Tuesday, February 21, 2012

Syukur Seorang Muslimah


Kedatangan Islam membawa 1001 rahmat kepada wanita. Islam telah mengangkat martabat seorang wanita dari sehina-hina ke semulia-mulia kedudukan dalam masyarakat manusia. Kedatangan Islam telah menyelamatkan kaum Hawa ini daripada belenggu kezaliman masyarakat jahiliyyah yang menganggap wanita tiada beza dengan barang dagangan, malah lebih teruk lagi dari itu-tiada harga. Itu sudah menjadi sebab utama kenapa kita sebagai wanita Muslimah perlu bersyukur.

Islam juga menjanjikan wanita untuk senang masuk ke syurga selagimana segala syariat dijaga dan dijunjung dengan tidak berbelah bahagi. Subhanallah. Alhamdulillah. Rasulullah S.A.W. bersabda mafhumnya, “Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” (hadith).

Begitu juga, wanita dalam Islam di jaga dengan begitu rapi kerana keindahan ciptaannya. Disebabkan keindahan itu juga kita perlulah bersyukur. Tetapi, bagaimana? Adakah dengan mempertontonkan segala kecantikan itu untuk tatapan umum?

Sehingga saat ini, penulis dilanda kehairanan bilamana ada segelintir wanita di luar sana tidak segan silu membiarkan aurat mereka terdedah sehingga banyak mata tertancap pada setiap inci tubuhnya sambil memuji-muji segala kemolekan yang dimiliki. Ironisnya, mereka adalah muslimah yang telah Allah perintahkan untuk menyembunyikan keindahan perhiasannya hanya kepada yang berhak.

Allah S.W.T. telah berfirman maksudnya, “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik), maka dengan itu mereka tidak diganggu. Ingatlah Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab: ayat 59). Syukurnya muslimah jelas terpancar bilamana dia menjaga auratnya sama seperti ketika di dalam solat.

Wanita muslimah itu bersyukur jikalau mengusahakan dirinya menjadi hiasan dunia yang tiada tolok bandingnya sehingga cemburu para bidadari di syurga. Akalnya yang tipis seperti lapisan kulit bawang di ‘tebal’kan dengan ilmu yang bermanfaat untuk kemajuan diri, keluarga dan masyarakat seperti mafhum hadith yang dipetik di laman web eramuslim. com, mafhumnya, “dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia.” (HR. Thabrani dan Daruquthni).

Syukur wanita Muslimah itu juga dengan menjaga malunya iaitu satu perasaan yang mendesak seorang supaya menghindarkan segala yang keji dan melaksanakan segala apa yang terpuji. Malu itu pula amat sinonim dengan wanita. Jika ketiadaan perasaan malu ini, seseorang wanita akan melakukan semahu perasaan dan hawa nafsunya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, tidak malu itu juga maksudnya tidak beradab, tidak sopan dan tidak berakhlak. Justeru itu, Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya, “bahawa setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.” (Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Hadith 40: terjemahan dan syarahnya terjemahan Mustafa ‘Abdul Rahman).

Muslimah itu juga bersyukur bilamana bicaranya berhemah, budinya terserlah, pandangannya jernih, hatinya berzikir dan sering berdoa untuk kesejahteraan diri, keluarga dan umat. Disebabkan itu, muslimah bersyukur memanfaatkan keistmewaan yang dianugerahkan Allah Ta’ala kepadanya melalui kekuatan doanya. Umum mengetahui, doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".(mafhum Hadith).

Namun begitu, keistimewaan muslimah itu dipersia-siakan kerana ketaksuban mengikut budaya barat. Kini ramai wanita berlumba-lumba memperjuangkan hak kesamarataan sepertimana lelaki. Perjuangan Feminism telah meletakkan acuan pencapaian diri wanita untuk setanding pencapaian dan segagah kudrat kaum Adam. Kesan negatifnya, wanita sering rasa ketinggalan kerana kunci pencapaian adalah berdasarkan kepada pencapaian kaum lelaki. Malah, sehingga ke tahap kewajipan untuk menutup aurat dalam ajaran Islam dikatakan sebagai penindasan kepada kaum wanita.

Fitrah yang asalnya berbeza tetapi saling melengkapi antara kedua-dua jantina dicabar sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam masyarakat. Perbezaan ini telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku, sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).

Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).

Allah juga berfirman bahawasanya lelaki (suami) adalah pakaian bagi wanita (isteri) dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 maksudnya, “mereka itu adalah pakaian bagi kamu (lelaki), dan kamu adalah pakaian bagi mereka (wanita).” Ayat ini turut memberi pengertian bahawa kedua-dua lelaki dan wanita diciptakan untuk menjaga keaiban diri antara satu sama lain, saling ingat-mengingati tentang peranan dan tanggungjawab selaras dengan fitrah kejadian supaya segalanya teratur mengikut kehendak Ilahi Rabbul ‘Izzati.

Walaupun bengkok kejadian Hawa dari tulang rusuk Adam, tetapi ia bukanlah bermakna Islam menciptakannya dengan kelemahan. Malah ia adalah kekuatan kerana berbanding Adam yang dicipta daripada unsur mati-tanah, Hawa pula dicipta daripada unsur hidup iaitu tulang rusuk. Justeru, dari tangan lembut wanita yang menghayun buaian itulah telah tercipta dan menghidupkan pelbagai sejarah menggegarkan dunia dengan lahirnya manusia bersosok mujahidin yang hebat.

Akhirnya, nikmat Allah yang paling agung dan dambaan setiap para solihin adalah syurga sehingga syurga tersebut letaknya di telapak kaki ibu (wanita). Begitulah kasih dan sayangnya Allah ke atas insan bernama wanita mukminah. Justeru, bersyukurlah dengan segala nikmat dan keistimewaan yang diberikan kepada muslimat. Alhamdulillah. Wallahu’alam.

Oleh,
Faridah Binti Mohd Tap,
Pensyarah Pengajian Umum
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI Port Dickson, Negeri Sembilan.


2 comments:

Jurnal Murahan said...

I think you can discuss further on feminism from islamic perspective, most of us really want to learn that

in the name of human right, feminism ideology dominate most of muslim & confuse 'em


waiting for your next ppost

Faridah Mohd Tap said...

thank you Mr. JM for your kind concern and proposal. Actually, that was my intention years ago. Until now, I can't make it as it demands extra focus and deep study of the subject.

InsyaAllah, soon I will..