Thursday, March 24, 2011

Ikan di Lautan




Suatu petang, aku memanggil seorang pelajar wanitaku untuk sesi nasihat sosial. 1001 masalah terpancar melalui riak wajahnya telah memotivasi aku untuk bertemu dengannya di pejabat.

"Apa khabar?" tanyaku sejurus dia duduk di kerusi yang disediakan.

Wajah sayunya hanya tersenyum hambar.

"Macam mana belajar, exam EAP yang lepas?" Tanyaku lagi.

"Tak cukup masa untuk jawab." Jawabnya ringkas.

"Hmmm, kamu mesti tahu kenapa cikgu panggil kamu untuk berjumpa? " Tanyaku kepadanya tanpa berselindung.

"Cikgu tahu kamu ada masalah. Kamu mahu berkongsi?" pelawaku.

Dia hanya tersenyum.

"Baiklah, di sini ada sehelai kertas, kalau kamu berat untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, kamu boleh tulis di atas kertas ini. " Aku menghulurkan kepada pelajarku itu sehelai kertas A4.

Dia menyambut dan mula menulis lambat.

"Saya tak tahu nak tulis apa lagi. " Katanya kepadaku sambil menghulurkan kertas yang ditulis masalahnya kepadaku.

Dari kertas itu, pokok permasalahan yang menyebabkan pelajar terbabit muram sentiasa adalah faktor kawan-kawan sekelas dan sebilik, keluarga dan 'pakwe'.

Aku minta dia jelaskan satu persatu.

Panjang lebar dia bercerita, Dari A hingga ke Z. Semua dicerita tanpa selindung walaupun membuka pekung di dada sendiri.

Aku mendengarnya dengan teliti dan tidak meletak sebarang penghakiman atau konklusi awal. Aku membiarkannya meluahkan segala-galanya sehingga ke satu tahap dia mengeluarkan air mata.

"Saya bukan tidak mahu berubah, tetapi kawan-kawan tidak menyokong. Mereka selalu pandang sinis pada saya."

Aku mendengar luahannya. Aku tahu sejarah silam hitam masih lagi menghantui dirinya. Apatah lagi apabila diketahui umum.

"Jadinya, bagaimana kamu hadapi masalah kamu itu? "tanyaku lagi.

Saya jarang berada di bilik, selalu menyendiri. Kekadang petang saya akan ke pekan buang masa dan duduk melepak di tangki air menangis.

Selainnya?' tanyaku lagi.

"Saya mula merokok." Jawabnya jujur.

That' s it. Akhirnya dia mengaku dia mula terjebak dalam aktiviti merokok.

Sehingga kini, dia tidak tahu rokoknya yang hilang ada di rumahku. (Kawan sebiliknya memberi kepada teman sejawatku)

Tujuan sebenar aku panggil pelajar terbabit adalah untuk membuat khidmat sosial kepada pelajar-pelajarku yang di dalam dilema.

Aku tidak mahu menjadi pengajar semata-mata, tetapi pendidik dimana pelajar-pelajarku boleh beroleh manfaat lain dariku.

***

Kepada wanita, kenapa habiskan masa berendam air mata menangisi kisah lalu? Kenapa biarkan diri dirundung malang yang dicari sendiri? Kenapa biarkan diri menyalahkan orang lain dan suasana kepada kejahilan diri yang dicipta sendiri? Kenapa biarkan diri dibelenggu emosi sehingga membuat tindakan melulu yang merosak diri? Kenapa biarkan???? kenapa biarkan????

Pesanku di akhir kaunseling panjang lebar bersama dengan pelajarku itu,

"Tidak salah untuk kita berubah. Berubah dan berhijrah itu satu keperluan untuk pembaikan diri. Lupakan kenangan dosa lalu. Tutup buku untuk riwayat hidup dulu. Mulakan sekali lagi. Buka buku baru dan coretkan dengan kejayaan demi kejayaan dan kebahagian demi kebahagiaan. Bukan ditulis dengan air mata kesedihan.

Cuba belajar daripada ikan di lautan. Walaupun air laut itu masin, tetapi ikan tidak sedikitpun terjejas dengan kemasinan air laut tersebut. Begitu juga kita, untuk berubah perlukan jati diri yang kuat. Bila jati diri dan azam kuat untuk berubah, tidak mungkin kita akan goyah walaupun persekitaran seperti kawan-kawan, keluarga hatta pakwe sekalipun tidak membantu kepada pembaikan diri. Ambil semangat ikan di lautan. Pelajari darinya. InsyaAllah, semoga semua urusan kamu dipermudahkan."

Perbualan terhenti selepas satu jam bersamanya. Pelajarku itu akhirnya meminta diri untuk pulang.

"Kalau perlukan teman bicara, cikgu cuba untuk ada, " Kata-kata itu terkeluar di akhir perbualan sebelum dia menyalami tanganku dan beredar pergi.

"Terima kasih cikgu, " Katanya.

" Sama-sama, " jawabku perlahan.