Thursday, February 9, 2012

CINTA ITU SANGAT MENGASYIKKAN


Cinta terlalu asyik untuk dinikmati. Akibat keasyikan itu, ramai anak-anak muda Islam tenggelam dan lemas dalam lautan cinta yang tidak bertepi. Sehingga muamalah antara kaum Adam dan Hawa melampaui batas syarak.


Kesucian cinta Nabi Adam A.S dan Hawa yang dinikahkan sendiri oleh Allah Ta’ala tercalar akibat cucu-cicitnya yang terlalu menurut gelora nafsu. Hari ini, boleh dilihat bagaimana anak-anak muda begitu bebas lepas dalam pergaulan atas tiket cinta.


Lebih parah, ada segelintir ibu bapa era milenium yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak mereka hanyut di buai ombak cinta. Perasaan cinta dijadikan alasan untuk menghalalkan yang sedia haram dalam agama.


Akibatnya, sering terpapar di media-media massa dan elektronik bahana dan malapetaka apabila cinta yang di jalin membelakangkan syariat. Maka, jika dulu jarang-jarang kedengaran penyakit sosial, kini budaya khalwat dan zina, mengandung dan melahirkan anak ‘tidak sah taraf’, buang anak, lari ikut kekasih dan pelbagai lagi atas nama cinta tidak lagi lagi menjadi kehairanan yang ajaib.


Semasa penulis bertugas sebagai pengurus kerohanian di sebuah rumah perlindungan wanita Islam di Shah Alam, didapati percintaan adalah sebab utama para penghuni terjebak dalam zina dan mengandungkan anak luar nikah hatta seawal umur 15 tahun. Malah ia juga dijustifikasi oleh sebuah laporan oleh Malaysian Healthcare Sdn. Bhd yang dibuat oleh Durex 2002 ke atas 2,500 lelaki dan wanita berbilang bangsa di Malaysia dalam lingkungan umur 18-30 tahun yang mengatakan percintaan sebagai faktor utama responden dalam kajian terlibat dalam seks bebas. (Farawahida Mohd Yusof & Norazila Sugiman, 2011 yang dipetik daripada Mohammad Shatar Sabran, 2003: 128.)


Buka sahaja akhbar, ada sahaja berita pilu keruntuhan akhlak dan moral yang pelakunya adalah segolongan besar generasi muda sebaya yang beragama Islam. Sungguh parah sehingga ada yang menyalahkan cinta! Adakah salah cinta?


Keasyikan cinta sebenar


Silap. Cinta itu tidak salah. Yang salah ialah pelakunya yang tidak tahu menikmati anugerah Allah yang terindah itu. Terdapat pelbagai peringkat cinta, namun cinta yang berada di tingkatan yang tertinggi adalah cinta yang apabila segala-galanya didasari Lillahi Ta’ala.


Tiada yang boleh dijadikan galang-ganti untuk membeli cinta agung tersebut kecuali keimanan yang tinggi pada Tuhan-Nya seperti cintanya ahli sufi mukminah Rabi’atul Adawiyah yang tenggelam dalam keasyikan cinta bersama Rabb-Nya, Rabb kita semua Allah ‘Azza Wajalla. Subhanallah.


Namun sungguh sukar untuk mencapai cinta teragung tersebut bagi kita manusia biasa yang hidup di akhir zaman yang penuh dengan fitnah dan dugaan. Justeru, pintalah bersungguh-sungguh kepada Allah agar diri ini bertemu cinta dengan seseorang yang membawa kita kepada keTawhidan-Nya.


Bukalah pintu hati untuk menikmati cinta dengan ikatan perkahwinan sebagai wasilah pembuktian kepada keagungan Tuhan yang menciptakan segala sesuatu di alam ini beserta pasangannya. Allah Ta’ala berfirman dalam surah Yaasin, ayat 36 mafhumnya, “ Maha Suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui.”


Cinta adalah anugerah Allah kepada kita. Justeru sunnatullah menyebabkan lelaki dan wanita saling tertarik dan jatuh cinta. Untuk itu, Islam telah menunjukkan kita jalannya untuk menyemai cinta yang bersemi melalui pernikahan. Melalui pernikahan, akan dapat kita rasai keasyikan sebenar perasaan cinta itu.


Permudahkan urusan perkahwinan


Pernikahan adalah sebahagian dari tuntutan agama. Maka, bagi seseorang lelaki Muslim dan wanita Muslimah yang berkahwin telah lengkaplah sebahagian daripada imannya kepada Allah Ta’ala. Subhanallah. Indah sungguh ajaran Islam!


Tetapi malangnya, keindahan itu terbantut apabila perkahwinan telah diberat-beratkan dengan hantaran yang melambung-lambung mahalnya. Jalan yang sepatutnya mudah untuk menyatukan dua hati yang sedang asyik bercinta disusah-susahkan.


Natijahnya, hilang kenikmatan cinta apabila selepas perkahwinan, hutang keliling pinggang, hidup pula resah gelisah mengenangnya. Kenapa perlu dibebankan perkara-perkara yang baik dalam agama? Tidak perlu majlis gah untuk pembuktian cinta, cukup sekadarnya bagi menghebahkan sebuah ‘masjid’ telahpun terbina.


Pernahkah pula kita mendengar mafhum sebuah hadith sahih sanadnya iaitu perempuan yang berkat itu adalah yang ringan maharnya, mudah dinikahi dan baik akhlaknya? Jika anda kasihkan pasangan cinta anda, ringankanlah kaum Adam untuk melengkapkan sebahagian iman. Namun begitu, bagi kaum Adam pula, janganlah di ambil mudah dalam keterbatasan itu. InsyaAllah, jika konsep perkahwinan Islami difahami dengan tuntas oleh setiap pasangan bercinta, keberkatan akan mengiringi hidup berumah tangga hingga ke akhir hayat dengan izin-Nya. Wallahu’alam.


Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.

Beliau juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-Abim)
Beliau boleh dihubungi melalui emel, fa_mimosa@yahoo.com atau Facebook (Faridah binti Mohd Tap)

0 comments: