Monday, August 28, 2017

Nilai Selaput Dara Seorang Gadis


Ihsan imej: Pinterest.com
Bila kita sebut tentang gadis perawan, pasti ia menyentuh tentang ‘dara’ yang menjadi aset yang tidak ternilai kepada seseorang gadis.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, selaput dara didefinisikan sebagai selaput yang menutup sebahagiaan bukaan faraj gadis atau wanita dan kebiasaannya akan pecah saat pertama kali melakukan hubungan seks. Menurut Dr. Zubaidi Haji Ahmad, selaput dara (hymen) menjadi status yang dipandang sangat bernilai oleh agama, sosio-budaya malahan bernilai ekonomi.


Menurutnya lagi, kaum wanita hanya memiliki satu selaput dara sahaja namun ada juga dalam kes terpencil wanita tidak dilahirkan bersama selaput dara. Dalam hal ini, Dr. Zubaidi menulis terdapat dua fakta penting yang wajar diketahui iaitu;

a) 99.9 peratus selaput dara dibentuk di peringkat embrio. Ia bermaksud, 1 daripada 1000 orang wanita boleh jadi tidak memiliki selaput dara ketika dilahirkan,

b) Semasa persetubuhan pertama, 44 peratus wanita tidak mengalami pendarahan.

Selaput dara dalam kebudayaan timur khususnya di kalangan orang Melayu merupakan suatu hal yang sangat dititikberatkan terutama dalam perkahwinan. Sudah menjadi akar tradisi yang kuat, mempunyai selaput dara merupakan identiti nilai keperawanan dan kesucian seseorang gadis. Justeru, kehilangan dara disebabkan perbuatan zina dan seks bebas merupakan suatu hal yang tercela dan dipandang hina. Kesan ketiadaan dara ini boleh dilihat jelas apabila seorang perempuan itu mengandung dan melahirkan anak diluar perkahwinan.


Nilai kegadisan menurut Islam




Dari sudut pandang agama pula, nilai dara seorang gadis menjadi hal yang penting kerana disitulah dapat dilihat kesucian akhlak dan kesempurnaan iman seseorang perempuan. Malah, menjaga dara dari perlakuan zina merupakan salah satu dari tujuan pensyariatan hukum (maqasid syariah) iaitu untuk menjaga nasab dan keturunan manusia.

Ihsan imej: Pinterest.com

Bergelar perempuan merupakan sebuah keistimewaan dalam Islam. Allah S.W.T menjadikan wanita dengan selaput dara menyampai mesej yang sarat dengan hikmah. Ia menjadi bukti komitmen dan keseriusan seseorang perempuan memelihara iman dan kegadisannya. Selaput dara menjadi saksi bahawa dirinya tidak pernah melakukan hubungan seksual selagi mana belum bernikah dengan suaminya yang sah.


Ironinya juga, selaput dara mempunyai nilaian ekonomi yang besar apatah lagi dengan pengeluaran selaput dara palsu berharga hingga mencecah ribuan ringgit bagi memenuhi permintaan pasaran. Dari perspektif perubatan pula, terdapat pembedahan bagi membaiki selaput dara yang telah terkoyak. Pembedahan ini dipanggil sebagai hymen repair, hymen surgery atau hymenoplasty iaitu sebenarnya pembedahan kosmetik yang cuba membaiki atau mewujudkan semula selaput dara yang hilang.


Menurut Dr. Zubaidi, pembedahan memperbaiki selaput dara ini bagi membohongi bakal suami merupakan perbuatan hina dan keji. Dalam soal hukum pula, beliau telah memetik Fatwa daripada Syeikh Muhammad Saleh Al-Munajjid, seorang ulama’ dari Arab Saudi yang menyatakan terdapat dua pandangan berbeza mengenai pembedahan tersebut;

a) Pendapat pertama diharamkan terus jika kehilangan dara disebabkan perkahwinan atau zina dengan beberapa hujah. Antaranya ia akan mencampurkan nasab, pendedahan aurat kepada pengamal perubatan khususnya doktor lelaki atau doktor non-muslim, pertentangan dengan kaedah syarak dan boleh menggalakkan wanita yang menjalani pembedahan itu mengulangi perbuatan zina buat sekian kalinya.

b) Adapun bagi pendapat kedua, terdapat keharusan melakukan pembedahan itu dengan beberapa situasi iaitu, jika selaput dara koyak disebabkan kemalangan atau dirogol dan sebarang perbuatan yang tidak bertentangan dengan syarak seperti bersukan, serta tekanan sosio-budaya yang boleh mengancam kehormatan seseorang gadis.

Walaupun begitu, seseorang perempuan yang ingin menjalani pembedahan membaiki selaput dara ini perlulah bertemu dan berbincang dengan ilmuwan agama dan pengamal perubatan yang jujur tentang hal ini. Namun, jika ia bertujuan untuk menutupi dosa lalu, maka ia dihukumkan sebagai haram kerana mengandungi unsur-unsur pembohongan yang tertolak oleh syarak.


Selain itu, dalam pasaran jamu dan kosmetik di Malaysia pula, sudah terdapat pelbagai jamu untuk memulihkan dara dengan mengembalikan keanjalan dan kesegaran organ intim perempuan supaya kembali seperti anak dara. Target pasaran produk-produk sebegini ialah untuk golongan wanita berkahwin, namun ia juga menjadi alternatif bagi gadis terlanjur dan aktif seks bebas untuk mengembalikan keintiman dengan harga yang lebih murah berbanding melalui pembedahan.


Maksudnya apa?

Ia bermakna, dara kepada seseorang wanita sangat penting hingga pelbagai cara perubatan moden dan tradisional diusahakan untuk cuba mengembalikan selaput dara yang terkoyak khususnya bagi wanita yang tidak pernah berkahwin.


(Bersambung....)

0 comments: