Thursday, January 19, 2012

PENDEKATAN USRAH SEBAGAI WASILAH PEMBANGUNAN DIRI REMAJA DAN PELAJAR LEMAH



Bila berbicara tentang masalah kebejatan sosial, tergambar di kepala kita golongan remaja. Siapakah remaja? Remaja merupakan golongan yang berumur dalam lingkungan 13 tahun hingga 20 tahun. Zaman remaja adalah suatu proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. (Jas Laille Suzana Jaafar, 2006, Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, DBP).

Persoalan tentang ‘siapakah aku?’ sering bermain-main di kalangan golongan ini dalam usaha mencari identiti diri. Justeru, tempoh ini sangat kritikal kerana remaja mula membentuk identiti diri samada positif atau negatif.

Peranan persekitaran dan sosial amat berkait dalam pembentukan identiti seseorang remaja. Golongan pertama; remaja yang sejak dari mulanya terdedah kepada persekitaran positif seperti membesar dalam keluarga yang harmoni, melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti bermanfaat dan kepimpinan akan melahirkan remaja yang mempunyai nilai kendiri yang positif.

Begitulah sebaliknya bagi golongan remaja kedua; iaitu bagi remaja yang membesar dalam persekitaran keluarga yang berantakan, dan mencari ketenangan dengan aktiviti negatif seperti merokok, menghisap dadah, menghidu gam, melepak, berhibur melampau (hedonism) akan membentuk golongan remaja yang mempunyai konsep kendiri yang rendah.

Justeru, golongan remaja kedua ini perlu diberi perhatian supaya mereka tidak terjerat dalam dunia sendiri tanpa panduan dan akhirnya mensia-siakan zaman penting untuk meneroka dan mencipta kejayaan manis dalam episod hidup berikutnya.

Oleh kerana mereka menghabiskan masa di institusi pendidikan samada sekolah menengah mahupun IPT, maka golongan pendidik memainkan peranan penting bagi mengenal pasti remaja bermasalah supaya bimbingan dapat diberikan. Bimbingan dalam bentuk usrah dirasakan penulis sebagai paling berkesan berbanding menerusi proses ceramah.


Usrah dari segi bahasa beerti keluarga. Ia juga mempunyai maksud yang lebih mencapah dan meluas iaitu sekumpulan individu yang tiada pertalian darah tetapi mempunyai keakraban hubungan seperti keluarga. Dari segi istilah, usrah bermaksud kumpulan individu atau mukmin yang beriman dengan agama Islam, berusaha dan tolong-menolong di antara satu sama lain untuk memahami dan menghayati Islam dalam segenap aspek kehidupan. (Siri Usrah, 2007, Kolej Universiti Islam Selangor).

Terdapat beberapa rukun yang perlu dipenuhi supaya keterikatan hati dapat diwujudkan oleh pendidik yang bertindak juga sebagai pentarbiyah atau naqib/ naqibah. Rukun usrah itu terdiri daripada proses ta’aruf, tafahhum dan takaful. Pendidik menjadi Naqib/ naqibah bagi memastikan remaja-remaja ini mempunyai tempat rujukan dan berkongsi rasa hati serta masalah. Usrah bukan sahaja menjadi tempat berdiskusi ilmu tetapi juga sebagai halaqah tarbiyyah iaitu mengetahui sesuatu dan menterjemahkannya dalam amalan kehidupan sehari-hari.

Dalam pendidikan contohnya, golongan pelajar yang lemah ini perlu dibantu bukan disisihkan. Guru dan pendidik berperanan dalam membantu pelajar ini membina konsep diri positif supaya nasib mereka tidak berakhir sebagai golongan pelajar tercicir dan tiada masa hadapan.

Pendidik perlu mengetahui perkara-perkara asas mengenai pelajarnya (ta’aruf), memahami pelajarnya (tafahhum) seperti pendekatan sesuai untuk mengajar dan mendidik mereka mengikut laras pemikiran mereka. Seterusnya saling menolong mereka (takaful) supaya mereka dapat merangka perjalanan hidup dengan jayanya dengan keyakinan diri yang tinggi. Ini penting supaya pelajar-pelajar ini mendapat tunjuk ajar yang baik sebelum mengemudi kehidupan secara sendiri selepas tamat pendidikan formal.

Malah dengan pendekatan usrah, ikatan (rabitah) hati yang terbina di kalangan ahli usrah (pendidik dan pelajar) akan berterusan sampai ke alam abadi. Pelajar bermasalah ini dapat merasakan nikmat kekeluargaan yang tidak pernah dikecapi dan sekurang-kurangnya mereka terselamat dari melakukan perkara-perkara yang menjerumuskan diri mereka ke dalam kancah negatif seperti kehancuran moral dan kebejatan sosial.

Penulis misalnya menggunakan teknik usrah ini dalam mengendalikan kelas. Para pelajar yang lemah dikenal pasti dan dibantu supaya mereka boleh mencapai satu tahap yang memberangsangkan yang akan mempengaruhi konsep dan kepercayaan terhadap kebolehan diri. Para pelajar tidak ditekan untuk menggapai kejayaan dalam konteks akademik semata-mata tetapi turut sama menekankan pembangunan kemahiran, sahsiah diri dan budi. Alhamdulillah, pelajar-pelajar lemah ini sedikit demi sedikit telah melakukan anjakan supaya dapat menempuh episod hidup dengan keyakinan untuk berjaya dunia dan akhirat. InsyaAllah.

0 comments: