Monday, June 16, 2008

"Tazkirah Kehidupan"


Bila mentari bersinar terang
Terpancar cahaya suria
Memuji keagungan Tuhan pencipta
Menginsafi kedaifan

Bila mentari menghilang diri
Terbit pula kenangan lalu
Tertunduk ku pasrah seribu menyepi
Hanyut dalam arus berliku

Oh Tuhanku Yang Esa
Ampunilah hambamu
Berikanlahku kekuatan
Mengharungi mehnahmu
Kupohon restu hidayah dariMu
Rahmatilah hidupku
Terimalah taubatku
Penghapus segala dosaku

Ya Kareem…Ya Allah
Ya Rahman…Ya Rahim

Deruan ombak menghempas pantai
Bergelora dipukul badai
Himpunan buih ditepian
Ia tidak berkekalan
Begitulah hidup manusia

Sebenarnya, bait-bait tulisan diatas merupakan sebuah lagu yang bertajuk “Epilog Seorang Hamba”. Lagu tersebut didendangakan oleh sebuah kumpulan nasyid tanah air , kumpulan Brothers.

Lagu ni sangat memberi kesan dalam hati aku. Pertama kali dengar, aku terus tertarik dan mendengar setiap butir bicaranya dengan penuh perhatian. Pembawaan lirik berserta alunan muzik yang mendayu dan syahdu bisa buat aku menangis sepi.

Sungguh, lagu ini sangat istimewa. Lagu ini tidak sama dengan lagu-lagu nasyid yang pernah aku dengar sebelum ini. Kebanyakkan lagu nasyid sekarang konsepnya berkisar cinta. Cinta manusia, cinta Ilahi dan bermacam-macam lagi yang seumpamanya. Namun, ini tidak bermakna aku prejudis terhadap lagu nasyid yang berkonsepkan cinta manusia. Mungkin, mereka berkarya mengikut kehendak pasaran. Jadi, tidak timbul persoalan untuk mengkritik mereka. Lagipun, kehendak manusia itu berlainan antara satu sama lain.

Kalau direnung dan difahami dengan teliti bait-bait senikata lagu tersebut, ia mengisahkan keagungan Tuhan yang jelas tergambar dengan terciptanya alam ini. Namun, sebagai manusia yang biasa yang lemah imannya, yang sering leka dengan kenikmatan dunia sementara, kita gagal untuk bertafakkur merenungi kehebatan Tuhan, Khaliq bagi segala sesuatu di dunia ini. Malah, Allah yang Maha Bijaksana menciptakan tiap-tiap sesuatu itu ada manfaatnya. Tugas manusia ialah untuk berfikir mengenainya. Maka, akibat kelemahan itu, manusia menjadi buta, lalu lupa
tujuan penciptaan. Allah berfirman:

56. dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(surah Adh-Dhaariyyat:56)
Ayat al-Qur’an ini sepatutnya dapat membuka mata kita, bahawasanya hidup kita juga punya tujuan iaitu untuk tunduk beribadah kepada-Nya. Konsep amal makruf, nahi munkar wajib dijadikan prinsip hidup seorang insan bergelar Mukmin. Dengan itu, hidup kita lebih terarah. Dengan memahami ayat diatas juga, seorang mukmin yang berfikir, sedar bahawa dunia ini merupakan ladang untuk kita menanam pokok yang menghasilkan buah kebaikan. Hasil keuntungan yang diperoleh, merupakan bekalan kita untuk kehidupan yang kekal abadi iaitu hari Akhirat. Disebabkan itu, maka kita perlu berlumba-lumba dalam mencari keuntungan yang banyak untuk dibawa kesana kelak.

Tetapi, manusia sering lupa. Iman manusia itu pula sering naik dan turun. Maka, kita perlu pohon pada Allah agar sentiasa diberikan sikap istiqamah dalam segala urusan kebaikan bagi mencapai mardhotillah. Apalah guna hidup kita tanpa redhoNya?

Akhir nukilan, marilah kita sama-sama berusaha menjadi mukmin yang sentiasa bertaubat dan sentiasa bermujahadah pada jalan-Nya. Hanya dengan usaha, doa dan tawakkal kita dapat melalui ujian iman dengan penuh kesabaran, lantaran kesabaran itu sebahagian dari iman. insyaAllah. Wallahu’alam.

Semoga kamu mendapat cukup kebahagiaan untuk membuat kamu bahagia, cukupcubaan untuk membuat kamu kuat, cukup penderitaan untuk membuat kamu menjadimanusia yang sesungguhnya, dan cukup harapan untuk membuat kamu positif terhadap kehidupan.

0 comments: