutan tahun baru anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan hanya menyuburkan budaya berhibur terlampau (hedonism) dalam masyarakat terutama generasi muda. Perasaan sedih menyaksikan anak-anak muda lelaki dan perempuan bebas bertepuk-tampar , berpeluk, berpakaian mencolok mata dan terkinja-kinja berpesta sampai ke pagi.
Peniaga jalanan mengambil peluang dengan menjual pelbagai hiasan kepada pengunjung seperti ‘headband’ bertanduk syaitan berlampu. Maka ramailah ‘syaitan’ terlompat-lompat kegembiraan ditengah-tengah lautan manusia di Dataran.
Pemerhatian kemudian diteruskan di sekitar Dataran dan Pudu walaupun jam sudah melewati jam 1:30 pagi sebagai ganti ke Lorong Haji Taib atas sebab tertentu. Di sekitar Pudu, terkedu melihat golongan geladangan yang masih tidur berbumbungkan langit di tepi-tepi jalan. Sungguh tragis bilamana dalam menjadikan Malaysia sebagai Negara maju, masih ada lagi masyarakat ‘homeless’ lantaran kekejaman kota metropolitan yang menjadikan manusia semakin bersikap individualistik dan manifestasi kepada ‘only the fittest win the struggle of survival.”
Malam tahun baru itu dihabiskan untuk menyelami jiwa belia metropolitan dan golongan geladangan. Disini penulis sedar, perlu ada golongan yang prihatin di tengah-tengah kekalutan asakan globalisasi yang mencengkam. Kerajaan perlu menjenamakan semula sambutan tahun baru supaya program yang dianjurkan menjurus kepada pembinaan positif masyarakat berminda kelas pertama, bukannya disuap dengan program-program yang melalaikan yang natijahnya hanya merugikan Negara. Wallahu’alam.