Monday, August 28, 2017

Memelihara kehormatan diri bererti jihad

Bukan suatu hal yang mudah untuk seorang gadis menjaga kehormatan dirinya pada zaman moden kini. Pelbagai dugaan dan rintangan dihadapi yang boleh menggugat keimanan diri. Apatah lagi jika iman si gadis diibaratkan senipis kulit bawang yang senang sekali dirobek. Faktor dorongan hawa nafsu dan lingkungan sosial yang mendukung nilai-nilai sekular yang tidak syari’e menjadikan kehormatan adik-adik gadis di dalam ancaman.


Bagi yang tidak kuat menepis dugaan, mereka mengaku kalah dengan mula memperlihatkan perhiasan diri. Maka, berlakulah pendedahan aurat yang menjadi pandangan biasa sedangkan dosanya jelas dalam agama. Ia juga seolah-olah tindakan yang menyatakan pertentangan terbuka kepada perintah Allah Ta’ala yang merupakan kewajipan setiap orang yang beragama.

Kewajipan menutup aurat jelas dalam firman Allah S.W.T  yang bermaksud, “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka!” Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Ahzab, Ayat 53)


Tahukah adik-adik gadis sekalian?

Saat kamu mencapai akil baligh, kamu sedang mempersiapkan diri menuju kedewasaan. Perubahan hormon dan bentuk badan mula menampakkan diri sebagai seorang wanita dewasa yang mempunyai daya tarikan seksual kepada lawan jenismu. Mungkin perubahan pertama yang dilihat bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting akan membengkak, jisim payudara akan lebih membulat serta menjadi padat dan berat.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan. Dengan kata lain, ovulasi sudah berlaku dan sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

Perubahan bentuk tubuh si gadis yang semakin mempesona tidak boleh dinafikan menggoncangkan naluri kelakian yang memang tertarik kepada wanita apatah lagi jika ia dipertontonkan sewenangnya tanpa perasaan malu. Betapa ramai lelaki menatapmu dengan nafsu yang bergelojak di dalam hati. Cuba berfikir sejenak, apakah yang akan terjadi jika lelaki liar dan buas menginginkanmu? Dia pasti cuba mendapatkanmu atau gadis lain sebagai mangsa dengan cara yang kejam dan meninggalkan si gadis dalam keaiban dan trauma sepanjang hayat. Nauzubillah.


Bukan untuk berprasangka buruk, tapi kebanyakkan gadis moden sengaja mempamerkan sebahagian tubuhnya untuk menggoda dan menarik perhatian para lelaki agar memuja kecantikan dirinya. Iman yang lemah menjadikan gadis-gadis alpa lantaran dipujuk rayu oleh lelaki yang tidak baik yang mahukan dirinya untuk kepuasan nafsu semata-mata. Si gadis mungkin tidak rasa berdosa melainkan rasa seronok dan rasa dihargai walaupun pada hakikatnya si gadis telah merendahkan martabat kegadisan dan kehormatan dirinya.

Wahai adik-adik gadis sekalian! Menjaga kehormatan diri adalah suatu amanah yang ditaklifkan oleh Allah Ta’ala saat manusia berikrar menjadi khalifah di bumi ini. Sudah tentu, tugas itu bukanlah mudah jika tidak disertai dengan rasa tanggungjawab, iltizam yang jitu dan keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada Tuhan.

Menjaga kehormatan diri merupakan sebuah jihad yang besar kerana kita sedang mendidik hawa nafsu agar patuh dan taat kepada perintah Allah Ta’ala. Jihad menentang hawa nafsu digolongkan sebagai jihad yang besar kerana asal penciptaan nafsu itu sendiri bersifat degil dan sukar untuk ditundukkan.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Hajj, ayat 78: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya (haqqa jihadihi)”.Menurut Imam al-Qurtubi, firman Allah S.W.T ‘haqqa jihadihi’ dalam ayat tersebut menyampaikan mesej kepada menjunjung dan mengerjakan segala suruhan Allah S.W.T dan meninggalkan segala larangan dan tegahan. Selanjutnya beliau menjelaskan: “Berjihadlah terhadap diri sendiri supaya mentaati Allah SWT dan menjauhi hawa nafsu, berjihadlah melawan syaitan supaya godaan dan gangguan dihapuskan, berjihadlah menentang orang zalim supaya kezaliman dapat dibasmi dan berjihadlah menentang orang kafir supaya kekufuran dapat dihindari.” 


Jadi, janganlah adik-adik gadis sekalian mudah berputus asa, mengangkat bendera putih sebagai akuan kalah kepada tuntutan hawa nafsu dan tipu daya syaitan yang sentiasa mengajak manusia kepada kemungkaran dan lembah kehinaan. Ia hanya boleh dilakukan dengan melawan nafsumu dengan sebenar-benar jihad.

0 comments: