Friday, March 23, 2018

Pergaulan Bebas dan Budaya ‘Couple’

Ihsan imej: Pinterest.com

      Manusia merupakan makhluk sosial. Justeru, pergaulan antara sesama manusia menjadi keperluan bagi meneruskan kelestarian hidup di dunia. Apa yang menjadi kebimbangan hari ini ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batas. Budaya berpasangan atau istilah popularnya ‘couple’ semakin menjadi lazim di kalangan remaja moden hari ini.

Boleh dilihat dimana-mana pasangan lelaki dan perempuan khususnya golongan remaja berpeleseran di pusat membeli-belah, pantai, kafeteria dan kedai-kedai makan atau pusat-pusat rekreasi dan hiburan. Mereka bercengkerama tanpa peduli kepada tanggapan masyarakat sekeliling kerana ia sudah menjadi pandangan biasa sosial hari ini.

Fenomena remaja perempuan bertandang ke rumah sewa lelaki hingga larut malam atau bermalam dalam satu rumah juga semakin menghibakan. Walaupun ada jiran tetangga menegur, tetapi tetap tiada perubahan. Malah semakin rancak pula mereka sebagai tanda protes kerana menyibuk hal ehwal mereka. Mereka seolah-olah menyampaikan mesej bahawa dunia sudah berubah, nafsu menjadi Tuhan. Biar apapun kata orang, yang penting inilah kehidupan yang diinginkan.

Bila kita bercakap tentang pergaulan bebas, sudah tentu ia berkait dengan perbuatan-perbuatan songsang yang di luar norma masyarakat. Antaranya, bercumbu, berpegangan tangan, necking, petting, hingga kepada perlakuan zina. Samaada ia melibatkan sepasang lelaki perempuan atau melibatkan seks secara berkumpulan. Ia semakin menjadi isu yang semakin membimbangkan di kebanyakkan negara amnya dan secara khusus di Malaysia.

Budaya ‘couple’ dan bertukar-tukar pasangan menjadi kebiasaan. Dalam satu temubual bersama beberapa orang gadis remaja, kecenderungan mereka berpasangan adalah untuk mengisi rasa sunyi dan keinginan bercinta. Ada juga mengatakan dengan berpasangan, mereka akan lebih termotivasi dalam pelajaran dan ia merupakan tanda kematangan diri.

Kenapa kamu ber’couple’?

‘Saya sunyi. Sudahlah jauh dari keluarga. Sekurang-kurangnya, bila saya rasa keseorangan contohnya pada hujung minggu, saya ada teman lelaki yang boleh isi masa terluang dengan berjalan-jalan.’ kata Nora (bukan nama sebenar).

‘Saya ber ‘couple’ sebab naluri ingin dicintai oleh seorang lelaki. Kebanyakkan kawan perempuan saya semua ada teman lelaki, saya pun nak merasa juga berteman. Seronok rasa ada orang ambil berat, tanya sudah makan atau belum, melayani saya dan beri saya hadiah atau kata-kata cinta.’ Ujar Siti (bukan nama sebenar).

‘Couple. Hmm… saya rasa ‘couple’ saya mendorong saya untuk lebih motivasi dalam belajar. Teman lelaki saya pandai, saya biasa sahaja. Dialah yang banyak bantu saya dalam pelajaran.’ Jelas Baizura (bukan nama sebenar).

Lain pula pada Erni, ‘Saya rasa dengan ber’couple’ maksudnya kita sedang menjadi matang. Yelah, maknanya kita sudah dewasa, sudah ada perasaan kepada lelaki yang kita suka untuk dijadikan pasangan hidup di kemudian hari.’ Jelasnya.


Yang menjadi kebimbangan penulis ialah ramai ‘couple’ terjebak dengan aktiviti-aktiviti seksual sejak di bangku persekolahan lagi. Pengalaman penulis di Rumah Perlindungan Wanita Islam di Shah Alam dan Ampang beberapa tahun dahulu menyaksikan bahawa ramai gadis telah melakukan hubungan seksual dengan ‘couple’ mereka seawal 14 tahun.

Antara penghuni termuda yang penulis kenali ialah Aina berusia 15 tahun dan sarat mengandung. Aina memiliki kecantikan rupa namun sayangnya dia gadis naif. Aina sendiri tidak terfikir bahawa hubungan seks bersama teman lelakinya, 16 tahun menghasilkan zuriat tidak sah taraf. Apabila ditanya tentang hubungan cinta bersama teman lelakinya selepas kelahiran anak tersebut, Aina dengan bersahaja meluahkan ‘taknaklah kahwin dengan dia, nanti jadi janda muda.’

Ada juga kajian yang dijalankan sekumpulan pensyarah UKM melibatkan enam orang remaja wanita hamil luar nikah di Taman Seri Puteri Cheras. Hasil kajian mendapati remaja wanita tersebut melibatkan diri dengan seks luar nikah ketika di sekolah menengah akibat desakan dan pengaruh kawan-kawan yang sering menceritakan pengalaman seks mereka.

Adik-adik, mengapa budaya ‘couple’ ini boleh membawa kepada zina?

Menurut John Gray, pakar perhubungan lelaki dan perempuan dalam salah satu bukunya yang terkenal, “Mars and Venus on a Date” menyatakan seorang lelaki dan perempuan sebelum menjalin hubungan yang serius melalui beberapa fasa. Dalam fasa temujanji pengenalan (dating), seorang lelaki dan perempuan akan melalui lima fasa iaitu saling tertarik, fasa rasa tidak yakin, fasa rasa eksklusif, fasa rasa untuk lebih intim dan akhirnya saling memerlukan sebagai pasangan hidup.

Apabila seorang lelaki mahupun perempuan saling tertarik maka mereka cenderung untuk menunjukkannya secara verbal atau bukan verbal seperti lirikan mata, senyuman menggoda dan perlakuan yang menarik perhatian jenis lawannya. Apabila seseorang wanita tertarik kepada seorang lelaki, dia lebih teruja untuk tampil cantik dan menggoda dan berusaha untuk membahagiakan si lelaki. Ini menyebabkan ramai perempuan kecewa apabila mesej lelaki di salah anggap sebagai cinta pada permulaan perkenalan. Ada juga lelaki mengambil kesempatan ke atas kelemahan perempuan ini.

Perempuan pula cenderung untuk berlebih-lebihan dalam perasaan. Hanya sepotong ayat manis yang keluar dari mulut seorang lelaki membuatkan mereka lupa diri. John Gray dalam buku tersebut menyatakan memang kebanyakan lelaki cenderung berharap untuk melakukan hubungan intim bersama teman wanitanya. Yang menjadi persoalan semasa, kenapa golongan gadis remaja begitu mudah menyerahkan mahkota diri kepada lelaki yang bukan suaminya?

Apabila ditanya, ada jawapan adik-adik gadis yang penulis perolehi mengatakan bahawa mereka takut ditinggalkan jika mengatakan tidak kepada keinginan seksual si lelaki yang menjadi ‘couple’nya.  Inilah yang menjadi kegusaran banyak pihak kepada jati diri para gadis kini!

Ramai yang mengakui bahawa hubungan seksual terjadi biasanya dengan perbuatan-perbuatan ringan terlebih dahulu seperti berciuman, berpegangan tangan, meraba sebelum akhirnya mereka tidak mampu mengawal hawa nafsu hingga melakukan hubungan kelamin secara tersembunyi di rumah semasa ketiadaan ibu bapa, rumah-rumah sewa, rumah-rumah kosong hingga hotel-hotel murah yang menyediakan perkhidmatan mengikut jam.


(Bersambung.....)


0 comments: